Author: Wartawan WartaRakyat

  • Culik murid: Sekolah di Kelantan keluar peringatan

    Culik murid: Sekolah di Kelantan keluar peringatan

    SUSULAN kejadian culik dalam kalangan murid sekolah yang sering terjadi sejak kebelakangan ini, sebuah sekolah di Kelantan mengeluarkan surat peringatan kepada ibu bapa berkaitan jenayah itu.

    Lapor Sinar Harian, surat yang dikeluarkan semalam tersebut memaklumkan risiko kejadian culik dan meminta ibu bapa dapat mengambil tindakan sewajarnya.

    “Sehubungan dengan itu, pihak sekolah berharap ibu bapa atau penjaga dapat mengambil tindakan sepatutnya.

    “Menghantar dan mengambil anak-anak mengikut ketetapan waktu, sentiasa memberi ingatan dan pesanan kepada anak-anak serta selalu bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menangani sesuatu kes yang berlaku,” kata kenyataan tersebut.

    Sementara itu seorang bapa yang enggan dikenali ketika ditemui Sinar Harian mengakui terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh sekolah terbabit.

    Katanya, situasi itu menimbul ketakutan dalam kalangan ibu bapa termasuk anak-anak.

    Dia berkata, disebabkan surat peringatan itu tular, kecoh di WhatsApp sehingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan ibu bapa.

    “Setakat ini, kami belum mendengar sebarang kes melibatkan penculikan kanak-kanak selain daripada peniaga kosmetik di Tumpat.

    “Pada saya, peringatan itu perlu tetapi harus disampaikan dalam bentuk berhemah terutama kepada ibu bapa supaya dapat memberikan penerangan jelas kepada anak-anak.

    “Bila penerangan tidak jelas, saya bimbang timbul masalah sehingga boleh menjejaskan semangat anak-anak untuk ke sekolah,” katanya.

    Media pada Khamis lalu melaporkan polis Kelantan menyiasat dua kes tular melibatkan dakwaan cubaan culik dua murid di sebuah sekolah di daerah Gua Musang pada Isnin dan Selasa.

  • Rakyat Malaysia ditahan di Mesir dibebaskan

    Rakyat Malaysia ditahan di Mesir dibebaskan

    SEORANG mahasiswa rakyat Malaysia di Universiti Al-Azhar yang sebelum ini ditahan pihak berkuasa Mesir sudah dibebaskan pada Sabtu.

    Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan malam ini berkata, mahasiswa itu berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan pengajian di universiti tersebut.

    Katanya, Kementerian Luar bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Republik Arab Mesir melalui Kedutaan Malaysia di Kaherah serta Kedutaan Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur bagi memastikan kebajikan mahasiswa itu terpelihara.

    “Kerajaan Malaysia juga merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada Kerajaan Republik Arab Mesir atas kerjasama erat dalam perkara ini,” katanya.

    Saifuddin berkata kementerian sentiasa prihatin akan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara. Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia sentiasa peka dan mematuhi undang-undang negara tuan rumah di mana mereka berada

  • Syafiq Kyle, Mimi Lana makan ‘nasi minyak’ tahun depan

    Syafiq Kyle, Mimi Lana makan ‘nasi minyak’ tahun depan

    TUJUH tahun menyulam cinta, aktor Syafiq Kyle akui akan menamatkan zaman bujangnya bersama pelakon Mimi Lana pada tahun hadapan.

    Dengan pengakuan itu, ia sekaligus menafikan khabar angin yang mendakwa dia akan bernikah dengan Mimi pada hujung tahun ini.

    Jelas Syafiq atau Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, sehingga kini masih belum ada persiapan yang dilakukan menuju hari bahagiannya.

    “Macam mana nak nikah hujung tahun jika tiada persiapan? Saya belum ‘booking’ tok kadi untuk majlis akad nikah.

    “Jika ikutkan, saya sudah bersedia berumahtangga pada usia mencecah 30, tahun ini.

    “Mungkin tiada majlis pertunangan kerana saya mahu terus bernikah dan buat perkara wajib seperti dituntut agama,” katanya memetik laporan BH Online.

    Sementara itu, Syafiq masih belum memilih tarikh yang sesuai memandangkan komitmen karier seninya terlalu padat.

    “Kami belum tetap tarikh disebabkan perlu menyelesaikan komitmen kerjaya seni terlebih dahulu.

    “Insya-Allah, saya tidak akan berahsia apabila sudah dapat tarikh tetap nanti,” katanya yang sibuk mempromosikan filem terbaru, Siku 12: Langkah Derhaka.

