Author: Wartawan WartaRakyat

  • Nolee Ashilin bertanding Parlimen Tanjung Malim wakili PN?

    Nolee Ashilin bertanding Parlimen Tanjung Malim wakili PN?

    KETUA Wanita Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi enggan mengesah atau menafikan desas-desus beliau akan bertanding kerusi Parlimen Tanjung Malim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Setakat ini, belum ada sebarang berita mengenainya dan pengumuman akan dilakukan esok oleh pucuk pimpinan PN. Sebagai orang parti, saya bersedia berkhidmat di mana-mana sahaja yang diputuskan oleh parti.

    “Seperti mana yang kita semua ketahui, dalam pilihan raya ni, tak ada jaminan 100 peratus (menjadi calon) sampai lah pengumuman calon diadakan.

    “Walaupun pengumuman calon diadakan, ia hanya 99 peratus yakin, sampai hari penamaan calon, nanti kita tengoklah masuk borang ke mana,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci 137 unit rumah teres dua tingkat kos rendah (Rumah PerakKu I) dan pelancaran rumah teres kos sederhana (Rumah PerakKu II) di Tapak Projek Raia Perdana, di Gopeng, hari ini.

    Sejak kebelakangan ini, spekulasi menyebut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah itu akan bertanding di Parlimen Tanjung Malim.

    Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak berharap calon wanita diperuntukkan 30 peratus kerusi pada PRU-15.

    “Bagi saya, kita sudah buat yang terbaik untuk menyatakan bahawa sudah tiba masanya bukan satu isu yang perlu diperdebatkan.

    “Sebenarnya, perlu ada, tak perlu kami minta, sepatutnya 30 peratus penglibatan wanita di dalam politik atau pentadbiran, mestilah dilaksanakan,” tegas Nolee Ashilin lagi.

  • Wanita maut, kenderaan dinaiki langgar tiang lampu jalan

    Wanita maut, kenderaan dinaiki langgar tiang lampu jalan

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    SEORANG wanita terbunuh selepas kenderaan dinaiki melanggar tiang lampu jalan dalam kejadian di kilometer 12 Jalan Batu Pahat-Kluang, Batu Pahat pukul 9.15 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa, Mahani Mahfool, 26, cedera parah dan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dilokasi kejadian.

    “Suami mangsa, Mohammad Rahmat Amin, 31, yang turut tersepit di tempat duduk pemandu mengalami kecederaan parah manakala anak pasangan ini yang berusia empat tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

    “Hasil siasatan mendapati kereta jenis Honda Ferior yang dinaiki keluarga ini dalam perjalanan dari arah Sri Gading ke Bandar Batu Pahat.

    “Sebaik tiba dilokasi kejadian, kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu diatas pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan,” Katanya melalui kenyataan hari ini.

    Ismail berkata, kemalangan tidak melibatkan kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar.

    Menurutnya, semua mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan dan proses bedah siasat.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata, 13 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Uni Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Katanya, anggota pasukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan pasangan suami isteri itu selepas kedua-duanya didapati tersepit di tempat duduk masing-masing.

    Tambah beliau. mangsa disahkan meninggal dilokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala suami dan anak mangsa dirujuk ke hospital menggunakan ambulan yang datang membantu.

  • Johari Abdul Ketua Pembangkang Kedah yang baharu

    Johari Abdul Ketua Pembangkang Kedah yang baharu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul dipilih sebulat suara sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi menggantikan ADUN Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi yang dipecat keahliannya dari Parti Amanah Negara (Amanah) semalam.

    Menurut Johari, keputusan untuk mengangkatnya sebagai ke jawatan itu dibuat dalam satu mesyuarat dihadiri kalangan ADUN pembangkang, selepas berakhir sesi pagi sidang DUN hari ini.

    “Kalangan ADUN pembangkang sebulat suara memberi peluang kepada saya untuk menjadi Ketua Pembangknag menggantikan Phahrolrazi.

