Author: Wartawan WartaRakyat

  • Neelofa kesal sikap segelintir pihak kongsi gambar Bilal

    Neelofa kesal sikap segelintir pihak kongsi gambar Bilal

    PENGACARA dan pelakon, Neelofa mengakui kesal dengan tindakan segelintir pihak yang berkongsi gambar wajah anaknya, Muhammad Bilal Muhammad Harris di laman sosial tanpa kebenaran.

    Katanya, tindakan seumpama itu dilihat tidak menghormati pendiriannya yang selama ini enggan berkongsi secara terbuka menerusi platform tersebut.

    “Saya sebenarnya saya enggan ulas mengenai perkara ini, saya dah penat nak kongsikan, sebab banyak sangat cerita mengenai Bilal.

    “Cuma itulah, saya akan bawa keluar anak saya seperti anak orang lain, tapi apabila ada pihak nampak saya dengan Bilal, saya minta jangan dedahkan di media sosial.

    “Saya sebagai ibu memang berasa berkecil hati dengan sikap mana-mana pihak yang mendedahkanya terus di media sosial tanpa kebenaran,” katanya kepada Astro AWANI.

    Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor berjanji, dia akan mendedahkan wajah anaknya apabila tiba masa yang sesuai.

    “Apa yang saya boleh nasihatkan ialah, selepas ini kalau ada pihak nampak saya dengan Bilal, jangan kongsi di media sosial.

    “Hormati privasi dan keputusan saya sekeluarga atas kehendak kami,” ujarnya.

    Sebelum ini, Neelofa mendedahkan Bilal sepatutnya dilahirkan pada 10 Februari yang bersamaan dengan tarikh lahirnya.

    Namun, beliau dan suami, Muhammad Harris Ismail tidak pernah mendedahkan tarikh sebenar bila anak sulung mereka dilahirkan.

  • PRU-15: KKM syor individu positif COVID-19 dibenar mengundi dengan SOP ketat

    PRU-15: KKM syor individu positif COVID-19 dibenar mengundi dengan SOP ketat

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) COVID Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kebenaran itu akan dimuktamadkan dan disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, dengan pematuhan SOP yang ketat.

    Selain itu, Khairy menjelaskan, SOP baharu itu akan turut membenarkan calon-calon untuk menjalankan aktiviti kempen seperti biasa sepanjang PRU15.

    Bagaimanapun, Khairy berkata, perkara itu tertakluk kepada kepada keputusan SPR dan SOP pilihan raya oleh suruhanjaya tersebut.

    “Hak mengundi bagi mereka yang positif jadi saya sedang melihat bahawa mereka yang positif dan menjalani pengasingan di rumah dan bukan kes kritikal di hospital boleh mengundi, (kerana) dulu kita tak benarkan (semasa kes COVID-19 tinggi).

    “SOP nanti SPR akan umumkan, kita ada SOP tertentu seperti bila dia sampai kena kenalkan diri kaunter pendaftaran SPR, dan ada mungkin laluan tertentu untuk mereka mengundi nanti, wajib pakai pelitup muka dan sebagainya.

    “Saya telah pertimbangkan isu ini dengan mendalam dan saya melihat bahawa hak mereka untuk mengundi seperti mana termaktub dalam Perlembagaan, adalah hak yang sangat penting,” katanya dalam laporan Astro Awani.

    Khairy menjelaskan, KKM memberi jaminan bahawa pelaksanaan SOP berkenaan tidak akan memudaratkan orang ramai yang keluar mengundi ke pusat-pusat pengundi.

    Dalam pada itu beliau menambah, SOP tersebut juga boleh dilaksanakan walaupun Kabinet ketika ini berfungsi secara sementara memandangkan ia bersifat kepentingan awam.

    “Apa-apa keputusan yang ada kepentingan awam boleh dilaksanakan dan ini (SOP pengundian) termasuk dalam keputusan untuk kepentingan awam.

