Author: Wartawan WartaRakyat

  • [VIDEO] Namie Ubi bukan lagi guru

    [VIDEO] Namie Ubi bukan lagi guru

    ANGGOTA kumpulan UBI iaitu Namie tampil menjelaskan sudah meninggalkan profesion sebagai guru sejak Mac lalu. 

    Persembahan kumpulan Ubi pada final Muzikal Lawak Superstar Musim Ketiga.

    Namie, 26, atau nama sebenarnya Najmi Shaharudin berkata, dia terpaksa merahsiakan perkara ini bagi memberi tumpuan terhadap penyertaannya dalam Muzikal Lawak Superstar musim ke-3 (MLS3).

    “Saya nak kejar cita-cita bekerja dalam industri. Saya tolak tepi kata-kata orang. Tohmahan yang kata saya tak sayang pencen dan macam-macam lagi. 

    “Tapi saya bukan berhenti kerja sebab nak masuk MLS kerana keputusan itu dibuat sejak Mac lagi. Cuma saya minta maaf kena buat begini kerana tak nak mental dan privasi terganggu.

    “Saya menipu untuk kebaikan saya dan keluarga saya. Memang saya tunggu umumkan sekarang kerana inilah waktu yang paling sesuai,” katanya lapor Harian Metro.

    Bercakap pada sidang media selepas pentas akhir MLS3 malam tadi, Namie berkata, sejak kecil lagi dia sudah menyimpan cita-cita bergelar selebriti.

    “Ia bukan cita-cita yang main-main serta angan-angan. Tahap keinginan saya apabila pandang seseorang dalam TV dan cakap seorang diri nak jadi macam dia. 

    “Perjalanan saya Tuhan dah tentukan. Proses berhenti kerja pun langsung tak menyusahkan atau memeningkan saya. 

    “Sejujurnya ada dua orang kementerian datang secara individu berjumpa saya dan tanya. 

    “Saya kongsi pendapat dan perasaan saya, kata kalaulah satu hari nanti saya mencemarkan imej guru, profesionalisme perguruan, adakah mereka suka pada waktu itu,”? katanya. 

    Mereka akhirnya menghormati keputusan Namie kerana semasa masih bergelar guru, dia sudah aktif dalam media sosial. 

    “Ada sesetengah konten walaupun bukanlah negatif, saya tak nak ia mencalar imej sebagai guru,” katanya. 

    Kemenangan kumpulan UBI yang dianggotai oleh Namie bersama Fad Bocey dan Sharif Zero menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 beserta trofi.

  • Serbuan SPRM di MBSA berkaitan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000

    Serbuan SPRM di MBSA berkaitan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Isnin lalu dipercayai berkaitan siasatan kes tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 dalam kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor.

    Susulan serbuan itu, difahamkan beberapa individu ditahan reman untuk membantu siasatan kes itu.

    Berita Harian melaporkan difahamkan, SPRM memperolehi petunjuk baharu dalam kes itu dan serbuan itu dilakukan susulan penahanan enam individu pada 12 September lalu.

    Sebelum ini, enam individu termasuk empat wanita berusia antara 30 hingga 59 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sekitar 2016 hingga tahun lalu.

    Sumber berkata tiga suspek adalah ketua pegawai operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan yang mana mereka dipercayai berpakat untuk meluluskan pembayaran kepada dua syarikat yang terbabit dalam kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

    Projek pertama adalah kerja-kerja menaik taraf saliran membabitkan nilai lebih RM250,000 manakala projek tebatan banjir bernilai lebih RM600,000.

    Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Hujan lebat berterusan: Beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat

    Hujan lebat berterusan: Beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat

    HUJAN lebat selama beberapa jam sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau dilanda banjir kilat.

    Antara kawasan yang teruk terjejas adalah di Bayan Lepas; Bayan Baru; Teluk Kumbar dan Bukit Jambul yang mana beberapa rumah penduduk dinaiki air sehingga ke paras lutut.