    “Jadi Insya Allah saya akan buat yang terbaik bagi memastikan perjalanan DUN menjadi seperti diharapkan agak kami menjadi pembangkang yang konstruktif, serta menyumbang yang terbaik untuk negeri ini,” katanya.

    Amanah Kedah dikatakan mengalami pergolakan apabila sebahagian pimpinan utama di negeri ini tidak berpuas hati dengan pemberian kerusi Parlimen Jerai kepada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Keadaan itu membawa kepada pemecatan Phahrolrazi yang juga Pengerusi Amanah Kedah kerana didapati melanggar Perlembagaan parti, mengingkari keputusan-keputusan parti serta melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti.

    Mengulas lanjut Johari berkata, seluruh ADUN pembangkang mengucapkan terima kasih kepada Phahrolrazi di atas sumbangan diberikan sebagai ketua pembangkang sebelum ini.

    “Banyak jasa diberikan malah pandangan dan idea bernas telah disuarakan Phahrolrazi di DUN Kedah.

    “Kami akan terus menyambung hasrat beliau untuk pastikan bahawa peranan sepatutnya dimainkan pembangkang, diteruskan selepas ini,” katanya.

    Beliau memaklumkan, keputusan blok pembangkang itu akan dimaklumkan kepada Speaker DUN, Datuk Juhari Bulat secepat mungkin bagi memenuhi prosedur yang perlu dilaksanakan di DUN.

  • Kekuatan calon jadi pilihan pengundi PRU-15

    Kekuatan calon jadi pilihan pengundi PRU-15

    FAKTOR kekuatan calon menjadi pilihan pengundi berbanding parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Kajian yang dilakukan oleh Ilham Centre mendapati 38 peratus melihat faktor calon menjadi keutamaan untuk dipilih pada hari mengundi.

    Sebanyak 32 peratus melihat faktor parti akan menentukan pilihan mereka manakala 30 peratus lagi mementingkan isu yang dibawa ketika kempen.

    Hanya segmen pengundi berusia 50 tahun ke atas melihat parti lebih menjadi pilihan berbanding calon dan isu, manakala segmen pengundi 49 tahun ke bawah akan melihat ketokohan calon yang dipertaruhkan parti-parti yang bertanding, lapor Astro Awani.

    Dari segi kaum pula, 38 peratus segmen pengundi Melayu lebih mementingkan isu berbanding faktor calon dan parti manakala 38 peratus pengundi Cina akan melihat faktor calon sementara 38 peratus pengundi India melihat isu calon.

    Bagi pengundi Bumiputera Muslim pula, sebanyak 42 peratus melihat isu, 33 peratus memilih faktor calon manakala 23 peratus melihat faktor parti.

    Ini merupakan dapatan tinjauan awam oleh lima agensi media utama Astro AWANI, Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star & Malaysian Nanban.

    Dilaksanakan oleh tiga badan penyelidik, Ilham Centre, O2 Malaysia dan Huayan Policy Institute serta Centre for Malaysian Chinese Studies.

  • Polis siasat video tular lelaki belasah wanita

    Polis siasat video tular lelaki belasah wanita

    SUSULAN tular sebuah video memaparkan seorang wanita dipukul oleh seorang lelaki yang dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang awam yang mempunyai maklumat agar tampil memberi kerjasama.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat perkara tersebut dan belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian terbabit.

    Dalam masa sama, beliau berkata, dakwaan mengenai lokasi kejadian juga belum disahkan oleh pihak polis, lapor Astro Awani.

    Sejak beberapa hari lalu, tular video seorang lelaki dilihat menendang dan menampar seorang wanita tular dalam media sosial.

    Video berdurasi 18 saat itu mendapat kecaman daripada orang awam dan menggesa agar tindakan tegas diambil oleh pihak polis dengan segera.