  • Pembahagian kerusi PH Perak untuk PRU-15 selesai

    Pembahagian kerusi PH Perak untuk PRU-15 selesai

    PEMBAHAGIAN kerusi dalam kalangan komponen parti PH di Perak sudah pun selesai, kata Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof.

    Katanya, biarpun terdapat satu hingga tiga peratus kerusi yang belum dimuktamadkan, itu akan diputuskan pimpinan PH di peringkat Pusat.

    “Rundingan bagi pengagihan kerusi PH di peringkat negeri Perak berjalan dengan baik. Kita dah selesai (pembahagian kerusi).

    “Tak timbul apa-apa lagi perebutan. Hanya untuk ditetapkan sahaja nanti dari segi kewajarannya itu di peringkat atas, itupun hanya satu dua kerusi sahaja lagi.

    “Peringkat kami, saya boleh bagi jaminan dah selesai,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Rasuah Busters Parlimen Taiping di sebuah hotel di Taiping, hari ini.

    Dalam pada itu, Mujahid menjelaskan, PH Perak sudah bersiap sedia sejak setahun yang lalu bagi menghadapi pilihan raya umum.

    Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, beberapa program sedang diatur bagi memperkukuhkan jentera pilihan raya dalam kalangan parti-parti gabungan.

    “Kita akan ada program besar pada hujung Oktober nanti yang akan dimaklumkan kemudian setelah kita adakan mesyuarat agung PH pada 8 Oktober ini.

    “Kita juga akan lancarkan jelajah PH peringkat negeri Perak,” katanya.

  • PBT cari penyelesaian terbaik atasi banjir:MB

    PBT cari penyelesaian terbaik atasi banjir:MB

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Johor mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mencari penyelesaian terbaik bagi mengelak kejadian banjir berulang.

    Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha tersebut perlu dilakukan di semua kawasan sering dilanda banjir sebagai langkah persediaan menghadapi bencana alam berkenaan.

    Beliau yang melawat beberapa kawasan banjir kilat di Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada Ahad memberitahu, terdapat beberapa usaha yang sedang dan akan dilaksana Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

    “Di Johor Bahru MBJB antaranya akan menaik taraf pam air dari empat unit kepada enam unit di Rumah Pam Sungai Chat. Tiga lagi lokasi juga akan ditambah dengan dua unit pam berkapasiti 25kwh setiap satu.

    “Kawasan itu adalah di kawasan Surau Tambatan, Restoran Malay Village dan Jalan Kampung Mohd Amin selain kerja-kerja pembersihan sampah sarap di ‘trash screen’ dan mendapan di dasar Sungai Chat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, ini termasuk kerja-kerja menambah pembinaan ‘wier’ di kawasan hulu iaitu di lokasi Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggung Ibrahim dan kawasan pembangunan Pemaju Tanjung Nahkoda.

    Sementara di Iskandar Puteri pula katanya, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan melebarkan dan mendalamkan Sungai Gelang Patah oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).

    Jelasnya, ini termasuk kerja-kerja melebarkan Sungai Senapang oleh JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selain membina tembok penahan banjir di Kampung Muafakat, Gelang Patah.

  • Warisan sasar bertanding lima negeri di Semenanjung pada PRU-15

    Warisan sasar bertanding lima negeri di Semenanjung pada PRU-15

    PARTI Warisan (Warisan) akan bertanding di Semenanjung iaitu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

    “Itu antara negeri-negeri yang kita sudah putuskan untuk bertanding, bukan semuanya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis beramah mesra bersama masyarakat Kawasan Parlimen Kalabakan di Kampung Murut, Ulu Kalabakan, dekat Tawau, hari ini.

    Bercakap mengenai kerusi Parlimen Kalabakan, beliau mahu kawasan itu kekal milik Warisan yang kini disandang ahli Parlimennya, Ma’mun Sulaiman.

    “Insya-Allah kita pastikan ia kekal dan kita berusaha. Saya sudah maklumkan dengan kepimpinan kita jangan terlalu selesa sangat, turun ke bawah rayu undi sehingga ke penghujungnya,” katanya.

    Sehubungan itu, jika mandat diberikan sekali lagi kepada Warisan untuk memerintah semula, bekas Ketua Menteri Sabah itu memberi jaminan akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk terutama belia di Kalabakan.

    “Di kawasan ini (Kalabakan) semasa jadi kerajaan, kita telah kenal pasti hampir 10,000 hektar tanah untuk penanaman makanan iaitu sebagai jaminan makanan bukan untuk Malaysia tetapi untuk rantau ini.

