Author: Wartawan WartaRakyat

  • Zaman BN sebagai penyelamat suara Melayu Islam sudah berlalu – Muhyiddin

    Zaman BN sebagai penyelamat suara Melayu Islam sudah berlalu – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, zaman kehebatan Barisan Nasional (BN) sebagai satu-satunya penyelamat suara Melayu Islam sudah berlalu.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tidak harus BN dipandang lagi sebagai penyelamat kerana pada masa ini adalah era gabungan parti politik berkenaan.

    Menurutnya, negara ini sudah tidak boleh tersungkur jatuh ke dalam kolam yang lebih dalam yang menyusahkan usaha menyelamat pada masa akan datang.

    “Jadi bukannya BN, tidak harus dipandang BN sebagai penyelamat. Satu-satunya suara Melayu Islam yang suaranya hebat zamannya sudah berlalu.

    “Sekarang ini zaman Perikatan Nasional di mana gabungan Pas, Bersatu dan Gerakan serta dua lagi dari Sabah, Ini penentu hala tujunya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Pahang di Temerloh.

    Muhyiddin pada masa sama berkata, tindakan UMNO menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mengakibatkan Parlimen dibubarkan ketika negara memasuki musim tengkujuh.

    Tegas beliau, PN tidak pernah takut menghadapi PRU namun ia tidak sewajarnya diadakan pada penghujung tahun ketika sejarah membuktikan banjir mengakibatkan ramai terjejas tambahan rakyat masih belum pulih dampak pandemik Covid-19.

    “PRU-15 ini boleh ditangguhkan kerana tempoh penggal kerajaan berbaki hingga Jun atau Julai depan ketika musim monsun tamat pada Mac.

    “PRU-15 pada musim tengkujuh hanya mengakibatkan peratusan keluar mengundi terjejas tidak sampai 60 peratus yang mengikut perkiraan BN, mereka boleh menang pilihan raya itu,” katanya.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, timbul dakwaan apabila BN menang PRU-15 dan melantik Perdana Menteri daripada parti itu, wujud kemungkinan pemimpin itu memainkan peranannya menentukan pemimpin UMNO terpalit pendakwaan rasuah di mahkamah terselamat.

    “Agaknya begitulah pertimbangan mereka dan ini soal nafsu ini soal diri sendiri bukan soal rakyat bukan soal kebajikan tak diambil kira langsung,” tegas beliau.

  • Menteri Kabinet masih berfungsi seperti biasa dalam kerajaan sementara – KSN

    Menteri Kabinet masih berfungsi seperti biasa dalam kerajaan sementara – KSN

    KABINET yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berfungsi sebagai kerajaan sementara atau “caretaker” dengan Mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun Parlimen telah dibubarkan hari ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Bagaimanapun, beliau berkata Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

    “Menteri dan timbalan menteri berfungsi seperti biasa dalam kerajaan ‘caretaker’ cuma tidak boleh membuat keputusan mengenai dasar dan polisi baharu,” katanya ketika diminta memberi pandangan mengenai fungsi Kabinet ekoran pembubaran Parlimen.

    Mohd Zuki berkata Kabinet juga boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan keputusan yang telah dibuat terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan.

    Beliau berkata keadaan ketika ini berbeza dengan pentadbiran terdahulu apabila Perdana Menteri meletak dan melepaskan jawatan pada 2020 dan 2021.

    Mohd Zuki berkata ketika itu apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, Kabinet mereka secara serta-merta terbubar.

    Namun, katanya dalam keadaan sekarang, hanya Parlimen sahaja yang dibubarkan.

    “Jemaah Menteri masih lagi boleh bermesyuarat terutama apabila berlaku bencana dan sebagainya,” katanya.

    Perdana Menteri petang tadi dalam perutusan khasnya mengumumkan pembubaran Parlimen Penggal Ke-14 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).- BERNAMA

  • Peneroka Felda dapat ‘habuan’ lagi jika PN menang – Muhyiddin

    Peneroka Felda dapat ‘habuan’ lagi jika PN menang – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan peneroka Felda akan mendapat lebih lagi daripada apa yang diperoleh sebelum ini sekiranya mereka memastikan Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Lapor portal SatuBerita, Pengerusi PN itu berkata, manifesto gabungan itu yang akan diberitahu kemudian bakal merangkumi semua bidang utama dan berpotensi menjadi tawaran yang baik terutamanya peneroka Felda di negeri Pahang.

