SEBANYAK 30 syarikat konsesi lebuh raya bersetuju memberikan tol percuma pada 18 dan 19 November ini yang bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi memudahkan pengundi pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Bagi memudahkan pengundi balik mengundi, sebanyak 30 konsesi lebuh raya bersetuju tawar tol percuma selama dua hari kepada pengguna sempena PRU-15.
“Tol bermula itu bermula pada jam 12.01 tengah malam pada 18 November sehingga jam 11.59 malam 19 November,” katanya ketika merasmikan pecah tanah Wisma CUEPACS Putrajaya di Putrajaya, hari ini lapor UtusanTV.
PERDANA Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mengakui beliau berasa agak kecewa sebelum ini apabila ada rakan dalam Kabinet beliau daripada UMNO tidak dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden UMNO itu berkata biarpun tidak terpilih, ada dalam kalangan mereka masih kekal setia bersama parti dan bersedia memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.
“Jasa mereka kita tidak akan lupa lebih-lebih lagi apabila mereka tak dapat bertanding, mereka tidak menentang parti.
“Saya sendiri pun berasa agak kecewa apabila rakan yang merupakan calon boleh menang dan berjasa kepada parti tidak dapat bertanding,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau Lebuhraya Pan Borneo Sarawak hari ini, lapor Malaysia Now.
Empat menteri Kabinet UMNO yang tidak dicalonkan semula ialah Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba serta Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamad Saddique.
Shahidan mengambil keputusan bertanding sebagai calon Perikatan Nasional-PAS untuk mempertahan kerusi Parlimen Arau yang dimenanginya dalam PRU-14.
Ditanya jika mereka yang tidak dicalonkan semula dan membuktikan kesetiaan kepada parti akan dilantik memegang peranan penting jika BN menang, Ismail berkata, “Beri kita kemenangan dulu dan kita akan buat keputusan selepas itu.”
SETIAUSAHA Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, rakyat negara ini sudah muak dengan pemerintahan yang mempunyai isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Sudah tiba masanya rakyat berubah ke arah sebuah negara yang lebih bersih dan stabil,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II.
Tegas beliau, misi sekarang ialah beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat melalui Perikatan Nasional (PN) yang bersih dan berintergriti.
“Kita akan berusaha sedaya upaya supaya kita berjaya menuju ke arah itu. Kita nak rakyat juga punyai kekuatan sendiri untuk melonjakkan ekonomi, perpaduan dan seumpamanya supaya satu masa negara kita akan jadi negara maju yang bersih dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Tani, di Bandar Baru Pasir Puteh di Pasir Puteh, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Nor.
Mengulas berhubung persediaannya di Parlimen Pasir Puteh, beliau memaklumkan, Pas mempunyai lebih kekuatan dengan sokongan padu daripada Bersatu.
Ujarnya, kerjasama kedua-dua parti itu banyak mengubah corak politik di Pasir Puteh.
“Kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bersatu yang bekerjasama dengan Pas, dan bukannya memberi seribu satu macam alasan bila diajak bersama,” katanya, lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, Kamarudin memaklumkan, kepimpinan Nik Muhammad Zawawi dilihat mampu mengekalkan mandat di parlimen berkenaan dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
“Saya yakin, kita akan menang di Pasir Puteh, kita akan menang besar. Kita sudah bekerjasama sebagai satu pasukan, dan akan ada program tokok tambah, yang wajib dan sunat kita iring sekali,” katanya.
TAN Sri Muhyiddin Yassin percaya sebahagian besar pengundi di Pagoh akan membantu menyokongnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 Sabtu ini sekali gus beliau boleh meneruskan peranannya sebagai ahli Parlimen kawasan itu.
Keyakinan itu disuarakan Muhyiddin yang juga penyandang kerusi itu selepas cakap-cakap beliau akan dikalahkan di Pagoh pada PRU-15.
Bagaimanapun bagi Muhyiddin, beliau berada di kawasannya hampir setiap hari dan beliau mempunyai jentera yang mmebantunya.
“Saya sudah lama di Pagoh lebih 40 tahun, orang Pagoh sendiri tahu apa yang akan saya lakukan. Itu akan menjawab semua isu yang mereka hadapi.