    “Ini kerana tanah di kawasan Kalabakan ini subur, sesuai untuk kita tanam pelbagai tanaman bagi menjamin bekalan makanan.

    “Jadi saya melihat jika perkara ini dapat dilaksanakan, mereka (penduduk) tidak perlu berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan kerana sudah ada kerja di sini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • 6 PPS dibuka, 128 mangsa banjir dipindahkan di Johor

    6 PPS dibuka, 128 mangsa banjir dipindahkan di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ENAM buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Johor melibatkan tiga daerah akibat banjir kilat.

    Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), PPS berkenaan dibuka di Johor Bahru, Pontian dan Batu Pahat yang menempatkan 128 mangsa daripada 40 keluarga.

    JBPD memberitahu di Batu Pahat, PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Peserai dan Sekolah Agama (SA) Seri Bengkal yang masing-masing menempatkan 29 mangsa dari 11 keluarga dan 21 mangsa daripada enam keluarga.

    “Lokasi yang dinaiki air di Batu Pahat ialah Kampung Seri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai.

    “Sementara PPS di Pontian pula di SA Kayu Ara Pasong menempatkan 54 mangsa daripada 15 keluarga manakala Pusat Kokurikulum Sungai Tempayan menempatkan tiga mangsa dari satu keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sebuah PPS di SA Kayu Ara, Pasong, Pontian dibuka susulan hujan lebat sejak pagi tadi dan mengakibatkan banjir

    Menurut JPBD, di Johor Bahru, dua PPS yang dibuka ialah Dewan Raya Gelang Patah menempatkan 17 mangsa dari lima keluarga, dan SK Nong Chik menempatkan 4 mangsa dari dua keluarga.

    Jelas kenyataan itu, di Pontian kawasan yang masih dinaiki air setakat jam 3 petang tadi ialah Kampung Parit Sapran, Kampung Parit Haji Omar, Jalan Mohsin, Kayu Ara Pasong, Kampung Parit Hj Siraj, Parit Lapis, Kayu Ara Pasong dan Kampung Parit Abdul Rahman.

    “Di Johor Bahru, lokasi yang dinaiki air ialah Kampung Mohd Amin, Taman Dato Syed Mohd Idrus dan Kampung Baru,” katanya.

  • Kos cecah RM2 bilion jika PRU, PRN diadakan berasingan-Tok Pa

    Kos cecah RM2 bilion jika PRU, PRN diadakan berasingan-Tok Pa

    KOS Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka mencecah RM2 bilion sekiranya Parlimen dan Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan berasingan.

    Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Memetik laporan Sinar Harian, Mustapa menegaskan, kos sehingga RM2 bilion itu mengambil kira kos melebihi RM1 bilion pada PRU-14 yang dilakukan secara serentak.

    Malah, Mustapa berkata, peningkatan kos turut melibatkan pengundi yang perlu pulang mengundi sekiranya PRU dan PRN diadakan berasingan.

    “Jika ia diadakan dua kali iaitu Parlimen dalam masa terdekat dan DUN tidak lama kemudian, sudah tentu kos meningkat dua kali ganda.

    “Itu belum lagi melibatkan pengundi yang tinggal jauh seperti di Sabah dan Sarawak, mereka perlu memikirkan kos untuk pulang mengundi.

    “Jika PRU diadakan dua kali kos tambang akan meningkat dan membebankan mereka,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM, STPM & STAM 2021 di Jeli, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mustapa menegaskan satu lagi perkara semua pihak terlibat perlu ambil kira adalah kempen selama dua kali, perang mulut dan sebagainya.

    Awal minggu ini beberapa media melaporkan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata Dewan Undangan Negeri di ketiga-tiga negeri di tadbir parti itu yakni Kelantan, Terengganu dan Kedah hanya akan dibubarkan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan tahun hadapan.

  • Penghantar makanan pasrah digantung kerja gara-gara pelanggan salah ‘pin’ lokasi

    Penghantar makanan pasrah digantung kerja gara-gara pelanggan salah ‘pin’ lokasi

    GARA-gara seorang pelanggan yang tersalah menetapkan lokasi untuk menghantar makanan, seorang penghantar makanan terpaksa menghadapi situasi sukar apabila memaklumkan sudah digantung kerja sejak tiga hari lalu.

    Perkara itu dikongsikan menerusi satu video terbaharu di akaun TikTok milik penghantar makanan terbabit, Muhd. Yusuf, 27, hari ini.

    Menerusi video itu, Muhd. Yusuf terkilan apabila syarikat penghantaran makanan tempat dia bekerja lebih mendengar aduan pelanggan biarpun dirinya telah melakukan kerja sehabis baik.

