Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kalau BN kalah sama juga, ramai akan masuk Bersatu – Hamzah

    Kalau BN kalah sama juga, ramai akan masuk Bersatu – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat andaian sama berhubung dakwaan ramai ahli dan pemimpin parti itu akan menyertai UMNO jika kalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Menurutnya, amalan melompat daripada satu parti ke parti lain membabitkan ahli mahupun pemimpin mana-mana parti politik adalah perkara biasa sejak lama dahulu.

    Beliau menjelaskan, perbuatan itu adalah perkara sama yang dilakukan oleh semua pihak, bukan satu parti sahaja.

    “Kalau BN tidak berjaya dalam PRU-15 ramai ahli UMNO akan lompat masuk ke kita (Bersatu).

    “Jadi sama sahaja… akan ada ahli dan pemimpin akan melompat untuk sertai UMNO atau Bersatu,” katanya menurut Sinar Harian.

    Demikian reaksi ringkas beliau ketika menjawab dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dilantik, Isham Jalil kononnya ramai ahli dan pimpinan Bersatu akan menyertai UMNO atau Pas selepas PRU-15.

    Hamzah sebelum itu hadir pada majlis pelancaran Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di sini pada Rabu.

    Majlis dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Pada 16 Oktober lalu, Isham dilaporkan berkata, kegagalan Bersatu untuk menang besar pada PRU-15 akan datang boleh menjadi pengakhiran kepada parti itu, dengan ahlinya kembali semula kepada UMNO atau menyertai PAS.

    15 Oktober lalu media melaporkan 338 ahli UMNO Bachok menyertai Bersatu dan akan membantu kemenangan parti itu pada PRU-15.

    Mereka menghantar borang permohonan keahlian diketuai Ketua Cawangan UMNO Senok Tok Pakeh, Che Ramli Haron ketika Program Selamat Tinggal UMNO di Pantai Senok.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Zulkifli Zakaria berkata, Bersatu menganggarkan lebih 5,000 lagi ahli UMNO menyertai parti berkenaan.

    Bagaimanapun, bagi ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang menang kerusi masing-masing mungkin menghadapi masalah untuk melompat parti kerana undang-undang antilompat bakal dikuatkuasakan.

    Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen lompat parti diwartakan pada 6 September lalu setelah Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan, namun tarikh penguatkuasaannya belum ditetapkan lagi.

  • Cikgu Fadli kongsi keputusan lembaga tatatertib malam ini

    Cikgu Fadli kongsi keputusan lembaga tatatertib malam ini

    GURU Matematik, Mohd. Fadli Mohamed Salleh yang mengetengahkan masalah pendidikan di Malaysia khususnya silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan isu beg berat melalui media sosial, akan berkongsi keputusan mesyuarat Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadapnya, malam ini.

    Perkara itu disahkan beliau menerusi paparan terbarunya dalam Facebook hari ini yang menggunakan akaun Cikgu Fadli Salleh.

    “Keputusan meeting (mesyuarat) Lembaga Tatatertib dah keluar.

    “Malam ni saya share (kongsi). Debor macam tunggu result (keputusan) pilihan raya pula,” katanya menerusi paparan terbaru di FB sebentar tadi, lapor Harian Metro.

    Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dilaporkan berkata, keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap guru berkenaan akan diketahui hari ini.

    “Keputusan itu akan diserahkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan kepada ketua jabatan guru matematik berkenaan.

    “Saya baru dimaklumkan persidangan atau mesyuarat Lembaga Tatatertib baru sahaja tamat sebentar tadi (semalam) dan Insya Allah esok pihak urus setia berkenaan akan sampaikan keputusan berkenaan melalui ketua jabatannya,” katanya dipetik.

    Kelmarin, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dilaporkan berkata, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang hari ini selepas menerima surat representasi yang dikemukakan Mohd. Fadli pada Jumaat lalu.

    Pkharuddin memaklumkan, surat yang diterima Mohd. Fadli tidak membawa maksud hukuman sudah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

    Sebelum ini, Mohd. Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat, kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

    Beliau dalam hantaran FB miliknya menyatakan, bilangan murid dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

  • Rogol berkumpulan remaja 14 tahun, 8 direman tujuh hari

    Rogol berkumpulan remaja 14 tahun, 8 direman tujuh hari

    LAPAN remaja lelaki yang ditahan semalam kerana dipercayai merogol seorang remaja perempuan bawah umur direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi di Mahkamah Majistret Bachok pagi tadi.

    Lapan remaja berusia dari 14 hingga 18 tahun itu sebelum ini ditahan selepas disyaki merogol pelajar perempuan Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Bachok.

    Kesemua remaja berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu di Kampung Tawang, Bachok kelmarin.

    Kes disiasat mengikut seksyen 375B Kanun Keseksaan.

    Penahanan remaja berkenaan selepas polis menerima laporan berkait kes rogol melibatkan mangsa yang berusia 14 tahun 11 bulan itu lapor Astro Awani.

  • Mahkamah benarkan LHDN tuntut cukai RM1.054 bilion daripada Jho Low

    Mahkamah benarkan LHDN tuntut cukai RM1.054 bilion daripada Jho Low

    MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang menerusi penghakiman terus semalam membenarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat tuntutan cukai sebanyak RM1,053,972,936.58 daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Kenneth Yoong Ken Chinson St. James membenarkan permohonan LHDN itu dengan faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman dengan kos RM15,000.

    LHDN tahun lalu mengemukakan saman itu terhadap Jho Low selepas ahli perniagaan berkenaan didakwa gagal mengemukakan penyata cukai bagi tahun 2013 dan 2014 sebanyak RM1,053,972,936.58.

    Dalam penghakimannya, Kenneth berkata, mahkamah tidak boleh menerima pembelaan Jho Low yang mana beliau tidak mempunyai akaun di Malaysia dan tidak menjalankan apa-apa perniagaan di Malaysia dalam menolak tuntutan saman daripada LHDN itu.

    “Saya dengan itu membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman sebanyak RM1,053,972,936.58 dengan faedah 5 peratus setahun dari tarikh penghakiman hingga tarikh realisasi penuh,” katanya dalam penghakiman sebanyak 60 muka surat.

    Tahun lalu, LHDN turut memfailkan saman terhadap Eric Tan Kim Loong yang didakwa sebagai sekutu Jho Low memintanya membayar cukai pendapatan berjumlah RM68 juta.

    Media sebelum ini melaporkan Eric Tan merupakan sekutu rapat Jho Low dan turut terlibat dalam transaksi berbilion ringgit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Tuntutan sama turut dibuat LHDN terhadap dua lagi `rakan’ Jho Low iaitu bekas pengarah 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas pegawai undang-undang 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan tahun lalu membabitkan tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.3 juta.

    Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman penjara terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng kerana menghina mahkamah dan memerintahkan mereka membayar kos RM5,000 akibat tidak mematuhi dua perintah injunksi yang dikeluarka

  • KDN teliti dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin di KL

    KDN teliti dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin di KL

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti dakwaan kemasukan ejen perisikan Israel, Mossad yang menculik seorang warga Palestin seperti dalam laporan sebuah akhbar tempatan hari ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil, jika benar ejen Mossad memasuki Malaysia.

    Katanya, kerajaan sentiasa meneliti dan memantau setiap dokumen kemasukan rakyat asing ke negara ini.

    Beliau berkata, jika terdapat mana-mana rakyat asing yang memasuki negara tanpa dokumen sah, tindakan akan diambil.

    “Sesiapa saja yang masuk ke negara kita, mereka perlu ada dokumen sah. Jadi, bila kita ada maklumat yang mengatakan ada orang masuk menggunakan dokumen tidak sah, kita akan pantau.

    “Akhirnya, kalau kita rasa sudah sampai masa kita tangkap mereka, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Terdahulu, laporan sebuah akhbar tempatan mendakwa perisik Israel memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik dua lelaki Palestin yang mereka percaya merupakan aset Briged Hamas al-Qassam baru-baru ini.

    Menurut laporan itu, tindakan perisik terbabit menyesuaikan taktik supaya tidak meninggalkan kesan penglibatan mereka dan aset tempatan dipercayai direkrut untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia.

    Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas pukul 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di ibu negara.

    Pada 2018, pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi Mohammad Al-Batsh yang merupakan warga Palestin ditembak mati individu dipercayai ejen Mossad.

  • Annuar masih teringin jadi calon PRU-15

    Annuar masih teringin jadi calon PRU-15

    PENYANDANG kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyuarakan hasrat menjadi calon pada PRU-15, namun segala keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti.

    “Sebenarnya ramai bukan saya saja sentiasa teringin menjadi calon. Kalau kita mempunyai keinginan untuk berkhidmat, maka kena ada keinginan untuk menjadi calon.

    “Itu keinginan. Tetapi sama ada menjadi calon mewakili parti, maka parti yang menentukan, bukan kita,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 hari ini.

    Pada PRU14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas dan Pakatan Harapan.

    Terdahulu semasa berucap dalam majlis itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, beliau masih tegak berdiri ingin menjadi calon walaupun sudah lapan kali menyertai pilihan raya.

    “Sebab kata orang, politik adalah suatu bidang yang boleh memberi kenikmatan. Masuk politik nak keluar payah.” katanya.

    Ditanya mengenai peratus kemenangan parti itu di Ketereh, Annuar berkata, ia bergantung kepada pendirian rakyat di kawasan itu dan beliau yakin terhadap keputusan yang akan diambil oleh pengundi nanti.

    “Para pengundi di Ketereh cukup bijak dan saya percaya kali ini sama juga. Cuma sesiapa yang menjadi calon nanti perlu berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab seperti yang diharapkan rakyat.

    “Setakat ini… Ketereh itu insyaallah…orang Ketereh semua baik-baik belaka,” tambahnya.

    Annuar menjadi wakil rakyat Ketereh selama dua penggal selepas menang atas tiket BN pada PRU13 dan PRU14.

  • Takiyuddin sangkal berkahwin lagi dalam tempoh 15 tahun

    Takiyuddin sangkal berkahwin lagi dalam tempoh 15 tahun

    MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini menafikan beliau mendirikan rumah tangga dengan mana-mana wanita dalam tempoh 15 tahun kebelakangan.

    Penafian Takiyuddin itu termasuk dakwaan beliau bernikah dengan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

    Setiausaha Agung Pas itu menegaskan, perkahwinan merupakan isu yang sangat peribadi bagi setiap individu.

    “Saya nak beritahu bahawa dalam tempoh 10 tahun ataupun 15 tahun sebelum ini saya tidak pernah mendirikan rumah tangga dengan sesiapa saja.

    “10 tahun itu dua kali pilihan raya, 15 tahun itu tiga kali (pilihan raya). Saya… saya tak pernah mendirikan rumah tangga dengan siapa-siapa saja,” kata Takiyuddin lapor Astro Awani.

    Penafian Takiyuddin itu dibuat susulan laporan media mendakwa beliau
    berteka teki mengenai status perkahwinannya dengan seorang ahli politik dari Selangor.

    Seperti dilaporkan Astro AWANI, Takiyuddin berkata, isteri beliau merupakan seorang pengundi di Malaysia.

    “My wife is a voter in Malaysia, so she’s considered as a politician, a voter is a politician (isteri saya seorang pengundi di Malaysia, jadi dia dianggap sebagai ahli politik, seorang pengundi adalah seorang ahli politik),” katanya.

  • Kejadian Bella cedera terkena air panas tidak berlaku – Saksi

    Kejadian Bella cedera terkena air panas tidak berlaku – Saksi

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini , diberitahu kejadian termos berisi air panas yang terjatuh hingga menyebabkan seluruh badan remaja Sindrom Down dikenali Bella cedera, tidak berlaku.

    Pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Inspektor Suhaili Mahad, 31, berkata ia berikutan rekod percakapan empat kanak-kanak yang tinggal di unit kondominium bersama pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, yang didakwa mendera remaja itu, seolah-olah mengikut skrip.

    Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata, kanak-kanak terbabit memberi kenyataan yang konsisten bahawa Bella dikejar seorang kanak-kanak dikenali Balqis kerana berebut snek hingga menyebabkan termos itu terjatuh.

    “Itu punca termos terjatuh dan menyebabkan Bella cedera seluruh badan. Kesimpulan daripada siasatan saya ialah kenyataan diberikan berhubung insiden itu adalah mengikut skrip.

    “Sebab itu, saya rampas dua barang iaitu termos dan tali putih dari kediaman Bainun. Termos itu berada dalam keadaan baik, tiada kesan lekuk atau menunjukkan ia terjatuh.

    “Saya percaya tiada insiden membabitkan termos yang terjatuh atas badan Bella, kerana tiada kesan barang itu pecah,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, memetik laporan BH Online.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Mengulas perincian termos dan tali putih, Suhaili berkata, barangan itu dirampas ketika beliau, jurufoto dan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) diketuai Asisten Superintendan Rohaini pergi ke tempat kejadian, pada 7 Julai 2021.

    “Saya bersama pasukan juga merakam percakapan penghuni unit berkenaan termasuk Siti Bainun di lobi kondominium terbabit.

