KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memohon peruntukan menerusi Bajet 2023 bagi menjadikan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai kelas pintar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB merancang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 11,000 ribu buah Tabika KEMAS dilengkapi peralatan digital.

“Insya Allah kita fight juga bajet (Bajet 2023) untuk KEMAS  bagi memulakan sekolah di bilik KEMAS ini dengan dipanggil ‘smart classroom’ dengan sekurang-kurangnya dimulakan dengan 800 kelas pintar,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kesatuan Kakitangan KEMAS Semenanjung Malaysia (KESATERIA) Ke-2 di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

Mahdzir berkata, elemen pendigitalan  dalam pendidikan awal kanak-kanak amat penting ketika ini dan tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada cara pengajaran lama.

Mesyuarat Agung KESATERIA yang diadakan setiap tiga tahun sekali itu dihadiri lebih 300 perwakilan dan pemerhati daripada  12 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here