Author: Wartawan WartaRakyat

  • Aura PN makin terserlah

    Aura PN makin terserlah

    AURA Perikatan Nasional (PN) semakin terserlah setelah beberapa nama besar UMNO seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib bertanding atas tiket gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Selain itu, Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang berkata, gelombang penerimaan rakyat terhadap PN juga semakin terasa dan mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat sempena pilihan raya umum (PRU) kali ini.

    Ini kerana katanya, prinsip perjuangan Pas dalam PN jelas menjanjikan pemimpin bersih berwibawa dan kerajaan yang bebas rasuah serta mengutamakan rakyat.

    “PRU15 ini medan kepada rakyat untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang mampu membawa kemajuan dan keadilan serta kemakmuran,” katanya di Temerloh malam tadi.

    Abdul Hadi menasihat pengundi supaya bijak memilih pemimpin dalam PRU-15 supaya yang terpilih kelak bebas rasuah sekali gus dapat berbakti kepada rakyat dan negara.

    Beliau dalam pada itu berkata, kedegilan UMNO menolak kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) menjadi punca utama Pas memilih PN sebagai sekutu menghadapi PRU-15 ini.

    Beliau berkata, Pas mahu Bersatu dan beberapa parti lain di Sabah dalam MN sekali gus mewujudkan khemah besar bagi menghadapi PRU-15 ini tetapi ditolak oleh UMNO.

    “Kehendak Pas supaya Bersatu bersama MN dibuat atas prinsip penyatuan ummah tetapi UMNO menyifatkan parti pengkianat. Kalau nak diambil kira, Pas lebih lama bergaduh dengan UMNO tetapi Pas bersedia bersama demi penyatuan ummah,” katanya.

  • PN miliki peluang lebih cerah raih sokongan pengundi

    PN miliki peluang lebih cerah raih sokongan pengundi

    Oleh MOHD. AZAM MOHD. ATAN

    KETIKA ini kita dapat lihat pelbagai kaji selidik lapangan dilakukan untuk melihat tahap sokongan orang ramai terhadap sesuatu parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

    Hasil kajian itu hanya boleh diambil sebagai data sokongan dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan keseluruhan kerana sampel yang diambil tidak menyeluruh.

    Namun, seperti yang semua sedia maklum, kawasan luar bandar merupakan deposit tetap BN kerana pengundi di kawasan tersebut setia dengan parti yang telah lama mereka sokong.

    Manakala di kawasan bandar, cukup sinonim dengan pengundi yang menolak BN dan mereka lebih selesa menyokong pembangkang.

    Melihat kepada sentimen tersebut – dengan keadaan politik yang sudah berubah disebabkan beberapa perubahan yang telah berlaku kepada struktur parti politik di Malaysia, penulis juga telah melakukan beberapa tinjauan awam bagi mengetahui tahap sokongan rakyat pada ketika ini.

    Daripada tinjauan yang dilakukan di kawasan kampung, penulis mendapati Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang yang agak baik untuk meraih sokongan rakyat pada kali ini.

    Ia berdasarkan kepada beberapa sebab antaranya pengundi yang tidak suka kepada UMNO/BN disebabkan terpalit dengan isu rasuah dan penyelewengan mahu memberikan undi mereka kepada PN.

    Mereka yang rata-ratanya pengundi Melayu Islam melihat PN adalah pilihan yang lebih baik berbanding memberikan sokongan kepada PH yang sudah diketahui dianggotai oleh DAP.

    Pengundi luar bandar di kawasan kampung masih tetap dengan pendirian mereka tidak akan sesekali memberikan sokongan atau undi kepada DAP disebabkan agenda parti itu.

    Walaupun dengan menampilkan calon-calon Melayu, DAP tidak mudah untuk mempengaruhi pemikiran atau sokongan pengundi di kawasan kampung.

    Pengundi luar bandar juga melihat PN yang diterajui Muhyiddin Yassin mempunyai kelebihan dari segi kepimpinan Islam, ditambah pula dengan kekuatan keanggotaan oleh PAS.

    Tinjauan di kawasan bandar pula yang melibatkan pengundi yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi pula mendapati pengundi lebih selesa dengan PN disebabkan rekod pentadbiran sebelum ini.