“Dan saya yakin dan saya percaya sebahagian besar pengundi di Pagoh, Melayu Cina India Orang Asli akan membantu untuk menyokong saya dan meneruskan peranan saya sebagai ahli Parlimen di Pagoh,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Beliau menjawab soalan media yang mendakwa terdapat ramalan calon Perikatan Nasional itu akan kalah pada PRU-15.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau tidak kisah dengan ramalan di buat pihak-pihak tertentu kerana berpendapat itu hanya pandangan.
“Jadi apa-apa ramalan tak apalah, orang boleh kata saya akan menang cemerlang waima saya akan kalah teruk dan saya ambil kira pendapat mereka.
“Tapi saya tahu denyutan nadi orang Pagoh yang saya fikir sebahagian besarnya mendoakan dan mengharapkan saya beroleh kemenangan,” tambahnya.
PERIKATAN Nasional (PN) berikrar untuk memacu pembangunan lebih inklusif di Sabah dan Sarawak dalam usaha merapatkan jurang pembangunan di antara wilayah.
Perkara tersebut dinyatakan di dalam Tunjang 5 manifesto Tawaran ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau Tawaran PN BEST.
Melaluinya pembangunan Sabah dan Sarawak akan dipacu melalui pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
Usaha tersebut akan dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada dua negeri itu mendapat peruntukan dalam memcepatkan usaha pembangunan.
Selain itu, sekiranya diberikan mandat, PN juga berjanji untuk terus membela rakyat di Sabah dan Sarawak khususnya dalam bidang pendidikan demi menghasilkan modal insan berkualiti.
Sebahagian daripada penyokong Perikatan Nasional gembira selepas Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan cuti umum sekiranya parti itu memenangi pilihanraya umum ke-15 pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, baru-baru ini.
GAMBAR: Abd Razak Aid
“Mengutamakan pengagihan peruntukan pembangunan kepada Sabah dan Sarawak bagi mempercepatkan pembangunan sosioekonomi setempat.
“Menubuhkan universiti awam baharu di Sabah dan Sarawak yang menawarkan kursus dalam bidang strategik bagi memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan,” kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan manifesto Tawaran PN BEST, baru-baru ini, lapor Utusan TV.
Turut terdapat di dalam Tunjang 5 adalah satu usaha akan dilaksanakan bagi mengoptimumkan potensi ekonomi setiap negeri dan wilayah termasuk di kawasan luar bandar.
Pada masa sama, PN akan berusaha untuk meningkatkan kecekapan capaian pengangkutan awam yang menghubungkan bandar dan luar bandar.
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon menyifatkan isu lompat parti yang dimainkan parti lawan tidak timbul kerana beliau sebenarnya dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Isu lompat tidak timbul kerana saya tidak pernah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat. Saya akan kepilkan surat pemecatan yang saya terima daripada PKR.
“Langkah Sheraton bukan lompat parti,” katanya pada sidang media di Batu Pahat, hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, isu sebenar langkah Sheraton adalah waktu itu semua ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN berpendapat bahawa keutamaan adalah untuk memastikan pemerintahan kerajaan mendapat sokongan kukuh.
Katanya, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan beliau tidak mahu terlibat dengan desakan sekumpulan ahli Parlimen yang membelakangkan keputusan mesyuarat PH.
“Tidak timbul isu lompat. Pertemuan Ahli Parlimen di Sherathon adalah usaha mendapatkan sokongan yang kukuh untuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad waktu itu.
“Kemudian Tun Mahathir letak jawatan. Jadi apa pilihan yang ada adalah keutamaan untuk memastikan kestabilan politik kerana wabak Covid-19 mula menular dan kita ambil kira semua aspek termasuk keselamatan rakyat dan ekonomi negara.
“Itu kisahnya. Boleh rujuk perbahasan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab persoalan Ahli Parlimen Beufort ketika pindaan Rang Undang-Undang Anti Lompat di Parlimen bila ditanya tentang peristiwa 16 September itu,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mohd. Rashid bertanding atas tiket PKR dan memenangi kerusi Parlimen Batu Pahat dengan majoriti 17,894 undi.
