Author: Wartawan WartaRakyat

  • Hamzah harap Pas guna logo PN

    Hamzah harap Pas guna logo PN

    Oleh BADLISHAH MAT

    LOGO Perikatan Nasional (PN) wajar dipertahankan oleh parti-parti komponen dalam gabungan itu sebagai tanda kesepakatan dan kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya berharap rakan gabungan itu, Pas termasuk di Kedah memilih untuk menggunakan logo PN.

    Tambah beliau, PN mempunyai gabungan parti yang kukuh terutama dalam kalangan Pas yang mampu memberi tentangan hebat kepada Barisan Nasional (BN).

    “Saya nak maklumkan bila saya bersama dengan rakan-rakan daripada Pas dalam kerajaan saya tengok depa (mereka) ini baik-baik belaka, saya ucapkan tahniah.

    “Jadi bila saya sudah kata macam itu, jangan fikir lain lagi, ini logo PN kena tukarlah. Pasai apa? Nanti orang ingat colour (warna) sama (Barisan Nasional). Colour sama logo lain.
     
    “Logo depa dacing. Bila pilihan raya, gambar yang keluar dacing. Kita? Bila mengundi esok yang keluar, saya nak bagitahu. Kitalah satu-satunya parti yang tulis penuh ‘Perikatan Nasional’. Dari zaman merdeka sampai sekarang ada lagi ke pengundi yang tak reti baca,” katanya.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Setiausaha Agung PN, di Alor Setar, Kedah malam tadi.

    Pas Kelantan, Terengganu dan Kedah sebelum ini bercadang untuk menggunakan logo parti itu di negeri masing-masing pada PRU-15. 
     
    Tambah Hamzah, logo PN juga perlu terus diperkenalkan di semua kawasan terutama luar bandar agar memudahkan para pengundi.

    “Kita nak pertahankan benda ini. Apabila sudah menang esok dan sudah berkuasa, pada masa itu Yang Amat Berhormat Datuk Seri Sanusi akan turun dari kampung ke kampung tunjuk, ini logo baharu kita.
     
    “Kita lancarkan dari kampung ke kampung, semua orang kampung. Masa ini kita jangan lupa sebab nak senangkan logo kepada rakyat bawah. Esok-esok depa tanya logo siapa pula ini? Jadi Pengerusi PN Kedah, tolong pertahankan logo PN,” katanya.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata, BN termasuk UMNO sukar bangkit semula menawan rakyat kerana mereka sebagai parti besar yang ‘jatuh’ seperti parti di negara lain ketika pilihan raya sebelum ini termasuk di Indonesia dan Turki.

    “Apa pun depa (BN) buat biarlah, rakyat tahulah, cukup-cukuplah. Dahulu di Indonesia parti yang paling besar sebelum merdeka sampai sekarang, hari ini parti itu (Golkar) masih besar tetapi tak boleh memerintah dah.
     
    “Di Turki sama. Saya yakin itulah yang kita mampu lakukan walaupun kita baru bergabung dengan Pas parti yang dilihat oleh rakyat penuh berintegriti ini akan terus memerintah bukan dua tiga tahun tetapi selama-lamanya,” katanya.

  • 109,758 saman tertunggak warga Singapura di Johor sejak 2014

    109,758 saman tertunggak warga Singapura di Johor sejak 2014

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEJUMLAH 109,758 saman tertunggak warga Singapura membabitkan pelbagai kesalahan trafik di Johor sejak 2014 hingga kini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, daripada jumlah itu sebanyak 23.5 peratus sudah dijelaskan manakala 76.4 peratus lagi belum dijelaskan.

    “Secara keseluruhan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor mengeluarkan 2.3 juta saman sejak 2014 sehingga kini dan setakat ini hanya 600,000 saman sudah dijelaskan.

    “Terdapat 2.2 juta saman lagi belum dijelaskan. Antara saman paling banyak dilakukan warga tempatan dan Singapura adalah memandu laju melebihi had dan kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum pelepasan konvoi bagi Program Ramah Mesra PDRM Johor Bersama Brother Motor di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahrum hari ini.

    Justeru sempena program pengurangan saman PDRM Johor sebanyak 50 peratus yang bermula pada Jumaat hingga 2 Oktober ini, beliau berharap semua pesalah trafik berkenaan mengambil peluang itu untuk menjelaskan saman.

    Katanya, orang ramai boleh berurusan di balai trafik di 13 daerah yang bermula pukul 8.30 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

    Mengenai program berkenaan, beliau berkata, tujuannya untuk menyantuni, memberi nasihat dan beramah mesra dengan penunggang motosikal supaya menunggang dengan berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya.

