Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU-15: Bersaing dengan tiga calon lelaki bukan halangan buat Salamiah

    PRU-15: Bersaing dengan tiga calon lelaki bukan halangan buat Salamiah

    BERSAING dengan tiga calon lelaki di Parlimen Temerloh bukan halangan buat calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi itu, Salamiah Mohd Noor, 58, untuk meraih keyakinan pengundi.

    Sebaliknya anak jati Temerloh itu berkata, sepanjang tempoh kempen, beliau mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat khususnya pengundi di Parlimen tersebut.

    “Syukur setakat hari ini, saya terima respons positif daripada pelbagai latar belakang masyarakat.

    “Sebenarnya masing-masing teruja dan dengan gelombang PN setakat ini, sebenarnya jadi calon wanita ada kelebihan, mereka nampak lebih yakin dengan kerana sifat wanita lebih prihatin dan berkredibiliti, telus,” katanya di Temerloh.

    Pada PRU-15 ini, Salamiah berdepan saingan empat penjuru ditentang calon Pakatan Harapan, Mohd. Hasbie Muda, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Aminuddin Yahaya dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Salamiah yang juga Ketua Dewan Muslimat Pas Pahang berharap pengundi di Parlimen Temerloh memberikan peluang kepadanya untuk mewakili rakyat di situ.

    Beliau berkata, potensi perusahaan ikan patin antara menjadi tumpuannya jika diberikan mandat dalam PRU15 ini.

    Menurutnya, selain perusahaan ikan patin, bekas pendidik itu ingin memperkasakan usahawan wanita di parlimen Temerloh.

    “Bila nak buat janji, kena selaras dengan manifesto PN, saya nampak sepanjang kempen, banyak wanita yang terlibat dalam perniagaan macam di Pekan Sehari, pasar malam jadi saya melihat peluang ini untuk memberikan ruang kepada wanita mengembangkan perniagaan menerusi manifesto PN, Dananita sebanyak RM20,000 iaitu tanpa faedah,” katanya.

  • Saya ada ‘track record’ yang baik kemudi kerajaan, kata Muhyiddin

    Saya ada ‘track record’ yang baik kemudi kerajaan, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mempunyai ‘track record’ yang cemerlang semasa menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan.

    Sebelum ini kata bekas Perdana Menteri kelapan itu, pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam negara sama ada menjadi menteri, timbalan menteri dan Menteri Besar Johor.

    “Saya sudah mulakan kerja sewaktu terpilih menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 17 bulan.

    “Latar belakang saya, rekod pencapaian saya di kementerian yang saya terajui dan jawatan-jawatan penting baik menteri besar serta kementerian dan timbalan menteri.

    “Saya bukan nak dabik dada angkat bakul sendiri, tetapi itu rekod prestasi saya,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di kediamannya di Muar, hari ini.

    Muhyiddin berkata sekiranya diberi peluang menjadi Perdana Menteri sekali lagi, beliau masih mampu berfikir dan bertindak cepat.

    Katanya, ini bukti khusus yang boleh jadi sandaran keupayaan PN untuk terajui negara.

    “Jadi profil saya, orang kata ‘resume’ di hadapan saya itu saya fikir lebih daripada layak kalau diberi peluang,” katanya.

    Pada 10 Oktober lalu, PN dilaporkan mengesahkan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika gabungan itu memenangi PRU-15.

    Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dilaporkan berkata, tiga parti komponen termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sepakat terhadap ketetapan memilih Pengerusi PN itu sebagai Perdana Menteri.

  • Polis siasat pengundi buat ‘live’ ketika undi pos

    Polis siasat pengundi buat ‘live’ ketika undi pos

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat tindakan dua individu dipercayai bersiaran secara langsung di media sosial dan mendedahkan kertas undi pos, semalam.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, laporan polis dibuat seorang pegawai polis selepas melihat satu hantaran berkaitan perkara itu di Twitter.

    “Pengadu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melayari internet dan melihat gambar tangkap layar video seorang pengguna TikTok menggunakan nama ‘sifulife’.

    “Gambar tangkap layar itu memaparkan seorang individu disyaki menjalankan proses undi pos sambil bersiaran di TikTok dan gambar itu kemudian dikongsikan di Twitter atas nama @injang_nation,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

    Beliau berkata pengadu turut mengesan satu lagi perbuatan sama oleh seorang individu lain yang mendedahkan kandungan kertas undi pos melalui akaun Tiktok ‘arielprimepicture_2nd’ termasuk nombor kertas undi.

    Katanya, kedua-dua kes disiasat oleh Polis Daerah Wangsa Maju mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 serta Seksyen 5(6) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Dalam pada itu, katanya statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam menunjukkan sebanyak 30 kertas siasatan berkaitan pelbagai kesalahan kempen Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) dibuka di seluruh negara sehingga semalam.

    “Sebanyak lima kertas siasatan dibuka di Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan, Kedah, Selangor (empat), Pahang dan Sarawak (tiga), Kuala Lumpur (dua), manakala Melaka, Terengganu dan Sabah, masing-masing satu kertas siasatan.

    “Antara kes dilaporkan termasuk perbuatan khianat bahan kempen milik calon dan parti, berita dan maklumat palsu, kenyataan berunsur fitnah serta kes gaduh dan pukul,” katanya.

    Hazani yang juga Pengarah Operasi PRU15 PDRM, berkata polis turut menahan tujuh individu bagi membantu siasatan dengan tiga tangkapan di Perak, Pahang (dua) dan masing-masing satu tangkapan di Kelantan dan Sarawak.

    Mengenai ceramah kempen PRU-15, Hazani berkata sebanyak 1,522 ceramah dengan permit sah berlangsung di seluruh negara, semalam dengan jumlah ceramah tertinggi di Sabah dan Sarawak, masing-masing 256 ceramah, manakala satu ceramah kempen di Sabah dikesan tiada permit.

  • Ibu terkejut anak berusia 14 tahun lahirkan anak

    Ibu terkejut anak berusia 14 tahun lahirkan anak

    SEORANG ibu terkejut apabila mendapati anaknya yang berusia 14 tahun sarat mengandung selepas dibawa ke hospital selepas remaja berkenaan mengadu sukar membuang air besar, semalam.

    Dalam kejadian 4.30 petang itu, remaja terbabit yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah dibawa ibunya ke Hospital Baling namun wanita berusia 40-an itu terkejut apabila doktor memberitahu anaknya mengandung dan bakal melahirkan anak.

    Selepas dua jam dimasukkan ke hospital, doktor memaklumkan kepada ibunya yang remaja perempuan terbabit disahkan selamat melahirkan bayi perempuan cukup sifat.

    Menurut sumber, ibu pelajar berkenaan yang masih terkejut dengan keadaan itu kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki yang anaknya menjadi mangsa rogol sehingga hamil dan melahirkan anak.

    “Hasil keterangan yang diambil, wanita terbabit memberitahu anaknya mengadu tidak boleh membuang air besar sebelum dia melihat darah turun di kaki remaja terbabit ketika berada di rumah mereka.

    “Wanita itu juga mendakwa dia sebelum ini menyedari perubahan bentuk fizikal badan anaknya itu sejak tiga bulan lalu namun remaja berkenaan menafikan dia hamil dan hanya memberitahu berat badannya naik,” katanya lapor BH.

    Sumber berkata, ketika kejadian wanita terbabit juga ada mendakwa yang dia melihat cecair jernih atas tilam di ruang tamu tempat tidur anaknya namun remaja itu memberitahu yang dia terkencing.

    “Bagaimanapun, wanita terbabit yang bimbang selepas melihat darah yang meleleh di paha anaknya terus membawa remaja berkenaan ke hospital.

    “Ketika tiba di hospital ibu pelajar itu baru mengetahui yang anaknya sudah sarat dan selamat melahirkan bayi perempuan,” katanya.

    Menurut sumber, susulan daripada laporan polis itu polis mengambil keterangan daripada pelajar berkenaan dan dia mendakwa ada melakukan hubungan seks dengan dua lelaki berusia 20-an yang juga tinggal di kampung sama dengannya.

    “Mangsa mendakwa dia ada melakukan hubungan seks dengan rela sebanyak tiga kali bersama dua lelaki terbabit sejak Februari lalu selepas mengenali mereka melalui rakan perempuan di sekolahnya.

    “Remaja itu bagaimanapun mendakwa dia mengesyaki anak yang dilahirkan itu adalah hasil hubungan seorang daripada lelaki terbabit kerana mendakwa mereka kerap melakukan hubungan seks selepas itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.

    “Setakat ini, kita masih mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit,” katanya.

  • Beri mandat kepada PN untuk meneruskan perjuangan belum selesai-Muhyiddin

    Beri mandat kepada PN untuk meneruskan perjuangan belum selesai-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat terutama pengundi supaya memberikan mandat kepada PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, PN semasa menerajui kerajaan terbukti berjaya mengurus negara terutama semasa Covid-19 melanda negara.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sekiranya PN kembali menjadi kerajaan banyak perkara yang akan dilakukan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat.

    “Khidmat terbaik yang akan kita sediakan termasuk tawaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) dan moratorium bersasar.

    “Sumbangan RM1,000 untuk belia melanjutkan pelajaran ke universiti dan diskaun 25 peratus bayaran balik wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau berkata, ini termasuk tawaran satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan melancarkan MyPrihatin yang memberi bantuan segera kepada rakyat miskin.

    Semua janji tersebut kata penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu, antara yang termaktub dalam Tawaran PN Best adalah bersifat realistik.

    “Saudara-saudari sekalian, bulatkan tekad anda terus menyokong PN, parti terbaik, stabil, telus dan amanah serta menjaga kemakmuran rakyat berbilang kaum dan keturunan.

    “Pastikan anda mengundi Perikatan Nasional, PN Best,” katanya selain melahirkan rasa puas hati terhadap program PN di seluruh negara termasuk di Johor yang melihatkan kebangkitan dan sokongan luar biasa rakyat.

    “Semalam saya berada di selatan tanah air bersama Bangsa Johor. Program pertama saya ialah menghadiri majlis ramah mesra dengan penduduk setempat di Restoran Kemangi, Pontian.

    “Saya meneruskan ‘campaign trail’ saya ke Medan Selera Taman Sri Stulang, Johor Bahru untuk bersama penduduk di sekitar kawasan tersebut dalam program sembang santai. Turut bersama saya ialah calon PN kerusi Parlimen Tebrau, Mohamad Isa Mohamad Basir.

    “Mereka ini adalah penghuni asal rumah pangsa Bukit Chagar. Alhamdulillah kehidupan mereka di sini lebih selesa dan dapat berniaga serta bekerja dengan sempurna. Saya bersama mereka ketika menjadi Menteri Besar Johor lebih 20 tahun lalu,” katanya.

    Muhyiddin yang pernah menjadi Menteri Besar Johor dengan rekod bersih berkata, Program Jelajah PN Best yang berlangsung di Taman Sierra Perdana, Masai, Pasir Gudang pula menyaksikan ribuan penduduk setempat hadir.

    Katanya, himpunan masyarakat pelbagai usia dan keturunan terutama anak muda dilihat sebagai indikator PN sudah diterima.

    “Saya juga sempat memenuhi permintaan hadirin agar saya membaca doa selamat selepas majlis selesai. Katanya mereka rindu bacaan doa Abah ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 dulu,” katanya.

    Sementara itu, beliau membidas dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa PN sebagai parti paling kaya.

    “Jika betul apa yang didakwa mana buktinya? Saya cabar Anwar kemukakan bukti dan penyata. Jangan cakap sahaja. Jika tak ada bukti maknanya hal itu tidak betul. Anwar menipu dan tidak boleh dipercayai,” katanya.

    Terkini katanya, Anwar juga ada mendakwa wujud rundingan antara PN dan BN tanpa mengemukakan bukti.

    “Sekali lagi saya tegaskan mana buktinya? Ternyata segala dakwaan Anwar ini hanyalah tuduhan semata mata tanpa bukti kukuh.

    “Dia kehilangan hujah untuk meneruskan kempen. Pemimpin sebegini tiada integriti dan tidak layak mewakili rakyat,” ujar beliau.

  • Surat tular persetujuan PN calonkan Anwar sebagai PM palsu – Muhyiddin

    Surat tular persetujuan PN calonkan Anwar sebagai PM palsu – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyidddin Yassin menegaskan surat yang menggunakan kepala surat Perikatan Nasional (PN) bertajuk “Persetujuan Mencalonkan Datuk Seri Anwar Sebagai PM Ke-10” yang kini tular adalah palsu.

    Tegas Pengerusi PN itu, tiada apa-apa persetujuan di antara PN dan mana-mana parti lain untuk membentuk kerjasama politik.

    “Surat yang tular ini adalah palsu. Tiada apa-apa persetujuan di antara Perikatan Nasional dan mana-mana parti lain,” kata Muhyiddin dalam hantaran Facebook.

    Pemerhatian Warta Rakyat mendapati surat yang tular itu bertarikh 23 Februari 2022 dan ditandatangani Muhyiddin.

    Antara lain surat itu menyatakan, merujuk kepda perbincangan berkaitan kerjasama antara PN dengan PKR diadakan demi menyelamatkan negara dari dirosakkan UMNO, BN.

    Tulis surat itu lagi, bagi merealisasikan kerjasama, PN sanggup memberi kepercayaan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

    Selain itu, surat berkenaan menyebut, satu mesyuarat pembahagian kerusi wajar diadaan secepat mungkin setelah berakhirnya Pilihan Raya Negeri Johor bagi memastikan persediaan ke arah PRU15 akan dapat disusun lebih teratur.

  • PRU15: Gelombang sokongan rakyat kepada PN makin kuat-Muhyiddin

    PRU15: Gelombang sokongan rakyat kepada PN makin kuat-Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) kini menjadi pilihan rakyat untuk menjadi kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua itu adalah hasil semangat kesepakatan jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Pas yang berjaya melonjakkan sokongan daripada rakyat.

    Presiden Bersatu itu berkata, pengundi Melayu dilihat memberikan sokongan luar biasa dan cukup berminat dengan kepimpinan PN yang mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran negara.

    “Saya menyaksikan sendiri di mana-mana sahaja saya pergi dari utara ke selatan, malah semalam saya di Johor Bahru, gelombang itu jelas dan nyata. Sokongan luar biasa dalam kalangan pengundi- pengundi Melayu jelas dapat dilihat dan mereka kelihatan bersedia hadapi PRU-15.

    “Malah pengundi Melayu ini berminat untuk menyokong PN kerana mereka melihat kepimpinan mampu uruskan negara ketika Covid-19, menyediakan banyak bantuan dan pelbagai rekod cemerlang sebelum ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi temu bual Sinar Live ‘Cukup- cukup Fitnah PN’ di kediamannya di Muar, hari ini.

    Tegas Muhyiddin, kempen dijalankan PN bukan semata-mata bercakap tentang politik, tetapi lebih menyentuh tentang manifesto yang ditawarkan kepada rakyat.

    “Sewaktu berkempen, bukan bercakap soal politik, tetapi soal apa yang PN tawarkan, supaya pengundi tahu bukan soal memangkah sahaja untuk PRU-15 ini, tetapi apa yang mereka akan dapat dan peroleh.

    “PN cukup komited untuk laksanakan manifesto dalam tempoh masa yang cepat dam segera seandainya dipilih sebagai kerajaan pada PRU-15. Ini salah satu yang akan kita laksanakan,” katanya.

    Beliau menambah, jentera Bersatu, Pas dan Gerakan yang bergerak senada di bawah satu bumbung bergerak ke seluruh pelosok negara untuk memperjelaskan perjuangan PN.

    “Tidak kira siapa calon, kalau di situ calon Bersatu, Pas dan Gerakan akan dukung, begitu juga sebaliknya. Itulah kesepakatan dan kesepaduan yang dilakukan di dalam PN.

    “Kami pergi seluruh negara, pusat-pusat daerah mengundi, jelaskan kepada pengundi perjuangan PN dan matlamat serta apa yang dapat kami bantu rakyat supaya dapat menerajui negara dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

  • PRU-15: Harap magis anak tempatan pikat pengundi Kluang

    PRU-15: Harap magis anak tempatan pikat pengundi Kluang

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kluang, Dzulkarnain Elias mengharapkan kelebihannya sebagai anak tempatan dapat menarik pengundi untuk memilihnya sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Beliau berkata, sebagai anak jati yang telah mengenali setiap ceruk bandar Kluang, Johor, sejak lebih 40 tahun sudah pasti memahami denyut nadi dan kehendak masyarakat bandar itu.

    Tambahnya, untuk merealisasikan impian orang Kluang, 10 aku janji dibawakan sebagai tawaran kepada pengundi untuk balasan kepada sokongan yang diberikan sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen di Kluang.

    “Antara aku janji saya kepada masyarakat Kluang adalah memperkasakan sektor pendidikan, pendidikan awal kanak-kanak, sektor ekonomi rakyat terutama golongan belia dan wanita.

    “Sebagai pemimpin yang amanah, berintegriti dan bertanggungjawab saya juga akan memastikan pengurusan bencana banjir dengan lebih efektif khususnya di Kampung Bentung Dalam serta Kampung Bentung Luar,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu beliau berkata, bagi meningkatkan taraf ekonomi rakyat serta peniaga kecil di Kluang, satu usaha untuk menaikkan sektor pelancongan dengan menaik taraf infrastruktur dan mempromosikan Gunung Lambak perlu dilakukan.

    Katanya, tidak cukup dengan itu, usaha menaik taraf serta membina fasiliti sukan yang baharu bagi membolehkan bintang berbakat dalam kegiatan sukan mampu diterjemahkan.

    “Saya juga akan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan ambulan serta van jenazah percum akepada golongan masyarakat yang memerlukan.

    “Jika dilihat sejak akhir-akhir ini, rakyat secara hakikatnya lebih gemar untuk menemui sendiri wakil rakyat mereka untuk meluahkan apa yang inginkan dan oleh yang mereka hadapi,” katanya.

    Jelasnya, secara hakikatnya banyak lagi pembaharuan ingin dibawa ke Parlimen Kluang bagi membolehkan rakyatnya mendapat manfaat hasil daripada usahanya sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat di Parlimen itu.

    “Semua aku janji ini secara realistiknya boleh dilakukan dan ianya bukan janji kosong seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak sebelum ini,” katanya.

  • PN yakin menang di Tasek Gelugor, namun enggan berasa selesa

    PN yakin menang di Tasek Gelugor, namun enggan berasa selesa

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin dapat memenangi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun enggan terus berasa selesa.

    Calonnya yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keyakinan itu berdasarkan kajian sikap yang dilaksanakan jentera parti PN sejak tiga minggu lalu di Tasek Gelugor yang menunjukkan peningkatan peratusan positif terhadap PN berbanding parti-parti lain yang bertanding.

    Jelasnya, meskipun tidak dapat berkongsi hasil kajian itu dengan lebih terperinci kerana melibatkan strategi parti, namun ini merupakan perkembangan yang baik buat PN sekali gus diharapkan dapat diterjemahkan ke peti undi pada Sabtu ini.

    Menjelaskan lebih lanjut, Wan Saiful berkata, hasil kajian itu juga mendapati sokongan pengundi Tasek Gelugor terhadap PN tersebut disebabkan keinginan rakyat untuk melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali menjadi Perdana Menteri.

    “Ini juga bertepatan dengan banyak kajian lain di seluruh negara yang mana mendapati Muhyiddin adalah calon Perdana Menteri paling popular,” katanya dalam sidang akhbar di bilik gerakan PN Tasek Gelugor, hari ini.

    Menurut Wan Saiful, sokongan kepada PN itu juga disebabkan rakyat menolak sebarang usaha kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menguasai Putrajaya.

    “Ada dakwaan bahawa Anwar dan Zahid pernah berbincang beberapa kali untuk menubuhkan kerajaan dan ini memberi kesan kepada pengundi di Tasek Gelugor yang tidak mahu BN membawa PH naik ke Putrajaya,” katanya.

    Selain itu tambah beliau, pengundi di Tasek Gelugor juga menolak taktik kotor UMNO dan BN ketika berkempen yang menyerang beliau secara peribadi dalam beberapa hal yang tidak berasas.

    “Sebaliknya, pengundi lebih selesa dengan strategi PN kerana PN adalah satu-satunya gabungan yang stabil di Tasek Gelugor.

    “Mereka lebih selesa dengan strategi kempen yang positif berbanding strategi serangan peribadi yang digunakan oleh UMNO,” katanya.

    Wan Saiful bertanding merebut Kerusi Parlimen Tasek Gelugor itu dalam persaingan lima penjuru dengan empat lagi calon iaitu Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor (BN); Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH); Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).

  • PRU-15: ‘Wallahi, semua duit kerajaan saya belanjakan untuk rakyat’

    PRU-15: ‘Wallahi, semua duit kerajaan saya belanjakan untuk rakyat’

    “WALLAAHI, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat.”

    Itu penegasan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, bahawa PH akan menyiasat bekas Perdana Menteri itu atas dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik COVID-19, dua tahun lalu.

    Muhyiddin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pagoh berkata, setiap wang yang dibelanjakan adalah mengikut peraturan kewangan ditetapkan.

    “Oh, nak bukti kita belanja sewenang-wenangnya, berapa banyak bilion yang saya curi? Saya nak cabar Adly, buktikan, mana satu kes. Jangan cakap lepas pilihan raya (nak siasat kalau mereka menang), ini kerana dia bertanding di sana (Melaka), dia nak menang.

    “Dia kata PN tak betul, dah rosak, macam dialah, parti dia pun ada kes rasuah, kami tak ada, jadi kalau nak mencemarkan nama baik, dia buat tuduhan yang tak betul,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Karnival Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Muar di Bukit Pasir di sini, hari ini.