    “Lagi pun arahan saya untuk adakan perbincangan dengan SPR sudah dibuat sebelum Parlimen dibubar dan kita fikir panjang di KKM,” jelas Khairy.

    Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada 10 Oktober selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

    Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Kabinet ketika ini berfungsi sebagai kerajaan sementara atau “caretaker” dengan Mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun Parlimen telah dibubarkan.

    Bagaimanapun, beliau berkata, Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

  • SPR tentukan tarikh PRU15 20 Oktober

    SPR tentukan tarikh PRU15 20 Oktober

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 20 Oktober ini.

    Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata mesyuarat khas itu juga akan membincangkan dan menentukan tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

    “Mesyuarat khas itu akan diadakan pada 20 Oktober ini bersamaan hari Khamis pada pukul 10 pagi di Menara SPR, Putrajaya.

    “Mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, yang akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan.

    “Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat itu,” katanya, lapor BH Online.

  • Bekas Pengerusi SPR syor PRU-15 11 atau 12 November depan

    Bekas Pengerusi SPR syor PRU-15 11 atau 12 November depan

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) diharap mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh sebulan ini atau lebih tepat disyorkan antara 11 atau 12 November depan.

    Pengarang buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia Tanding, Pilih Menang dan Tadbir, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. GAMBAR: Warta Rakyat

    Bekas Pengerusinya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dalam laporan Berita Harian berkata, perubahan monsun tidak menjejaskan keseluruhan negara dan lazimnya musim tengkujuh pada ketika ini berlaku tanpa mengira ramalan cuaca.

    “Hujan (banjir) boleh berlaku pada November, Disember, Mac atau bulan apa sekalipun.

    “Jadi, rakyat tidak perlu bimbang hujan boleh menjejaskan kelancaran pilihan raya jika PRU-15 dibuat ketika tempoh yang diramalkan musim tengkujuh kerana pihak berkaitan ada pelan kontigensi untuk menangani banjir,” katanya.

    “Jadi, rakyat tidak perlu bimbang hujan boleh menjejaskan kelancaran pilihan raya jika PRU-15 dibuat ketika tempoh yang diramalkan musim tengkujuh kerana pihak berkaitan ada pelan kontigensi untuk menangani banjir,” katanya.

    Beliau ketika demikian ketika menyampaikan taklimat pada Bengkel Memahami Perjalanan Pilihan Raya Di Malaysia: Peranan Media Dalam Mewujudkan Landskap yang Efektif di Pusat Latihan Malaysia Press Institute di Cyberjaya, hari ini.

    Ab Rashid berkata, SPR sepatutnya tidak mengambil kira cuti hari umum dalam penetapan tarikh PRU-15 hanya kerana ada negeri pada tarikh itu adalah hari kelepasan umum.

    “Ada pihak kata tarikh 11 dan 12 November tidak sesuai kerana ia Hari Keputeraan Sultan Kelantan, tetapi pada saya itu tiada masalah,” katanya.

    Selain itu, katanya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh bertanding walaupun beliau sedang menjalani hukuman penjara.

    “Wakilnya boleh menghantar pencalonan bagi pihak beliau,” katanya.

    Beliau turut mengulangi cadangan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu sistem alamat yang lengkap untuk semua warganegara Malaysia bagi menentukan kedudukan sebenar pengundi, sekali gus menambahbaik Daftar Pemilih SPR.

    “Mengikut prinsip demokrasi, undian pilihan raya sepatutnya mengikut alamat terkini berbanding mengikut alamat pada kad pengenalan kerana ia adalah tempat tinggal dan lokaliti pekerjaan seseorang pemilih.

    “Di Eropah, England dan United Kingdom alamat mereka sangat penting kerana semua manfaat pekerjaan, sosial ditentukan berdasarkan alamat terkini mereka. Negara kita patut melakukan perkara sama,” katanya.

    Sementara itu, Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran, berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhak membuat pengisytiharan darurat untuk menangguhkan hari pengundian yang sudah ditetapkan SPR jika berlaku banjir besar.