    Bagaimanapun banjir kilat itu dilaporkan sudah kembali surut bermula pukul 11 pagi tadi dan setakat ini tiada laporan terdapat penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akibat bencana terbabit.

    Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, antara kampung yang dilanda banjir kilat di kawasan terbabit adalah Kampung Masjid; Kampung Manggis; Kampung Perlis; Kampung Binjai dan Kampung Seronok.

    Malah katanya, beliau turut menerima laporan terdapat beberapa buah rumah yang terjejas dengan serius akibat bencana banjir kilat tersebut terutama rumah-rumah yang terletak berhampiran Sungai Bayan Lepas.

    “Bagaimanapun, setakat pukul 10.15 pagi tadi, banjir di beberapa kawasan yang terlibat dilaporkan telah surut,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, Pengerusi MPKK Kampung Binjai di Bayan Lepas, Baseri Hashim berkata, kira-kira 30 buah rumah di kampung berkenaan terlibat dalam banjir kilat.

    ”Air mula naik dengan cepat di kawasan rumah penduduk sehingga ke paras buku lali selepas subuh hari ini.

    “Bagaimanapun tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir, namun mereka masih tetap berjaga-jaga kerana bimbang hujan lebat berterusan,” katanya.

    Tambah beliau, kawasan kampung itu sebelum ini kerap dilanda banjir sekiranya hujan lebat secara berterusan kerana berada di kawasan tanah rendah.

  • Ramai pelajar dijangka tinggalkan universiti akibat kekangan kewangan?

    Ramai pelajar dijangka tinggalkan universiti akibat kekangan kewangan?

    PELAJAR di universiti-universiti awam dalam negara dijangka tidak keberatan untuk menamatkan pengajian masing-masing akibat dihimpit dengan kos sara hidup dan krisis kewangan individu yang tidak menentu.

    Memetik laporan MalaysiaNow, seorang bekas pensyarah dan pentadbir jabatan di sebuah universiti awam berkata, sebilangan kecil pelajar sudah dikesan meninggalkan pengajian disebabkan tidak mampu untuk menyara diri terutamanya di kawasan-kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

    Katanya, dalam sedikit masa lagi sekiranya masalah ekonomi dan inflasi tidak diatasi dengan baik, trend tersebut berkemungkinan besar melibatkan jumlah pelajar yang lebih ramai.

    “Ini macam bom jangka. Apabila pelajar susah nak hidup, nak makan pun tidak ada wang. Kita suruh mereka diam kerana merasakan diri kita lagi susah berbanding mereka.

    “Lama kelamaan mereka juga malas mengadu kerana takut dinilai dengan komen yang tidak baik. Akhirnya mereka keluar dan berdepan realiti yang lebih mencabar. Bekerja atau menganggur tanpa ijazah.

    “Bila ini berlaku, universiti tidak lagi relevan,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

    Beliau yang pernah menjadi pensyarah sambilan dan menjawat jawatan tinggi dalam Jabatan Pendaftaran berkata, rakan-rakan dan bekas pekerja sering berkongsi perkara itu kepadanya dengan mengatakan pelajar amat terdesak untuk mendapatkan sumber kewangan tambahan jika mahu meneruskan pengajian.

    Lebih merisaukan lagi, perkara sebegitu sepatutnya sudah lama dikesan melalui laporan-laporan berita oleh pihak media.

    Bagaimanapun katanya, hanya segelintir yang mampu memahami realiti yang berlaku.

    “Apabila media lapor pelajar ini berhenti belajar kerana mahu bantu bapa. Pelajar ini pula berhenti kerana jaga ibu sakit.

    “Apa maknanya? Mereka ini susah. Tidak mampu. Tiada siapa lagi yang boleh salur wang jika terus belajar.”

    Perkembangan itu katanya, memberikan gambaran seolah-olah masyarakat mengandaikan pelajar tersebut hanya mempunyai satu masalah iaitu ibu atau bapa sakit tanpa mengambil kira isu yang sebenar iaitu status kewangan diri dan keluarga.