Beliau menewaskan calon BN, Haliza Abdullah dan calon Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.
Bagaimanapun, Mohd. Rashid kemudian keluar parti apabila berlaku ‘Langkah Sheraton’ dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
PAS membidas naratif yang dimainkan semula oleh DAP dengan mengaitkan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan jika Pas memerintah, sedangkan terbukti tiada ahli atau pemimpin parti itu yang terlibat dengan Taliban.
Setiausaha Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata sudah terbukti parti itu tidak ada hubung kait dengan kegiatan keganasan sebagaimana pembabitan DAP yang secara terang-terang mengangkat perjuangan komunis.
Malah katanya, ada pemimpin DAP yang agresif dan radikal amat bangga memperkenalkan diri berketurunan datuk moyang daripada kalangan penggerak kegiatan komunis di Malaysia suatu ketika dahulu.
“Mereka sanggup bawa abu mayat Chin Peng balik (ke Malaysia), mengadakan majlis memperingati komunis kononnya sebagai pejuang di Tanah Melayu dan mengangkat komunis untuk dikatakan sebagai sebahagian pejuang kemerdekaan.
“Ini merupakan satu pembohongan manipulasi kepada sejarah. Hakikatnya komunis telah membunuh ramai anggota pertahanan keselamatan Tanah Melayu ini ketika zaman 60-an, 70-an atau sebelum itu lagi.
“Komunis telah menembak mati ramai pejuang-pejuang pasukan keselamatan tanah air dalam kalangan polis, tentera yang mereka lakukan dengan secara subversif,” katanya lapor Harakahdaily.
Mengulas lanjut Iszuree berkata, DAP tidak boleh menafikan mereka pro komunis dengan cuba menuding jari kepada Pas kononnya pro-Taliban yang bersifat agresif atau tuduhan seumpama tanpa bukti, sedangkan bagi DAP telah ada bukti nyata.
Sebelum ini, pemimpin DAP Perak Nga Kor Ming sekali lagi memainkan naratif dengan mengaitkan PAS dan ‘negara Taliban’ bertujuan mengurangkan pengundi bukan Islam kepada Perikatan Nasional.
Media melaporkan Kor Ming sebagai berkata, sekiranya PN yang terdiri daripada Bersatu yang berasaskan Melayu dan PAS (Islamik) berkuasa, Malaysia akan menjadi seperti ‘Afghanistan’.
DAP adalah anggota parti komponen dalam Pakatan Harapan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta AMANAH.
PAS Terengganu yakin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, mereka amat yakin menang walaupun calon penyandang kerusi tersebut, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali turut bertanding sebagai atas tiket Barisan Nasional (BN).
Jelasanya, keyakinan itu dibuat berdasarkan situasi semasa yang menunjukkan pengaruh dimiliki Khairuddin tidaklah sebesar mana.
Malah, Ariffin berkata, dalam tempoh kempen yang hanya berbaiki lima hari saja lagi, bekas setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Pusat itu tetap gagal menarik sokongan penyokong Pas.
“Kami tak nafikan yang PAS yakin boleh menang empat kerusi iaitu Dungun, Kuala Terengganu, Marang, dan kerusi tradisi Pas iaitu Kuala Nerus pun (boleh menang), berdasarkan suasana yang ada kita melihat pengaruh Takiri (Mohd Khairuddin) tak besar sangat.
“Maksudnya dia cuba berhempas-pulas untuk menarik sokongan pengundi dan penyokong Pas tetapi sehingga hari ini kami merasakan dia gagal untuk menarik pengundi-pengundi tersebut,” katanya pada sidang media khas PAS Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini, lapor Malaysiakini.
Ariffin berkata demikian mengulas kedudukan terkini lapan kerusi Parlimen yang ditandingi Pas pada PRU ke-15.
Pada PRU ke-14, Khairuddin yang ketika itu bertanding atas tiket Pas menewaskan calon BN, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad dan calon PKR, Abdullah Muhammad dengan majoriti 8,447 undi.