    “Mungkin terdapat kemungkinan hari pengundian PRU ditangguhkan akibat banjir besar berlaku.

    “Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat dan menangguhkan kempen dan pengundian ke satu tarikh kemudian,” katanya.

    Sebagai contoh, beliau berkata, perkenan pengisytiharan darurat Yang Di-Pertuan Agong pada 16 Disember 2020, darurat diisytiharkan bagi Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19.

    Pengisytiharan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memahsyurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

    Perkara itu turut dipersetujui Penganalisis Politik yang juga Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, bahawa pengundian mengikut kawasan boleh dilakukan apabila sesuatu kawasan terjejas akibat banjir.

    “Sebagai contoh, jika banjir berlaku di Kelantan atau Terengganu, pengundian boleh ditangguh untuk seluruh negeri atau hanya mengikut kawasan, tempat atau negeri yang tidak banjir boleh diteruskan hari mengundi.

    “Adalah tidak mungkin darurat peringkat kebangsaan diisytihar hanya satu atau dua tempat berlaku banjir besar.

    “Majlis Keselamatan Negara boleh memberikan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong apabila banjir berlaku di sesuatu kawasan dan menjejaskan proses pengundian, barulah baginda boleh memutuskan untuk menangguhkan pengundian di sana,” katanya.

    Beliau berkata, hari pengundian boleh ditangguhkan ke satu tarikh kemudian sehingga keadaan bertambah baik.

    Dalam pada itu, Mohd Azizuddin, berkata keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai hanya akan menguntungkan Barisan Nasional (BN).

    “Disebabkan perkara itu, PH memberi peluang jentera BN untuk fokus menang negeri yang ditadbirnya berbanding sukar menggerakkan jentera jika pengundian Parlimen dan DUN secara serentak.

    “Ini kerana BN mempunyai jentera yang kuat serta rekod prestasi yang baik apabila membabitkan Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya.

  • PRU-15: Razali serah pucuk pimpinan PN, akur jika tak dicalonkan

    PRU-15: Razali serah pucuk pimpinan PN, akur jika tak dicalonkan

    KETUA Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris akur dan berlapang dada sekiranya tidak dipilih menjadi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Razali yang juga Ketua Bersatu Bahagian Marang menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon dan menentukan kedudukannya berikutan Parlimen Marang adalah kerusi tradisi Pas yang disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Saya sebenarnya tak nampak di mana saya boleh bertanding, saya mengundi di Marang dan Marang kerusi Pas. Jadi saya nak bertanding di mana? Takkan nak bertanding di Besut, jauh sangat, jadi saya serah pada Pusat untuk buat keputusan.

    “Sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, kita bersedia kalau pucuk pimpinan kata awak bertanding di mana, tapi daripada segi kaedahnya, tempat saya sekarang ini tak boleh. Malah, saya sudah cakap jangan cuba tindih kerusi sahabat kita,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu yang ditemui pemberita selepas Persidangan BERSATU Bahagian Marang, di sini malam tadi menegaskan, beliau sedia berkorban untuk memastikan parti komponen dalam PN menang PRU-15.

    “Ahli Bersatu di Terengganu kecil (tak ramai), ada lebih kurang 25,000 orang dan kita jangka boleh bantu sahabat kita untuk menang. Kita jangka dalam 3,000 (pengundi) di satu-satu Parlimen, ada pengundi BERSATU kalau kita minta undi parti yang kita mahu.

    “Jadi kita boleh bantu mana-mana kerusi yang bawah daripada 1,000 undi (majoriti undi dimenangi ketika PRU14). Insya-Allah, yang menang sikit (majoriti kecil) kita bantu, yang kalah mungkin kita dapat menang,” katanya.

    Bersatu Terengganu bersetuju bertanding dua kerusi Parlimen, Hulu Terengganu dan Besut serta 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Permaisuri, Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih dan Langkap.

