PIHAK pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah sistem visa luar negara (VLN).

Notis untuk membawa kes itu ke peringkat Mahkamah Rayuan difailkan hari ini, menurut laporan The Edge.

Pada Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tiga saksi utama kes itu tidak boleh dipercayai.

Tiga saksi tersebut adalah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun yang merupakan saksi pendakwaan (SP) ke-15, 16 dan 17.

Zahid dihadapkan dengan 33 pertuduhan menerima rasuah dari UKSB berjumlah SG$13.56 juta (RM43.6 juta) antara 2014 dan 2017.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Dalam Negeri turut dihadapkan tujuh pertuduhan mendapat SG$1.15 juta, RM3.125 juta, 15,000 Swiss franc (RM70,000) and AS$15,000 (RM68,000) dari syarikat sama.

Beliau didakwa menerima rasuah untuk melanjutkan kontrak UKSB untuk mengendalikan servis one-stop centre (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem VLN bersepadu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here