Author: Wartawan WartaRakyat

  • Cuti tanpa rekod penjawat awam laksana kerja amal 5 hari setahun

    Cuti tanpa rekod penjawat awam laksana kerja amal 5 hari setahun

    PENJAWAT awam diberi cuti maksimum lima hari setahun untuk melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat dengan pertubuhan diluluskan.

    Free Malaysia Today melaporkan, menerusi pekeliling dikeluarkan pada Selasa, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, kemudahan cuti tanpa rekod itu bagi menggalakkan penjawat awam melaksanakan “kegiatan atau kerja-kerja kemasyarakatan dalam negara”.

    Ketika ini, kategori cuti tanpa rekod untuk kakitangan kerajaan adalah termasuk tiga hari untuk kematian ahli keluarga termasuk ibu bapa mertua, 90 hari cuti bersalin, tujuh hari untuk bapa apabila isteri bersalin dan 14 hari untuk guru.

    Selain itu, mereka layak mendapat cuti tahunan antara 20 dan 30 hari, bergantung kepada kategori pekerjaan dan tahun perkhidmatan mereka.

    Shafiq berkata mereka yang layak mesti menyertai aktiviti khidmat masyarakat secara sukarela yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

    “Pertubuhan yang diluluskan bermaksud pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 atau pertubuhan yang mempunyai akta penubuhan sendiri/ undang-undang khusus yang lain atau yayasan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 atau Akta Syarikat 2016.

    “Kemudahan ini tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am. Sekiranya aktiviti itu kurang daripada empat jam, pegawai hendaklah menggunakan Peraturan Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja di Bawah Perintah Am,” katanya.

    Beliau berkata permohonan untuk cuti khidmat masyarakat perlu disokong dengan surat daripada pertubuhan berkenaan, dengan memberi butiran aktiviti terbabit, dan diluluskan oleh ketua jabatan.

    “Kemudahan cuti tanpa rekod ini diperuntukkan kepada pegawai perkhidmatan awam yang dilantik secara tetap, sementara dan kontrak,” katanya.

  • 40 kes rasuah Zahid Hamidi diketahui esok

    40 kes rasuah Zahid Hamidi diketahui esok

    NASIB Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sama ada dibebaskan atau diperintah bela diri atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan diketahui esok.

    Keputusan akhir kes pendakwaan itu akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Yazid Mustafa, selepas pasukan pendakwaan dan pembelaan selesai menyampaikan hujahan lisan selama empat hari bermula 1 September lalu.

    Sinar Harian melaporkan, dalam kes itu, pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani.

    Pasukan pembelaan yang mewakili Ahmad Zahid pula dibarisi peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd. Noh.

    Sebelum membuat keputusan, mahkamah akan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, menyemak 107 eksibit kes dan mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

    Jika mahkamah mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie, Presiden UMNO ini akan diperintah untuk membela diri.

    Namun, jika keadaan sebaliknya berlaku, Ahli Parlimen Bagan Datuk ini akan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

    Perbicaraan kes ini berlangsung selama 29 hari bermula 24 Mei 2021 manakala prosiding selesai pada 11 Ogos lalu.

    Susulan itu, pihak pendakwaan menutup kes ini selepas memanggil 18 saksi, antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas Pengarah Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

    Berbeza dengan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, prosiding rasuah berhubung Sistem VLN membabitkan Ahmad Zahid kurang diselitkan dengan plot-plot kontroversi.

    Jika ada sekalipun, prosiding hanya tertangguh disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP), saksi dijangkiti Covid-19 dan Ahmad Zahid perlu menerima rawatan sakit leher serta belakang di luar negara.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi kes ini, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

    Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Peruntukan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Bagi semua pertuduhan, Ahmad Zahid dibebaskan atas jamin sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid berdepan satu pertuduhan iaitu memperoleh untuk dirinya sebanyak Euro 15,000.

    Namun pada 16 Jun lalu, pendakwaan meminda pertuduhan ketiga kes itu daripada Euro 15,000 kepada 15,000 Swiss Franc.

    Ini menyebabkan pertuduhan itu dibaca semula dan Ahmad Zahid mengulangi pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Dalam prosiding terdahulu, antara yang menarik perhatian ialah kenyataan Siong Sun, bahawa catatan ‘monster, ‘young boy’ dan ‘yb’ dalam lejar syarikat merujuk kepada Ahmad Zahid.

    Siong Sun berkata, nama kod itu dibuat kerana bimbang jika lejar itu terdedah kepada orang lain.