    “Saksi ada melakar gambar rajah kasar tempat kejadian. Berkaitan barang itu, ia sudah didaftarkan di stor barang kes. Saya letak dalam sampul surat putih dan ia disimpan selepas tandaan diletakkan,” katanya.

    Dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf; Suhaili mengesahkan tidak merampas telefon bimbit Siti Bainun, sebaliknya hanya mengambil barangan itu milik dua rakan baik tertuduh iaitu Zurianty Sudin dan Hani Azura.

    Mohammad Farhan: Berlandaskan kandungan telefon saksi (Zurianty dan Hani) yang tidak berada di lokasi kejadian, mereka langsung tidak menyaksikan penderaan itu?

    Suhaili: Tidak setuju.

    Mohammad Farhan: Saya cadangkan dalam keterangan pemilik telefon dirampas itu, tiada yang mengatakan mereka menyaksikan Bainun mendera Bella, setuju atau tidak?

    Suhaili: Tidak setuju.

    Mohammad Farhan: Jika puan tak setuju, saya mohon puan menunjukkan keterangan pemilik telefon yang menyatakan mereka melihat dengan mata sendiri Bainun dera Bella?

    Suhaili: Tiada kaitan dengan siasatan.

  • “Saya pernah dipanggil ‘barua’,” kata Azhar Harun

    “Saya pernah dipanggil ‘barua’,” kata Azhar Harun

    YANG di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, kefahamannya tentang Perlembagaan dan undang-undang negara mendorongnya bertindak sewajarnya bagi memastikan urusan dalam Dewan Rakyat lancar dan efisyen.

    Katanya, pengalaman tiga dekad karier sebagai peguam diakui sedikit sebanyak memudahkan tugasnya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

    “Selama 31 tahun saya beramal sebagai peguam; saya banyak mengendalikan kes Perlembagaan.

    “Oleh itu saya tahu apa yang boleh saya buat dan apa yang saya tak boleh buat,” katanya, memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai peguam itu juga telah membentuk hubungan akrab antara beliau dengan Ahli-Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak yang membantunya berurusan dengan lebih mudah.

    “Saya bertuah kerana saya punyai rakan-rakan rapat dan sahabat di sebelah sini dan juga di sebelah sana.

    “Oleh kerana itu, proses engagement saya dengan mereka agak senang, saya boleh ajak sahaja mereka berbincang di luar sambil minum kopi,” kata Azhar Azizan.

    Maka beliau melihat segala yang berlaku di dalam Dewan Rakyat hanyalah sebahagian daripada kerja yang perlu dihadapi dan ia tidak menjejaskan hubungan di luar.

    Disebabkan itu, beliau tidak pernah mengambil apa sahaja yang dilemparkan kepadanya ketika persidangan di dalam Dewan secara peribadi.

    “Malah saya pernah dipanggil ‘barua’ pun, tapi saya tak pernah mengambilnya secara peribadi dan itu menyenangkan tugas saya.”

  • PRU-15: Pilih Melayu penjenayah atau Melayu bebas kes jenayah

    PRU-15: Pilih Melayu penjenayah atau Melayu bebas kes jenayah

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi, orang Melayu boleh memilih antara ‘Melayu penjenayah’ dalam UMNO atau Melayu yang bebas daripada kes jenayah.

    Hal ini kerana, Dr Mahathir Mohamad percaya orang Melayu hanya ingin diperintah oleh kerajaan yang didominasi oleh kaum itu.

    “Orang Melayu ingin diperintah oleh Kerajaan yang didominasi Melayu.
    “Dalam PRU-15, orang Melayu boleh pilih antara Melayu penjenayah dalam UMNO dan orang Melayu yang bebas dari kes-kes jenayah dari parti Pejuang serta rakan-rakan yang semuanya Melayu,” katanya di Facebook hari ini.

    Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sehubungan itu menjelaskan, masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama parti berkenaan.

    Menurutnya, Pejuang mewakili empat parti politik Melayu iaitu Pejuang, Putra, Iman dan Berjasa serta ramai orang Melayu yang tidak dibenar aktif dalam politik.

    “Masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama dalam agenda Pejuang.

    “Keluhuran undang-undang akan dihormati. Kuasa tidak akan disalah guna. Rasuah akan diperangi, kos sara hidup akan diturun. Negara akan dipulih sehingga kembali menjadi Harimau Asia,” tambahnya.

    Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, GTA yang ditubuh pada Ogos lalu telah menyatakan pendirian untuk meletakkan 120 calon di seluruh negara pada PRU-15 dengan lebih 30 peratus adalah calon muda.