Author: Wartawan WartaRakyat

  • Jangan keluar kenyataan ganggu pentadbiran Johor, pesan MB

    Jangan keluar kenyataan ganggu pentadbiran Johor, pesan MB

    MENTERI Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu gugat pentadbiran negeri itu.

    Onn Hafiz berkata, Johor masih lagi sebuah kerajaan yang stabil, di bawah naungan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    “Insya-Allah. Negeri Johor masih lagi sebuah kerajaan yang stabil di bawah naungan Kebawah DYMM Tuanku Sultan Johor.

    “Saya mohon kembali supaya tidak ada pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu-gugat pentadbiran negeri Johor. Kepada Allah kita berserah,” katanya, lapor FMT hari ini.

    Itu susulan kenyataan Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse yang dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) Johor, memohon budi bicara kerajaan negeri untuk membenarkan wakil rakyat daripada parti itu dilibatkan sebagai ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

    Jimmy Puah dipetik sebagai berkata, ini bertujuan menyelaraskan gerak kerja pentadbiran memandangkan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) sudah menjadi rakan sekutu di peringkat persekutuan.

    “PH Johor akan menulis surat rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat. Saya harap atas budi bicara kerajaan negeri khasnya Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, membenarkan ADUN dan Ahli Parlimen PH Johor untuk menjadi ahli JTPD dan terlibat dalam mesyuarat itu.

    “Ini kerana kita sudah jadi rakan sekutu di Persekutuan dan memang ada keperluan untuk kita menyertai mesyuarat bulanan di pejabat daerah bagi menyelaraskan gerak kerja, saya harap menteri besar boleh mempertimbangkannya,” katanya dalam satu program di Parlimen Tebrau hari ini.

  • Kerajaan pimpinan Anwar bukan Kerajaan Perpaduan, tapi Kerajaan PH – Dominic Lau

    Kerajaan pimpinan Anwar bukan Kerajaan Perpaduan, tapi Kerajaan PH – Dominic Lau

    PRESIDEN Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah satu ‘Kerajaan Perpaduan’.

    Sebaliknya kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, kerajaan tersebut lebih tepat ditakrifkan sebagai ‘Kerajaan Pakatan Harapan,’.

    “Kerajaan Perpaduan sepatutnya merangkumi semua parti politik di negara ini. Pendirian PN dan Gerakan adalah konsisten, iaitu untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dalam Parlimen.

    “Pendirian bagi PN seperti dikatakan kepada Pengerusi PN, kita akan menjadi pembangkang di arena politik negara kita. Dan memang saya katakan bagi definisi kerajaan perpaduan itu adalah kerajaan yang merangkumi semua parti politik.

    “Pada hari ini dengan jelas kita nampak ini Kerajaan Pakatan Harapan bukan kerajaan perpaduan. Oleh itu, kita mainkan peranan pembangkang seperti dikatakan Muhyiddin, iaitu Pengerusi PN,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Dalam pada itu, Dominic berkata, culaan (pengiraan awal) menunjukkan hampir 34 peratus undi rakyat memihak kepada PN dan Gerakan kali ini.

    “Dan sokongan yang meningkat itu kita rujuk kepada keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, memang jika berbanding Pilihan Raya Umum, itu, sokongan itu jelas tidak menampakkan sokongan itu.

    “Saya pun jelaskan semasa PRN Melaka dan Johor, kita memang menggunakan slogan bersih dan stabil, tetapi pada masa itu sokongan rakyat kepada PN tak tinggi.

    “Tetapi kita tahu slogan ini, ideologi bagi PN iaitu Prihatin, Bersih, dan Stabil ini adalah ideologi terbaik sekali untuk rakyat, pilihan terbaik sekali untuk rakyat,” katanya lapor Astro Awani.

    Dominic berkata, PN akan terus berpegang kepada visi dan slogan itu dalam usaha mengukuhkan jentera bagi menghadapi enam lagi Pilihan Raya Negeri pada tahun hadapan, iaitu untuk Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, dan Kelantan.

