Author: Wartawan WartaRakyat

  • Perakuan MPN: Kabinet lulus 90.5 %, laksana hanya 23.2 peratus

    Perakuan MPN: Kabinet lulus 90.5 %, laksana hanya 23.2 peratus

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) hari ini mendedahkan walaupun Kabinet telah meluluskan 90.5% daripada perakuan-perakuan majlis itu berkaitan  inisiatif-inisiatif yang berorientasikan tindakan (action-oriented) dan segera (immediate) untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan namun dari segi pelaksanaannya ia  mengecewakan.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada 69 perakuan berkaitan isu-isu utama hanya 16 perakuan atau 23.2% telah selesai dilaksanakan.

    ‘’Manakala 30 perakuan (43.5%) masih dalam pelaksanaan, 14 perakuan (20.3%) belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan dan 9 perakuan (13%) masih menunggu keputusan Kabinet,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kuala Lumpur hari ini.

    Muhyiddin turut memberi beberapa contoh perakuan utama MPN yang prestasi pelaksanaannya adalah tidak memuaskan antaranya berkaitan dengan isu kekurangan tenaga kerja asing terutamanya dalam industri PMKS yang menjejaskan produktiviti dan merencat proses pemulihan negara.

    ‘’Bagi menangani masalah ini, MPN dalam mesyuaratnya pada 2 Disember 2021 telah memperakukan kepada kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia. Tugas Jawatankuasa Tindakan Khas ini ialah untuk meneliti dengan terperinci apakah permasalahan dalam pengambilan pekerja asing dan mencari jalan penyelesaiannya dengan kadar segera.

    ‘’Namun begitu, dalam beberapa mesyuarat MPN selepas itu, wakil PMKS masih menimbulkan masalah kekurangan tenaga kerja asing yang terus membelenggu industri PMKS. MPN dalam beberapa mesyuarat sebelum ini dan pada mesyuarat hari ini telah menjemput Kementerian Sumber Manusia untuk membentangkan kemajuan status penggajian pekerja asing,’’ katanya.

    Beliau berkata, MPN dimaklumkan sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima daripada semua sektor industri daripada Januari hingga September 2022 dan daripada jumlah ini, sebanyak 467,223 (40.5%) kuota telah diluluskan tetapi hanya 76,000 (6.5%) pekerja asing telah dibawa masuk ke negara ini setakat 12 September lalu.

    ‘’Data ini menunjukkan jumlah kemasukan pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar industri. Bagi MPN, isu kekurangan tenaga kerja asing di negara ini masih meruncing dan tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan walaupun MPN telah membangkitkan isu ini sejak bulan Disember tahun lalu,’’ katanya.

    Muhyiddin menegaskan, MPN berpandangan langkah segera mestilah diambil oleh Kementerian Sumber Manusia untuk mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing yang diperlukan oleh semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara.

    ‘’Saya juga meminta supaya Perdana Menteri mengambil perhatian utama terhadap isu ini dan memastikan permasalahan yang dihadapi oleh industri dapat diselesaikan dengan seberapa segera,’’ katanya.

  • Lelaki dikhuatiri lemas semasa seberang sungai

    Lelaki dikhuatiri lemas semasa seberang sungai

    SEORANG lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menye3berangi sungai dalam kejadian di Kampung Labou-Labou, di Tambunan, pukul 6 petang semalam.

    Mangsa, Helry Junior Michel yang berusia 29 tahun, hilang dihanyutkan arus sungai deras.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 6.20 petang.

    “Sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
    “Setakat ini, mangsa masih gagal ditemui dan tiada sebarang petunjuk berjaya dikesan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 2.16 pagi berikutan keadaan cuaca yang gelap menyukarkan operasi SAR.

    Katanya, operasi disambung semula pukul 7 pagi tadi dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

  • Langgar kewajipan fidusiari: Pengundi Gombak gagal saman Azmin

    Langgar kewajipan fidusiari: Pengundi Gombak gagal saman Azmin

    SERAMAI 10 pengundi gagal menyaman Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali atas dakwaan melanggar kewajipan fidusiari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan awal Mahkamah Rayuan membatalkan kes itu.

    Free Malaysia Today melaporkan, Mahkamah tertinggi mendapati kumpulan itu gagal membangkitkan persoalan undang-undang yang mempunyai kepentingan awam untuk mewajarkan kebenaran merayu keputusan mahkamah rendah.

    Kumpulan pengundi itu mendakwa Azmin bertanding pada pilihan raya 2018 untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN), tetapi kemudiannya mengingkari janjinya dengan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.

    Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed berkata cadangan persoalan yang dikemukakan dalam permohonan kebenaran merayu tidak memenuhi Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    “Kami tidak yakin bahawa persoalan yang dicadangkan mencapai ambang, dan dengan itu menolaknya. Memandangkan ini kes kepentingan awam, kami tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos,” katanya dalam sidang video.

    Pada 13 April, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Azmin untuk membatalkan saman itu kerana terdapat kesilapan yang boleh dirayu.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Sudah-sudah Tun, berehatlah

    Sudah-sudah Tun, berehatlah

    KETUA Bahagian BERSATU Tasek Gelugor, Azmi Alang percaya, adalah tidak wajar sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menjadi perdana menteri buat kali ketiga.

    Memetik laporan portal BeritaBersatu, beliau berkata sudah tiba masanya untuk Dr Mahathir berehat dari kancah politik.

    “Dulu kita telah bertungkus lumus untuk dia jadi perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    “Kenapa dia letak jawatan, kalau nak jadi perdana menteri,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang memaklumkan sedia untuk kembali dilantik menjadi perdana menteri bagi kali ketiga, sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.

    Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sebenarnya mahu memilih untuk berehat dan hanya memainkan peranan sebagai penasihat.

    Namun, katanya jika terus menerima desakan, beliau tidak keberatan untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

    Sementara itu, Azmi berkata beliau menyanjung Dr Mahathir sebagai bekas perdana menteri yang membawa kemakmuran pada negara sebelum ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata bukan masanya lagi untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri lagi.

    “Masa dia untuk rehat. Tidak perlu campur aduk politik.

    “Duduk di rumah dengan anak cucu. Buat amal ibadat, sudahlah,” katanya.

    Dalam pada itu, Azmi berkata pengaruhi Gerakan Tanah Air (GTA) di Pulau Pinang tidak memberi impak yang besar kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

    Katanya, sokongan PN kuat dan tidak terganggu dengan parti-parti baru.

    “Parti baru ini, apa saya temgok setakat setengah jalan sahaja.

    “Takkan boleh nak goyang PN. Bagi pendapat saya, PN Pulau Pinang tak ada masalah dengan kehadiran GTA,” katanya.

  • Armada Lembah Pantai terima 200 borang ahli baharu

    Armada Lembah Pantai terima 200 borang ahli baharu

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lembah Pantai menerima 200 borang keahlian baharu Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

    Ketua Bersatu Bahagian Lembah Pantai, Ir. Zainal Ariffin Osman berkata, perkembangan itu menunjukkan kekuatan di Parlimen Lembah Pantai seimbang di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

    “Ini sebagai tanda sokongan golongan muda bersedia melibatkan diri membantu jentera parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya memetik laporan Portal Bersatu.

    Borang keahlian baharu itu diseragkan kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Terdahulu Wan Saiful hadir merasmikan program Taklimat Jentera Pilihan Raya dan Perbincangan Isu-Isu Semasa Bersatu Lembah Pantai.

    Seramai 400 peserta hadir, melibatkan Armada dan Srikandi serta penduduk-penduduk di sekitar Parlimen Lembah Pantai.

  • Polis tahan 9 lelaki kes gaduh di pusat hiburan

    Polis tahan 9 lelaki kes gaduh di pusat hiburan

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai sembilan lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah kawasan pusat hiburan di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, pada pagi Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.43 pagi itu, beberapa lelaki turut cedera akibat dipukul menggunakan objek tajam.

    Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati pergaduhan itu disebabkan perselisihan faham yang mengheret kepada kejadian pukul.

    “Mereka yang mengalami kecederaan turut dirawat di Hospital Bukit Mertajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Cheng San, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan antara 17 hingga 32 tahun itu kini direman selama empat hari.

    Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata.

    “Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Lelaki tertimbus dalam runtuhan bangunan dalam pembinaan

    Lelaki tertimbus dalam runtuhan bangunan dalam pembinaan

    SEORANG lelaki tertimbus dalam kejadian runtuhan bangunan sedang dalam pembinaan di Oxley Towers, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurut Jurucakap bomba, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.23 tengah malam tadi.

    “Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan BBP Keramat segera dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi, bomba mendapati kejadian membabitkan sebuah bangunan dalam pembinaan runtuh di tingkat 51.

    “Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa dipercayai sudah tertimbus,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pasukan bomba.

  • Muhyiddin: Pemergian Yusuf al-Qaradawi kehilangan besar kepada dunia Islam

    Muhyiddin: Pemergian Yusuf al-Qaradawi kehilangan besar kepada dunia Islam

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemergian ulama terkemuka dunia kelahiran Mesir, Prof Dr Yusuf al-Qaradawi semalam sebagai satu kehilangan besar kepada dunia Islam.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, Allahyarham merupakan seorang ulama yang paling disegani atas sumbangan besarnya kepada umat sejagat.

    “Saya merasa sungguh dukacita apabila mendapat perkhabaran
    ulama muktabar dunia, Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi telah kembali ke rahmatullah.

    “Pemergian Dr. Yusuf al-Qaradawi merupakan satu kehilangan besar kepada dunia Islam kerana Almarhum merupakan seorang ulama yang paling disegani,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata,
    semasa hayatnya, Almarhum memberi sumbangan besar menerusi penghasilan lebih 120 naskhah buku termasuk naskhah perundangan Islam yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

    “Sungguh besar jasa bakti dan sumbangan Almarhum kepada umat sejagat sehingga dianggap sebagai seorang mujtahid pada era moden ini.

    “Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan Allah mengampunkan segala dosanya serta menggandakan pahala atas segala kebaikan dan sumbang bakti yang tidak terhingga kepada umat manusia. Al- Fatihah,” katanya.

    Allahyarham Yusuf meninggal dunia pada usia 96 tahun di Qatar, tempat beliau tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.

    Allahyarham Yusuf telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.

    Allahyarham sangat masyhur menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton oleh 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

    Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.

  • Bekas pegawai khas MB mengaku tidak bersalah palsukan slip gaji

    Bekas pegawai khas MB mengaku tidak bersalah palsukan slip gaji

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS pegawai khas Menteri Besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan memalsukan slip gaji berjumlah lebih RM15,000, empat tahun lalu.

    Khairul Anuar Daud, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Tertuduh yang kini bekerja sebagai ketua pegawai operasi syarikat penerbangan didakwa memalsukan dokumen slip gaji syarikat penerbangan bagi Mei 2018 atas namanya yang berjumlah RM15,820.63, supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan menipu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia syarikat berkaitan kerajaan di Johor Bahru, antara 26 Jun hingga 10 Julai 2018.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh manakala tertuduh diwakili peguam, Hazza Khalid dan Suraya Hani Abdul Halim.

    Terdahulu, Dayang Masneh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin manakala pasport antarabangsa tertuduh diserah kepada mahkamah selain tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Baru pada setiap bulan.

    Namun, peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin berikutan tiga anak tertuduh masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

    “Tertuduh memohon supaya jumlah ikat jamin diturunkan kepada RM8,000 berikutan hanya dia yang bekerja menanggung keluarganya,” katanya.

    Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Pasport antarabangsanya turut diperintah diserah kepada mahkamah dengan arahan supaya melapor diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru,sebulan sekali sehingga kesnya selesai.

    Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 21 November bagi penyerahan dokumen.

  • Tuduhan gangguan seksual, Ebit Lew tiba di mahkamah Tenom

    Tuduhan gangguan seksual, Ebit Lew tiba di mahkamah Tenom

    PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di Mahkamah Majistret Tenom pagi ini untuk menghadiri perbicaraan hari pertama pertuduhan gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya.

    Ebit tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi, menaiki kereta jenis pacuan empat roda Toyota Land Cruiser warna hitam selain diiringi beberapa kenderaan lain.

    Mengenakan baju kemeja serba hitam serta berkopiah putih, Ebit yang ditemani peguam serta sekumpulan individu kelihatan tenang dan memberikan senyuman ketika memasuki pintu utama mahkamah.

    Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

    Dakwaan terhadap Ebit dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021.

    Perbicaraan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan Ebit Liew berlangsung 27 hingga 30 September.

    Terdahulu, pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan Ebit dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan. Ebit didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan lapor BH Online.