Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis tahan lelaki cabul anak saudara enam tahun

    Polis tahan lelaki cabul anak saudara enam tahun

    SEORANG lelaki ditahan kerana mencabul anak saudara perempuannya berusia enam tahun dalam kejadian di Kampung Bukit Kuin, Bendang Nyior di Tanah Merah, Isnin lalu.

    Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa mangsa sedang tidur apabila suspek yang berusia 34 tahun telah bertindak memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak berkenaan.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintanden Mohd. Razi Rosli berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang wanita yang mendakwa anak saudara perempuannya telah dicabul.

    “Mangsa merupakan anak tunggal dan tinggal bersama nenek yang merupakan ibu kepada bapa mangsa selepas kedua ibu bapanya bercerai.

    “Berdasarkan keterangan, mangsa memberitahu pada Isnin semasa sedang tidur, suspek telah bertindak memasukkan jari ke dalam kemaluannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut dan pada pukul 11.45 malam kelmarin, suspek telah berjaya ditangkap.

    “Suspek kini ditahan reman sehingga 20 September bagi membantu siasatan,” katanya sebagaiman dilaporkan Sinar Harian.

    Menurutnya, berdasarkan semakan rekod, suspek tidak mempunyai kesalahan lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing juga negatif.

  • Henti buat andaian, keluarga tunggu kepulangan setiap saat- Adik wanita diculik

    Henti buat andaian, keluarga tunggu kepulangan setiap saat- Adik wanita diculik

    ADIK lelaki kepada kepada seorang wanita yang diculik oleh sekumpulan anggota sindiket pengedaran dadah di Kampung Semat Jal, Palekbang di Tumpat, kelmarin, mengharapkan kakaknya ditemukan selamat.

    Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamed berkata, keluarganya kini menanti sebarang perkembangan daripada pihak polis dengan harapan kakaknya itu tidak diapa-apakan.

    “Kami menunggu apa punca yang terjadi dan apa yang dikatakan netizen itu nyawa kakak saya terancam.

    “Kami tak dapat (maklumat) apa-apa, saya merayu rakyat Malaysia sama-sama kita doakan agar keselamatan kakak saya, agar selamat dan cepat dijumpai. Kami sentiasa berdoa dan tunggu panggilan polis. Berhenti buat andaian, kami tunggu setiap saat,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

    Mohamed berkata, walaupun pelbagai tanggapan serta spekulasi tentang kejadian itu, dia sekeluarga hanya mengharapkan kakaknya pulang dalam keadaan selamat.

    “Saya sempat berselisih dengan kereta yang dipandu individu berkenaan ketika hari kejadian,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 36 tahun dilarikan empat individu yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.

    Insiden berkenaan turut berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup sebelum tular dalam media sosial.

  • ‘Samy Vellu pasti akan dirindui’

    ‘Samy Vellu pasti akan dirindui’

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam memuji ketegasan Tun S. Samy Vellu yang lantang memperjuangkan nasib dan hak masyarakat India sepanjang beliau berada dalam Kabinet.

    Musa yang berkhidmat di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada awal 1980-an, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Samy Vellu yang disifatkannya kehilangan besar buat masyarakat India.

    “Saya malah boleh memberi jaminan kepada rakan-rakan India saya yang lain, jika anda mahu melihat seseorang dalam Kabinet yang tidak berhenti memperjuangkan kepentingan masyarakat India, inilah pemimpinnya.

    “Waktu saya jadi menteri pelajaran, tiap-tiap tahun kita bertengkar. Samy akan keluar dengan senarai dia, berapa peratus pelajar India yang kita terima (memasuki universiti). Tapi saya berpuas hati dengan proses tawar-menawar itu,” katanya lapor FMT ketika menghadiri majlis perasmian Sambutan Hari Malaysia Persatuan Dyslexia Malaysia di Ampang.

    Beliau berkata, Samy Vellu menyedari keadaan masyarakat India dan beliau tidak hanya memfokuskan isu pendidikan, tetapi juga sentiasa bersuara mengenai hal ehwal serta kepentingan kaum itu.

    “Dia punya ‘argument’ atau ‘representation’ terhadap masyarakat India sangat tegas.

    “(Kita) akan merinduinya. Dengan pemimpin sedia ada, saya tidak nampak potensi itu dalam mereka. Mungkin pilihan raya akan datang akan muncul muka baharu.”

    Samy Vellu, 86, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, sekitar 8 pagi tadi.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Ismail tiba di rumah Samy Vellu di Jalan Ipoh kira-kira 12.30 tengah hari tadi untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.