  • Kes rompakan babit kerugian ratusan ribu ringgit di Miri, Brunei selesai

    Kes rompakan babit kerugian ratusan ribu ringgit di Miri, Brunei selesai

    POLIS Sarawak berjaya menyelesaikan kes rompakan yang berlaku di Miri termasuk di Brunei membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit dengan penahanan 10 suspek membabitkan warga negara asing dan tempatan baru-baru ini.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Ahmad Sapri berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima laporan kes rompakan bersenjata disyaki didalangi warga negara asing yang berlaku di kawasan Miri dan Bekenu pada 8 September dan 14 September lalu.

    “Dalam kejadian rompakan bersenjata pada awal pagi itu, tangan mangsa diikat dengan tali oleh penjenayah bersenjatakan parang.

    “Penjenayah terbabit berjaya melarikan sejumlah wang tunai berserta barangan berharga yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, ekoran laporan itu, polis Miri melancarkan operasi dalam usaha mengesan penjenayah terbabit sehingga mendapat satu maklumat disalurkan orang awam mengenai sekumpulan lelaki warga negara asing yang mencurigakan mendiami sebuah rumah di kawasan Riam ByPass Miri.

    “Berpandukan maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri membuat intipan dan pemantauan ke atas rumah itu selama beberapa hari, katanya.

    Menurutnya, hasil intipan dan pemantauan dijalankan, pihak polis melancarkan Op Rantau untuk mengesan dan menangkap suspek disyaki terbabit dalam kes rompakan bersenjata itu.

    Beliau berkata, pada 16 November lalu, serbuan dilakukan di kediaman itu dan berjaya menangkap dua lelaki warga negara asing serta seorang lelaki tempatan pada pukul 3 pagi.

    “Lima individu yang turut menghuni rumah itu juga ditahan bagi membantu siasatan.

    “Susulan tangkapan dan pemeriksaan ke atas rumah itu, polis berjaya menjumpai barangan berharga disyaki dilarikan suspek dalam kejadian rompakan, selain menjumpai kelengkapan pecah rumah dan senjata yang disyaki digunakan mereka,” katanya lapor BH Online.

    Azman berkata, dua lagi suspek warga negara asing yang terbabit dalam rompakan itu dipercayai melarikan diri ke daerah lain dengan menaiki bas pada malam 15 November lalu.

    Bagaimanapun, beliau berkata, pada awal pagi 16 November, suspek terbabit berjaya ditahan di stesen bas Serian oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada BSJD Serian.

    “Polis turut menjumpai barangan rompakan dibawa bersama suspek dan siasatan yang dijalankan mendapati semua suspek adalah penjenayah yang terbabit secara langsung dalam kejadian rompakan dan pecah rumah di sekitar daerah Miri.

    “Semua suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan serta rompakan bersenjata dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah,” katanya.

  • Dituduh jalin hubungan sulit, warga emas maut ditikam berkali-kali

    Dituduh jalin hubungan sulit, warga emas maut ditikam berkali-kali

    SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia akibat ditikam berkali-kali selepas dituduh mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

    Mangsa berusia 71 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Serdang berkaitan kejadian pukul 6.29 petang semalam.

    Menurutnya, mangsa dibawa ke hospital berkenaan oleh seorang rakan perempuan dengan kecederaan di badan dan paha akibat ditikam.

    “Mangsa sempat memaklumkan kepada pengadu bahawa dia diserang dan ditikam di sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn, Kajang.

    “Hasil rawatan awal, mangsa mengalami kecederaan serius di paru-paru kerana ditikam selain di peha serta bahu.

    “Mangsa ditempatkan di wad dan menggunakan alat bantuan pernafasan namun pada pukul 11.05 malam hari yang sama, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya pada kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil maklumat, pada pukul 1.35 pagi tadi, anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan pasangan suami isteri di sekitar Hospital Serdang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

    “Suspek wanita berusia 45 tahun manakala suspek lelaki pula berumur 51 tahun,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mohd. Zaid berkata, suspek lelaki mengaku mencederakan mangsa di kawasan parkir kenderaan pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn.

    “Hasil siasatan awal, punca kejadian disebabkan suspek marah kerana mangsa ada hubungan intim antara isterinya.

    “Ketika kejadian, suspek mendakwa, mangsa dan isterinya berada berdua dalam kenderaan di lokasi kejadian,” katanya.

    Polis turut merampas barangan termasuk kenderaan mangsa, empat telefon bimbit, pakaian suspek serta resit pembelian senjata pisau bagi membantu siasatan.