    Ketika membaca pernyataan saksinya, Siong Sun berkata, rekod semua pembayaran yang dibuat kepada Ahmad Zahid sejak 2014 hingga 2018 telah disimpan untuk rekod peribadinya kerana jumlah wang tunai yang terlibat adalah besar.

    Sementara Vui Khiun pula menyatakan, bahawa ‘KJ’ dan ‘bomoh’ adalah antara perkataan yang direkodkan dalam lejar UKSB yang dibentangkan dalam perbicaraan rasuah itu.

    Bagaimanapun, pasukan pembelaan mendakwa pertuduhan terhadap Ahmad Zahid adalah bersifat terpilih apabila kes rasuah berkaitan kontrak syarikat UKSB di Mahkamah Tinggi hanyalah melibatkan sumbangan politik.

    Hisyam yang mengetuai pasukan pembelaan mempertikaikan, jika sumbangan politik menjadi asas dalam pertuduhan, nama-nama yang disebut oleh saksi dalam kes ini juga, perlu disiasat.

  • ASEAN bincang isu penipuan pekerjaan luar negara – KDN

    ASEAN bincang isu penipuan pekerjaan luar negara – KDN

    ISU rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara angkara sindiket penipuan pekerjaan luar negara dibangkitkan dalam Mesyuarat Plenari Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) yang ke-16, semalam.

    Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memberitahu, mesyuarat AMMTC tahun ini diadakan secara sesi sidang dalam talian dan disertai 10 negara ASEAN, Negara Rakan Dialog ASEAN serta Sekretariat ASEAN.

    Mesyuarat berkenaa dianjurkan kerajaan Kemboja selaku Pengerusi ASEAN tahun 2022, lapor Astro Awani.

    “Ketua Delegasi Kerajaan Kemboja, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negerinya, Samdech Kralahom Sar Kheng, memberikan maklum balas positif dengan menyatakan komitmen untuk menyelamatkan mangsa serta bersama-sama dengan negara-negara yang terlibat bagi membanteras sindiket penipuan pekerjaan yang beroperasi di Kemboja.

    “Melalui platform yang sama, KDN turut memaklumkan tentang penubuhan pasukan petugas khas di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang giat menjalankan tindakan bagi menangani isu sindiket penipuan pekerjaan luar negara serta turut bekerjasama dengan INTERPOL, ASEANAPOL dan agensi penguatkuasaan lain,” katanya dalam satu kenyataan, pada hari ini.

    Semalam, Kabinet menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berikutan sindiket penipuan kerja.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, jawatankuasa khas itu akan diketuai Kementerian Luar Negeri dan disertai pelbagai agensi berkaitan.

    Sementara itu, KDN turut bersama-sama menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan komitmen kerajaan membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara disebabkan oleh sindiket penipuan pekerjaan luar negara.

    Mesyuarat AMMTC itu disertai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang mewakili Menteri Dalam Negeri; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan pegawai-pegawai kanan KDN.

    Sehingga Isnin lalu, seramai 143 orang mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 301 kes yang dilaporkan.

  • [VIDEO]Insiden kejar pengadil cemari aksi separuh akhir bola sepak Sukma

    [VIDEO]Insiden kejar pengadil cemari aksi separuh akhir bola sepak Sukma

    TIDAK berpuas hati dengan mutu pengadilan perlawanan dipercayai menjadi punca insiden kekecohan semasa aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) antara Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan (WP) di Stadium Mini Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, malam tadi.

    Harian Metro melaporkan, kekecohan tercetus pada penghujung perlawanan selepas pengadil melayangkan kad merah kepada pemain Wilayah Persekutuan pada minit ke-88.

    Berikutan itu, seorang pegawai pasukan Wilayah Persekutuan dirakam masuk ke padang dan mengejar pengadil perlawanan.

    Menerusi rakaman yang tular di media sosial, dia dilihat seolah mahu menumbuk kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

    Pengadil itu kemudiannya dilihat terpaksa berlari menyelamatkan daripada tengah padang ke tempat duduk simpanan pasukan Pulau Pinang.

    Pasukan keselamatan terpaksa campur tangan bagi menenangkan keadaan itu, di mana video insiden berkenaan ketika ini sedang tular di media sosial.

    Tindakan pegawai Wilayah Persekutuan itu pastinya mengundang padah dan boleh dikenakan hukuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta penganjur Sukma edisi ini.

    Sementara itu, aksi perlawanan terbabit berkesudahan dengan Pulau Pinang mara ke pentas final selepas menang 1-0 ke atas Wilayah Persekutuan.

    Gol Mohd Danial Irfan Mohd Nadzri menerusi sepakan penalti minit ke-37 untuk gol tunggal perlawanan sudah cukup buat Pulau Pinang yang bakal berdepan Terengganu untuk perebutan pingat emas pada Jumaat ini.

  • ‘Ustaz Nisam’ didakwa pindah wang aktiviti haram

    ‘Ustaz Nisam’ didakwa pindah wang aktiviti haram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengarah syarikat agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan RM295,550 pada 2019.

    Tertuduh, Mohd. Nizam Noh, 49, mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsiah Ujang.

    Bagi dua pertuduhan, tertuduh yang juga pengarah syarikat Massnizam Group Travel & Tours Sdn Bhd didakwa memindahkan wang berjumlah RM234,100 hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat ke dalam akaun simpanan Maybank Islamic Berhad milik dirinya sendiri.

    Pertuduhan ketiga pula, tertuduh yang juga pengarah syarikat Tetuan Massnizam didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan wang berjumlah RM17,450 daripada akaun semasa Bank Islam Malaysia Berhad milik syarikat itu ke dalam akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik Massnizam Group Travel & Tours Sdn Bhd.

    Sementara pertuduhan terakhir, tertuduh yang mempunyai dua isteri dan tujuh anak itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM44,000 hasil aktiviti haram daripada akaun syarikat agensi pelancongan itu ke akaun simpanan Maybank Islamic Berhad milik isteri keduanya, Massuzah Zakaria, 47.

    Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Islamic Berhad Cawangan Sungai Rengit, Pengerang dan Cawangan Kota Tinggi serta Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Kota Tinggi di sini antara 17 Mac 2019 dan 13 November 2019.

    Tertuduh didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta sama.

    Dia berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon satu tarikh lain bagi menyediakan fakta kes sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

    Beliau turut mencadangkan wang jaminan RM50,000 terhadap tertuduh memandangkan kesalahan dilakukan lelaki itu adalah kesalahan berat.

    Bagaimanapun, Mohd. Nizam yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dan memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan wang jaminan yang tinggi, malah tidak mampu melantik peguam.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 28 September ini untuk fakta dan hukuman.

    Difahamkan, tertuduh yang juga digelar ‘Ustaz Nizam’ ditahan di Terengganu pada Rabu sebelum dibawa ke Kota Tinggi untuk menghadapi pendakwaan yang pertama membabitkan empat pertuduhan.

    Tertuduh dikatakan bakal berdepan pendakwaan di beberapa buah negeri memandangkan terdapat 104 laporan polis dibuat terhadapnya di seluruh negara.

    Laporan polis itu difahamkan membabitkan 104 mangsa penipuan pakej umrah di Johor, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Selangor dengan nilai kerugian lebih RM3.2 juta.

  • Tragedi kuari: Waris dipanggil jalani ujian DNA

    Tragedi kuari: Waris dipanggil jalani ujian DNA

    AHLI keluarga kepada dua mangsa yang tertimbus dalam tragedi runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Mac lalu akan dipanggil menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan identiti.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, proses pengesahan berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat sebaik semua cebisan tulang dan rangka kedua-dua mangsa dibawa keluar dari lokasi runtuhan.

    “Setakat ini waris belum hadir untuk berikan sampel, tetapi kita akan panggil mereka sebaik proses membawa keluar semua rangka selesai,” katanya kepada Sinar Harian.

    Mohd Yusri berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di lokasi pada Selasa dan Rabu telah menemukan dua cebisan rangka manusia dipercayai milik kedua-dua mangsa.

    Menurutnya, semua hasil penemuan itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan ujian DNA.

    “Operasi pada Rabu telah berjaya menemui cebisan tulang manusia, stoking dan kasut dipercayai milik mangsa kedua.

    “Kesemua itu ditemukan dari serpihan jentera yang masih tertimbus di bawah timbunan batu,” katanya.

  • Petani didenda RM3,000 cuba rasuah polis

    Petani didenda RM3,000 cuba rasuah polis

    TINDAKAN seorang petani cuba memberi suapan RM100 kepada anggota polis, April lalu, membawa padah apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

    Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman itu ke atas Fooh Poh Yaw, 37, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Kantonis.

    Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman sebulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu secara rasuah menawarkan suatu suapan iaitu wang tunai RM100 kepada Sarjan Roslan Khan Md. Sharif di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Chamberlein Hulu, pukul 1 pagi pada 29 April 2022.