    Beliau disambut anak Samy Vellu, Vell Paari dan Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

    Terdahulu, Ismail menerusi catatan di Facebook berkata, mendiang memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dan merupakan pejuang serta bapa penyatuan masyarakat India, selain menjadi mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya.

    “Banyak sumbangan yang ditaburkannya kepada negara dan masyarakat India seperti penubuhan Institusi Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti Aimst dan Kolej Tafe yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat itu di negara ini.”

    Sementara itu, ahli politik dari kedua-dua belah jurang turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Samy Vellu.

    Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan pemergian Samy Vellu, presiden MIC paling lama berkhidmat dari 1979 hingga 2010, sebagai “kehilangan besar kepada masyarakat dan negara”.

    “Jasa dan pengorbanan mendiang Samy Vellu sepanjang menjadi presiden MIC dan menteri akan sentiasa dikenang,” kata Wee dalam catatan Facebook.

    Samy Vellu ialah antara menteri yang paling lama berkhidmat, iaitu selama 29 tahun. Beliau dilantik sebagai menteri kerja raya dari 1983 hingga 1989 dan sekali lagi dari 1995 hingga 2008.

    Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran menyifatkan Samy Vellu sebagai ‘pejuang dalam banyak segi’.

    “Walaupun kami banyak tidak sefahaman, berada di pihak bertentangan, beliau seorang teman yang baik,” kata Naib Pengerusi DAP itu di Twitter.

    Seorang lagi Ahli Parlimen DAP, Kasthuri Patto berkata, mendiang bapanya, P Patto, ‘bertembung sengit’ dengan Samy Vellu di kerusi Sungai Siput dalam dua pilihan raya, di mana Patto kalah tipis pada kedua-duanya.

    “Apabila (Patto) meninggal dunia pada 1995, Samy Vellu memberi penghormatan terakhir kepadanya. Hari ini, saya memberi penghormatan. Bersemadi dengan tenang, Tuan,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan itu di Twitter.

    Samy Vellu, yang menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput dari 1974, disingkirkan oleh Dr. Michael Jeyakumar Devaraj daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada pilihan raya umum 2008.

    Jeyakumar, yang seterusnya mempertahankan kerusi itu pada PRU 2013, berkata Samy Vellu membawa pembangunan bermakna kepada Sungai Siput dari segi jalan raya dan projek perumahan kos rendah Taman Tun Sambanthan.

    “(Taman Tun Sambanthan) ialah kawasan perumahan yang agak besar dengan kira-kira 400 hingga 500 rumah yang dibangunkan pada 1980-an. Pada masa itu, ramai orang meninggalkan estet, dan (rumah-rumah) itu mampu milik bagi mereka.

    “Saya tidak bersetuju dengan banyak polisinya, tetapi beliau seorang pemidato yang baik, mempunyai personaliti yang kuat, dan gaya yang unik dalam melakukan sesuatu.”

    Bekas presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, Samy Vellu menjalani kehidupan ‘dengan sebaiknya dan penuh gemilang’ dan beliau ‘pergi dalam keadaan sangat dihormati dan dihargai’.

  • Bot bawa 22 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara  

    Bot bawa 22 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara  

    KAPAL Maritim (KM) Nyalau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam menahan sebuah bot nelayan asing Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 51.9 batu nautika barat daya Pulau Kendi, Pulau Pinang.

    Bot nelayan asing, KM Sumber Lestari yang dikendalikan oleh 22 kru termasuk tekong warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 56 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.50 petang dalam rondaan rutin operasi bersepadu OP Benteng Laut.

    Menurut Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed, bot nelayan asing itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

    Bot nelayan asing itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

    “Ketika diperiksa kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri  iaitu pasport dan ditahan serta dibawa ke Maritim Negeri Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, kes itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa suatu pas yang sah.

    Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut kepada pihak Maritim Malaysia.

    “Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya.

  • Kehilangan besar untuk negara – Muhyiddin

    Kehilangan besar untuk negara – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan kematian Tun S.Samy Vellu kehilangan besar kepada negara dan masyarakat India khususnya.
    Bekas Perdana Menter itu berkata, tiada sesiapa pun boleh menafikan jasa mediang yang tidak ada galang ganti terutama membangunkan masyarakat India di luar bandar.

    ‘’Saya merasa dukacita mendengar berita ini kerana saya secara peribadi mengenali mendiang dan pernah sama-sama berada dalam Kabinet.Malah mendiang merupakan Presiden MIC yang paling lama memegang jawatan tersebut iaitu selama 31 tahun dan  pernah berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri ,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhyiddin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang dan berharap mereka bersabar menghadapi saat mendukacitkan ini.