    Jelasnya, ini kerana kemalangan maut membabitkan motosikal sering berlaku di negeri ini dan diharap program berkenaan akan memberi kesan selain menggalakkan orang ramai membayar saman.

    “Program ini mengambil masa tiga hari sejauh 734 kilometer. Kita juga akan memberi sumbangan ikhlas kepada golongan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim dan fakir miskin,” katanya.

  • Sekumpulan pelancong jatuh sakit selepas bercuti di Pulau Perhentian

    Sekumpulan pelancong jatuh sakit selepas bercuti di Pulau Perhentian

    PERCUTIAN tiga malam ke Pulau Perhentian Kecil berakhir dengan mimpi ngeri bagi sekumpulan 40 pelancong apabila jatuh sakit selepas berenang di perairan pulau berkenaan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, seorang daripada pelancong berkenaan, Hasan Yahaya berkata, mereka yang jatuh sakit terdiri daripada 27 dewasa, tujuh kanak-kanak dan enam kanak-kanak kecil.

    Menurutnya, kesemua pelancong mula mengalami mual dan muntah-muntah selepas percutian di perairan Terengganu itu, baru-baru ini.

    “Ada yang sudah mula rasa tidak sedap hati ketika percutian itu tetapi kami tidak terlalu memikirkannya. Kami menyangka apa dirasai mungkin disebabkan terdedah terlalu lama dengan terik matahari atau sekadar mabuk laut,” katanya.

    Hasan menurut laporan itu memaklumkan, sebahagian daripada kumpulan tersebut mengalami cirit-birit dan demam panas sejurus selepas pulang dan beberapa dimasukkan ke hospital.

    Katanya, seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu dan dua lagi kanak-kanak kecil mengalami keracunan darah.

    Hasan berkata, dia kini tertanya-tanya sama ada air kumbahan mentah telah meresap ke dalam laut.

    Terdapat sekitar 50 resort di Pulau Perhentian, yang terletak kira-kira 22km dari Kuala Besut, iaitu pelayaran 45 minit menaiki bot.

    Pada Jun, FMT melaporkan enam wanita mengalami keracunan makanan walaupun mematuhi nasihat supaya hanya makan makanan di resort tempat mereka menginap disebabkan “kes keracunan makanan yang semakin meningkat”.

    Pengunjung ke pulau itu meninggalkan komen negatif di laman web percutian popular, termasuk mengakui mengalami cirit-birit dan muntah-muntah selepas bercuti di situ.

    Hasan berkata, aduan telah dibuat kepada pengurusan resort, selain laporan kepada Jabatan Kesihatan Kuala Besut dan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Menurutnya, setakat ini hanya KKM memberi maklum balas dengan meminta butiran mereka yang dimasukkan ke hospital, namun yang lain hanya berdiam diri.

    “Mereka seolah-olah tidak memandang serius perkara ini. Ia merosakkan reputasi mereka malah mengakibatkan kos tambahan bagi mereka yang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

    “Pihak relevan mesti mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini, jika tidak ia akan memberi kesan negatif terhadap industri pelancongan negara,” katanya.

    FMT telah menghubungi pihak pengurusan resort, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Jabatan Kesihatan Kuala Besut untuk mengulas perkara itu, tetapi belum menerima sebarang maklum balas.

  • Pas Terengganu sedia bertembung BN, UMNO pada PRU-15

    Pas Terengganu sedia bertembung BN, UMNO pada PRU-15

    PAS Terengganu bersedia untuk bertembung dengan mana-mana parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Hanafiah Mat, berkata pertembungan itu tidak dapat dielakkan sekiranya BN tetap tegas dengan pendirian untuk bergerak solo.

    “Kita bersedia menghadapi siapa pun musuh yang akan bertanding dengan kita selain daripada PH (Pakatan Harapan) kalau BN sanggup bertembung dengan kita, insya-Allah kita akan lawan dengan sekuat-kuatnya.

    “Kita yakin hari ini seluruh rakyat negeri Terengganu yang kita jumpa semua memberi kepercayaan dan menaruh harapan Pas memerintah selepas PRU-15 kerana rakyat sangat puas hati dengan apa yang Pas lakukan (sepanjang memerintah).

    “Insya-Allah, Pas Terengganu akan mempertahankan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam Parlimen yang dimenangi pada PRU sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Sayyidatina Aishah 2022 dan Majlis Pelancaran Dasar Wanita Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, semalam.

    Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, Pas juga masih berusaha untuk mempertahankan hubungan dengan UMNO menerusi kerjasama yang terjalin menerusi Muafakat Nasional (MN).

    “Kita patuh kepada Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) (yang mana) Presiden menyatakan kita masih mahu bersama MN kerana kita mahu negara diperintah oleh orang Melayu.

    “Jadi setakat ini, kita masih mempertahankan MN, terpulang kepada pimpinan negeri Terengganu,” katanya memetik BH Online.

    UMNO Terengganu sebelum ini memutuskan untuk bergerak solo dan sedia bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN dalam PRU-15.

    Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat berikutan tidak berlaku sebarang kerjasama dalam MN di Terengganu.

  • Dasar gagal, banyak rumah baharu di Pulau Pinang tidak terjual

    Dasar gagal, banyak rumah baharu di Pulau Pinang tidak terjual

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendakwa dasar perumahan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal berikutan banyak rumah yang dibina di negeri itu tidak terjual.

    Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, Data Laporan Pasaran Hartanah H1 2022 yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) di bawah Kementerian Kewangan baru-baru ini menunjukkan Pulau Pinang negeri kedua dengan perumahan baharu paling tidak terjual pada separuh pertama tahun ini.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, 80 peratus daripada 5,508 rumah baharu yang tidak terjual di Pulau Pinang itu pula berharga melebihi RM300,000.

    “Ini menunjukkan dasar perumahan yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-DAP Pulau Pinang gagal sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Tong Keong, data perumahan tidak terjual itu juga menunjukkan apa yang diperlukan oleh penduduk Pulau Pinang adalah rumah berharga di bawah RM300,000.

    Katanya, penduduk tidak memerlukan rumah mampu milik yang dipromosikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sekurang-kurangnya berharga RM300,000.

    “Perumahan mampu milik ini seperti ini adalah tidak mampu dimiliki oleh rakyat Pulau Pinang,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan PH Pulau Pinang melaksanakan semula dasar 30 peratus perumahan kos rendah yang dilaksanakan oleh Gerakan ketika mentadbir Pulau Pinang sebelum ini.

    “Kerajaan PH Pulau Pinang mesti belajar daripada Gerakan dan menetapkan semua pemaju membina 30 peratus rumah kos rendah berharga RM72,500 dalam projek pembangunan mereka.

    “Ini perlu dilaksanakan supaya rakyat berpeluang membeli rumah mengikut kemampuan mereka,” katanya.

    Tambah beliau wabak Covid-19 menyebabkan beban hidup majoriti rakyat termasuk penduduk Pulau Pinang meningkat dan mereka tidak mampu membeli rumah melebihi RM300,000.

  • Suspek buang sampah dalam sungai ditahan

    Suspek buang sampah dalam sungai ditahan

    POLIS mengambil keterangan seorang pengutip sampah selepas video tular lelaki itu membuang sampah ke dalam sungai di percayai di Sungai Wak Rabun, Pontian tular sejak tengah hari semalam.

    Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Bandar Pontian, kira-kira jam 7 malam tadi, selepas lima jam usaha mencarinya dijalankan.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki warga tempatan itu didapati negatif dadah namun mempunyai banyak rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah

    “Kita cuba mengesan suspek selama lima jam termasuk di rumahnya tetapi tiada dan kita kemudian berjaya menghubungi dan menemuinya di kawasan bandar Pontian. Apabila berjaya ditemui dan ditahan, kita bawa suspek ke balai polis dan menjalankan pemeriksaan serta siasatan.

    “Suspek yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan itu diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membuang sampah dari kenderaan.

    “Perbuatan itu (membuang sampah dari kenderaan) adalah satu kesalahan dan boleh dihukum saman atau dikompaun sehingga RM2,000,”katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media pada acara pelepasan (Flag Off) Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brother Motor di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru.

    Semalam, tular satu video memaparkan seorang pemandu lori satu tan memberhentikan kenderaan berat itu sebelum memikul sampah daripada kenderaan dan membuangnya dari atas jambatan di Pontian.

    Tindakannya itu dirakam orang awam sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook dan mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Kamarul Zaman berkata, Onn Hafiz kemudian menghubungi beliau dan meminta pihak polis membantu mengambil tindakan.

    “Saya kemudian mengarahkan Ketua Polis Daerah Pontian untuk mengambil tindakan mengesan suspek.