    Kesemua 10 kerusi DUN yang bakal ditandingi Bersatu kini disandang wakil UMNO, manakala Pas akan kekal bertanding di 22 kerusi DUN yang dimenangi parti itu pada PRU14.

    Kerusi Parlimen Hulu Terengganu dimenangi Datuk Rosol Wahid atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,868 menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan Razali pada PRU14, manakala Parlimen Besut disandang wakil UMNO, Tan Sri Idris Jusoh.

    Bagaimanapun, Rosol memutuskan keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018.

  • PRU-15:Saifuddin Nasution beri bayangan calon PKR

    PRU-15:Saifuddin Nasution beri bayangan calon PKR

    SETIAUSAHA Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi bayangan akan menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Saya akan meneruskan perjuangan parti dan gembira untuk kembali bekerja dalam pasukan.

    “Menghadapi PRU-15 kali ini pun saya ikut serta dengan tenang. Saya gembira bekerja secara berpasukan. Kelebihan jika ada kita manfaatkan, kekurangan pula kita saling membantu. Itulah indahnya sebuah perjuangan.

    “Semoga PRU-15 kali ini menjanjikan dulang kemenangan buat PH (Pakatan Harapan),” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu beliau yang juga Setiausaha Agung PH turut berkongsi pengalamannya sejak mula melibatkan diri dengan pilihan raya.

    “Saya mula terlibat pada pilihan raya kecil Padang Terap (tahun) 1985. (Allahyarham) Tun Syed Ahmad Al Haj Syed Mahmud Shahabudin (ketika itu) dilantik jadi Gabenor (Yang Dipertua) Melaka.

    “Ustaz Halim Arshat (Pas) lawan Baharom Bakar (UMNO). Tugas saya susun ceramah kelompok, edar risalah, kempen rumah ke rumah dan jaga bilik gerakan. Saya membantu calon Halim Arshat, bergerak di bawah Suhaimi Said (almarhum). Lokasi daerah mengundi (ialah) Felda Lubuk Merbau.

    “Bermula dari situ tidak terhitung lagi penglibatan dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil. Sebagai jentera, pengarah dan calon semua saya dah lalui, pengalaman yang tak dapat di dewan kuliah,” ujar bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu.

  • Bayi tiga bulan maut disyaki didera bapa

    Bayi tiga bulan maut disyaki didera bapa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bayi lelaki berusia bulan maut disyaki akibat didera ayah kandungnya sendiri di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang dekat Alor Setar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian mangsa kira-kira pukul 1.50 petang semalam.

    “Sehubungan itu, pihak polis menahan bapa kandung mangsa berusia 28 tahun di belakang rumah keluarga itu yang dipercayai merupakan suspek utama dalam kes ini.

    “Ujian urin terhadap suspek mendapati mangsa positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

    Difahamkan bayi tersebut ditemukan sudah tidak bernyawa di atas katil.

    Mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dengan dua kakaknya kini berusia setahun dan enam tahun.

    Sementara itu Ahmad Shukri berkata, pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa maut akibat hentakan benda tumpul di kepala.

    Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Oktober depan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • PRU-15:PN Melaka mulakan gerak kerja awal

    PRU-15:PN Melaka mulakan gerak kerja awal

    PERIKATAN (PN) Melaka akan melakukan gerak kerja awal bagi memastikan pengundi di negeri ini keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub, berkata, jentera perlu bekerja kuat bagi memastikan situasi peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tahun lalu tidak berulang lagi.

    “Langkah ini penting memberi kesedaran terutama pengundi di kawasan ‘putih’ atau kubu kuat parti lain termasuk Barisan Nasional (BN).

    “Ini kerana peratusan keluar mengundi di bawah 75 peratus akan memberikan kelebihan kepada BN untuk menang sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu.

    “Kelemahan mengatur strategi juga antara faktor mengapa PN hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka lalu,” katanya ketika ditemui di Bemban, Jasin hari ini.

