TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan kematian Tun S.Samy Vellu kehilangan besar kepada negara dan masyarakat India khususnya.
Bekas Perdana Menter itu berkata, tiada sesiapa pun boleh menafikan jasa mediang yang tidak ada galang ganti terutama membangunkan masyarakat India di luar bandar.
‘’Saya merasa dukacita mendengar berita ini kerana saya secara peribadi mengenali mendiang dan pernah sama-sama berada dalam Kabinet.Malah mendiang merupakan Presiden MIC yang paling lama memegang jawatan tersebut iaitu selama 31 tahun dan pernah berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri ,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang dan berharap mereka bersabar menghadapi saat mendukacitkan ini.
Samy Vellu, 86, meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira 7 pagi tadi dan perkara itu disahkan bekas presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam.

Semasa hayatnya, Samy Vellu pernah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dari 1979 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.
Sebagai antara menteri Kabinet yang paling lama berkhidmat iaitu kira-kira 30 tahun, mendiang pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran Persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 1978 hingga 2008.
Mendiang mula menceburi bidang politik pada usia 23 tahun pada 1959 dengan menyertai MIC cawangan Batu Caves dan merupakan Presiden MIC paling lama memegang jawatan tersebut, iaitu lebih tiga dekad.
Mendiang juga pernah dilantik sebagai Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan bagi Infrastruktur.
Dalam bidang pendidikan, mendiang turut memberi sumbangan besar dengan mewujudkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe.