Author: Wartawan WartaRakyat

  • Inkues ‘Baby Syifaa’:14 saksi dipanggil hari pertama

    Inkues ‘Baby Syifaa’:14 saksi dipanggil hari pertama

    PROSIDING hari pertama inkues punca kematian bayi 15 bulan, Nour Rania Asyifaa Yuseri di sebuah pusat jagaan di Seremban pada Februari lalu bermula dengan 14 saksi di Mahkamah Koroner Seremban hari ini.

    Prosiding di hadapan Koroner Datin Surita Budin dimulakan dengan memanggil saksi pertama iaitu penerima laporan pertama kes kematian bayi itu iaitu Lans Koperal Siti Khairunnisa Muzlan.

    Kemudian anggota Pondok Polis Sendayan, Lans Koperal Muhammad Faizul Abd Rahman seterusnya Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sendayan, Dr. Nur Aishah Abdul Latiff dan Dr. Muhammad Afiq Mohd. Zain selaku saksi keempat.

    Barisan pendakwaan diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Badius Zaman Ahmad manakala peguam, Hafiz Norkhan dan Gaithri Thomas mewakili keluarga bayi itu.

    Norliana Ali Othman bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak pengasuh dalam kes tersebut.

    Ketika sesi soal jawab oleh Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly, saksi ketiga, Dr. Nur Aishah memberitahu mahkamah bahawa Nour Rania Asyifaa dibawa masuk oleh seorang wanita di Klinik Kesihatan Sendayan pada 22 Februari lalu.

    “Ketika kejadian 3.45 petang, saya melihat mangsa dibawa oleh seorang wanita bertudung dan dimaklumkan wanita itu adalah pengasuh yang kemudian dibawa ke bilik rawatan untuk diberikan bantuan kecemasan awal,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau turut memperincikan rawatan yang diberikan kepada bayi tersebut dibantu oleh beberapa pegawai dan pembantu perubatan lain sehingga 4.15 petang, namun tiada respon positif terhadap semua prosedur yang dilakukan.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang oleh Dr. Muhammad Afiq yang merupakan pegawai perubatan dari Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

    Dr. Nur Aishah turut memaklumkan tidak tahu punca kematian mangsa, tetapi hanya dimaklumkan oleh pegawai perubatan lain bahawa bayi itu terjerut buaian.

    Prosiding bersambung pada 10 November depan.

    Media sebelum ini melaporkan Nour Rania Asyifaa atau ‘Baby Syifaa’ ditemui tidak sedarkan diri, selepas lehernya dipercayai tersangkut pada kain buaian di pusat asuhan itu pada kira-kira 3 petang.

    Kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuhnya.

  • Aktres Hong Kong dakwa ditahan Imigresen kerana terlalu cantik

    Aktres Hong Kong dakwa ditahan Imigresen kerana terlalu cantik

    NAMPAKNYA terlalu cantik juga menjadi satu jenayah. Aktres Hong Kong, Gillian Chung mendakwa dia berdepan detik mencemaskan apabila ditahan dan disoal siasat pegawai Imigresen di sebuah lapangan terbang di Jerman.

    Tambah mengejutkan bagi pelakon berusia 41 tahun itu, dia dimaklumkan penahanannya adalah kerana dia terlalu muda dan cantik.

    Dia mendedahkan pengalamannya itu dalam program Promise for You setelah ditanya mengenai pengalaman bercuti yang sukar dilupakan.

    Sebagaimana lapor portal hiburan Singapura, Gillian menyatakan dia sedang dalam perjalanan ke Belgium untuk menghadiri majlis perkahwinan temannya.

    Namun dakwanya, dia dan rakannya ditahan selepas pesawat dinaiki transit di Jerman.

    “Hanya disebabkan saya dan seorang lagi teman perempuan masih muda dan cantik, mereka sangka kami terbabit dengan perkara yang salah di sisi undang-undang,” katanya.

    Bagaimanapun, Gillian tidak menyatakan siapa teman yang berada dengannya ketika kejadian. Dia juga tidak memberitahu bila perkara itu berlaku, lapor agensi.

    Gillian yang turut menceburi bidang muzik sebagai penyanyi Canto Pop memberitahu, dia cuba menjelaskan kepada pegawai Imigresen terbabit bahawa dirinya selebriti.

    Namun, dakwa Gillian, penjelasan dan rayuannya tidak dilayan. Sebaliknya, pegawai Imigresen terbabit terus menyoal siasat dirinya.

    “Ketika itu, saya mengejar pesawat seterusnya, tiada makanan dan tidak ditempatkan dalam bilik.

    “Sebaliknya, saya ditahan… Saya memang tidak bernasib baik,” katanya.

  • Wanita didakwa atas 166 tuduhan tipu ‘kekasih’ lebih RM400,000

    Wanita didakwa atas 166 tuduhan tipu ‘kekasih’ lebih RM400,000

    SEORANG peniaga tudung didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap 166 pertuduhan menipu ‘kekasih’ yang dikenali dalam Facebook dengan nilai keseluruhan RM483,570.

    Natasha Adini Abdullah, 27, mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang didakwa berlaku antara 3 Julai 2018 hingga 6 Ogos 2020 itu dan mohon dibicara selepas kertas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa selama tiga jam di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 32 tahun melalui pinjaman wang antara RM300 hingga RM10,000 selepas menyamar sebagai ‘Nur Farah Alisya’, memetik laporan BH Online.

    Dia dengan curangnya mendorong lelaki itu yang berniaga barang basah secara dalam talian, membuat transaksi pindahan wang dengan jumlah keseluruhan RM483,570 ke dalam akaun bank atas nama Natasha Adini Abdullah.

    Kesalahan itu dilakukan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Kota Bharu pada tarikh dinyatakan.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan RM285,000 untuk semua pertuduhan.

    Natasha Adini merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan wang jaminan kepadanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,700 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta melantik peguam dan serahan dokumen.

  • Pemuda UMNO cadang adakan PRU-15 sebelum musim tengkujuh

    Pemuda UMNO cadang adakan PRU-15 sebelum musim tengkujuh

    KETUA Pemuda UMNO, Datuk Asyaraf Wajdi Dusuki bersetuju supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tidak diadakan semasa musim tengkujuh tahun ini.

    Sebaliknya, beliau dalam laporan Malaysiakini mencadangkan supaya Dewan Rakyat dibubarkan awal Oktober bagi membolehkan PRU15 diadakan pada awal November iaitu sebelum ramalan hujan lebat yang dibuat oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

    “Saya juga bersetuju bahawa PRU wajar ditangguhkan jika banjir benar-benar berlaku.

    “Persoalannya bolehkah PRU diadakan sebelum musim banjir?” soalnya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

    Asyraf dalam laporan itu seterusnya mencadangkan Parlimen dibubar pada awal Oktober terutamanya pada 7 sehingga 10 Oktober ini, iaitu tarikh Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan.

    “Umpamanya jika dibubar pada awal Oktober, maka PRU-15 dapat dan sempat dibuat pada awal November, iaitu dua hingga tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat,” katanya.

    Menurut Asraf Wajdi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mampu membuat persiapan yang sewajarnya meskipun mereka hanya mempunyai masa selama empat minggu.

    Sebagai dalil, beliau memberikan contoh semasa PRU14 pada tahun 2018, yang menyaksikan SPR mampu dan boleh menganjurkan pilihan raya dalam masa sebulan.

    “Rekod PRU14 ialah, Parlimen dibubar pada 7 April 2018, dan SPR buat PRU pada 8 Mei 2018 (dalam masa kurang empat minggu).

    “Makanya, berdasarkan kepada rekod kerja SPR, PRU yang lepas dan mengambil kira ramalan banjir JMM yang menjadi nas dan dalil utama masa kini, membuktikan kita masih sempat dan dapat mengadakan PRU sebelum musim banjir tahun ini jika dewan dibubar awal Oktober,” katanya.

    Tarikh PRU-15 menjadi topik hangat yang sering dikemukakan sejak kebelakangan ini.

    Antara yang paling lantang dan konsisten mendesak supaya PRU15 segera diadakan ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang baru-baru ini berkata, selaku pengerusi BN beliau sanggup “meredah banjir untuk berkempen.”

    Pengkritik, bagaimanapun, menyifatkan desakan Zahid sebagai “langkah terdesak” untuk menyelamatkan dirinya daripada pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan rasuah, yang dia sedang dibicarakan.

    Mandat kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berakhir selepas pada pertengahan tahun depan.

  • Lelaki maut dihempap ‘bucket’ lori

    Lelaki maut dihempap ‘bucket’ lori

    RUTIN harian seorang lelaki memeriksa lorinya sebelum bekerja berakhir tragedi apabila dia meninggal dunia akibat dihempap ‘bucket’ lori 10 tan di sebuah rumah di Jalan Penrissen, Padawan, Kuching, hari ini.

    Mangsa, Chin Hung Joon, 38 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian belakang.

    Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada abang mangsa pada 7.21 pagi.

    Katanya, abang mangsa memaklumkan adiknya tersepit di bahagian ‘bucket’ lori dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah kerana tiada sebarang unsur kesan pergelutan dilihat di lokasi.

    “Menurut isteri mangsa, mangsa akan memeriksa lori berkenaan setiap hari sebelum digunakan untuk bekerja,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Abang Zainal berkata, berdasarkan keterangan adik mangsa pula, dia dipercayai tersentuh kabel hidraulik semasa membuat pemeriksaan menyebabkan ‘bucket’ lori itu turun dan menghempapnya.

    Katanya, ‘chock’ keselamatan lori berkenaan juga tidak dipasang ketika mangsa membuat pemeriksaan.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Dua lelaki upahan ah long siber didenda RM24,600

    Dua lelaki upahan ah long siber didenda RM24,600

    Oleh BADLISHAH MAT

    MAHKAMAH Majistret Alor Setar menjatuhkan hukuman denda RM12,300 setiap seorang terhadap dua lelaki yang mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan perbuatan khianat dan menakutkan secara jenayah, kira-kira dua minggu lalu.

    Tertuduh, Mohd. Nain Ismail, 38, dan Asmadi Abu Hassan, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor selepas mereka didakwa secara bersama melakukan khianat dengan cara menyimbah cat ke rumah seorang individu hingga menyebabkan pemilik kediaman berkenaan kerugian RM500.

    Kedua-dua individu itu turut didakwa secara bersama terhadap kesalahan menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia 50 tahun dengan cara menampal notis tertera amaran supaya membayar hutang.

    Kedua-dua perbuatan terbabit dilakukan mereka di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik, Jalan Perak di Alor Setar antara pukul 2.38 petang hingga 2.39 petang, 10 September lalu.

    Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Ruslan Usman, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), H. A Chua.

    Siti Norhidayah turut memerintahkan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berjumlah RM3,000 yang dikenakan bagi setiap tertuduh yang menghadapi dua pertuduhan terbabit.

    Sementara itu, di kamar Mahkamah Majistret berasingan, Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhkan hukuman denda RM6,300 setiap seorang terhadap Mohd. Nain dan Asmadi yang mengaku bersalah bagi dua lagi pertuduhan.

    Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama melakukan khianat dengan cara menyimbah cat di sebuah rumah di Kampung Haji Burhan, Jalan Langgar di Alor Setar hingga menyebabkan pemilik rumah kerugian RM3,000 antara 2.11 petang hingga 2.12 petang, 10 September lalu.

    Dalam pertuduhan kedua, mereka juga secara bersama didakwa dengan sengaja menakutkan secara jenayah seorang lelaki dengan cara menampal notis bertulis ugutan secara jenayah di lokasi dan tarikh yang sama.

    Pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Asmaa’ Zamri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam YGBK, Nur Farhana Mohd. Fadzil serta Saidina Khatijah Zaharah Khairunisak Mohd. Noor.

    Muhammad Zul Hilmi turut menetapkan agar kedua-dua tertuduh dipenjara selama 18 bulan jika gagal membayar denda itu.

    Keempat-empat pertuduhan terhadap mereka dikenakan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut.

    Pada 11 September lalu, polis memberkas dua lelaki terbabit yang menjadi orang suruhan ah long siber untuk mengugut dan melakukan khianat ke atas peminjam wang yang gagal membayar hutang mereka.

    Suspek juga merupakan peminjam kepada ah long itu dan ekoran gagal membuat bayaran semula, mereka ditawarkan pekerjaan tersebut dengan upah mengikut pakej iaitu RM350 untuk perbuatan membaling cat, RM150 (merantai pagar) dan RM50 (menampal notis ugutan).

    Kedua-dua mereka yang tiada pilihan terpaksa melakukan kerja itu untuk melangsaikan hutang dan mendakwa hanya berurusan dengan sindiket utama ah long itu melalui aplikasi WhatsApp tanpa pernah bersemuka.

  • Dua beradik bekas PM Thailand bercuti di Pulau Pinang

    Dua beradik bekas PM Thailand bercuti di Pulau Pinang

    BEKAS Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan Yingluck Shinawatra dirakam berada di sekitar Georgetowm, Pulau Pinang sejak semalam.

    Lapor Harian Metro, pasangan adik-beradik itu kelihatan berkunjung ke Pasar Lebuh Cecil dan menikmati hidangan tempatan seperti char kuetiau, cendol, ais kacang dan rojak pasembur.

    Hari ini, Yingluck menerusi laman Facebook rasminya memuat naik 16 keping foto dalam album Penang2022 yang turut memaparkan beliau dan abangnya bersiar-siar di sekitar pusat bandar dengan menaiki beca.

    Mereka turut meluangkan masa merakam gambar kenangan di beberapa lokasi lukisan mural popular di negeri ini antaranya di Lebuh Armenian dan Lebuh Cannon.

    “Datang ke Pulau Pinang buat kali kedua. Setelah sekian lama datang mencari kenangan lama bersama abang,” tulis Yingluck dalam hantaran tersebut.