    Dr. Yadzil yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka berkata, strategi perlu dirangka lebih awal supaya sasaran dapar dicapai seperti mana PRU-14 yang mencatatkan individu keluar mengundi lebih 80 peratus.

    Ujar beliau, jentera parti juga akan mengenal pasti segala kemudahan yang diperlukan untuk membawa pengundi keluar pada musim tengkujuh bermula bulan depan.

    “Kita perlu fikirkan kaedah membantu pengundi keluar terutamanya di kawasan-kawasan pengundi putih termasuk terpaksa mengharungi banjir pada hari mengundi nanti,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pukul anggota Rela sampai mati, seorang lagi individu diberkas

    Pukul anggota Rela sampai mati, seorang lagi individu diberkas

    SEORANG lagi suspek diberkas bagi membantu siasatan kes seorang anggota Jabatan Sukarelawan Rela (Rela) dipukul sehingga maut dalam kejadian di sebuah flat di Damansara di Pelaling Jaya, pada 8 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 24 tahun itu diberkas pukul 10.30 malam pada tadi.

    Menurut beliau, suspek ditahan dalam serbuan yang dijalankan di sekitar kawasan Penchala.

    “Suspek yang didapati positif dadah jenis methapatamine itu direman tujuh hari untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ahad lalu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di sekitar Kota Damansara berhubung kes berkenaan.

    Susulan tangkapan itu, polis turut merampas baju-T warna hitam, sehelai seluar jean pendek warna kelabu, seutas tali pinggang dan sepasang kasut dipercayai dipakai suspek semasa kejadian.

    Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang lelaki yang juga merupakan anggora Rela maut selepas dikejar dan dipukul dua beradik dipercayai mabuk di hadapan rumah mangsa di sebuah flat di Damansara.

  • Sabah jangka kutip RM2.45 bilion royalti, cukai jualan minyak, gas

    Sabah jangka kutip RM2.45 bilion royalti, cukai jualan minyak, gas

    KERAJAAN Sabah dijangka mengutip RM2.45 bilion setahun secara berterusan menerusi bayaran royalti dan cukai jualan negeri (SST) daripada sektor minyak dan gas.

    Lapor Berita Harian, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia berikutan kemasukan petrokimia (PetChem) dalam Enakmen SST baru-baru ini.

    Katanya, kemasukan PetChem dalam Enakmen SST membolehkan kerajaan negeri mengutip RM10 juta daripada Petronas Chemical menerusi projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) bagi Ogos tahun ini.

    Beliau turut mengesahkan kerajaan negeri sudah menerima bayaran tertunggak SST daripada sebuah lagi syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sabah, iaitu Hibiscus Petroleum.

    “Kerajaan negeri berharap untuk membangun dan mengembangkan perniagaan minyak dan gas dengan semua syarikat minyak dan gas dalam suasana perkongsian harmoni,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset serta Perniagaan Gas di antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), di Kota Kinabalu.

    Teks ucapan Hajiji dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga Menteri Kewangan II negeri, Datuk Masidi Manjun.

    Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, Sabah boleh menjangkakan jumlah kutipan royalti dan SST sehingga RM2.45 bilion setahun, namun ia juga bergantung kepada pergerakan harga minyak semasa.

    Beliau turut mengesahkan cadangan kerajaan negeri untuk menubuhkan cawangan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Sabah menjadi kenyataan dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UTP dan University College Sabah Foundation (UCSF).

    Katanya, langkah itu akan meningkatkan lagi pembangunan modal insan di Sabah dan keupayaan untuk menyokong sektor minyak dan gas (O&G) selaras dengan visi Sabah Maju Jaya (SMJ).

    “Saya juga berasa amat bangga dengan kemajuan dan pembangunan ini. Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan dan PETRONAS kerana menunjukkan komitmen serta sentiasa mendengar tuntutan Sabah terhadap industri minyak dan gas.

    “Ini sekali gus membuka lebih banyak ruang kerjasama di antara kerajaan negeri dan PETRONAS dalam usaha memastikan apa yang terbaik untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.