    Kedua-dua suspek direman sehingga 2 Disember ini bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Salleh di talian 013-7854100 atau balai polis berhampiran.

  • Kerajaan perpaduan perlu beri Kelantan royalti minyak

    Kerajaan perpaduan perlu beri Kelantan royalti minyak

    PERTUBUHAN Royalti Kelantan (R) meminta kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan hak bayaran royalti minyak kepada negeri ini.

    Menurut Presidennya, Nazri Deraman, Kelantan mempunyai hak ke atas bayaran tersebut sebagaimana yang termaktub menerusi Perjanjian Royalti 1975 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

    “Besar harapan seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira fahaman politik supaya bayaran (royalti) itu tidak lagi dilupakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Nazri berharap Anwar dapat menggalas tanggungjawab besar sebagai Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

    “Seluruh rakyat mengimpikan sebuah negara yang maju, bebas rasuah dan makmur di bawah kepimpinan Anwar,” katanya lapor Sinar Harian.

    Pada 22 Oktober lalu media melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kelantan akan mendapat royalti minyak jika gabungan itu diberi mandat untuk mentadbir Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Muhyiddin berkata, bayaran sebanyak lima peratus itu akan diberikan kepada Kelantan seperti yang terkandung dalam perjanjian asal berkait dengan bayaran royalti.

  • Pas ulangi pendirian tidak sertai kerajaan PH, DAP

    Pas ulangi pendirian tidak sertai kerajaan PH, DAP

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mengulangi pendirian tidak akan menyertai kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan DAP sebaliknya kekal sebagai pembangkang yang konstruktif.

    “Ini demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat khususnya pengundi yang telah memilih Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Setelah membuat pertimbangan daripada pelbagai sudut serta meneliti pendapat umum, Pas berpendirian tidak akan menyertai kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan dan DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tegasnya, Pas akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar dan dapat ditegakkan berpaksikan kepada prinsip prihatin, bersih dan stabil.

    Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan itu bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ujarnya, kerjasama tersebut berbentuk hubungan antara kerajaan dan pembangkang kerana PN berpendirian tidak menyertai kerajaan yang diterajui PH.

    “PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras prinsip prihatin, bersih dan stabil,” jelas Muhyiddin.

  • Tiada percanggahan kenyataan Muhyiddin-Takiyuddin

    Tiada percanggahan kenyataan Muhyiddin-Takiyuddin

    TIDAK ada percanggahan kenyataan membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris.

    Jelas beliau, ini sama ada gabungan itu mahu memainkan peranan sebagai pembangkang atau menyertai kerajaan perpaduan.

    “Ini kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Takiyuddin itu dibuat sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri.

    “Kenyataan Takiyuddin itu sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan dalam kenyataan tersebut ada menyebut akan dibincangkan dengan parti-parti komponen lain.

    “Kenyataan Muhyiddin pula dibuat selepas hari kedua Anwar menjadi Perdana Menteri. Itu keputusan PN setelah dibincangkan.

    “Itu keputusan kita tidak bersama dalam kerajaan dan kita sebagai pembangkang akan membawa mandat rakyat,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, Pas akan mengadakan pertemuan bersama parti komponen PN dalam waktu terdekat bagi membincangkan tawaran Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduan.

    Muhyiddin pula menyatakan bahawa PN bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan pimpinan Anwar bagi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terjamin.

    Kata Presiden Bersatu itu, kerjasama tersebut berbentuk hubungan antara kerajaan dan pembangkang.

    Turut sependapat dengan Razali adalah Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menegaskan tidak ada percanggahan kenyataan membabitkan kedua-dua pemimpin itu.

    “Tidak bercanggah (kenyataan) itu, nanti (mereka) jumpalah. Ia akan pergi ke satu titik yang sama sahaja iaitu kita akan memutuskan pendekatan dan hubungan ini macam mana,” ujarnya.

  • Kerajaan negeri Kedah yakin kerjasama dengan Persekutuan tak terjejas

    Kerajaan negeri Kedah yakin kerjasama dengan Persekutuan tak terjejas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MESKIPUN mengakui belum mendapat gambaran mengenai sistem federalisme yang bakal terbentuk di bawah kerajaan baharu, kerajaan negeri Kedah tetap optimis untuk terus menjalinkan kerjasama bersama kerajaan Persekutuan.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau tidak melihat sebarang masalah berhubung perkara tersebut ketika sistem federalisme telah menetapkan hak yang sama terhadap semua negeri.