    “Suspek mendapat bayaran daripada kerja mengutip sampah dari kilang dan tempat pembuangan sampah dan sampah dikutip sepatutnya dibuang di tempat khas, namun suspek bertindak mengambil jalan mudah.

    “Kita sudah tahan suspek dan nasihatkannya, dia juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Mungkin sebelum ini dia buat, orang tidak nampak,” jelasnya.

    Jelas Kamarul Zaman, polis turut bekerjasama dengan pihak pentadbir sungai di Johor iaitu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang turut menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang mereka.

    “SWCorp juga akan siasat, kita sudah bincang dengan mereka, SWCorp juga akan amik tindakan dan untuk mereka, boleh kompaun sehingga maksimum RM10,000,” katanya.

  • Rasuah; Pulau Pinang sedia kerjasama, tuntut ketelusan SPRM

    Rasuah; Pulau Pinang sedia kerjasama, tuntut ketelusan SPRM

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan pegawai di negeri itu yang terlibat dengan amalan rasuah dapat ditangani dengan serius.

    Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pihaknya juga mahu SPRM telus dalam mendedahkan jumlah kes yang dibawa ke mahkamah dan jumlah penjawat awam yang didapati bersalah.

    Tambah beliau, Pulau Pinang mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap jenayah rasuah yang melibatkan penjawat awam di negeri itu kerana ia selaras dengan prinsip tadbir urus baik Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT) yang diamalkan sejak 2008.

    “Kami menuntut ketelusan di pihak SPRM kerana kami tidak mahu imej penjawat awam Pulau Pinang dan kerajaan negeri tercemar hanya dengan jumlah aduan yang diterima sejak 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, sebanyak 919 aduan diterima SPRM berhubung kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019 sehingga kini.

    Menurut Azam daripada jumlah itu, sebanyak 312 aduan melibatkan kes menerima suapan manakala salah guna kuasa (147 kes).

    Sementara itu Kon Yeow berkata, tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang sama ada penjawat awam dari agensi Persekutuan atau negeri.

    “Sekiranya didapati terlibat dalam menerima rasuah, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu, mereka mesti disiasat dan didakwa secepat mungkin,” katanya.

  • Waris Sultan Sulu cuba rampas aset Malaysia di Belanda pula

    Waris Sultan Sulu cuba rampas aset Malaysia di Belanda pula

    SELEPAS Perancis, waris Kesultanan Sulu memohon kebenaran di mahkamah Belanda untuk merampas aset Malaysia di negara itu, kata peguam mereka.

    Lapor agensi berita Reuters, waris berkenaan berusaha menguatkuasakan perintah ganjaran timbang tara sebanyak AS$15 bilion (RM70 bilion) yang patut dibayar oleh kerajaan Malaysia kepada mereka.

    Petisyen di Mahkamah Rayuan The Hague itu menyebabkan pertikaian perjanjian tanah era kolonial yang semakin berlarutan dan mengancam aset luar negara kerajaan Malaysia dan syarikat milik kerajaan.

    Kerajaan Malaysia yang tidak mengiktiraf tuntutan waris itu, bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas berhubung petisyen itu.

    15 Februari lalu, sebuah mahkamah timbang tara di Perancis mengarahkan Malaysia membayar AS$15 bilion, anugerah timbang tara kedua terbesar dalam rekod kepada waris terakhir Sultan Sulu.

    Malaysia berjaya mendapatkan penangguhan sementara menunggu rayuan tetapi anugerah itu tetap boleh dikuatkuasakan di luar Perancis di bawah perjanjian PBB berkaitan timbang tara antarabangsa.

    Waris kesultanan Sulu yang pernah menguasai wilayah dari Selatan Filipina hingga sebahagian kepulauan Borneo, memohon mahkamah di Belanda mengiktiraf dan menguatkuasakan anugerah timbang tara itu.

    Waris itu berhasrat untuk mendapatkan “hak terhadap aset Malaysia yang berada di Belanda,” menurut salinan petisyen kepada mahkamah yang dikongsi peguam.

    Bagaimanapun, Reuters belum dapat mengesahkan permohonan itu dengan pihak berkuasa Belanda.

    “Permohonan di Belanda ini akan disusuli dengan beberapa tindakan penguatkuasaan dan pelbagai penghakiman,” kata peguam Britain, Paul Cohen yang mengetuai kumpulan peguam waris berkenaan.

    “Ini mungkin termasuk aset Malaysia yang pemilikannya secara langsung atau tidak di Belanda atau di tempat lain,” kata Cohen melalui email kepada Reuters.

    Petisyen itu tidak menyatakan secara terperinci aset berkenaan.

