Author: Wartawan WartaRakyat

  • Murid Tahun Enam ditemui lemas

    Murid Tahun Enam ditemui lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Dungun berhampiran Kampung Rajawali, semalam ditemukan lemas.

    Mayat Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Pulau Serai dijumpai pukul 2.30 pagi tadi.

    Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata mayat Abdul Rafiuddin ditemukan pada jarak kira-kira 12 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

    “Pasukan mencari dan menyelamat menemui mangsa di dasar sungai pada kedalaman 2.5 meter.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Dalam kejadian petang semalam, keriangan lima sahabat mandi di Sungai Dungun berhampiran Kampung Rajawali bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya dikhuatiri lemas.

    Mangsa Abdul Rafiuddin disedari hilang kira-kira pukul 6 petang.

    Operasi mencari dan menyelamat melibatkan seramai 32 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk polis, bomba, angkatan pertahanan awam dan orang awam.

  • Hadi dan Muhyiddin bincang dua jam kukuhkan PN

    Hadi dan Muhyiddin bincang dua jam kukuhkan PN

    KETIKA pelbagai spekulasi dan komen dilemparkan kepada Perikatan Nasional (PN), pemimpin-pemimpin utama terus istiqamah untuk memperkuatkan gabungan itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

    Pertemuan dan perbincangan banyak diadakan termasuk secara santai bagi mencari jalan terbaik memperkukuhkan PN.

    Terbaharu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Menerusi perkongsian gambar di Facebooknya, Muhyiddin memberitahu perbincangan selama dua jam membuahkan banyak hasil.

    “Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna.

    “Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-15” katanya.

    Menerusi perkongsian itu antara yang hadir ialah, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Belia dan Sukan yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan yang juga Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin.

    Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin berkata ada membaca laporan dakwaan membabitkan pertemuan Presiden Pas dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan perlu mengetahui kedudukan sebenar.

    “Saya ada membaca berita (laporan akhbar mengenai dakwaan Abdul Hadi bertemu Ahmad Zahid) dan saya juga berminat untuk mengetahui perkara yang sebenarnya.

    “Jadi, saya akan dapatkan pengesahan Abdul Hadi dalam pertemuan yang telah ditetapkan Isnin atau Selasa ini,” katanya pada Sabtu lalu.

    Laporan media sebelum ini juga mendakwa Hadi dan Zahid mengadakan pertemuan untuk menghidupkan semula MN bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU-15.

    Laporan itu turut menyebut pertemuan tersebut berlangsung Sabtu lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO 30 September ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan selain mendapatkan penjelasan Pas, pertemuan itu juga akan turut membincangkan beberapa perkara penting lain sebagai persediaan menghadapi PRU-15.

  • Kanak-kanak berjaya selamatkan rakan dari diculik

    Kanak-kanak berjaya selamatkan rakan dari diculik

    SEORANG kanak-kanak gagalkan cubaan penculikan terhadap kawannya ketika dalam perjalanan balik ke rumah selepas bermain bola di padang Sekolah Kebangsaan Jeram Landak di Lipis, pukul 7.15 petang kelmarin.

    Kejadian itu didedahkan Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd. Noor dan insiden berkenaan turut ditularkan dalam media sosial.

    Menurutnya, ibu kepada kanak-kanak yang berjaya membantu menggagalkan cubaan itu telah membuat laporan polis pukul 1.50 petang semalam.

    “Sorotan kejadian itu yang berlaku berhampiran sekolah tersebut dan didakwa suspek dipercayai memandu kereta Proton Wira berwarna merah dan tidak dapat mengecam nombot plat kereta itu.

    “Wanita berkenaan memaklumkan kereta itu didakwa datang dari arah bertentangan dan memasang lampu besar, kemudian kereta itu terus berhenti dan cuba menarik pergelangan tangan kanan kanak-kanak tersebut melalui tingkap kereta.

    “Anaknya menolong menarik dan merentap tangan kawannya daripada lelaki tersebut sehingga mereka berdua terjatuh ke dalam semak, kereta itu terus memecut meninggalkan tempat tersebut,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan iaitu menculik dari penjagaan yang sah dan perlu dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan iaitu cuba melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara.

    Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan melaporkan dengan segera jika ada sebarang maklumat atau individu yang mencurigakan berada di kawasan kejiranan.

    “Sebarang maklumat boleh terus disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibupejabat Polid Daerah Lipis di talian 09- 3121999 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Husin Daud di talian 011-65426136,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Pendakwaan fail rayuan terhadap keputusan pembebasan Zahid

    Pendakwaan fail rayuan terhadap keputusan pembebasan Zahid

    PIHAK pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah sistem visa luar negara (VLN).

    Notis untuk membawa kes itu ke peringkat Mahkamah Rayuan difailkan hari ini, menurut laporan The Edge.

    Pada Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tiga saksi utama kes itu tidak boleh dipercayai.

    Tiga saksi tersebut adalah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun yang merupakan saksi pendakwaan (SP) ke-15, 16 dan 17.

    Zahid dihadapkan dengan 33 pertuduhan menerima rasuah dari UKSB berjumlah SG$13.56 juta (RM43.6 juta) antara 2014 dan 2017.

    Beliau yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Dalam Negeri turut dihadapkan tujuh pertuduhan mendapat SG$1.15 juta, RM3.125 juta, 15,000 Swiss franc (RM70,000) and AS$15,000 (RM68,000) dari syarikat sama.

    Beliau didakwa menerima rasuah untuk melanjutkan kontrak UKSB untuk mengendalikan servis one-stop centre (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem VLN bersepadu.

  • KPLB mohon peruntukan dalam Bajet 2023 wujudkan kelas pintar Tabika Kemas

    KPLB mohon peruntukan dalam Bajet 2023 wujudkan kelas pintar Tabika Kemas

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memohon peruntukan menerusi Bajet 2023 bagi menjadikan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai kelas pintar.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB merancang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 11,000 ribu buah Tabika KEMAS dilengkapi peralatan digital.

    “Insya Allah kita fight juga bajet (Bajet 2023) untuk KEMAS  bagi memulakan sekolah di bilik KEMAS ini dengan dipanggil ‘smart classroom’ dengan sekurang-kurangnya dimulakan dengan 800 kelas pintar,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kesatuan Kakitangan KEMAS Semenanjung Malaysia (KESATERIA) Ke-2 di Putrajaya hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

    Mahdzir berkata, elemen pendigitalan  dalam pendidikan awal kanak-kanak amat penting ketika ini dan tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada cara pengajaran lama.

    Mesyuarat Agung KESATERIA yang diadakan setiap tiga tahun sekali itu dihadiri lebih 300 perwakilan dan pemerhati daripada  12 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

  • Ulama terkemuka  Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia pada usia 96 tahun

    Ulama terkemuka Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia pada usia 96 tahun

    ULAMA terkemuka dunia kelahiran Mesir, Prof Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia pada usia 96 tahun di Qatar hari ini.

    Khabar sedih tersebut diumumkan dalam akaun media sosial Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) itu.

    Dilahirkan pada pada 9 September 1926, Allahyarham dikenali sebagai seorang Mujtahid di era moden ini.

    Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Qatar, tempat beliau tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.

    Allahyarham Yusuf telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.

    Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

    Allahyarham sangat masyhur menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton oleh 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

    Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.

  • Minuman keras RM2.1 juta tanpa cukai dirampas, 12 ditahan

    Minuman keras RM2.1 juta tanpa cukai dirampas, 12 ditahan

    SERBUAN polis terhadap sebuah gudang di Klang membawa kepada rampasan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai kira-kira RM2.1 juta, Rabu dan Khamis lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan, pihaknya telah berjaya merampas sebanyak 48,900 botol dan 480 tin pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai dalam serbuan tersebut.

    Menurut beliau, rampasan tersebut dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dibantu anggota Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

    Arjunaidi memaklumkan, serbuan pada pukul 5 petang itu susulan risikan yang dilakukan pihak polis.

    Katanya, polis turut berjaya menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 58 tahun dan sembilan pekerja warga asing dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun dalam serbuan pertama itu.

    “Serbuan pertama pada 21 September lalu, Bahagian Risik Batalion 4, PGA Semenyih telah menjalankan operasi melibatkan minuman keras tidak bercukai di sebuah premis di Jalan Hulubalang 27, Taman Sentosa, Klang.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM2.1 juta yang dirampas selepas menyerbu sebuah premis di kawasan Klang ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Siasatan awal mendapati minuman keras itu telah disimpan di kawasan gudang berpagar dengan warga asing tersebut diupah untuk menguruskan penyusunan minuman keras berkenaan,” katanya dalam sidang media hari ini, lapor Utusan TV.

    Susulan serbuan pertama, Arjunaidi memaklumkan, pihak CPSK JKDNKA dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kemudiannya menjalankan serbuan kedua di premis berdekatan.

    Hasilnya, beliau berkata, dua suspek wanita warga asing telah ditahan manakala sejumlah minuman keras tidak bercukai serta 270 kotak mengandungi mercun telah dirampas.

    Jelas beliau, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed GAMBAR: Warta Rakyat

    “Polis masih mengesan pemilik dan pengurus yang dipercayai seorang lelaki tempatan untuk membantu siasatan.

    “Kesemua suspek telah pun direman selama 14 hari sehingga 5 Oktober dengan kita akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat,” jelas beliau.

  • RM2.08b daripada sembilan transaksi masuk akaun Najib

    RM2.08b daripada sembilan transaksi masuk akaun Najib

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, akaun peribadi AmIslamic Bank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerima kemasukan wang berjumlah RM2.08 bilion melalui sembilan transaksi pada 2013.

    Lapor Berita Harian, Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R Uma Devi, yang juga saksi ke-37 pendakwaan mengesahkan kemasukan wang itu ke dalam akaun Najib dengan nombor akaun 211-202- 200969-4 (AM Private Banking MR) pada Mac dan April 2013.

    Beliau yang dirujuk dengan dokumen penyata akaun itu mengesahkan, wang sebanyak RM155 juta dimasukkan ke dalam akaun itu melalui tiga transaksi pada 22 Mac 2013, RM188 juta (26 Mac 2013), RM231 juta dan RM138.8 juta (28 Mac 2013), RM152.5 juta (8 April 2013), RM304 juta (9 April 2013) dan RM602 juta (10 April 2013)

    Wang yang diterima itu berkaitan dengan tuduhan ketiga terhadap Najib iaitu sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.08 bilion.

    Saksi itu berkata, antara 2 hingga 23 Ogos 2013, Najib mengeluarkan sejumlah RM2.03 bilion daripada akaun terbabit.

    Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, melalui pernyataan pembukaan sebelum ini berkata, sembilan pertuduhan pertama ke atas Najib membabitkan kes pengubahan wang haram yang berkait dengan penerimaan RM2.08 bilion ke dalam akaunnya.

    Katanya, antara 2 hingga 23 Ogos 2013, tertuduh memindahkan RM2.03 bilion ke Tanore Singapore dan baki RM22.6 juta digunakan untuk membayar empat entiti dan seorang individu.

    Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam, Uma Devi berkata, hanya Najib mendapat keistimewaan menukarkan akaunnya dengan nombor berakhir 694 dan 889 kepada kod selepas mendapat kelulusan pihak pengurusan atasan bank.

    Beliau berkata, Ahli Parlimen Pekan itu bertanggungjawab terhadap akaun itu seperti termaktub pada terma pembukaan akaun, yang mana hanya Pengurus Perhubungan dan Pengurus Cawangan bank boleh mendapatkan akses kepada akaun berkenaan.

    Dalam perbicaraan sebelum ini, Uma Devi berkata, Najib memiliki lima akaun di AmIslamic iaitu akaun semasa 211-202-201188-0 dengan kod AmPrivate Banking – 1MY, 211-202-201189-8 (AmPrivate Banking – Y1MY) dan 211-202-201190-6 (AmPrivate Banking – MY) manakala dua lagi akaun dengan nombor 211-202-200969-4 dan 211-002-009048-1 (akaun simpanan).

    Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

  • Warisan Kedah sasar tanding 8 kerusi Parlimen pada PRU-15

    Warisan Kedah sasar tanding 8 kerusi Parlimen pada PRU-15

    PARTI Warisan (Warisan) Kedah menyasarkan lapan daripada 13 kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi berkata, kesemua lapan kerusi Parlimen negeri Kedah yang ingin ditandingi parti itu ialah Alor Setar, Sungai Petani, Merbok, Padang Serai, Baling, Kuala Kedah, Pendang dan Pokok Sena.

    “Senarai nama calon telah diserahkan ke peringkat Pusat dan akan dimuktamadkan selepas mendapat kata putus Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    “Setakat ini kita sudah ada lapan kerusi Parlimen yang difikirkan sesuai untuk diangkat, kita (Kedah) ada 13 (kerusi Parlimen), yang kita kenal pasti lapan dahulu.

    “Keputusan sebenar berapa kerusia DUN (Dewan Undangan Negeri) dan juga Parlimen akan diputuskan oleh Presiden parti berdasarkan prestasi calon yang akan bertanding,” kata Fadzil dalam sidang media selepas mendengar rintihan penduduk Flat Simpang Kuala, Alor Setar hari ini.

    Pihaknya turut menyasarkan untuk bertanding di kawasan DUN dalam Parlimen tersebut.

    Katanya, walaupun parti itu baru sebulan bertapak di negeri Jelapang Padi ini, namun, sambutan yang diberikan di beberapa tempat cukup baik.

    Justeru, Fadzil berkata, beliau bersama jentera parti berusaha turun padang untuk mempromosikan Warisan.

    Jelasnya, Warisan berjaya menambat hari rakyat kerana agenda dibawa iaitu prihatin dengan isu dan masalah dihadapi rakyat.

    “Warisan cukup prihatin dengan isu-isu dan masalah yang dihadapi rakyat sebab itu di antara program yang kita adakan hari ini ialah kita hendak tunjuk kepada masyarakat kita prihatin dan bukan setakat kita kumpul isu-isu dan kita akan bawa ketengahkan isu itu.

    “Kalau kita boleh berjaya selesaikan isu yang dibangkitkan oleh rakyat, maka kita rasa itu satu kejayaan yang cukup besar, kemudian terpulang kepada masyarakat untuk menilai,” ujar Fadzil.

    Pada 17 September lalu Mohd Shafie Apdal telah melancarkan parti berkenaan di Kedah.

  • Ahmad Maslan oportunis, mahu lagakan parti komponen PN

    Ahmad Maslan oportunis, mahu lagakan parti komponen PN

    TINDAKAN Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan bahawa kepimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak sehaluan mengenai pendirian gabungan itu terhadap Barisan Nasional (BN), dilabel sebagai bersifat oportunis.

    Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, tindakan Ahli Parlimen Pontian itu hanya ingin mengambil kesempatan dalam kesempitan seolah-olah mahu melaga-lagakan hubungan antara parti komponen gabungan tersebut.

    Katanya, Ahmad Maslan sebagai ahli politik berpengalaman perlu membezakan antara pandangan peribadi dengan kenyataan rasmi parti.

    “Perlu dibezakan kenyataan individu dan kenyataan rasmi daripada parti. Apa yang diperkatakan oleh Ahmad Maslan itu hanyalah tindakan mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan PN.

    “Sepertimana yang diperkatakan oleh Datuk Seri Takiyuddin, itu adalah pandangan peribadi beliau. Namun ia bukan pendirian rasmi oleh parti Pas,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

    Terdahulu pada Isnin, Ahmad Maslan mendakwa kepimpinan PN sudah tidak sehaluan apabila kenyataan daripada Pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan BN merupakan musuh utama PN.

    Sementara Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula menyifatkan UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama).

    Menurut Mahathir, sesiapa sahaja berhak untuk mengeluarkan pandangan peribadi masing-masing, justeru kenyataan Ahmad Maslan menurut beliau, disifatkan hanya sebagai ‘cakap-cakap politik’.

    “Sepertimana yang diperkatakan oleh Datuk Seri Takiyuddin, itu adalah pandangan peribadi beliau. Namun ia bukan pendirian rasmi oleh parti Pas.

    “Malah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga menyokong untuk melawan UMNO jika UMNO berkeras mahu menentang Pas pada PRU-15 kelak. Kenyataan mana mereka mahu ikut? Kerana itu ia hanyalah pandangan peribadi. Jangan dicampur adukkan dengan kenyataan rasmi parti.

    “Ini perkara biasa terutamanya dalam satu gabungan yang ditunjangi oleh banyak parti, perbezaan pendapat dan mengeluarkan pendapat peribadi itu perkara biasa,” ulasnya.

    Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan kepada Ahmad Maslan untuk menumpukan perhatian kepada parti sendiri yang dikatakan masalah dalaman tersendiri berbanding menunding jari terhadap orang lain.

    “Kalau kata Perikatan Nasional ada masalah dalaman, BN juga ada masalah dalaman seperti yang kita lihat sejak kebelangan ini parti MIC dan MCA menyuarakan ketidakpuasan hati dengan pembahagian kerusi dan sebagainya” katanya lagi.