KETUA Bahagian BERSATU Tasek Gelugor, Azmi Alang percaya, adalah tidak wajar sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menjadi perdana menteri buat kali ketiga.

Memetik laporan portal BeritaBersatu, beliau berkata sudah tiba masanya untuk Dr Mahathir berehat dari kancah politik.

“Dulu kita telah bertungkus lumus untuk dia jadi perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kenapa dia letak jawatan, kalau nak jadi perdana menteri,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang memaklumkan sedia untuk kembali dilantik menjadi perdana menteri bagi kali ketiga, sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sebenarnya mahu memilih untuk berehat dan hanya memainkan peranan sebagai penasihat.

Namun, katanya jika terus menerima desakan, beliau tidak keberatan untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Sementara itu, Azmi berkata beliau menyanjung Dr Mahathir sebagai bekas perdana menteri yang membawa kemakmuran pada negara sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata bukan masanya lagi untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri lagi.

“Masa dia untuk rehat. Tidak perlu campur aduk politik.

“Duduk di rumah dengan anak cucu. Buat amal ibadat, sudahlah,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata pengaruhi Gerakan Tanah Air (GTA) di Pulau Pinang tidak memberi impak yang besar kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Katanya, sokongan PN kuat dan tidak terganggu dengan parti-parti baru.

“Parti baru ini, apa saya temgok setakat setengah jalan sahaja.

“Takkan boleh nak goyang PN. Bagi pendapat saya, PN Pulau Pinang tak ada masalah dengan kehadiran GTA,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here