    Walaupun kerajaan PN pimpinan Muhyiddin terpaksa mentadbir dalam keadaan dugaan yang datang dari pelbagai sudut, ia dapat diuruskan dengan seimbang dari sudut kesihatan dan ekonomi.

    Ciri kepimpinan yang bersih, tidak songlap duit rakyat yang ditonjolkan juga memberikan perspektif baik dari kaca mata pengundi.

    Sebahagian daripada penyokong Perikatan Nasional gembira selepas Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan cuti umum sekiranya parti itu memenangi pilihanraya umum ke-15 pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Bahkan apabila PN melancarkan manifesto baru-baru ini, beberapa janji yang ditawarkan kepada rakyat mendapat reaksi yang positif.

    Tawaran yang tidak menjanjikan bulan bintang dan realistik untuk dilaksanakan dilihat mengutamakan kepentingan rakyat dan seiring dalam menghadapi kebimbangan kemelesetan ekonomi pada tahun depan.

    Manifesto berkenaan juga menyebabkan parti lawan terkesan, salah satu contoh ialah Facebook Najib Razak yang tidak henti-henti membuat serangan terhadap keupayaan janji ditawarkan PN.

    Walaupun ia dibuat dengan niat untuk memesongkan fakta, ia sebenarnya tidak dapat mengubah pendirian rakyat terutamanya mereka yang berada di kawasan bandar.

    Misalnya mereka mempertikaikan keupayaan pentadbiran Muhyiddin sebelum ini seperti lockdown separuh masak tetapi di ruangan komen ia ditangkis oleh netizen yang tidak bersetuju dengan apa yang dinyatakan itu.

    Kata mereka, walaupun pentadbiran Muhyiddin singkat dan tidak sempurna, ia adalah jauh lebih baik daripada pentadbiran BN terutamanya ketika Najib menjadi PM.

    Tambah mereka lagi, Najib yang sudah dibuktikan bersalah kerana penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta dan sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sepatutnya ‘duduk diam-diam saja’ di dalam penjara.

    Gunakan ruang yang ada untuk muhasabah diri kerana penyelewengan yang dilakukan itu melibatkan jumlah yang amat besar.

    Masa Najib sudah berlalu dan berikan peluang kepada orang lain untuk mentadbir negara ke arah yang lebih baik di bawah teraju PN.

  • Muhyiddin sangkal tuduhan Anwar kerajaan PN gagal urus Covid-19

    Muhyiddin sangkal tuduhan Anwar kerajaan PN gagal urus Covid-19

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tuduhan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan pimpinannya sebelum ini gagal mengawal pandemik Covid-19 walaupun mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama di dunia.

    Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengiktiraf Malaysia antara negara terbaik dalam mengurus pandemik Covid-19.

    “Anwar Ibrahim menuduh saya gagal untuk menguruskan Covid-19. Betul ke? Beritahu pada Anwar Ibrahim, tak betul… bohong. Kita berhadapan dengan satu situasi yang luar biasa.

    “Bukan saja Malaysia, seluruh dunia termasuk negara maju, negara tidak maju, kecil dan besar. Anwar Ibrahim beritahu Muhyiddin tidak berjaya urus Covid-19. Ada 36,000 orang meninggal kerana serangan Covid-19 yang dikatanya terburuk dalam dunia.

    “Bukan terburuk tapi antara negara terbaik dalam menguruskan Covid-19. Amerika Syarikat antara negara termaju di dunia mempunyai kes kematian sebanyak 1,098,387 berbanding negara kita 36,495 kes,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan (PN) Best di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis, malam tadi.

    Orang ramai yang hadir dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan (PN) Best di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis, malam tadi. Foto Facebook Muhyiddin Yassin

    Muhyiddin berkata, negara seperti Brazil (688,444 kes), India (530,000 kes), Rusia (390,000 kes) United Kingdom (194,000 kes), Indonesia (158,000 kes) dan Jepun (47,000 kes) mencatat jumlah kematian yang lebih tinggi berbanding Malaysia di kedudukan ke-29.

    “Beritahu pada Anwar Ibrahim boleh cakap tapi apa pun tak buat. Dia tak nak ucapkan terima kasih malahan langsung tidak bersyukur kerana dengan tindakan tegas yang kerajaan pimpinan saya telah ambil kita telah menyelamatkan jutaan nyawa.

    “Kerajaan pada ketika itu telah membina pusat-pusat suntikan vaksin di seluruh negara, sehingga ke pedalaman Sabah dan Sarawak. Apa yang Anwar tahu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Anwar Ibrahim katanya, hanya pandai buat tuduhan tetapi tidak bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang kerajaan lakukan waktu itu.

    “Ini termasuk menyelamatkan nyawa dia, keluarga dia, anak dia, cucu dia dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya yang menyifatkan Anwar sebagai PM (Perdana Menteri) tepi selamanya.

    Pengerusi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberitahu, kerajaan pada masa itu juga telah berjaya menyelamatkan ekonomi negara walaupun terpaksa melaksanakan PKP bagi mengelak lebih ramai rakyat dijangkiti Covid-19.

  • 3 penghuni perempuan cedera bumbung asrama anak yatim runtuh

    3 penghuni perempuan cedera bumbung asrama anak yatim runtuh

    SERAMAI tiga penghuni Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) di Jalan Scotland, George Town, Pulau Pinang cedera apabila bumbung di asrama itu runtuh dalam kejadian kira-kira pukul 9.42 malam tadi.

    Mangsa masing-masing berusia 8, 10, dan 13, tahun itu cedera di beberapa bahagian badan namun keadaan mereka dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, runtuhan bumbung itu melibatkan bahagian asrama iaitu tempat tidur yang berkeluasan kira-kira 15 meter persegi panjang dan 12 meter persegi lebar.

    Menurut beliau, asrama itu menempatkan seramai 30 penguni, namun ketika kejadian hanya tiga pelajar berada di dalam asrama terbabit manakala pelajar lain ada yang sedang mengambil makanan dan mengikuti kelas tuisyen.

    “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan daripada penerangan doktor, penghuni yang berusia 13 tahun mengadu sakit belakang, 10 tahun sakit di bahagian tengkuk manakala 8 tahun cuma mengalami kecederaan ringan.

    “Dua daripada mereka yang mengadu sakit belakang dan tengkuk akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengetahui sama ada berlaku kecederaan dalaman atau sebaliknya,” tambahnya.

    Tambahnya, seramai 27 penghuni lain yang terselamat akan ditempatkan di Wisma Anak Yatim Lelaki (Islam) di Jalan Air Itam, Georgetown.

    Jelas beliau, pihaknya akan menutup lokasi itu untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

    Sementara itu, Ketua Zon 1 Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba I Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.42 malam berhubung kejadian tersebut.

    Menurutnya, seramai 33 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Paya Terubong bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat.

    “Ketika kita sampai, mangsa sudah dibawa keluar ke lokasi lebih selamat. Pemeriksaan di tingkat satu mendapati, memang benar bumbung di bahagian asrama telah runtuh,” katanya.

  • PN pasang ejen selidik ahli kempen untuk parti lain-Hamzah

    PN pasang ejen selidik ahli kempen untuk parti lain-Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai ejen khas yang akan membuat penyelidikan sekiranya terdapat laporan ada ahli daripada gabungan itu yang berkempen untuk parti lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata: “Saya sudah mengeluarkan kenyataan semalam berhubung mana-mana ahli dari komponen parti itu yang berkempen selain daripada PN akan berdepan tindakan pengguguran.”

    Menurutnya yang juga calon PN bagi Parlimen Larut, tindakan pengguguran akan diambil selepas semua bukti diperoleh disahkan benar daripada ejen khas yang turun membuat penyelidikan.

    “Semalam kita sudah keluarkan kenyataan bahawa calon, penyokong dan pencadang PN yang berkempen untuk parti lain, selain PN akan tergugur keahlian mereka.

    “Perkara ini (kempen untuk parti lain) kita akan kesan melalui semua laporan yang datang daripada ketua-ketua dan pengerusi PN di negeri masing-masing.

    “Bila tahu siapa, ada bukti, selepas itu ejen-ejen akan turun untuk selidik dan apabila telah dibuktikan betul baharu kita akan mengambil tindakan (menggugurkan ahli),” katanya.