    Sehubungan itu, PDRM menggesa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian dinasihatkan agar segera menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

  • Dua kakitangan hospital direman tiga hari, rosakkan hiasan Deepavali

    Dua kakitangan hospital direman tiga hari, rosakkan hiasan Deepavali

    POLIS menahan dua kakitangan hospital bagi membantu siasatan berhubung tindakan merosakkan hiasan lantai tradisional atau kolam sempena Deepavali di pekarangan sebuah hospital swasta di Klang, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu ditahan pukul 11 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini.

    “Dua suspek itu masing-masing individu yang berjalan dengan kasut atas kolam Deepavali serta yang merakam aksi lelaki berkenaan.

    “Mereka direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

    Sebelum ini, satu rakaman tular di TikTok yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai kakitangan sebuah hospital swasta sedang berjalan dengan kasut di atas perhiasan kolam.

    Tindakan lelaki berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi serta kecaman orang ramai.

  • Ilham Centre: Rakyat utamakan isu tempatan berbanding isu nasional PRU-15

    Ilham Centre: Rakyat utamakan isu tempatan berbanding isu nasional PRU-15

    Bagi segmen pengundi Melayu, 55 peratus melihat faktor isu tempatan akan menjadi penentu bagi mereka membuat keputusan, manakala 45 peratus memilih isu nasional. 

    KAJIAN yang dilakukan Ilham Centre mendapati isu-isu tempatan menjadi pilihan utama pengundi dalam membuat keputusan di kotak undi pada 19 November nanti.

    Memetik laporan Astro Awani, sebanyak 61 peratus menganggap isu-isu tempatan perlu diutamakan berbanding 39 peratus yang menganggap isu nasional lebih penting.

    Bagi segmen pengundi Melayu, 55 peratus melihat faktor isu tempatan akan menjadi penentu bagi mereka membuat keputusan, manakala 45 peratus memilih isu nasional.

    Pengundi Cina pula, 52 peratus melihat isu tempatan manakala 59 peratus pengundi India melihat perkara yang sama dalam membuat keputusan nanti.

    Sebanyak 48 peratus pengundi Cina dan 41 peratus pengundi India menganggap isu nasional akan mempengaruhi undi mereka.

    Isu tempatan lebih dilihat oleh kelompok pengundi di Borneo, lokaliti kampung dan kawasan tanah rancangan.

    Bagi Bumiputera Muslim, 84 peratus akan membuat keputusan berdasarkan isu-isu tempatan sementara 16 peratus isu nasional.

    Sebanyak 85 peratus pengundi segmen Bumiputera Non Muslim menganggap isu tempatan lebih penting berbanding 15 peratus melihat isu nasional.

    Kaji selidik yang dilakukan oleh Ilham Centre berhubung sikap pengundi

    Di kawasan kampung, 75 peratus melihat isu tempatan perlu diutamakan manakala 25 peratus lagi akan membuat keputusan berdasarkan isu nasional.

    Di kawasan tanah rancangan, 69 peratus memilih isu tempatan, 31 peratus isu nasional manakala di pinggir bandar 56 peratus isu tempatan dan 44 peratus isu nasional.

    Di kawasan bandar juga pengundi lebih melihat isu tempatan lebih penting dengan 54 peratus sementara 46 peratus isu nasional.

    Pengundi-pengundi baru yang berumur 18-20 tahun juga melihat isu tempatan lebih penting iaitu 64 peratus dan 36 peratus lagi menganggap isu nasional lebih penting.

    Ini merupakan dapatan tinjauan awam oleh lima agensi media utama Astro AWANI, Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star & Malaysian Nanban.

    Dilaksanakan oleh tiga badan penyelidik, Ilham Centre, O2 Malaysia dan Huayan Policy Institute serta Centre for Malaysian Chinese Studies.

  • 4 termasuk warga emas antara ditahan curi kenderaan, pecah rumah

    4 termasuk warga emas antara ditahan curi kenderaan, pecah rumah

    EMPAT suspek berusia 24 hingga 62 tahun berjaya diberkas polis selepas terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru Selatan sejak awal September lalu.