    “Sudah tiga hari saya digantung kerja. 10 tahun saya kerja sebagai penghantar makanan, saya sudah buat sehabis baik. Tetapi majikan saya tetap dengar kata-kata pelanggan,” tulisnya.

    Sebelum ini, lelaki berkenaan tular selepas memuat naik satu video yang memaparkan dirinya mempertahankan diri selepas dituduh dan dihina kononnya culas membuat kerja selepas mengambil masa selama satu jam untuk mencari lokasi sebenar pelanggannya ekoran lokasi tidak ditetapkan dengan betul.

    Lebih menyedihkan, gaji Muhd. Yusuf turut dikatakan telah digantung sejak dirinya digantung kerja.

    “Gaji saya turut digantung, dah nak hujung bulan… Rumah nak kena bayar, susu anak nak kena beli, macam-macam lagi.

    “Tolong la hargai penghantar makanan macam kami semua… Kami bela diri dari dihina pelanggan, kami kena juga,” luahnya, lapor SatuBerita

    Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan kata-kata semangat kepada Muhd. Yusuf untuk terus bertabah dengan ujian yang dihadapi selain mendoakan agar lelaki tersebut dimurahkan rezeki.

    Lebih menyentuh hati, terdapat juga netizen yang bermurah hati apabila sudi untuk menawarkan Muhd. Yusuf membelikan susu anaknya sekiranya memerlukan bantuan.

    “Sabar bang Inshaa Allah ada rezeki untuk abang dan keluarga abang,” ujar @kucai di ruangan komen video berkenaan.

    “Semoga bro murah rezeki ya… Bro harus kuat. Insya Allah rezeki ada di mana-mana,” ujar @Kancil Hutan.

    “Dik kalau nak susu anak boleh mesej akak ya. Akak boleh tolong belikan. Jangan risau ramai yang sokong adik,” ujar @noniklebo di ruangan komen sama.

    Terdahulu pada Khamis lalu, pihak pengurusan sebuah universiti tempat pelanggan itu bekerja telah membuat permohonan maaf kepada Muhd. Yusuf selain telah mengenakan tindakan disiplin sewajarnya.

    Pihak pengurusan itu turut menafikan mempunyai kerjasama dengan syarikat makanan terbabit sepertimana didakwa oleh pelanggan terbabit dalam video tular yang kini telah ditonton lebih 3 juta kali.

  • ‘Kalau UMNO lawan kita, kita lawan dia’ – Tuan Ibrahim

    ‘Kalau UMNO lawan kita, kita lawan dia’ – Tuan Ibrahim

    Oleh BADLISHAH MAT

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan mereka sedia menjadi lawan UMNO jika perbincangan membentuk kerjasama antara kedua-dua parti itu gagal mencapai kata sepakat.

    Namun beliau berkata, Pas ketika ini yakin masih ada ‘cahaya di hujung terowong’ dalam soal kerjasama kedua-dua parti itu kelak bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Kita akan teruskan perbincangan mencari jalan terbaik dan kalau dia (UMNO) lawan kita, kita lawan dengan dia. (Tetapi) kita lebih suka untuk mencari jalan ke arah kebaikan bagi kesatuan ummah.

    “Tapi UMNO duk isytihar hendak lawan solo, kita tengoklah macam mana. Saya tengok dalam ‘mangkuk air’ ini belum nampak lagi, tapi mungkin InsyaAllah ada cahaya di hujung terowong,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda di Sungai Petani, Kedah.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa Pas juga tidak pernah membelakangkan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam apa jua tindakan termasuk perbincangan yang dilakukan bersama UMNO.

    Jelasnya, semua perkara yang dibincangkan akan dilapor terus kepada Majlis Pimpinan PN agar tidak wujud sebarang isu kelak.

    Pada Sabtu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa semua parti komponen PN perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada PRU-15 adalah Barisan Nasional (BN).

    Malah, ketika ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa BN adalah musuh utama PN yang perlu dilawan pada PRU-15, Tuan Ibrahim menegaskan parti Melayu harus mengelak pertembungan pelbagai penjuru.

    “Ini kerana kita mahu mengelak menang jadi arang, kalah jadi abu kerana politik bukan sekadar bertanding dalam pilihan raya semata-mata tetapi yang lebih penting adalah strategi untuk menang.

    “Buktinya kerjasama baik dalam politik adalah contoh dalam kerajaan Pusat dan negeri Kedah yang membabitkan Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dapat bekerjasama dan bekerja dengan baik,” katanya.