    Beliau berkata demikianketika ditemui pemberita ketika bertemu pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Senangan, Georgetown, hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Pas parti gabungan PN memberi amaran kepada ahlinya supaya tidak terbabit termasuk membantu berkempen bekas Ahli Parlimen parti itu yang bertanding menggunakan tiket parti lain pada PRU-15.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, ahli parti yang didapati melakukan perkara itu akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut perlembagaan parti termasuk boleh dipecat.

    Menurutnya, berdasarkan Perlembagaan Pas, ahli yang didapati membantu calon yang bertanding di bawah tiket parti lain dianggap melanggar disiplin dan tatatertib parti.

    Ini kerana, mereka dianggap melakukan tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan Pas.

  • PN dedah lima parti berminat sertai gabungan

    PN dedah lima parti berminat sertai gabungan

    SEKURANG-KURANGNYA lima parti politik dikatakan berminat menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

    Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang mendakwa permohonan rasmi daripada parti di Sabah dan Semenanjung itu diterima sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula.

    “Ada banyak, lebih daripada lima. Dari Sabah ada, yang di Semenanjung pun ada.

    “Mereka sudah tulis surat mahu bersama kita tetapi permohonan masih dalam proses penelitian, di samping memberi peluang kita untuk fokus pada PRU15,” katanya memetik laporan BH Online.

    Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor di Larut, hari ini.

    Pada 2020, PN dibentuk menerusi gabungan Bersatu, Pas dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) sebelum disertai Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.

    PN mentadbir negara selama 17 bulan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

  • Ikmal Hisham nafi dakwaan Rafizi, akan ambil tindakan undang-undang

    Ikmal Hisham nafi dakwaan Rafizi, akan ambil tindakan undang-undang

    TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz sekali lagi kesal dengan tuduhan berterusan dilemparkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli terhadapnya walaupun telah membuat laporan polis berhubung penafian penglibatannya dengan perolehan/syarikat yang terlibat dengan Self-Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia.

    Susulan itu beliau yang juga calon kerusi Parlimen Tanah Merah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi bertujuan membersihkan namanya. Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

    CUKUP-CUKUPLAH SAUDARA RAFIZI DENGAN FITNAH SKANDAL KE ATAS ORANG LAIN

    Alhamdulillah telah selesai sesi penamaan calon bagi Parlimen P.027, Tanah Merah pada 5 November 2022. InshaAllah berkat dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari warga Tanah Merah, saya akan mempertahankan kerusi Parlimen tersebut pada PRU ke-15 ini. Saya juga sangat bersyukur dan amat menghargai sokongan yang telah ditunjukkan kepada saya semasa hari penamaan calon tempoh hari.

    Dalam kesibukan tempoh berkempen ini, saya juga telah membaca dan meneliti kenyataan media yang dikeluarkan oleh saudara Rafizi Ramli bertarikh 7 November 2022. Kenyataan media tersebut sekali lagi telah memetik nama saya dengan tohmahan perbekalan aset untuk Kementerian Pertahanan. Untuk makluman, perkara ini bukanlah pertama kali disentuh oleh saudara Rafizi malah satu laporan polis telah dibuat terhadap beliau sebulan yang lalu iaitu pada 7 Oktober 2022 berkenaan kenyataan fitnah berhubung perkara yang sama.

    Jika dilihat kepada momentum tersebut, mudah untuk kita fahami saudara Rafizi cuba menimbulkan persepsi negatif kepada calon dari Perikatan Nasional dengan saya dijadikan sasaran bagi tujuan mempengaruhi undi rakyat. Percayalah, rakyat Malaysia tidak gemar kepada politik benci-membenci apatah lagi fitnah yang amat jijik berdasarkan imiginasi dan rekaan saudara Rafizi sendiri. Hayatilah Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan”.

    Kenyataan media tersebut turut menyatakan bahawa saya adalah mantan Timbalan Menteri Pertahanan. Untuk pengetahuan saudara Rafizi, pada hari ini saya masih lagi ‘caretaker’ Timbalan Menteri Pertahanan dan jelas perkara asas seperti jawatan sayapun saudara Rafizi telah tersilap. Sekiranya perkara asas tersebut Saudara Rafizi secara terangan tersasar, maka sukarlah rakyat untuk percaya pembohongan dan
    fitnah yang saudara Rafizi tohmahkan kepada saya.