    Beberapa syarikat besar Malaysia beroperasi di Belanda, termasuk Petronas dan Sime Darby Plantations.

    Syarikat-syarikat itu tidak mengeluarkan kenyataan segera mengenai petisyen Belanda ketika dihubungi oleh Reuters.

    Pada Julai lalu, dua anak syarikat Petronas di Luxembourg dirampas oleh mahkamah, sebahagian daripada usaha waris berkenaan untuk menguatkuasakan anugerah tersebut.

    Petronas, yang menyifatkan rampasan Luxembourg sebagai “tidak berasas”, berkata ia akan mengambil langkah undang-undang untuk menghalang percubaan rampasan akan datang di 44 negara di mana ia mempunyai aset dan mengehadkan dana syarikat yang disimpan di luar negara.

    Pertikaian itu adalah mengenai perjanjian yang ditandatangani pada 1878 antara dua kolonial Eropah dan Sultan Sulu untuk menggunakan wilayahnya di Malaysia masa kini, perjanjian yang dihormati oleh Malaysia selepas kemerdekaan sehingga 2013, membayar waris Kesultanan Sulu kira-kira AS$1,000 setahun.

    Putrajaya menghentikan bayaran itu selepas satu kumpulan dipercayai penyokong Kesultanan Sulu menyerang Sabah.

    Tindakan itu menyebabkan waris Kesultanan Sulu memfailkan tuntutan di mahkamah timbang tara dengan mendakwa Malaysia melanggar perjanjian berkenaan.

  • Azi dalam keadaan baik, masih di KL

    Azi dalam keadaan baik, masih di KL

    EJEN jualan kosmetik yang diselamatkan di Thailand selepas dilarikan sekumpulan lelaki di kediamannya di Tumpat pada 13 September lalu, berada dalam keadaan baik.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa Rosnazirah Mohd Naim, 36, kini masih berada di Kuala Lumpur dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat.

    Tegasnya, tiada sebarang bayaran dilakukan sepanjang tempoh kehilangan wanita berkenaan, memetik laporan BH Online.

    “Alhamdulillah mangsa dalam keadaan baik dan kini berada di Kuala Lumpur. Sedikit masa lagi akan dibawa pulang.

    “Tiada sebarang bayaran dibuat sepanjang kehilangannya dan saya turut berterima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang bekerja keras untuk kes ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

  • MB dari Pas jika PN tawan Perlis PRU-15

    MB dari Pas jika PN tawan Perlis PRU-15

    PERIKATAN Nasional (PN) memberi bayangan calon Menteri Besar dari PAS sekiranya gabungan tersebut berjaya menawan Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Portal BeritaBersatu melaporkan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, BERSATU mengakui kedudukan PAS sebagai ‘abang’ kepada gabungan itu di Perlis.

    Katanya, PAS perlu memimpin BERSATU dengan sebaiknya dan kedua-dua pihak tidak sewajarnya melakukan serangan antara satu sama lain menjelang perang PRU15.

    “Saya sebut abang sebab kita bagi sokongan kepada pemimpin PAS yang akan kita kekalkan untuk pimpin negeri ini.

    “Jadi, salahkah kalau abang kita dari PAS akan jadi Menteri Besar di Perlis (selepas PRU15),” katanya pada Majlis Pertemuan Khas Bersama Barisan Kepimpinan PN Negeri Perlis di Hotel Seri Malaysia Kangar, semalam.

    Hadir sama, Pesuruhjaya PAS negeri merangkap Pengerusi PN Negeri, Mohd. Shukri Ramli dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata, menerusi pertemuan berkenaan, pihaknya juga turut mengingatkan semua anggota PN agar tidak menghebahkan strategi parti menerusi media sosial bagi menggelakkan pihak lawan mengambil kesempatan.

    “Apa yang penting, kita kenali dan percaya antara satu sama lain di samping mewujudkan kerjasama bagi membuktikan PN dapat menawan negeri Perlis,” katanya.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata, pertemuan itu juga adalah bagi meminta setiap anggota PN Perlis untuk bersiap sedia menghadapi PRU15 dan meyakinkan mereka tentang sokongan yang diperolehi gabungan itu termasuk dari kalangan bukan bumiputera.

    Tambah beliau, terdapat pertambahan sokongan bukan bumiputera terhadap PN direkodkan menjelang PRU15.

    “Saya juga rasa amat bangga kerana kita dapat buktikan yang pemimpin PN tidak boleh dipersoal dari segi intergriti,” katanya.