    Semua suspek terbabit ditahan hasil serbuan di tiga lokasi berasingan di Taman Pulai Indah Kangkar Pulai, Bandar Selesa Jaya dan Skudai.

    Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Rahmat Ariffin, bagi tangkapan pertama, polis menahan sepasang suami isteri di Taman Pulai Indah sebelum memberkas seorang lelaki di Bandar Selesa Jaya dan warga emas berusia 62 tahun di Skudai.

    “Hasil siasatan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau melibatkan jenayah pecah rumah, curi kenderaan, samun, memiliki barang salah selain rekod kesalahan dadah.

    “Suspek pertama (suami) memiliki 33 rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan dan isterinya (suspek kedua) memiliki satu rekod jenayah (curi kenderaan dan pecah rumah).

    “Suspek ketiga memiliki 11 rekod lampau dan tujuh kes berkaitan dadah manakala suspek keempat mempunyai sembilan rekod lampau,” katanya pada sidang media di lobi IPD Iskandar Puteri, hari ini.

    Rahmat berkata, setakat ini kesemua suspek ditahan reman sehingga Selasa dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 475 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan 379A Kanun Keseksaan (curi kereta),

    Beliau berkata, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kenderaan jenis Naza Citra dan sebuah motosikal jenis Honda Wave dianggarkan bernilai RM30,000.

    Jelas Rahmat, modus operandi yang digunakan kesemua suspek adalah dengan menekan loceng bagi memastikan ketiadaan penghuni di rumah disasarkan.

    “Polis tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan dibuat selepas ini melibatkan suspek-suspek lain,” katanya lapor Sinar Harian.

  • ‘Letupan’ mercun, kereta awam dibakar 100 ‘perusuh’ di hadapan Stadium Indera Mulia

    ‘Letupan’ mercun, kereta awam dibakar 100 ‘perusuh’ di hadapan Stadium Indera Mulia

    KIRA-KIRA 100 ‘perusuh’ bertindak agresif membakar mercun dan menterbalikkan sebuah kereta sebelum dibakar dalam kejadian di hadapan Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

    Keadaan itu bagaimanapun berjaya ‘dikawal’ sepasukan anggota dan pegawai termasuk dari bomba serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tiba di lokasi sekitar 15 minit kemudian.

    Bagaimanapun, pasukan keselamatan berhadapan detik cemas apabila perusuh mula menyerang anggota keselamatan dengan membaling beberapa objek sebelum menyerbu ke arah mereka.

    Namun, kehadiran puluhan anggota polis tambahan dengan menaiki jentera yang tiba di lokasi tidak lama selepas itu berjaya menyuraikan rusuhan selain beberapa individu daripada kumpulan perusuh itu ditahan polis.

    Itu merupakan antara situasi dalam simulasi latihan amal Pasukan Unit Tempur Ringan atau Light Strike Force (LSF) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang dijalankan pada Isnin sebagai persediaan menghadapi fasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Simulasi itu mengambil gambaran keadaan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku semasa proses penamaan calon di sebuah kawasan Parlimen di Perak pada 5 November nanti.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, latihan yang dimulakan sejak 21 Oktober lalu itu melibatkan 1,567 anggota IPD Ipoh yang akan diatur gerak bagi penugasan sepanjang fasa PRU-15.

    “Latihan atau simulasi ini dijalankan lanjutan daripada kesiap-siagaan PDRM Kontinjen Perak untuk menghadapi fasa PRU15 tidak lama lagi.

    “Jadi saya berharap daripada latihan yang diadakan di peringkat PDRM Kontinjen Perak dan juga seluruh IPD di negeri ini, ia dapat menambahkan lagi kesediaan anggota dan pegawai dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU nanti,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu meninjau demonstrasi latihan simulasi itu.