    Hantaran itu mendapat 35,000 tanda suka dan dihujani ribuan komen selain dikongsi lebih 700 kali sejak dimuat naik kira-kira dua jam yang lalu.

    Thaksin, 73, dan Yingluck, 55, tampak ceria dan tidak menolak apabila diajak bergambar oleh masyarakat setempat yang kelihatan teruja melihat kemunculan mereka di sekitar tempat tumpuan pelancong berkenaan.

    Thaksin merupakan Perdana Menteri Thailand sejak 2001 dan digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006.

    Manakala Yingluck adalah Perdana Menteri wanita pertama di Thailand dan berkhidmat antara 2011 dan 2014.

  • Polis tahan amah disyaki curi wang majikan RM50,000

    Polis tahan amah disyaki curi wang majikan RM50,000

    POLIS menahan seorang pembantu rumah warga asing kerana disyaki mencuri wang majikannya sebanyak RM50,000 di sebuah rumah di Ampang, semalam.

    Kehilangan wang itu selepas seorang suri rumah berusia 37 tahun itu menyedari wang tunai di dalam beg tangan yang diletakkan dalam stor rumahnya hilang pukul 4 petang, 15 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, duit yang hilang itu ditunaikan mangsa pada 14 September lalu daripada akaun syarikat milik suaminya.

    “Tujuannya untuk disimpan di dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik anak-anaknya tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana sibuk dengan urusan perpindahan.

    “Suspek berusia 58 tahun itu ditahan sepasukan polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 9 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, bekerja sebagai pembantu rumah lebih kurang tujuh tahun, tiada rampasan dibuat semasa tangkapan.

    “Suspek juga tidak melarikan diri dan masih bekerja selepas kejadian,” katanya lapor Sinar Harian.

    Farouk berkata, suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan dan bekerja tanpa permit sah.

    “Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

  • MIC sedia hadapi PRU-15 meskipun ketika Deepavali – Saravanan

    MIC sedia hadapi PRU-15 meskipun ketika Deepavali – Saravanan

    MIC sentiasa bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekalipun diadakan ketika musim perayaan Deepavali.

    Memetik laporan Astro Awani, Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, MIC sudah lama bersedia untuk menghadapi PRU15 sekiranya diadakan hujung tahun ini.

    “MIC sudah lama sedia, kita bukan tak pernah adakan (PRU) masa Deepavali, dulu pernah ada Deepavali masa pilihan raya, kita serahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk putuskan,” katanya, hari ini.

    Mengulas mengenai pembahagian kerusi pula, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, perkara itu terpulang pada keputusan yang akan dibuat dalam pertemuan presiden parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) kelak.

    “Biasa isu kerusi di antara presiden-presiden parti komponen (BN), jadi Timbalan Presiden tiada kuasalah saya.

    “Apabila Presiden (Tan Sri S Vigneswaran) sudah putuskan, dia akan bagitau saya,” jelasnya.

    Ditanya sama ada MIC akan meminta kerusi tambahan pada PRU-15, tambah Saravanan, parti itu terbuka untuk membincangkan perkara itu bersama Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    “Itu kalau Presiden BN bermurah hati bolehlah, tapi Presiden BN sebelum ini sudah mengumumkan MIC akan diberikan kerusi sebelum ini untuk bertanding.

    “(Kerusi) tambahan boleh berbincang, masih ada ruang berbincang,” katanya lagi.

  • Polis siasat pergaduhan aksi separuh akhir bola sepak Sukma

    Polis siasat pergaduhan aksi separuh akhir bola sepak Sukma

    POLIS menjalankan siasatan lanjut berkaitan insiden pergaduhan dalam aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) di Stadium Mini Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, semalam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, laporan polis telah diterima oleh pihaknya berkaitan kejadian berkenaan.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati insiden pergaduhan itu berlaku selepas salah seorang pemain dilayangkan kad merah.

    “Tindakan itu mengakibatkan seorang individu dipercayai pegawai salah satu pasukan terlibat tidak berpuas hati sebelum terjadinya kekecohan.

    “Permainan kemudian dihentikan seketika, bagaimanapun kekecohan berjaya dikawal sebelum permainan disambung semula,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku ‘Korupsi, Kemunafikan Dalam Politik Melayu’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam hari ini.

    Katanya, siasatan lanjut berkaitan kejadian sedang dijalankan dan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

    “Beberapa individu dipanggil untuk dirakam keterangan melibatkan barisan kejurulatihan, pengadil dan petugas perlawanan.

    “Pihak yang terlibat dalam mana-mana pertandingan dinasihatkan supaya tidak beremosi ketika sesuatu perlawanan supaya tidak tercetus provokasi dan kekecohan yang seterusnya mengganggu perlawanan yang berlangsung,” katanya.