Oleh RIZQI ZABIDI

MESKIPUN mengakui belum mendapat gambaran mengenai sistem federalisme yang bakal terbentuk di bawah kerajaan baharu, kerajaan negeri Kedah tetap optimis untuk terus menjalinkan kerjasama bersama kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau tidak melihat sebarang masalah berhubung perkara tersebut ketika sistem federalisme telah menetapkan hak yang sama terhadap semua negeri.

“Kita akan terus menjalinkan kerjasama di bawah konsep federalisme tersebut. Saya fikir tak ada masalah apa, sikit pun tak ada masalah.

“Saya rasa dunia politik demokrasi sekarang ini sudah tidak mengizinkan perkara seperti itu. Kalau ‘gagah’ dok buat juga, memang cari nahas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Karnival Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) peringkat Kebangsaan serta Sambutan 100 tahun penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma di Alor Setar, hari ini.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi jelas tidak melihat perkembangan politik semasa di peringkat Persekutuan akan menggugat peluang Perikatan Nasional (PN) untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Padang Serai.

“Keputusan di Padang Serai akan menjadi manifestasi sokongan rakyat di kawasan Parlimen tersebut kepada pihak mana yang disukai mereka. Kalau mereka suka pihak sana, mereka akan undilah calon sana dan kalau mereka suka di sebelah sini, maka mereka akan undi calon kami.

“Tetapi saya rasa tak ada orang yang tak suka saya. Kami yakin untuk menang mudah di situ,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here