    Selepas fitnah yang telah saudara Rafizi keluarkan sebelum ini, saya telah membuat laporan polis penafian penglibatan saya dengan perolehan/syarikat yang terlibat dengan Self-Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia. Perolehan SPH adalah salah satu daripada pelbagai perolehan perbekalan/aset yang diperlukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tujuan memantapkan
    pertahanan negara. Memandangkan nilai perolehan tersebut agak besar, maka adalah menarik untuk kaitkan seorang ahli politik dengan perolehan ini bagi memberi gambaran buruk kepada masyarakat. Ianya sangat menyedihkan apabila dengan mudah saudara Rafizi membuat tanggapan saya amat berkuasa untuk mempengaruhi sesuatu perolehan di Kementerian Pertahanan, seolah-olah pegawai di Kementerian dan ATM membuat kerja secara semberono sahaja tanpa perlu mengikut peraturan sedia ada. Kenyataan fitnah seperti ini adalah suatu penghinaan bagi pegawai-pegawai kerajaan yang telah menjalankan tugas dengan baik dan sentiasa berusaha bagi memastikan kesiagaan pertahanan negara berada dalam tahap tertinggi. Semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja yang ketat dan mesti dipersetujui terlebih dahulu oleh ‘end-user’ iaitu pihak Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. Tiada sesiapapun yang boleh mempengaruhi kebijaksanaan ‘end-user’ dalam mendapatkan aset yang terbaik untuk pertahanan negara.

    Saya sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya terlibat/mempunyai kepentingan dalam syarikat/proses perolehan SPH seperti yang didakwa. Sebagai ‘abang’ kepada ‘adik’ yang telah membesar menuntut ilmu di sekolah yang sama, saya ingin menasihatkan saudara Rafizi untuk menghentikan fitnah yang terus dikaitkan dengan saya dan orang lain. Saya suka mengingatkan diri saya sendiri dan saudara Rafizi untuk kita bersama-sama menggunakan tempoh berkempen ini bagi memenangi hati rakyat secara sihat tanpa tindakan-tindakan negatif yang akhirnya akan menimbulkan kebencian sesama kita.

    Untuk makluman saudara Rafizi juga, Perikatan Nasional mempunyai proses tapisan yang ketat sebelum seseorang itu dilantik sebagai calon PRU ke-15 ini. Semua calon perlu menjalani tapisan oleh pihak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Alhamdulillah, saya dan calon-calon Perikatan Nasional telah melepasi semua tapisan tersebut dan InshaAllah saya akan terus kekal bersih.

    Jika sebelum ini saya mengenangkan brotherhood ‘MCKK’ dan hanya membuat laporan polis terhadap fitnah yang saudara Rafizi lemparkan kepada saya, namun pada kali ini saya tiada pilihan dan telah menghubungi peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada ‘adik’ saya selepas PRU ke-15 sekiranya fitnah ini berterusan.

    Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz
    Timbalan Menteri Pertahanan
    8 November 2022

  • Tiada kompromi anggota, pegawai Imigresen terbabit penyeludupan migran

    Tiada kompromi anggota, pegawai Imigresen terbabit penyeludupan migran

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekiranya didapati bersekongkol dengan kegiatan penyeludupan migran.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan tegas termasuklah dibuang kerja boleh diambil terhadap mereka yang terbabit sekiranya didapati bersalah.

    “Tidak kiralah berapa ramai sekalipun, kita akan tangkap dan gantikan mereka ini dengan pegawai-pegawai baharu.

    “Jangan risau kalau kita tangkap ramai, ini bermakna kita selesaikan masalah yang busuk ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di Sungai Bayor, Perak, lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian mengulas tangkapan terkini membabitkan kegiatan penyeludupan migran yang dikesan berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

    Hamzah pada sama mengakui pembabitan anggota penguat kuasa sendiri dalam kegiatan jenayah sedemikian ibarat ‘kanser’ yang berisiko merosakkan agensi terbabit.

    “Sekiranya kumpulan berkenaan terlampau banyak ia akan menyebabkan agensi itu akan bermasalah.