    “Kita akan terus menjalinkan kerjasama di bawah konsep federalisme tersebut. Saya fikir tak ada masalah apa, sikit pun tak ada masalah.

    “Saya rasa dunia politik demokrasi sekarang ini sudah tidak mengizinkan perkara seperti itu. Kalau ‘gagah’ dok buat juga, memang cari nahas,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Karnival Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) peringkat Kebangsaan serta Sambutan 100 tahun penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma di Alor Setar, hari ini.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi jelas tidak melihat perkembangan politik semasa di peringkat Persekutuan akan menggugat peluang Perikatan Nasional (PN) untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Padang Serai.

    “Keputusan di Padang Serai akan menjadi manifestasi sokongan rakyat di kawasan Parlimen tersebut kepada pihak mana yang disukai mereka. Kalau mereka suka pihak sana, mereka akan undilah calon sana dan kalau mereka suka di sebelah sini, maka mereka akan undi calon kami.

    “Tetapi saya rasa tak ada orang yang tak suka saya. Kami yakin untuk menang mudah di situ,” katanya.

  • Harap jangan pinggirkan Perlis, kata MB

    Harap jangan pinggirkan Perlis, kata MB

    KERAJAAN Perlis berharap kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan negeri itu terutama dalam soal pembangunan meskipun Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk menjadi pembangkang dan tidak menyertai kerajaan perpaduan.

    Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, meskipun kerajaan pusat adalah kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu memberi makna mereka perlu bersama dengan semua negeri termasuk Perlis.

    “Pada pendapat saya, sekiranya di pusat (kerajaan) itu adalah kerajaan perpaduan maknanya ia turut bersama sekalilah dengan kami.

    “Perpaduan ini mestilah membabitkan semua dan tidak hanya di peringkat pusat saja maka di negeri juga perlu juga diberikan perhatian dan untuk hal ini, secara tidak langsungnya, kami turut berasa bahawa kami sebahagian dengan kerajaan pusat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis, di Kangar hari ini.

    Ditanya berhubung perjalanan kerajaan negeri Perlis yang baharu selepas PN bertindak untuk menolak bersama kerajaan perpaduan di pusat menjadikan gabungan itu sebagai wakil pembangkang di Parlimen.

    Dalam masa yang sama juga, Mohd. Shukri yang mewakili kerajaan negeri Perlis turut mengucapkan tahniah di atas perlantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 kelmarin.

    “Kami sudah pun mengirim ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman sosial Facebook.

    “Diharapkan beliau mampu menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri yang baharu sebaik mungkin dalam membawa amanah rakyat bersama,” katanya lapor Harian Metro.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) minggu lalu, PN Perlis berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN selain ‘menyapu bersih tiga kerusi Parlimen di Padang Besar, Kangar dan Arau.

    Kejayaan gemilang PN itu juga sekaligus menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir kerajaan Perlis selama 65 tahun.

  • Subsektor gudang darat dibenar gajikan pekerja asing

    Subsektor gudang darat dibenar gajikan pekerja asing

    KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) memaklumkan subsektor gudang darat kini telah dibenarkan untuk penggajian pekerja asing.

    KSM dalam satu kenyataan berkata, perkara itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali ketujuh pada 18 Julai lalu.

    Menurut kenyataan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku agensi kawal selia bagi subsektor borong dan runcit telah bersetuju memperluaskan syarat atau kriteria kelayakan kuota penggajian pekerja asing di bawah subsektor ini kepada peniaga runcit dengan keluasan lantai kurang daripada 2,500 meter persegi.

    “Sehubungan itu, permohonan kuota baharu penggajian pekerja asing bagi kedua-dua subsektor tersebut telah dibuka dan permohonan boleh dibuat oleh majikan di laman web www.fwcms.com.my,” kata kenyataan itu, hari ini, lapor Satu Berita.

    Tambah kenyataan itu, sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM di talian 03-88852939/2940 dan emel [email protected] atau terus menghubungi agensi kawal selia.