    Samy Vellu, 86, meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira 7 pagi tadi dan perkara itu disahkan bekas presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam.

    Mendian Samy Vellu ketika menjadi tetamu pada satu majlis yang dirasmikan oleh Muhyiddin.

    Semasa hayatnya, Samy Vellu pernah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dari 1979 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

    Sebagai antara menteri Kabinet yang paling lama berkhidmat iaitu kira-kira 30 tahun, mendiang pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran Persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 1978 hingga 2008.

    Mendiang mula menceburi bidang politik pada usia 23 tahun pada 1959 dengan menyertai MIC cawangan Batu Caves dan merupakan Presiden MIC paling lama memegang jawatan tersebut, iaitu lebih tiga dekad.

    Mendiang juga pernah dilantik sebagai Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan bagi Infrastruktur.

    Dalam bidang pendidikan, mendiang turut memberi sumbangan besar dengan mewujudkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe.

  • Jurujual didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap gadis bawah umur

    Jurujual didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap gadis bawah umur

    SEORANG jurujual telefon bimbit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap gadis bawah umur, minggu lalu.

    Tertuduh, Low Jen Fung, 18, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

    Mengikut pertuduhan, dia yang berasal dari Alor Gajah dekat Melaka, didakwa meraba mangsa berusia 16 tahun 11 bulan bagi maksud seksual di sebuah premis di Plaza Sungai Udang, dekat Melaka, pada 8 September lalu, pukul 3.04 pagi.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan, lapor Harian Metro.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala peguam Cassian Anthony mewakili tertuduh.

    Terdahulu, pendakwaan tidak menawarkan jaminan dan berhujah bahawa pertuduhan dihadapi tertuduh adalah serius kerana membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

    Namun, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan memandangkan tertuduh mempunyai hubungan istimewa (kekasih) dengan mangsa.

    Peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana tertuduh masih muda dan tinggal bersama ibu bapanya serta baru dua minggu bekerja.

    Katanya, bapa tertuduh bekerja sebagai juruelektrik dan pendapatannya tidak tetap.

    Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, Mohd. Sabri membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan dia atau keluarganya tidak boleh mengganggu atau menghubungi mangsa serta keluarga gadis itu atau jaminan dibatalkan.

    Tarikh 12 Oktober depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan perubatan mangsa.

  • Pas masih bincang dengan UMNO hala tuju MN

    Pas masih bincang dengan UMNO hala tuju MN

    RUNDINGAN antara Pas dan UMNO berhubung kedudukan kedua-dua parti itu di dalam Muafakat Nasional (MN) masih berlangsung selagi Parlimen tidak dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu juga masih mempunyai banyak masa sebelum membuat sebarang keputusan berhubung isu kerjasama di bawah MN tersebut.

    Malah ujar beliau, perbincangan juga boleh berlangsung pada bila-bila masa serta tidak bergantung kepada tarikh atau tempoh pembubaran.

    “Kita masih ada banyak masa dan saya rasa pembubaran Parlimen belum tentu pada tahun ini, jadi masih ada masa yang panjang.

    “Pas juga sedia untuk berbincang dengan mana-mana parti termasuk parti pembangkang.

    “Isu ini boleh dibincangkan di semua peringkat tetapi saya bukan ‘Top 5’ dalam parti, namun saya boleh sahkan ada rundingan dan perbincangan yang berlangsung melibatkan pimpinan negeri dan akar umbi ,” katanya kepada pemberita di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Beliau mengulas berhubung usaha Pas untuk menyuburkan kembali MN menjelang PRU-15 selepas UMNO dilihat tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjasama tersebut.

    Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen bukan hanya terletak di tangan Perdana Menteri semata-mata, sebaliknya melalui persetujuan Kabinet.

    “PM perlu membentangkan perkara ini kepada Kabinet bagi menentukan waktu terbaik untuk mengusulkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen.

    “Setakat ini, tidak ada lagi memorandum Jemaah Menteri berhubung pembubaran Parlimen,” katanya.

  • Lelaki ditahan berkaitan hantaran terhadap pegawai kanan pejabat PM

    Lelaki ditahan berkaitan hantaran terhadap pegawai kanan pejabat PM

    SEORANG lelaki ditahan polis hari ini selepas dipercayai melakukan hantaran terhadap pegawai kanan di pejabat Perdana Menteri yang tular dalam Telegram, baru-baru ini.

    Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di rumahnya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pukul 10 malam tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk siasatan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

    Beliau berkata, lelaki yang bekerja sendiri itu direman selama tiga hari hingga 17 September ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

  • Suami isteri antara 6 individu ditahan bersama ganja bernilai RM20,000

    Suami isteri antara 6 individu ditahan bersama ganja bernilai RM20,000

    SEPASANG suami isteri antara enam individu warga tempatan yang ditahan polis dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah yang dikesan aktif di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang sejak awal tahun ini.

    Turut dirampas dalam tiga serbuan berbeza itu adalah ketulan mampat ganja seberat 7,640.45 gram yang dianggarkan bernilai RM19,346.12.

    Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, tiga daripada suspek berkenaan yang bekerja sebagai mekanik ditangkap dalam serbuan pertama di sebuah bengkel kereta di Permatang Rawa, pukul 8.30 malam pada Isnin lalu.

    Katanya, dalam serbuan itu polis menjumpai sembilan ketulan mampat ganja seberat kira-kira 6,350 gram bernilai RM15,875 selain merampas selaras senapang buatan sendiri bersama 19 butir peluru.

    Tambah beliau, serbuan kedua pula dilakukan di tepi jalan berhampiran sebuah pangsapuri di Permatang Pauh kira-kira pukul 9.30 malam pada hari sama.

    “Dalam serbuan itu, seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci ditahan manakala satu ketulan mampat daun kering disyaki berisi ganja dengan anggaran berat 244.77 gram bernilai RM611.92 dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di IPD SPT, Bukit Mertajam hari ini.

    Cheng San berkata, serbuan ketiga dilakukan pukul 12.30 malam di Kubang Semang yang mana sepasang suami isteri ditahan bersama dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan mampat ganja seberat 1,045.68 gram bernilai RM2,614.20.

    Katanya, turut dirampas daripada pasangan itu adalah satu plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah heroin seberat 7.00 gram bernilai RM245.

    Ujar beliau, selain dadah polis turut menyita dua buah kereta dan tiga motosikal pelbagai jenama serta wang tunai berjumlah RM11,400 sekali gus menjadikan keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM96,546.12.

    “Kesemua suspek yang berusia antara 31 hingga 56 tahun itu telah direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

    Sementara itu Cheng San memberitahu, secara keseluruhan pihaknya berjaya membuat 2,528 tangkapan berkaitan kes jensyah dadah di daerah SPT sepanjang tahun ini setakat semalam.

  • Perselisihan sindiket dadah punca ejen kosmetik diculik

    Perselisihan sindiket dadah punca ejen kosmetik diculik

    PERSELISIHAN antara ahli sindiket dadah dipercayai punca utama seorang wanita yang juga ejen jualan kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Tumpat petang kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata siasatan awal pihaknya mendapati suami Rosnazirah Mohd Naim terbabit dalam aktiviti sindiket dadah.

    Susulan itu katanya, polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun semalam berkait kes penyeludupan dadah.

    “Kita sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa berusia 36 tahun dan usaha ke arah itu giat dilakukan. Bagi kes ini, polis percaya tiada pembabitan pihak lain kerana kita percaya kejadian ini berlaku akibat perselisihan di kalangan ahli sindiket.

    “Kita juga sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa dan usaha ke arah itu giat dilakukan.

    “Suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi lelaki mempunyai tujuh rekod jenayah. Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini, lapor Berita Harian.

    Dalam kejadian jam 5.10 petang kelmarin, Rosnazirah, 36, ejen jualan kosmetik dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini.

    Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam kelmarin di Kampung Kuala Jambu.

    Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, pihaknya percaya mangsa mengetahui aktiviti yang dilakukan suaminya selain mengenali suspek yang menculiknya petang kelmarin.

    “Kita sudah mengadakan perbincangan dan satu operasi khas dilancarkan bagi menyelamatkan wanita berkenaan. Kita percaya wanita berkenaan dalam keadaan selamat.

    “Pihak berkuasa Thailand juga memberi maklum balas positif bagi mengesan mangsa yang dipercayai berada di negara berkenaan,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan penduduk kampung supaya tidak bimbang dan takut dengan apa yang berlaku kerana insiden seperti itu bukan berlaku kepada semua orang.

    “Ini kerana apa yang berlaku di antara ahli sindiket dan mereka mengenali antara satu sama lain.

    “Sehingga kini, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek dan siasatan terhadap nombor kenderaan Toyota Vios yang digunakan suspek adalah nombor pendaftaran palsu,” katanya.