    “Justeru, usaha awal perlu dilakukan bagi membendung jenayah berkenaan yang dikhuatiri akan menjejaskan agensi berkenaan kelak,” katanya.

    Semalam media melaporkan, 14 individu terdiri dua ‘transporter’ warga tempatan dan 12 migran warga Indonesia ditahan di KIK di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.

    Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Johor giat memburu pegawainya yang dipercayai mendalangi kegiatan terbabit.

  • ‘Bacalah dulu manifesto PN sebelum komen’- Radzi

    ‘Bacalah dulu manifesto PN sebelum komen’- Radzi

     “DIA tidak baca manifesto, saya gesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, bacalah dulu baru komen,” kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin.

    Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Putrajaya itu berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang menempelak cadangan PN untuk melaksanakan penilaian semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar jika berjaya membentuk kerajaan.

    Radzi berkata, tawaran itu tidak terkandung dalam manifesto Tawaran PN Best sebaliknya dijawab Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sesi dialog awam (Townhall) selepas pelancaran manifesto berkenaan.

    “Ini (pengeluaran KWSP) tidak ada dalam tawaran PN, perkara itu ketika ditanya pada sesi itu apakah akan dipertimbangkan, jadi Tan Sri Muhyiddin jawab sekiranya terdapat keperluan mengambil kira keadaan, masa dan syarat tertentu, perkara ini boleh dilihat,” katanya ketika ditemui pada program mendekati pengundi di Pasar Malam Presint 2 di Putrajaya, hari ini, memetik laporan BH Online.

    Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tawaran PN Best, berkata Anwar wajar meneliti dahulu manifesto lawan sebelum memberi pandangannya.

    “Itu sahaja konteksnya, jangan ambil atas sahaja, ia ditanya ketika sesi Townhall PN, kami sahaja yang berani buat Townhall.

    “Jadi saya harap pihak media boleh bantu secara jelas, kita ini bila nak buat sesuatu kita ambil pelbagai aspek dan terbuka untuk menerima pandangan,” katanya.

    Semalam Anwar berkata, PN disifatkan ketandusan modal berkempen sehingga sanggup menekan rakyat dengan cadangan berkenaan.

    Beliau berkata, tawaran PN itu dilihat jelas cuba menekan rakyat yang ketika ini terhimpit akibat kemelesetan ekonomi hingga menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan.

  • Rasman persoal sumbangan Khaled Nordin di Kota Tinggi sewaktu jadi MB

    Rasman persoal sumbangan Khaled Nordin di Kota Tinggi sewaktu jadi MB

    PENGARAH Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Johor, Rasman Ithnain mempersoalkan sumbangan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilihat tidak mempedulikan pembangunan di Kota Tinggi.

    Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi itu mendakwa, apa yang lebih menonjol cuma taburan janji yang dibuat oleh Naib Presiden UMNO itu semasa menjadi Menteri Besar Johor.

    “Janji-jani yang pernah diutarakan Khaled sebelum ini juga masih belum ditunaikan, namun, dalam masa sama masuk Kota Tinggi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Beliau tidak pernah prihatin dan peduli terhadap penduduk apatah lagi soal pembangunan di Kota Tinggi. Misalnya, isu bekalan air di daerah ini dan keperluan lot tanah perumahan generasi kedua langsung tak dipedulikan ketika itu.

    “Janji beliau untuk naik taraf Masjid Tanjung Sedili juga hanya omong kosong. Janji untuk bagi geran hak milik satu ekar tanah setiap seorang di Kampung Tuan Seh juga hanya tinggal janji.

    “Bila nak bertanding PRU15, beliau (Khaled) sekali lagi tabur janji untuk buat perubahan di Kota Tinggi sedangkan janji yang lama masih belum ditunaikan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PN Kota Tinggi, Kota Tinggi, hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, tindakan Khaled bertanding pada kali ini hanya sebagai ‘batu loncatan’ buat beliau untuk menghidupkan kembali karier politiknya setelah tewas beberapa kali sebelum ini.

    Selain itu, Rasman berpendapat, sudah tiba masanya untuk penduduk di Kota Tinggi mendapatkan pemimpin wajah baharu bagi membela nasib rakyat yang tidak mempunyai sebarang perubahan untuk tempoh lima tahun lalu.