    Pada Julai, Kementerian Pendidkan Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 30,000 atau 2.6% daripada lebih 1.1 juta mahasiswa di universiti awam gagal menamatkan pengajian ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

    Sistem rekod itu menyebut para pelajar gagal menamatkan pengajian disebabkan masalah kesihatan, isu peribadi, gagal peperiksaan dan gagal mendaftar.

    Atas sebab itu, bekas pentadbir jabatan pendaftaran itu menegaskan KPT dan universiti menjalankan kaji selidik yang lebih mendalam mengenai hal ini.

    Katanya, setiap pelajar yang meninggalkan universiti perlu ditemu bual secara berfokus bagi mendapatkan jawapan sebenar kepada permasalahan masing-masing.

    Pihak universiti katanya, tidak boleh bergantung kepada jawapan yang disifatkan “berpura-pura” dikhuatiri pelajar berasa malu atau tidak mahu berkongsi.

    “Melainkan kes yang memang jelas dia ada masalah kesihatan kerana ada laporan hospital. Tetapi masalah keluarga? Boleh jadi mereka ini boleh dibantu dan berjaya tamatkan pengajian.

    “Ini masalah sistem yang kita ada. Ketika proses kemasukan, semua benda kita minta. Ketika pelajar melangkah keluar dari universiti, kita tidak peduli.”

    Pelajar makin terkesan

    Tinjauan MalaysiaNow di media sosial mendapati rata-rata pelajar universiti meluahkan kebimbangan masing-masing terhadap sesi akademik yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

    Antara masalah yang dihadapi adalah mengenai kemasukan wang biasiswa yang lambat, tiada kekosongan kediaman dan ura-ura kenaikan bayaran yuran bagi beberapa perkara seperti bil elektrik dan fasiliti.

    Seorang pelajar menulis di Facebooknya pada minggu lalu mengenai bayaran deposit rumah sewa di Shah Alam, Selangor melebihi RM9,000, satu jumlah yang dikatakan tidak masuk akal untuk dibayar oleh golongan pelajar.

    Sekiranya tiada wang pendahuluan disediakan, kebanyakan pelajar mungkin tiada tempat tinggal sepanjang menjalani pengajian di universiti selama satu semester.

    Ketika dihubungi, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Alinur Ahlam berkata tidak dinafikan kerajaan banyak menyalurkan bantuan dan pelbagai inisiatif untuk memastikan pelajar dapat belajar dalam keadaan baik meskipun berdepan cabaran ekonomi.

    Bagaimanapun, Alinur menyatakan lebih baik sekiranya bantuan lebih bersasar diberikan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan dari segi kewangan.

    “Tetapi di sini perlukan bantuan dari pihak universiti untuk kenal pasti mengapa mereka ini berhenti belajar.

    “Dan maklumkan kepada kementerian supaya bantuan yang ingin disalurkan ini tepat kepada mereka yang memerlukan.”

    Universiti tidak mampu membantu

    Mengulas lanjut, bekas pensyarah sambilan selama lebih 10 tahun itu memberitahu, universiti-universiti awam tidak lagi mampu menyediakan inisiatif kewangan dan bantuan kepada pelajar dengan kekerapan yang banyak kerana dana yang amat terhad.

    Katanya, hampir semua universiti di seluruh negara sedang “mati kutu” memikirkan bentuk-bentuk bantuan yang boleh disumbangkan kepada pelajar bagi memastikan mereka boleh menjalani kehidupan harian di kampus dengan lebih baik.

    Atas sebab itu, katanya, tidak menghairankan mengapa universiti kini dilihat mahu mencari keuntungan dan penaja untuk program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) agar dapat menampung kos bantuan kepada pelajar masing-masing.

    “Kalau tidak percaya, cuba anda tanyakan mana-mana timbalan naib canselor universiti. Sudah pasti tiada siapa yang akan berikan jawapan.

    “Jika ada, jawapannya mungkin masih berselindung daripada realiti yang berlaku.”

    Beberapa pengurusan tertinggi universiti awam yang dihubungi MalaysiaNow tidak memberikan respons apabila ditanya mengenai perkara ini.

  • Skandal rasuah: Hakim Mahkamah Agung Indonesia ditahan

    Skandal rasuah: Hakim Mahkamah Agung Indonesia ditahan

    BADAN antirasuah Indonesia semalam menahan seorang hakim Mahkamah Agung negara ini setelah didakwa terbabit dalam skandal rasuah, seorang daripada majistret paling berprofil tinggi berdepan siasatan itu.

    Agensi berita Reuters melaporkan, Timbalan Ketua Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) dalam satu sidang media, berkata Hakim Sudrajad Dimyati ditahan selepas melaporkan diri kepada agensi itu secara sukarela pada hari sama.

    KPK turut menahan enam suspek lain yang disyaki terbabit dalam kes rasuah membabitkan nilai 2.2 bilion rupiah (RM666,532) untuk mendapatkan keputusan yang memihak bagi kes rayuan oleh koperasi pemberi pinjaman yang berdepan masalah insolvensi.

    Pengerusi KPK, Firli Bahuri sebelum itu secara terbuka menggesa Sudrajad dan tiga yang lain supaya menyerah diri.

    Bagaimanapun, Sudrajad tidak segera memberi reaksi kepada permintaan untuk mengulas dakwaan tersebut.

    Pegawai Jabatan Pengawasan Mahkamah Agung, Zahrul Rabain berkata,
    Sudrajad akan digantung tugas, namun tidak menyatakan berapa lama tempohnya.

    Menurut Firli, KPK melakukan serbuan di Jakarta dan Semarang pada minggu ini dan menahan enam individu serta merampas wang tunai hampir AS$148,000 (RM677,618) di rumah seorang pegawai Mahkamah Agung, majoritinya dalam mata wang dolar Singapura dengan sebahagiannya disembunyikan dalam ruang kosong dalam kamus.

    Media melaporkan, seorang peguam dari koperasi pemberi pinjaman semalam memberitahu pemberita di KPK, beliau bersedia ‘untuk dihukum seberat mungkin’.

    KPK ditubuhkan pada 2002 selepas kejatuhan Presiden Suharto, yang mana pemerintahannya didakwa pengkritik sebagai kleptokrasi.

  • 208 PATI Filipina diusir pulang

    208 PATI Filipina diusir pulang

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melaksanakan program pengusiran pulang seramai 208 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, semalam.

    Pengarahnya, SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI berusia antara 23 bulan hingga 69 tahun itu melibatkan 97 lelaki, 60 wanita dan 51 kanak-kanak yang ditahan di Depot Tahanan Sandakan.

    Beliau berkata, kesemua PATI itu sebelum ini ditahan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    “Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dari negara.

    “Oleh itu semua warga asing diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja (untuk bekerja di Sabah) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sitti Saleha berkata, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

    “Operasi pengusiran ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah.

    “JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PATI etelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara,” katanya.

  • 77 pendatang mati lemas bot dinaiki karam di perairan Syria

    77 pendatang mati lemas bot dinaiki karam di perairan Syria

    SEKURANG-kurangnya 77 pendatang lemas apabila bot yang dinaiki mereka dari Lebanon karam di pantai Syria dekat timur Laut Mediterranean, kelmarin.

    Menteri Kesihatan Syria, Hassan al-Ghabash sebagaimana laporan agensi berita AFP berkata, kira-kira 150 orang, kebanyakannya dari Lebanon dan Syria menaiki bot kecil yang karam itu di luar bandar Tartus, Syria.

    “77 orang mati lemas,” kata Hassan menambah, kira-kira 20 orang yang terselamat sedang dirawat di hospital di Tartus.

    Dalam pada itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Lebanon, Ali Hamie berkata, bot dinaiki pendatang tidak dapat menampung kapasiti mereka yang terlalu ramai.

    Bot itu katanya baru diimport dan tiba di Lebanon dua bulan lalu.

    “Kebanyakan penumpang merupakan [enduduk utara Lebanon dengan ada di antaranya adalah pelarian Palestin dari kem Nahr Al-Bared namun majoriti penumpang adalah rakyat Syria dari Idlib, Aleppo dan Latakia.

    “Antara mangsa adalah dua kanak-kanak perempuan yang dikebumikan di Akkar,” katanya.

    Lebanon yang dilanda krisis kewangan sejak 2019 dan disifatkan oleh Bank Dunia sebagai salah satu yang terburuk pada zaman moden, menjadi tempat tumpuan untuk pendatang haram, dengan penduduknya sendiri menyertai pelarian dari Syria dan Palestin untuk meninggalkan negara.

    Tartus adalah bandar pelabuhan utama Syria di bahagian selatan dan terletak pada jarak kira-kira 50 kilometer ke utara bandar pelabuhan Tripoli di Lubnan, di mana penumpang menaikinya.

  • Lelaki larikan rantai emas RM30,000, dicekup sejam selepas jenayah

    Lelaki larikan rantai emas RM30,000, dicekup sejam selepas jenayah

    SEORANG lelaki yang melarikan seutas rantai emas dianggar bernilai hampir RM30,000 sebagaimana video tular di media sosial sebenarnya sudah ditahan kira-kira sejam selepas melakukan jenayah berkenaan.

    Kejadian kira-kira pukul 5 petang Khamis lalu itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai emas di Jalan Putra, Mergong, Alor Setar menunjukkan suspek berpura-pura sebagai pelanggan melihat rantai tangan emas seberat 99.34 gram.

    Klip berdurasi 1 minit 32 saat mengenai kejadian berkenaan tular menerusi aplikasi TikTok sejak pukul 8.30 malam tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada hari sama, sekitar pukul 6.35 petang.

    “Siasatan awal pihak polis mendapati suspek seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun sebelum itu datang ke premis berkenaan, kononnya mahu membeli barang kemas.

    “Namun dia secara tiba tiba melarikan diri bersama seutas rantai tangan emas anggaran berat 99.34 gram dari premis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Ahmad Shukri dalam laporan itu berkata, jurujual kedai emas terbabit segera mengejar suspek sebelum menghubungi polis yang kemudian menggerakkan pasukan dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Alor Setar ke lokasi.

    “Orang awam membantu menahan suspek di lampu isyarat Tambang Badak, di sini, sebelum dia diserahkan kepada polis yang melakukan tangkapan semula. Suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 26 September untuk membantu siasatan,” katanya.

    Ahmad Shukri berkata, pihaknya turut merampas kenderaan yang dinaiki suspek, iaitu Volkswagen MK7 untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata, rantai emas itu dianggarkan bernilai hampir RM30,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

  • PRU-15: KJ risau belum ada lagi kawasan untuk bertanding

    PRU-15: KJ risau belum ada lagi kawasan untuk bertanding

    AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilaporkan risau memikirkan kelangsungan kerjaya politiknya kerana belum mempunyai kawasan untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan Berita Harian, Menteri Kesihatan itu mengakui kebimbangannya berhubung perkara itu melangkaui kerisauan Kabinet sama ada mengadakan PRU-15 pada tahun ini atau sebaliknya.

    “‘Concern’ (kebimbangan) saya sekarang ini adalah tiada lagi kawasan untuk bertanding (pada PRU-15),” katanya hari ini.

    Beliau mengulas beberapa kebimbangan yang dikatakan dibangkitkan Kabinet pada mesyuaratnya Rabu lalu sebelum bersetuju mengadakan PRU-15 pada tahun ini.

    Antara kebimbangan berkenaan adalah musim banjir, selain mempertimbang keputusan enam negeri yang tidak setuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

    Awal bulan ini, Khairy mengesahkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu bertanding di Rembau.

    Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya BN kemudian mengesahkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU15, namun tidak menyatakan sama ada di Rembau atau lokasi lain.

    Kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ketua UMNO Bahagian Rembau itu, kedudukan calon dan kerusi bagi BN mahupun UMNO belum dimuktamadkan dan kenyataannya berkaitan Rembau sebelum ini hanya mengenai soal kesiapsiagaan jentera parti.

