HUJAN lebat selama beberapa jam sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau dilanda banjir kilat.

Antara kawasan yang teruk terjejas adalah di Bayan Lepas; Bayan Baru; Teluk Kumbar dan Bukit Jambul yang mana beberapa rumah penduduk dinaiki air sehingga ke paras lutut.

Bagaimanapun banjir kilat itu dilaporkan sudah kembali surut bermula pukul 11 pagi tadi dan setakat ini tiada laporan terdapat penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akibat bencana terbabit.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, antara kampung yang dilanda banjir kilat di kawasan terbabit adalah Kampung Masjid; Kampung Manggis; Kampung Perlis; Kampung Binjai dan Kampung Seronok.

Malah katanya, beliau turut menerima laporan terdapat beberapa buah rumah yang terjejas dengan serius akibat bencana banjir kilat tersebut terutama rumah-rumah yang terletak berhampiran Sungai Bayan Lepas.

“Bagaimanapun, setakat pukul 10.15 pagi tadi, banjir di beberapa kawasan yang terlibat dilaporkan telah surut,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi MPKK Kampung Binjai di Bayan Lepas, Baseri Hashim berkata, kira-kira 30 buah rumah di kampung berkenaan terlibat dalam banjir kilat.

”Air mula naik dengan cepat di kawasan rumah penduduk sehingga ke paras buku lali selepas subuh hari ini.

“Bagaimanapun tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir, namun mereka masih tetap berjaga-jaga kerana bimbang hujan lebat berterusan,” katanya.

Tambah beliau, kawasan kampung itu sebelum ini kerap dilanda banjir sekiranya hujan lebat secara berterusan kerana berada di kawasan tanah rendah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here