Kali ini selaku calon BN, bekas menteri itu berdepan dengan tiga calon iaitu Alias Razak (Pas) Suhaimi Hasnim (PH) dan Azaha Wahid (Pejuang).
Selain Khairuddin, seorang lagi bekas wakil rakyat Pas yang bertanding di bawah BN adalah penyandang kerusi parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi.
Kedua-dua mereka dicalonkan oleh Umno-BN selepas digugurkan Pas.
BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAP dan Pakatan Harapan (PH) tiada kredibiliti untuk bercakap mengenai antikeganasan.
Kenyataan dibuat Kor Ming
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mendakwa, DAP menggugat keselamatan negara semasa pentadbiran 22 bulan mereka selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Katanya, semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan, ada beberapa orang anggota DAP termasuk wakil rakyatnya ditahan kerana terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas, Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).
“DAP menggesa saya sebagai Menteri Dalam Negeri supaya mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas. Alasannya kerana LTTE tidak lagi wujud setelah pemimpinnya dibunuh di Sri Lanka dan dengan itu, anggota parti yang ditahan bolehlah dibebaskan.
“Namun saya bertegas bahawa keputusan untuk mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia perlu diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“DAP tidak berpuas hati dengan ketegasan saya. Mereka mahu campur tangan dalam urusan keselamatan negara tanpa mengira implikasinya terhadap rakyat dan negara. Mereka tidak peduli semua itu asalkan kepentingan politik sempit mereka tercapai,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Ia sebagai reaksi kepada kenyataan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang berkata Malaysia akan jadi negara Taliban jika Perikatan Nasional memerintah kononnya, Malaysia akan jadi negara pengganas.
Mengulas lanjut Muhyiddin menegaskan, beliau tidak tunduk kepada desakan DAP yang mahu supaya LTTE dikeluarkan daripada senarai kumpulan pengganas.
Namun katanya, beliau akhirnya terkejut apabila Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas menggugurkan pendakwaan ke atas mereka yang didakwa terlibat dalam kegiatan LTTE, termasuk beberapa anggota DAP.
“Mereka telah menjejaskan keselamatan negara demi kepentingan politik sempit mereka. Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab sama sekali,” tegas beliau.
Muhyiddin selain itu berkata, semasa 22 bulan pemerintahan PH lah Malaysia paling tidak aman dalam isu berkaitan perkauman dan agama.
Katanya, ini kerana DAP tidak sensitif kepada perasaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
“Sebaliknya, semasa PN memerintah semasa 17 bulan, negara kita aman. Tidak ada isu perkauman atau agama yang timbul.
“Jadi, jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain dalam Bersatu keluar PH.
“Bagi saya, DAP atau PH tidak ada kredibiliti untuk bercakap mengenai keamanan dan antikeganasan,” katanya.
POLIS menahan tiga lelaki selepas melakukan rompakan secara berkumpulan di sebuah stesen minyak di Kodiang, Kubang Pasu, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, sebaik pihaknya menerima laporan kejadian jam 4.15 pagi, operasi khas mengesan suspek dilakukan sekitar daerah itu.
“Dua suspek masuk ke dalam stesen minyak terbabit dan meluru ke arah jurupam lalu mengacukan senjata dipercayai pistol mainan.
“Jurupam berusia lingkungan 20-an itu dalam ketakutan mengikut arahan suspek supaya menyerahkan wang.
“Selepas berjaya mengambil wang berjumlah RM2,700, suspek melarikan diri dengan memecut laju kereta Proton Satria biru yang dipandu seorang lagi rakan suspek yang menunggu di dalam kereta,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.
Rodzi berkata, selepas berjaya mengesan keberadaan suspek, polis berjaya menahan ketiga-tiga mereka di sekitar Jitra dan Changlun jam 1 hingga 3 petang hari yang sama.
Katanya, polis merampas sebuah kereta, tiga unit telefon bimbit dan pakaian dipakai suspek untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, hasil ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 27 tahun itu mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.
Menurut Rodzi, hasil semakan polis juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau penyalahgunaan dadah.
“Polis sedang mengesan seorang lagi suspek bersenjata yang masih bebas dipercayai dalang kejadian rompakan itu,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan.