TIDAK berpuas hati dengan mutu pengadilan perlawanan dipercayai menjadi punca insiden kekecohan semasa aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) antara Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan (WP) di Stadium Mini Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, malam tadi.

Harian Metro melaporkan, kekecohan tercetus pada penghujung perlawanan selepas pengadil melayangkan kad merah kepada pemain Wilayah Persekutuan pada minit ke-88.

Berikutan itu, seorang pegawai pasukan Wilayah Persekutuan dirakam masuk ke padang dan mengejar pengadil perlawanan.

Menerusi rakaman yang tular di media sosial, dia dilihat seolah mahu menumbuk kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Pengadil itu kemudiannya dilihat terpaksa berlari menyelamatkan daripada tengah padang ke tempat duduk simpanan pasukan Pulau Pinang.

Pasukan keselamatan terpaksa campur tangan bagi menenangkan keadaan itu, di mana video insiden berkenaan ketika ini sedang tular di media sosial.

Tindakan pegawai Wilayah Persekutuan itu pastinya mengundang padah dan boleh dikenakan hukuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta penganjur Sukma edisi ini.

Sementara itu, aksi perlawanan terbabit berkesudahan dengan Pulau Pinang mara ke pentas final selepas menang 1-0 ke atas Wilayah Persekutuan.

Gol Mohd Danial Irfan Mohd Nadzri menerusi sepakan penalti minit ke-37 untuk gol tunggal perlawanan sudah cukup buat Pulau Pinang yang bakal berdepan Terengganu untuk perebutan pingat emas pada Jumaat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here