    Suapan itu sebagai dorongan kepada anggota polis berkenaan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas tertuduh yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45 C (6) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

    Di bawah kesalahan itu, tertuduh tanpa alasan yang munasabah telah gagal mengadakan spesimen apabila dikehendaki berbuat demikian.

    Pertuduhan yang dilakukan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM100 bagi kes ini dilucuthak kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009.

  • Ganjaran tunai RM150,000 jika temui Chong Loong hidup

    Ganjaran tunai RM150,000 jika temui Chong Loong hidup

    AHLI keluarga kepada lelaki yang hilang ketika melakukan pandu uji jet ski di perairan berdekatan Pulau Talang-Talang, Sematan dekat Kuching menawarkan ganjaran sehingga RM150,000 kepada mereka yang berjaya menemukan mangsa.

    Memetik laporan Harian Metro, berdasarkan satu poster yang tular semalam, keluarga Lee Chong Loong menawarkan ganjaran RM30,000 dan jika mangsa ditemukan masih hidup pula ganjaran RM150,000 akan diberikan.

    “Jika anda mempunyai sebarang maklumat, sila hubungi 019-8553333 atau 016-8872000. Kami merayu kepada orang awam untuk membantu mencari Lee yang dilaporkan hilang semasa menaiki jet ski dari Pulau Talang Talang ke jeti Santubong.

    “Pertolongan dalam pencarian Lee amat diperlukan secepat mungkin,” kata keluarga mangsa dalam poster itu.

    Chong Loong, 46, kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang dan seluar panjang berwarna hitam dilaporkan hilang pada sekitar pukul 4 petang Jumaat lalu.

    Mangsa juga dikatakan mempunyai tatu SED di badannya.

    Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Pegawai Bomba Kanan 1, Jaree Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima semalam masih gagal mengesan mangsa.

    Menurutnya, anggota SAR dari BBP Lundu sudah melakukan pencarian menggunakan sebuah bot penyelamat di sekitar Pulau Talang-Talang dan seterusnya di Muara Sungai Lundu.

    Operasi juga disertai anggota SAR dari BBP Petra Jaya yang menjalankan pencarian menggunakan dua buah bot penyelamat di persisiran pantai dari Tanjung Serpan sehingga kawasan Pulau Talang-Talang selain sekitar Pantai Trombol dan Muara Sungai Buntal.

    Namun mangsa masih belum dijumpai dan operasi SAR disambung hari ini.

  • Laporan perubatan Najib sudah lengkap, sedia serah kepada mahkamah, kata KP kesihatan

    Laporan perubatan Najib sudah lengkap, sedia serah kepada mahkamah, kata KP kesihatan

    KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata siasatan klinikal, rawatan dan pemantauan terhadap Datuk Seri Najib Razak telah selesai dan laporan perubatan akan dikemukakan kepada mahkamah sekiranya perlu.

    Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) bertanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

    “Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit hanya boleh dikemukakan kepada mahkamah (sekiranya diarahkan mahkamah),” katanya dalam Facebook.

    Jabatan Penjara semalam memaklumkan bekas Perdana Menteri itu dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjut sejak Isnin lalu berdasarkan rujukan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Jelasnya, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik saja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

    Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli membangkitkan isu berkait lokasi Najib ketika ini yang didakwanya seakan mendapat akses ke dunia luar.

    Sejak beberapa hari lalu tular dakwaan layanan istimewa diberikan terhadap Najib – yang dirujuk dengan nama kod merpati – di media sosial.

    Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya berkait kes dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd., lapor FMT.

  • Lima graduan wanita UiTM kemalangan dalam perjalanan ke majlis konvokesyen

    Lima graduan wanita UiTM kemalangan dalam perjalanan ke majlis konvokesyen

    LIMA graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dalam perjalanan menghadiri majlis konvokesyen terlibat kemalangan di Kilometer 396 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Ulu Bernam, awal pagi ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.35 pagi dan mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Noor Azam Khamis berkata, kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang dinaiki lima graduan wanita berusia 21 tahun, telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

    “Akibat kemalangan tersebut seorang daripada mereka tersepit di bahagian hadapan dan mengalami kecederaan parah.

    “Empat lagi rakan mangsa pula mengalami kecederaaan ringan dan kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Noor Azam berkata, kesemua mangsa dipercayai akan menghadiri Majlis Konvokesyen di UiTM Shah Alam.

    “Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani.