Author: Wartawan WartaRakyat

  • Zahid tipu Agong, kumpulan akar umbi UMNO buat laporan polis petang ini

    Zahid tipu Agong, kumpulan akar umbi UMNO buat laporan polis petang ini

    SEKUMPULAN akar umbi UMNO akan membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan menipu Yang di-Pertuan Agong selepas tular surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM).

    Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu didakwa menghantar surat kepada Agong pada 22 November dengan mengatakan semua 30 Ahli Parlimen parti itu bersetuju untuk menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM Ke-10.

    Wakil kumpulan tersebut, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO dalam satu mesej kepada media memberitahu satu laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya petang ini.

    “Satu laporan polis berkaitan Surat Pengerusi BN yang didakwa cuba menipu DYMM YDPA (Agong) dibuat di IPD Putrajaya pada jam 4.15 petang hari ini, 23 November 2022.

    “Mohon jasa baik dan bantuan pihak media untuk membuat liputan,” kata kenyataan ringkas tersebut, lapor Agenda Daily.

    Terdahulu, bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan Zahid cuba menipu Agong dan berkongsi salinan surat tular tersebut.

    Menurutnya kini tersebar surat daripada Presiden UMNO itu kepada Agong yang mendakwa mesyuarat BN pada 22 November memutuskan semua 30 ahli Parlimen mereka menyokong Anwar menjadi PM ke-10.

    “Agong cuba ditipu sekali lagi? Sekarang tersebar surat ini di media sosial,” kata Annuar.

  • UMNO bukan lagi tempat Melayu bergantung: Bekas Ketua Hakim Negara

    UMNO bukan lagi tempat Melayu bergantung: Bekas Ketua Hakim Negara

    KEANGKUHAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berusaha untuk menggunakan kuasa supaya pendakwaan terhadapnya tidak diteruskan menyebabkan tsunami Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berulang ke atas UMNO.

    Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, tsunami PRU-14 adalah daripada UMNO kepada Pakatan Harapan (PH) kerana orang Melayu bencikan Datuk Seri Najib Razak.

    “Tsunami PRU-15 ini adalah daripada UMNO kepada Perikatan Nasional (PN) kerana orang Melayu bencikan Zahid. Pakatan Harapan mendapat faedah sampingan kerana perpecahan undi Melayu akibat kurang cerdiknya pemimpin-pemimpin Melayu.

    “Saya katakan, ini disebabkan oleh Zahid yang angkuh dan bertanggungjawab menetapkan calon-calon UMNO dalam PRU-15. Beliau angkuh kerana UMNO memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor walaupun itu berlaku ‘in spite of him’.

    “Beliau dilihat sebagai seorang yang berusaha untuk mengguna kuasa supaya pendakwaan terhadapnya tidak diteruskan seperti Lim Guan Eng (Pengerusi DAP) atau, jika dia didapati bersalah, beliau akan diberi pengampunan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH).

    “Berulang-ulang kali beliau mengugut untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Beliau disokong oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO menekan Ismail Sabri supaya menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen dan mengadakan pilihan raya yang dilihat sebagai tamakkan kuasa untuk digunanya bagi membebaskannya daripada pertuduhan-pertuduhan jenayah terhadapnya.

    “Semua persepsi dan realiti itu menimbulkan kebencian orang ramai, termasuk pengundi Barisan Nasional, menyebabkan mereka mengundi PN,” katanya dalam tulisan di blog beliau, lapor Agenda Daily.

    Abdul Hamid, berkata setelah UMNO dan BN kalah teruk pun Zahid masih enggan berundur sebagai Presiden UMNO dan berunding Dengan Anwar untuk menubuhkan kerajaan PH-BN.

    “Mereka lupa apa yang dilakukan oleh kerajaan PH yang ditentang sekeras-kerasnya oleh orang Melayu dan UMNO sendiri seperti menjual harta Tabung Haji dan Kerajaan Persekutuan kepada Cina Singapura.

    “Pemimpin-pemimpin DAP tidak menunjukkan muka atau bersuara dalam perbincangan BN-PH itu. Itu taktik cerdik DAP untuk tidak memberi gambaran bahawa DAP adalah parti dominan dalam PH.

    “Ini jelas bertentangan dengan resolusi Perhimpuan Agung UMNO yang mengatakan: “No Anwar. No DAP.”

    “Ada juga pemimpin UMNO yang berkata UMNO tidak akan bergabung dengan PN melainkan jawatan Perdana Menteri diberi kapada UMNO. Ingatlah, UMNO hanya mendapat 26 kerusi berbanding dengan 73 oleh PN. Itu juga menunjukkan mereka lebih mementingkan jawatan Perdana Menteri daripada mengelak jatuhnya kerajaan Persekutuan kepada PH.

    “Sampai di sini saya menulis, terdengar pula berita bahawa BN mengambil keputusan berkecuali. Ertinya, ia tidak meyokong PN atau PH dalam pemilihan pelantikan Perdana Menteri. Jika ini menyebabkan PH berkuasa semula, ini adalah kesilapan UMNO terbesar yang membunuh dirinya sendiri. Pemimpin-pemimpin UMNO tidak boleh dimaafkan.

    “Semua ini menunjukkan bahawa orang Melayu sudah tidak boleh bergantung kepada UMNO lagi untuk membela kepentingan mereka. Maka, sudah tibalah masanya bagi orang Melayu meninggalkan UMNO dan memberi sokongan padu kepada PN,” katanya.

  • Agong titah BN sertai kerajaan perpaduan – Ahmad Zahid

    Agong titah BN sertai kerajaan perpaduan – Ahmad Zahid

    YANG di-Pertuan Agong menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) agar mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

    Lapor Malaysiakini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dititahkan Seri Paduka kepada beliau dan dua lagi pemimpin di Istana Negara, pagi tadi.

    Dua pemimpin BN tersebut adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

    “Tak ada, tak ada (ditanya sikap berkecuali BN)…Bukan itu titah tuanku, titah tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” katanya, hari ini.’

    Susulan titah tersebut, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi BN.

    Berdasarkan surat yang dikeluarkan ibu pejabat parti, mesyuarat MKT UMNO dijadual berlangsung pada pukul 8 malam ini.

    Terdahulu, Ahmad Zahid, Mohamad dan Zambry tiba di Istana Negara kira-kira pukul 10.30 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN hadir ke Istana Negara pagi ini untuk ditemu bual bagi melantik Perdana Menteri baharu.

    Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, sesi itu digantikan dengan pertemuan mereka bertiga bersama Yang di-Pertuan Agong.

  • Ahli Parlimen BN dengar cadangan PN di Hotel St Regis

    Ahli Parlimen BN dengar cadangan PN di Hotel St Regis

    AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) dilapor bertemu pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Hotel St Regis untuk mendengar cadangan PN tentang kerajaan perpaduan.

    Free Malaysia Today yang memetik sumber berkata, langkah ini selaras dengan keputusan Dewan Tertinggi BN semalam.

    “Kami sudah dengar cadangan PH, sekarang kami bertemu PN untuk dengar cadangan mereka pula,” katanya.

    Terdahulu, Presiden Gerakan, Dominic Lau dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelihatan di hotel berkenaan.

    Turut dilaporkan, BN dititah Agong supaya mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

    Difahamkan pemimpin BN akan bertemu malam ini untuk membincangkan cadangan PH dan PN.

  • Ahli politik bergelar Datuk, 3 yang lain mengaku tak salah perdagangkan manusia

    Ahli politik bergelar Datuk, 3 yang lain mengaku tak salah perdagangkan manusia

    PENGERUSI Penang Front Party (PFP) Datuk Ooi Khar Giap dan seorang wanita, Chye Lay Hoon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 10 pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja membabitkan 10 mangsa warga tempatan sembilan bulan lalu.

    Khar Giap, 55, yang juga pengarah syarikat dan Lay Hoon, 52, yang merupakan pengurus sumber manusia syarikat sama membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

    Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dalam mencapai niat bersama telah memperdagangkan 10 warga tempatan bagi tujuan buruh paksa di sebuah premis di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS), Butterworth.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka dari 14 Februari sehingga 27 Oktober lalu.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu di mahkamah sama, dua individu yang bekerja di syarikat sama iaitu Lim Yong Choon, 47, dan Woong Chew Hoe, 40, turut mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan bersubahat memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja pada tarikh dan tempat yang sama.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Hakim membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM362,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah turut menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula kes.

    Pada 27 Oktober lalu, polis Pulau Pinang menahan 11 individu termasuk seorang ahli politik kerana disyaki terbabit sindiket pemerdagangan orang dengan berselindung di sebalik pusat pemulihan alkohol dan dadah di daerah SPS dekat Butterworth.

    Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan yang beroperasi hampir dua tahun lalu menyasarkan individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah dan alkohol.

    Katanya, semua mangsa yang diselamatkan dipaksa bekerja di kedai kereta, servis pendingin hawa, kedai kayu dan kedai makan tanpa dibayar gaji serta tiada cuti rehat.

  • Lelaki 23 tahun ditahan disyaki rogol kanak-kanak

    Lelaki 23 tahun ditahan disyaki rogol kanak-kanak

    SEORANG lelaki berusia 23 tahun ditahan kerana disyaki merogol kanak-kanak berusia 12 tahun dalam kejadian pada 17 November lalu.

    Suspek ditahan pada Isnin, kira-kira pukul 7 malam selepas polis menerima laporan pukul 6.40 pagi.

    Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd. Zahir Abdullah berkata, kejadian berlaku selepas suspek yang juga teman lelaki mangsa mengambilnya di rumah kira-kira pukul 12.30 tengah malam sebelum membawanya ke sebuah kediaman di Labok.

    “Lelaki yang berasal dari machang itu ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa.

    “Siasatan awal mendapati suspek pernah menerima hukuman di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii,” katanya, lapor Sinar Harian.

    “Polis kini masih menjalankan siasatan menyeluruh terhadap suspek dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Penceramah bebas mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual

    Penceramah bebas mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual

    SEORANG penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang juga ahli keluarga.

    Tertuduh berusia 61 tahun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga tiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang berusia lima tahun sembilan bulan, lapor Harian Metro.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu antara 4 hingga 6 Mac lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

    Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan berkenaan, jika sabit kesalahan.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili Mohd Ridzuan Muhamad.

  • Agong cuba ditipu sekali lagi? – Annuar Musa

    Agong cuba ditipu sekali lagi? – Annuar Musa

    TAN Sri Annuar Musa mendedahkan kemungkinan terdapat percubaan menipu Yang di-Pertuan Agong berhubung sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada calon Perdana Menteri Ke-10.

    Berikut kenyataan penuh Annuar yang disiarkan di Facebooknya hari ini.

    AGONG CUBA DI TIPU SEKALI LAGI??
    Sekarang tersebar surat ini di Media Sosial.

    Lihat perkara 4.Pengerusi BN mendakwa dan menyembah maklum kpd DYMM SPB YDP AGONG bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat BN pada 22hb Nov dan mesyuarat memutuskan semua 30 ahli parlimen bersetuju menyokong Anwar sebagai PM.

    Kita sebaliknya di maklumkan BN memutuskan TIDAK MENYOKONG MANA MANA CALUN….siapakah yang berbohong di sini?

    Rakyat menuntut penjelasan pemimpin pemimpin BN yg terlibat,khasnya ahli mesyuarat Dewan Tertinggi BN

    Jika surat kpd SPB YDP AGONG merupakan satu percubaan menipu YDP AGONG ianya satu kesalahan yg amat berat yg sekali lagi dibuat oleh orang yg sama spt di lakukan pada bulan oktober 2020.(kononnya semua MP BN ketika itu menyokong Anwar menjadi PM menggantikan TSMY-satu pembohongan)

    Lapuran polis patut dibuat agar penyiasatan di buat atas perbuatan durjana ini terhadap YDP AGONG.

    Rakyat dan ahli umno dan BN akar umbi juga harus bangkit memperbetulkan kedurjanaan ini jika benar ia telah dilakukan.

  • Wakil BN tarik balik SD kepada Muhyiddin, surat Ahmad Zahid ditolak

    Wakil BN tarik balik SD kepada Muhyiddin, surat Ahmad Zahid ditolak

    TINDAKAN saat akhir 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik balik perakuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyebabkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu hilang majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM10).

    Mereka berbuat demikian selepas diarah kepemimpinan parti, susulan pertemuan di antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Lapor Berita Harian, usaha membentuk Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula pada 20 November lalu, apabila Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menulis surat kepada ketua parti yang memenangi banyak kerusi susulan pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.

    Menerusi surat itu, semua ketua parti dijemput mengemukakan cadangan kepada Istana Negara untuk membentuk kerajaan gabungan dan menamakan calon masing-masing sebagai PM10 dengan tempoh diberikan sehingga 2 petang pada 21 November.

    Pada hari sama juga, Azhar Azizan kemudian menghantar sepucuk lagi surat kepada semua ketua parti itu, meminta Ahli Parlimen masing-masing, menandatangani Perakuan Bersumpah (SD), menyatakan sokongan kepada calon PM10 yang dinamakan mereka.

    Susulan surat speaker itu, PN yang mempunyai 73 Ahli Dewan Rakyat, mengemukakan surat sokongan daripada ketua parti GPS (23); GRS (6) dan KDM (1) berserta 10 wakil BN dan dua Bebas, kepada Istana Negara.

    Langkah itu bagi membuktikan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai PM10, mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Malah, PN turut menambah satu lagi SD sebelum menjadikan kepada 115 sokongan SD sebelum dipanggil menghadap di Istana Negara.

    Bagaimana pun susulan pertemuan di antara kepemimpinan BN dan PH pada pagi 21 November, seramai 10 Ahli Parlimen BN yang dikenal pasti memberi sokongan mereka kepada Muhyiddin diarah membatalkan SD sokongan itu.

    Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya pada malam 21 November, kemudian memutuskan supaya semua wakil rakyat gabungan itu tidak memberi sokongan kepada mana-mana parti yang membentuk kerajaan, sebaliknya akan menjadi pembangkang.

    Langkah 10 wakil BN menarik balik sokongan itu hanya diketahui Muhyiddin ketika beliau bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira 4.15 petang semalam.

    Tanpa SD mencukupi menyebabkan Muhyiddin terlepas peluang dilantik sebagai PM10.

    Pada masa sama, Anwar mengemukakan 86 SD dipercayai merangkumi 82 daripada wakil PH, Warisan (3) dan PBM (1) serta surat sokongan daripada Ahmad Zahid, selaku Pengerusi BN yang mempunyai 30 Ahli Dewan Rakyat.

    Bagaimanapun, tanpa 30 SD ditandatangani semua Ahli Dewan Rakyat BN itu seperti diarahkan dalam surat dihantar Speaker Dewan Rakyat kepada ketua parti, menyebabkan Anwar juga tidak berpeluang memanfaatkan sokongan disuarakan Ahmad Zahid untuk dilantik sebagai PM10 .

    Dalam sidang media petang semalam, Muhyiddin mendedahkan bukti SD dimilikinya ketika dihantar menunjukkan beliau mempunyai sokongan lebih daripada 112 Ahli Parlimen terhadap pencalonannya sebagai PM10.

    Pada masa sama, beliau menjelaskan, langkahnya menolak cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan PH, kerana ia bertentangan prinsip PN sejak ditubuhkan BERSATU dan PAS, yang menolak sebarang kerjasama dengan PH terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH.

    Susulan itu, kegagalan PN dan PH setakat ini, memperoleh sokongan mencukupi majoriti minimum 112 kerusi, menyebabkan tiada mana-mana parti berpeluang membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

    PH dengan 82 kerusi yang dimilikinya, masih berpeluang memperoleh majoriti mudah (112 kerusi) jika dapat menarik sokongan GPS (23 kerusi), GRS (6), Warisan (3), BEBAS (2) dan PBM (1) serta KDM (1).

  • Sindiket pengedaran dadah ketika musim PRU15 tumpas

    Sindiket pengedaran dadah ketika musim PRU15 tumpas

    SERAMAI 10 pengedar dadah yang mengambil kesempatan menjual pelbagai jenis dadah semasa kesibukan musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjaya ditahan polis menerusi beberapa serbuan.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, menerusi beberapa serbuan di sekitar Ipoh, pihaknya merampas beberapa jenis dadah yang beratnya lebih 13 kilogram.

    “Dadah-dadah jenis ketamin, ganja dan methamphetamine itu boleh digunakan kira-kira 23,000 penagih di sekitar Ipoh.

    “Kesemua kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.

    “Yalah mungkin dalam kesibukan kita dalam menghadapi pilihan raya ini, mereka mungkin mengambil kesempatan untuk menjalankan pengedaran aktiviti dadah. Polis dapat menghidu kegiatan-kegiatan mereka ini dengan menangkap mereka ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

    Menurutnya, dalam kes pertama pukul 8 malam 13 November lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di Kampung Rapat dan merampas dadah jenis ketamin lebih satu kilogram yang bernilai RM151,350 di dalam sebuah kereta.

    Dalam kes kedua pula katanya, pada 14 November, polis menahan seorang lelaki berusi 31 tahun di Buntong dan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun di Lim Garden serta merampas ganja seberat 2.341 kilogram bernilai RM37,050.

    “Kes ketiga pula, polis menahan enam lelaki dan seorang perempuan berusia antara 26 hingga 48 tahun dalam dua serbuah di kawasan Sunway City pukul 1 pagi Selasa dan merampas 10.19 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM713,300.

    “Polis turut menyita pelbagai jenis harta termasuk dua buah motosikal, sebuah kereta, wang tunai dan barang kemas,” katanya lapor Astro Awani.