KIRA-KIRA 100 ‘perusuh’ bertindak agresif membakar mercun dan menterbalikkan sebuah kereta sebelum dibakar dalam kejadian di hadapan Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

Keadaan itu bagaimanapun berjaya ‘dikawal’ sepasukan anggota dan pegawai termasuk dari bomba serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tiba di lokasi sekitar 15 minit kemudian.

Bagaimanapun, pasukan keselamatan berhadapan detik cemas apabila perusuh mula menyerang anggota keselamatan dengan membaling beberapa objek sebelum menyerbu ke arah mereka.

Namun, kehadiran puluhan anggota polis tambahan dengan menaiki jentera yang tiba di lokasi tidak lama selepas itu berjaya menyuraikan rusuhan selain beberapa individu daripada kumpulan perusuh itu ditahan polis.

Itu merupakan antara situasi dalam simulasi latihan amal Pasukan Unit Tempur Ringan atau Light Strike Force (LSF) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang dijalankan pada Isnin sebagai persediaan menghadapi fasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Simulasi itu mengambil gambaran keadaan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku semasa proses penamaan calon di sebuah kawasan Parlimen di Perak pada 5 November nanti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, latihan yang dimulakan sejak 21 Oktober lalu itu melibatkan 1,567 anggota IPD Ipoh yang akan diatur gerak bagi penugasan sepanjang fasa PRU-15.

“Latihan atau simulasi ini dijalankan lanjutan daripada kesiap-siagaan PDRM Kontinjen Perak untuk menghadapi fasa PRU15 tidak lama lagi.

“Jadi saya berharap daripada latihan yang diadakan di peringkat PDRM Kontinjen Perak dan juga seluruh IPD di negeri ini, ia dapat menambahkan lagi kesediaan anggota dan pegawai dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU nanti,” katanya, lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu meninjau demonstrasi latihan simulasi itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here