    “Sewaktu saya memimpin negara, kita selesaikan hutang mereka, RM8.9 bilion sudah dihapuskan. Kemudian kita mengeluarkan sukuk (Islamic bond) bernilai 9.9 bilion mengambil alih FGV dan sebagainya.

    “Saya bagi jaminan kalau kita menang, kita akan beri lebih lagi dari apa kita telah buat agar nasib peneroka terbela dan pendapatan boleh meningkat. Kita tahu apa kita nak buat untuk peneroka Felda,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat PN Negeri Pahang, di Hotel Seri Malaysia, Temerloh, Pahang, hari ini.

    Walaupun Pahang selalu dianggap sebagai ‘kubu’ BN, Muhyiddin berpendapat pengaruh parti tersebut tidak merisaukan PN.

    “Dari laporan diterima rakan-rakan yang lebih mengetahui, tidaklah sebegitu (Pahang sebagai kubu BN). Semasa PRN dahulu BN tidak menang dengan kerusi yang besar.

    “PAS sudah mula bertapak, ada ahli Bersatu di peringkat Parlimen, sudah ada perkembangan yang cukup baik dalam tempoh beberapa tahun lepas,” katanya.

    Menurut beliau, kedudukan parti BN yang ditampar hebat oleh kes-kes mahkamah juga tidak menggambarkan cerminan sebenar orientasi rakyat di Pahang.

    “Keyakinan rakyat kepada UMNO semakin runtuh, ini fakta yang didokong oleh kajian, lebih-lebih lagi kita tak tahu apa isu masalah BN yang menghadapi masalah integriti, disabitkan kes-kes mahkamah dengan rasuahnya, itu tidak boleh memberi gambaran yang boleh mengukuhkan kedudukannya,” katanya.

    Dalam pada itu, penamaan calon akan diteliti dan berpotensi diumumkan lebih awal daripada tarikh penamaan calon.

    “Di peringkat parti, sudah mula menyenaraikan calon. Kita ada jawatankuasa yang menapis di nama-nama calon peringkat pusat.

    “Kita lihat siapa paling sesuai, soal latar belakang, kelayan, kelulusan, hubungan dengan masyarakat dan usaha mereka sebelum ini untuk dinilai oleh pengundi,” katanya.

  • Bubar DUN; Pulau Pinang buat keputusan dalam minggu ini

    Bubar DUN; Pulau Pinang buat keputusan dalam minggu ini

    KERAJAAN DAP Pulau Pinang akan membuat keputusan sama ada turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan serentak dengan Parlimen sebelum hujung minggu ini.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, DAP Pulau Pinang akan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Tertinggi Pakatan Harapan (PH) Pusat yang akan bermesyuarat malam esok.

    “Mungkin keputusan (bubar DUN Pulau Pinang) dibuat dalam beberapa hari lagi dalam minggu ini juga.

    “Kita perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Teringgi PH Pusat sama ada DUN Pulau Pinang akan dicadangkan bubar atau tidak.

    “Keputusan itu juga akan dibuat selepas mesyuarat PH negeri, selepas Jawatankuasa Eksekutif DAP dan kemungkinan besar selepas PH Pusat ada beberapa peringkat lagi,” katanya ketika kepada pemberita selepas mesyuarat khas DAP Pulau Pinang di George Town malam ini.

    Dalam pada itu Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pihaknya akan memanggil mesyuarat bersama PH Pulau Pinang untuk menilai isu berkaitan pembubaran DUN Pulau Pinang dalam masa terdekat.

    “Kita belum ada mesyuarat melibatkan kerajaan negeri, cuma ada mesyuarat peringkat DAP.

    “Esok kita akan panggil mesyuarat PH negeri bagi menilai isu sama,” katanya.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan, PH tidak akan membubarkan DUN di tiga buah negeri yang dikuasai mereka iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sekiranya PRU-15 tetap diadakan tahun ini.

    Malah, dalam reaksi segera selepas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi, Anthony seperti dipetik Malaysiakini dilaporkan berkata, UMNO harus dipersalahkan atas kos tambahan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan dengan PRU-15.

    “Kami sudah nyatakan pendirian kami sejak awal lagi. Kalau tidak mahu membazir wang rakyat, tunggu tahun depan baru bubar Parlimen.