    Dalam reaksi balasnya, Khairy mempertahankan pendedahannya adalah benar dan beliau tidak perlu membuktikannya, sambil menegaskan akan menyelesaikan isu itu secara tertutup.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengakui terpaksa akur dengan arahan berkenaan walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau.

  • Kabinet bimbang tiga perkara adakan PRU-15 tahun ini – Sumber

    Kabinet bimbang tiga perkara adakan PRU-15 tahun ini – Sumber

    SEKURANG-kurangnya tiga perkara menjadi kebimbangan jemaah Kabinet sebelum bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

    Malaysiakini yang memetik sumber di Putrajaya melaporkan, selain musim banjir, jemaah menteri juga mempertimbangkan keputusan enam negeri yang tidak setuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

    “Isu musim banjir diketahui umum. Banyak pihak bersetuju bahawa PRU tidak boleh diadakan jika terdapat banjir besar, seperti kebiasaan di Pantai Timur.

    “Kalau dulu, banjir teruk cuma di Kelantan dan Terengganu sahaja. Tapi, lihat tahun lepas, negeri Selangor pun boleh dilanda banjir teruk sehingga mengorbankan nyawa.

    “Jadi, perkara ini perlu diambil kira. Lupakan pengangkutan pengundi. Bagaimana, pegawai SPR nak masuk keluar dari pusat mengundi? Takkan kita pakai bot untuk keluar masuk,” kata sumber itu.

    Sementara itu, sumber yang turut menghadiri mesyuarat jemaah Kabinet pada Rabu berkata memang terdapat perbincangan mengenai pilihan raya umum akan datang.

    “Tetapi, bukan secara terperinci. Kabinet lebih fokus kepada persiapan kerajaan pusat menghadapi musim banjir.

    “Apa yang saya boleh sahkan, tarikh PRU masih tidak ditetapkan,” katanya kepada Malaysiakini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memberi bayangan PRU15 mungkin lebih awal, setelah dia mendapat desakan berbuat demikian daripada pemimpin UMNO, khususnya presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ismail yang juga Naib Presiden UMNO sebelum ini berkata PRU15 paling lewat boleh diadakan pada Julai (2023), apabila tamat tempoh (penggal) bagi pilihan raya umum yang lalu.

    Dalam perkembangan sama, sumber tersebut turut memberitahu selain isu cuaca, kabinet juga berbincang mengenai enam negeri tidak bersedi membubarkan DUN bersama-sama kerajaan pusat.

    “Jika, enam negeri ini tidak membubarkan DUN, maka kos untuk PRU akan berganda kerana perlu mengadakan PRN secara berasingan.

    “Ini membuat beberapa menteri tidak bersedia untuk PRU awal,” kata sumber itu lagi.

    Untuk rekod, Kedah, Pulau Pinang, Kelatan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan mengumumkan tidak akan mengadakan pilihan raya negeri, jika PRU15 diadakan lebih awal.

    Kedah, Terengganu dan Kelantan diterajui oleh PAS yang juga sebahagian kerajaan pusat. Manakala, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pula ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

    “Perkara ketiga menjadi kebimbangan ialah Akta Anti Lompat.

    “Walaupun, undang-undang ini telah diluluskan di pusat, ia masih tidak dikuatkuasa di peringkat negeri.

    “Jadi, ada kemungkinan drama lompat parti selepas PRU nanti. Ada cadangan perkara-perkara ini perlu diselesaikan sebelum PRU diadakan,” katanya.

    Untuk rekod, pada 28 Julai, Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan berhubung tindakan melompat parti, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

    Ia diluluskan untuk bacaan ketiga walaupun terdapat ahli parlimen yang berpendapat ia tidak bersifat menyeluruh berhubung isu berkenaan.

    Namun, terdapat gesaan bahawa semua kerajaan negeri perlu membentangkan enakmen antilompat parti ini di peringkat DUN.