SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) diharap mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh sebulan ini atau lebih tepat disyorkan antara 11 atau 12 November depan.

Pengarang buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia Tanding, Pilih Menang dan Tadbir, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. GAMBAR: Warta Rakyat

Bekas Pengerusinya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dalam laporan Berita Harian berkata, perubahan monsun tidak menjejaskan keseluruhan negara dan lazimnya musim tengkujuh pada ketika ini berlaku tanpa mengira ramalan cuaca.

“Hujan (banjir) boleh berlaku pada November, Disember, Mac atau bulan apa sekalipun.

“Jadi, rakyat tidak perlu bimbang hujan boleh menjejaskan kelancaran pilihan raya jika PRU-15 dibuat ketika tempoh yang diramalkan musim tengkujuh kerana pihak berkaitan ada pelan kontigensi untuk menangani banjir,” katanya.

“Jadi, rakyat tidak perlu bimbang hujan boleh menjejaskan kelancaran pilihan raya jika PRU-15 dibuat ketika tempoh yang diramalkan musim tengkujuh kerana pihak berkaitan ada pelan kontigensi untuk menangani banjir,” katanya.

Beliau ketika demikian ketika menyampaikan taklimat pada Bengkel Memahami Perjalanan Pilihan Raya Di Malaysia: Peranan Media Dalam Mewujudkan Landskap yang Efektif di Pusat Latihan Malaysia Press Institute di Cyberjaya, hari ini.

Ab Rashid berkata, SPR sepatutnya tidak mengambil kira cuti hari umum dalam penetapan tarikh PRU-15 hanya kerana ada negeri pada tarikh itu adalah hari kelepasan umum.

“Ada pihak kata tarikh 11 dan 12 November tidak sesuai kerana ia Hari Keputeraan Sultan Kelantan, tetapi pada saya itu tiada masalah,” katanya.

Selain itu, katanya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh bertanding walaupun beliau sedang menjalani hukuman penjara.

“Wakilnya boleh menghantar pencalonan bagi pihak beliau,” katanya.

Beliau turut mengulangi cadangan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu sistem alamat yang lengkap untuk semua warganegara Malaysia bagi menentukan kedudukan sebenar pengundi, sekali gus menambahbaik Daftar Pemilih SPR.

“Mengikut prinsip demokrasi, undian pilihan raya sepatutnya mengikut alamat terkini berbanding mengikut alamat pada kad pengenalan kerana ia adalah tempat tinggal dan lokaliti pekerjaan seseorang pemilih.

“Di Eropah, England dan United Kingdom alamat mereka sangat penting kerana semua manfaat pekerjaan, sosial ditentukan berdasarkan alamat terkini mereka. Negara kita patut melakukan perkara sama,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran, berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhak membuat pengisytiharan darurat untuk menangguhkan hari pengundian yang sudah ditetapkan SPR jika berlaku banjir besar.

“Mungkin terdapat kemungkinan hari pengundian PRU ditangguhkan akibat banjir besar berlaku.

“Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat dan menangguhkan kempen dan pengundian ke satu tarikh kemudian,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata, perkenan pengisytiharan darurat Yang Di-Pertuan Agong pada 16 Disember 2020, darurat diisytiharkan bagi Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19.

Pengisytiharan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memahsyurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu turut dipersetujui Penganalisis Politik yang juga Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, bahawa pengundian mengikut kawasan boleh dilakukan apabila sesuatu kawasan terjejas akibat banjir.

“Sebagai contoh, jika banjir berlaku di Kelantan atau Terengganu, pengundian boleh ditangguh untuk seluruh negeri atau hanya mengikut kawasan, tempat atau negeri yang tidak banjir boleh diteruskan hari mengundi.

“Adalah tidak mungkin darurat peringkat kebangsaan diisytihar hanya satu atau dua tempat berlaku banjir besar.

“Majlis Keselamatan Negara boleh memberikan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong apabila banjir berlaku di sesuatu kawasan dan menjejaskan proses pengundian, barulah baginda boleh memutuskan untuk menangguhkan pengundian di sana,” katanya.

Beliau berkata, hari pengundian boleh ditangguhkan ke satu tarikh kemudian sehingga keadaan bertambah baik.

Dalam pada itu, Mohd Azizuddin, berkata keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai hanya akan menguntungkan Barisan Nasional (BN).

“Disebabkan perkara itu, PH memberi peluang jentera BN untuk fokus menang negeri yang ditadbirnya berbanding sukar menggerakkan jentera jika pengundian Parlimen dan DUN secara serentak.

“Ini kerana BN mempunyai jentera yang kuat serta rekod prestasi yang baik apabila membabitkan Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here