    “Buat pilihan raya sekarang adalah akibat dipaksa oleh UMNO. Malah PAS pun telah menyatakan bahawa mereka tidak akan membubarkan (DUN yang mereka kuasai),” kata Anthony ketika dihubungi Malaysiakini.

  • PRU musim tengkujuh: PN yakin rakyat keluar untuk undi protes

    PRU musim tengkujuh: PN yakin rakyat keluar untuk undi protes

    PERIKATAN Nasional (PN) menghormati hak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyifatkan keputusan itu memberi peluang kepada rakyat untuk membuat keputusan tepat memilih kerajaan baharu.

    Katanya, beliau yakin rakyat ghairah untuk melaksanakan hak mereka menerusi kertas undi bagi memilih kerajaan yang mengambil berat masalah mereka.

    “Dan, saya rasa Perikatan Nasional menawarkan kepada rakyat apa yang mereka kehendaki.

    “Ini bermakna satu kesempatan untuk rakyat membuat perubahan besar supaya apabila selesai pilihan raya mereka akan memperoleh sebuah kerajaan yang beramanah, berintegriti dan bertanggungjawab.

    “Bagi PN, isu amanah, integriti dan bertanggungjawab tidak boleh dikompromi,” katanya sebagaimana lapor portal Agenda Daily.

    Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 mulai hari ini (10 Oktober 2022) setelah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PRU-15 diadakan ketika rakyat berdepan masalah dan pastinya rakyat akan mengambil kesempatan untuk memprotes tindakan mengadakan pilihan raya ketika musim hujan dan banjir.

    “Kita berdoa supaya tidak ada satu keadaan musibah banjir yang teruk yang menyebabkan rakyat tidak boleh keluar mengundi… namun inilah realitinya yang harus dihadapi,” kata bekas Perdana Menteri itu.

    Muhyiddin berkata walaupun sebelum ini PN turut membantah PRU diadakan ketika musim tengkujuh, namun menghormatinya apabila keputusan dibuat mengikut Perlembagaan.

    “Bagi saya adalah penting untuk rakyat keluar mengundi bagi menyelamatkan negara daripada terus berhadapan dengan pelbagai masalah yang terganggu akibat ketidakstabilan politik, di mana masalah ekonomi juga akan bertambah rumit.

    “Jadi ini pastinya akan menjadi perhatian utama Perikatan Nasional. Kami (PN) adalah parti yang prihatin rakyat… yang bergerak atas dasar prinsip integriti… dan juga akan melaksanakan apa yang kita fikirkan terbaik untuk rakyat… insya-Allah,” katanya.

    Menjawab soalan, bekas Perdana Menteri itu menolak dakwaan bahawa parti lawan terutama UMNO, memiliki kubu kuat untuk menang dalam PRU ini.

    “Daripada laporan yang saya terima… jika pun ada kubu kuat, BN menang pada PRU-14 lalu pun tidaklah besar. (Kini) dengan gabungan PAS dan Bersatu serta Gerakan, ianya suatu perkembangan baik kepada PN.

    “Dengan gerak kerja yang dilakukan PN dan perkembangan di dalam UMNO serta BN sendiri, telah menunjukkan kedudukan kami (PN) semakin kukuh,” katanya.

    Malah, Muhyiddin berkata daripada kajian sikap yang dijalankan menunjukkan rakyat termasuk orang muda tidak mendukung mereka yang tidak berintegriti.

    “Lebih lagi kita tahu apakah isu dan masalah yang UMNO dan BN hadapi. Semuanya berkaitan integriti yang dikaitkan dengan subjek dan kes-kes mahkamah, dan rasuahnya.

    “Yang itu tidak memberikan satu gambaran yang boleh mengukuhkan kedudukan UMNO. Jadi bagi kami (PN) bila ada pilihan raya tak kisah apa pun. Nak gempur kubu… dah kita tembus… dan kita yakin dengan gerak kerja yang kita atur dan susun… insya-Allah kita boleh mencapai kemenangan,” katanya.

  • Pas ‘all out’ PRU-15, Bersatu bidas Ismail ‘lemah’ bubar Parlimen

    Pas ‘all out’ PRU-15, Bersatu bidas Ismail ‘lemah’ bubar Parlimen

    PAS bersama rakan dalam Perikatan Nasional (PN) akan mengerah seluruh kekuatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya umum dan jentera parti telah diingatkan setahun lalu bahawa kemungkinan Parlimen bubar pada Oktober.

    “Ternyata ia benar. Pas bersama rakan PN akan ‘all out’ bagi memastikan kejayaan dalam PRU yang penuh cabaran kali ini,” katanya dalam laporan FMT.

    Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata, pengalaman Pas berada dalam kerajaan sebahagian taruhan bagi penilaian rakyat.

    Katanya, ini bagi meyakini bahawa Pas mampu melaksanakan tanggungjawab bila diberi amanah.

    Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris membidas tindakan Ismail membubarkan Parlimen hari ini berikutan jangkaan banjir akan melanda bulan depan.

    Beliau berkata, Ismail terlalu lemah apabila ditekan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU15 dipercepatkan.

    “Saya tidak nampak kemampuan beliau untuk mengurus satu perkara agak penting di mana negara berdepan situasi banjir.

    “Jadi apa yang diperkatakan selama ini wayang sahaja,” katanya.

    Razali juga membidas tindakan Ismail yang membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat lalu yang disifatkan sebagai manifesto PRU15.

    “Saya juga rasa terkilan strategi beliau bentang Bajet 2023 yang sekadar pembentangan sahaja. Perdana menteri sendiri ambil pendekatan menipu rakyat,” katanya.

    Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau sudah menjangkakan pembubaran Parlimen akan dibuat awal.

    Beliau berkata, Gerakan dan PN sudah bersiap sedia hadapi PRU15 dengan pembahagian kerusi gabungan itu dalam peringkat akhir.

    “Sekarang dalam rundingan akhir. Jika boleh selesai di peringkat negeri, pembahagian kerusi PN akan selesai. Keputusan akan dibuat di peringkat tertinggi PN,” katanya.

  • PN Johor sedia hadapi PRU-15

    PN Johor sedia hadapi PRU-15

    Perikatan Nasional (PN) Johor kekal dengan pendirian mahu memberikan fokus terhadap rakyat terutama. Namun pada masa sudah bersedia untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Berikut adalah kenyataan penuh Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor.

    1. Parlimen Ke-14 telah terbubar hari ini bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan setelah mendapat perkenan daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
    2. Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri sebentar tadi, bukanlah mengejutkan kerana pembubaran Parlimen dan PRU-15 telah hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini sehingga mencetuskan polemik.
    3. Ia berikutan ramalan METMalaysia bahawa akan berlakunya bencana banjir besar berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dan musim tengkujuh seperti yang dihadapi pada setiap tahun selain situasi negara yang berada dalam fasa endemik dan pemulihan.
    4. Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor tetap dengan pendirian yang memfokuskan keutamaan terhadap kemaslahatan rakyat, namun tidak dapat mengelak untuk berhadapan dengan pilihan raya.
    5. Gabungan yang menampilkan Bersatu, Pas, Parti Geraskan Malaysia (Gerakan), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Star Sabah sebagai komponennya, PN akan tetap menyertai PRU-15 sebagai mendukung dan menyuburkan demokrasi berparlimen di negara ini.
    6. PN Negeri Johor berkeyakinan rakyat Malaysia khususnya Bangsa Johor, sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang bakal mempertandingkan kesemua 26 kerusi Parlimen di negeri ini.
    7. Selain itu, PN Negeri Johor mendoakan seluruh Bangsa Johor diberikan kesihatan yang baik, sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT serta terhindar daripada sebarang ujian yang membebankan.
    8. Akhir sekali, PN Negeri Johor sentiasa komited meneruskan agenda Prihatin Rakyat dan berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir.

    Datuk Dr. Sahruddin Jamal
    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor

  • ‘Manakah hilangnya sanubari mereka’ – MB Selangor

    ‘Manakah hilangnya sanubari mereka’ – MB Selangor

    STATUS ringkas ‘manakah hilangnya sanubari mereka’ oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Facebook miliknya hari ini menarik perhatian ramai.

    Tulisan menurusi kapsyen tersebut eolah menggambarkan kekecewaan beliau dengan pembubaran Parlimen seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi.

    Status tersebut dikongsikan di Facebook rasmi berserta pautan berita ‘Sungai Melaka di Batu Hampar lepasi paras bahaya’.

    Walaupun hanya menulis status ringkas, namun rata-rata pengikut Facebook beliau dapat meneka isi tersirat di sebalik perkongsian tersebut, lapor Sinar Harian.

    Beberapa pengguna media sosial telah meninggalkan komen pada hantaran tersebut antaranya Derm Mi Rakyats yang kurang senang apabila kerajaan kekal dengan pendirian mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

    “Tapi dalam keadaan macam ini pun masih ada yang sibuk dengan kuasa. Pembubaran Parlimen tetap berlaku walaupun rakyat berdepan dengan situasi banjir yang boleh berlaku di mana-mana.

    “Diharap penduduk yang berada di kawasan berisiko banjir lebih peka dan cakna akan situasi ini dan ambil langkah berjaga-jaga,” tulisnya di ruangan komen.

    Seorang lagi pengguna Facebook, Kanda Samy turut berharap semua pihak bersiap sedia dengan kemungkinan banjir dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

    “Semua pihak perlu memberikan kerjasama dan bersedia supaya tidak ada apa-apa yang buruk berlaku.

    “Segala fakta dan data yang ada telah membawa kepada pemahaman bentuk fenomena walaupun tidak seratus peratus tepat tetapi kebarangkalian ketepatannya adalah sangat tinggi,” tulisnya.

  • Mohd. Rashid pertahankan Parlimen Batu Pahat

    Mohd. Rashid pertahankan Parlimen Batu Pahat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BENDAHARI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Mohd. Rashid Hasnon sedia bertanding semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Justeru beliau berharap akan mendapat sokongan yang sama daripada pengundi seperti diperolehnya pada PRU-14.

    “Saya telah berusaha sebaik mungkin untuk memajukan bandar ini yang merupakan satu daripada bandar terbesar di Johor.

    “Mungkin adanya kekurangan sepanjang mentadbir Parlimen Batu Pahat namun semua itu sudah dibetulkan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di sini.

    “Saya menyerahkan sepenuhnya kepercayaan rakyat untuk memilih wakil bagi suara mereka, namun jika tersilap pilih ianya akan menyebabkan penyesalan yang perlu dihadapi kira-kira Lima tahun lagi,” katanya ketika dihubungi.

    Pada PRU-14, Mohd. Rashid yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang majoriti 17,894 undi menewaskan calon BN, Haliza Abdullah dan calon Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.

    Mohd Rashid yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kemudian dipecat daripada PKR sebelum menyertai Bersatu pada 2020.

    Mohd. Rashid berkata, masyarakat di daerah ihi diharapkan agar dapat memilih calon yang berwibawa dan benar-benar mewakili rakyat.

    Menurutnya, walau sebaik mana pun parti namun jika calonnya tidak memenuhi kehendak rakyat, perkara itu akan menjadi sia-sia.

  • PRU-15: Calon PN lalui saringan rapi

    PRU-15: Calon PN lalui saringan rapi

    CALON Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan melalui proses saringan yang rapi bagi memastikan mereka bersih dan istiqamah.

    Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan berkata, jentera pilihan raya dan penerangan BERSATU sudah dipersiap dari awal, malah Skuad Prihatin parti itu juga sudah dikerah untuk berdepan segala kemungkinan.

    “Kita bersedia bukan saja untuk menyantuni rakyat mendepani PRU-15, tetapi juga membantu rakyat.

    “BERSATU dan PN komited untuk menawarkan agenda prihatin rakyat, integriti dan kemakmuran bersama.

    “Berjuanglah kita dalam keberkatan daripada Allah SWT. Bawalah mesej kebenaran kepada rakyat. Ajaklah rakyat menolak kemungkaran,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Sementara itu, Wan Saiful mendakwa pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini membuktikan UMNO terlalu jauh terpisah daripada kehendak dan keperluan rakyat.

    Dakwanya, pengumuman itu juga permulaan kepada langkah UMNO untuk mengangkat Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

    “Rakyat perlu menilai sikap UMNO. Parti itu dipimpin oleh kluster mahkamah yang menolak dan merosakkan usaha perpaduan ummah,” katanya.

    Beliau turut menyeru rakyat supaya membuat penilaian berdasarkan kecintaan kepada negara dan tanah air disertai tekad untuk membawa penambahbaikan kepada negara.

    “Biarlah rasa cinta kepada negara itu membawa kita untuk membuat pilihan yang betul. Satu-satunya gabungan yang terbukti bersih dan menjaga kebajikan rakyat ialah PN,” katanya.