Author: Wartawan WartaRakyat

  • PN mahu jadi pelengkap semak dan imbang

    PN mahu jadi pelengkap semak dan imbang

    Oleh BADLISHAH MAT

    LANGKAH Perikatan Nasional (PN) menolak penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan bukan hanya sekadar mempertahan prinsip gabungan itu tetapi pada masa sama mahu menjadi pembangkang berkesan di Dewan Rakyat.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PN menghargai titah cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, namun perlu membuat keputusan demi kebaikan negara.

    Kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, mereka perlu menjadi pihak yang melengkapkan proses semak dan imbang di Parlimen dalam setiap perkara dilakukan kerajaan.

    “Kita berpandangan ini bukan Kerajaan Perpaduan tetapi ia adalah kerajaan PH. Kita menolak DAP bukan atas dasar perkauman, tetapi ini adalah kerana agenda dibawa DAP adalah berteraskan fahaman kiri.

    “DAP sendiri tidak pernah nafi perkara ini, kalau dia tidak mahu bercakap mengenai agenda perkauman dia kena berhenti mendakwa orang yang tidak bersetuju dengannya semua sebab perkauman kerana mereka yang memainkan sentimen itu iaitu kononnya kalau tolak DAP rasis,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan santai dengan orang ramai bersama calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin di Taman Mahsuri, Padang Serai di Kulim.

    Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai amat penting untuk PN mengetahui sejauh mana gelombang gabungan itu disokong rakyat.

    Wan Saiful berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai amat penting untuk PN mengetahui sejauh mana gelombang gabungan itu disokong rakyat.

    Menurutnya, pengundian kawasan itu hanya akan berlaku tidak lama selepas PRU15 di tempat lain dilangsungkan pada 19 November lalu.

    “Ianya akan menjadi kayu ukur sejauh mana gelombang yang dikatakan menyokong PN itu benar-benar wujud, bagi saya penting untuk memastikan gelombang itu kekal sehingga hari mengundi dan selepas itu,” katanya.

    Justeru, Wan Saiful mencadangkan agar kerajaan Kedah mengisytiharkan cuti umum pada 7 Disember depan bagi memudahkan pengundi di Padang Serai, memandangkan hari berkenaan adalah hari bekerja yang berkemungkinan ramai tidak dapat keluar mengundi.

    “Saya agak bimbang kerana hari mengundi adalah hari bekerja. Jadi saya mencadangkan kerajaan negeri untuk pertimbang isytihar hari mengundi itu sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Kedah,” katanya.

    Beliau berkata, amat penting untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi kerana jika sebaliknya ia akan merugikan PN kerana ia berkemungkinan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

    PRU15 kawasan itu ditangguhkan kepada 7 Disember ini susulan kematian calon PH sebelum ini, mendiang M. Karupaiya pada 16 November lalu yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kulim.

  • Remaja 16 tahun curi duit tabung masjid dicekup

    Remaja 16 tahun curi duit tabung masjid dicekup

    TINDAKAN seorang remaja lelaki mencuri duit tabung sebuah masjid di Pontian, Johor membawa padah apabila dia diberkas polis pada hari sama kejadian itu dilaporkan pengurusan masjid Khamis lalu.

    Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan perbuatan suspek berusia 16 tahun itu yang kemudiannya tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 2 minit 19 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter NanManjoi8715 memaparkan rakaman seorang lelaki mencuri duit tabung masjid.

    Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada Ahad 20 November kira-kira pukul 10.58 pagi di sebuah masjid di Ayer Baloi dan laporan polis dibuat oleh pengurusan masjid tiga hari kemudian.

    “Bertindak atas maklumat, pada 23 November kira-kira pukul 3 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pontian telah membuat tangkapan ke atas suspek berumur 16 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohammad Shofee dalam pada itu berkata, berhubung dengan kejadian itu, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

    Katanya, jika disabitkan kesalahan suspek boleh dipenjara maksimum sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

  • Gajikan PATI, bot nelayan tempatan ditahan

    Gajikan PATI, bot nelayan tempatan ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati dikendalikan kru warga asing kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot nelayan kelac C sedang begerak di kedudukan 62 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika dalam perjalanan melaksanakan rondaan Op Tanjung.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati, bot yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan enam kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 21 hingga 32 tahun.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Maritim Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati dikendalikan kru warga asing kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

    Sehubungan itu tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan manakala hasil laut kira-kira 500 kilogram (kg) dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Fadillah calon tunggal Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak

    Fadillah calon tunggal Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak

    AHLI Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof disebut-sebut sebagai calon tunggal dari Sarawak untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri di dalam kerajaan perpaduan.

    Ini berikutan pengalaman luas Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dalam Kabinet Persekutuan.

    Beliau mula diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 2008, Fadillah dinaikkan pangkat apabila dilantik sebagai Menteri Kerja Raya pada 2013.

    Malah, kedudukan beliau sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula 30 Ogos tahun lalu, mengukuhkan lagi andaian bahawa beliau sudah cukup layak untuk memegang jawatan nombor dua dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

    Sumber dalaman Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, sejak pengumuman Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak dan Sabah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, nama Fadillah yang pertama disebut pucuk pimpinan gabungan itu bagi mengisi jawatan berkenaan.

    Menurutnya, kedudukan Fadillah sebagai Ketua Whip GPS di Parlimen selain diberi kepercayaan sebagai Menteri Kanan yang setaraf jawatan Timbalan Perdana Menteri menjadikan beliau cukup layak.

    “Jumlah kerusi GPS yang sebanyak 23 di Parlimen juga yang terbesar dalam kalangan blok Borneo dan ketiga tertinggi kalangan gabungan dalam kerajaan perpaduan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Malah katanya, Fadillah memiliki pengalaman yang cukup bernilai kerana pernah berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Ini menambahkan lagi kelayakan Fadillah untuk diberi kepercayaan menjadi Timbalan Perdana Menteri.

    “Bagi rakyat Sarawak dan Sabah pula, kewibawaan Fadillah memang tidak dinafikan apabila beliau berjaya memastikan pembinaan lebuh raya pertama di Borneo kini semakin hampir siap sepenuhnya,” katanya.

    Bagi mengisi jawatan menteri pula katanya, mereka yang pernah diberi kepercayaan oleh kerajaan sebelum ini juga hampir pasti akan terus menganggotai Kabinet kerajaan perpaduan.

    “Setakat ini kita belum mendengar nama baru selain Datuk Seri Nancy Shukri dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    “Tetapi ada juga kemungkinan beberapa orang lama seperti Datuk Seri Richard Riot Jaem (Serian), Datuk Henry Sum Agong (Lawas) dan Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu) antara yang diangkat sebagai menteri,” katanya.

    Menurutnya, senarai Kabinet itu memang ada dibincangkan kalangan pucuk pimpinan, namun tidak bermakna GPS mendesak Anwar untuk menerimanya.

    “Kalau jawatan Timbalan Perdana Menteri… ya, memang selayaknya Fadillah ke sana tetapi untuk jawatan menteri dan Timbalan Menteri, ia bergantung kepada saiz Kabinet yang akan dibentuk oleh Perdana Menteri,” katanya.

  • Lelaki didakwa dibelasah warga Myanmar meninggal dunia

    Lelaki didakwa dibelasah warga Myanmar meninggal dunia

    LELAKI tempatan yang koma dipercayai akibat dipukul enam pekerja kilang warga Myanmar akhirnya meninggal dunia, semalam selepas 28 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

    Mangsa, E Murali Kuppusami, 50, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.57 petang di hadapan enam anaknya berusia 11 hingga 24 tahun.

    Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah mengesahkan kematian mangsa yang dirawat di Hospital Melaka sejak 31 Oktober lalu termasuk kes akan dipinda untuk siasatan mengikut kesalahan membunuh.

    “Mangsa yang sebelum ini parah dan koma disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di ICU Hospital Melaka.

    “Kita akan merujuk kes ini kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan meminda pertuduhan daripada Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah kepada Seksyen 302 kerana membunuh,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

    Media pada Jumaat lalu melaporkan enam pekerja kilang warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas dua pertuduhan membelasah mangsa dan anak lelakinya dengan kayu hingga menyebabkan Murali Kuppusami koma.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kyaw Swar Tun, 21, Win Zaw, 30, Zin Min Htet, 23, Nyi Lin Paing, 23, Aung Myint Thein dan Mya Soe, 33, kerana mereka gagal memahami bahasa Melayu.

    Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan parah ke atas M K Daniel, 19, dan bapanya, Murali Kuppusami dengan menggunakan objek kayu iaitu alat yang mungkin menyebabkan kematian.

    Perbuatan itu dilakukan pada pukul 10.40 malam di bawah Blok L, Pangsapuri Taman Tasek Utama, Melaka Tengah pada 31 Oktober lalu.

    Difahamkan mangsa dikatakan dibelasah selepas menegur tertuduh agar tidak membuat bising di pangsapuri berkenaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 21 Disember ini bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar dan tiada jaminan ditawarkan terhadap semua tertuduh.

  • PRN: PN rangka strategi tawan Selangor

    PRN: PN rangka strategi tawan Selangor

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) di enam kerusi Parlimen di Selangor memberi suntikan semangat kepada gabungan itu untuk membuat persediaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka tahun depan.

    Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Shukri Omar berkata, kesemua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu adalah kawasan majoriti Melayu.

    Menurutnya, Pas Selangor turut mencipta sejarah apabila buat pertama kali berjaya menawan tiga kerusi Parlimen iaitu Kapar, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

    “Jentera semakin bersemangat khususnya dengan suntikan motivasi kemenangan PN di enam kerusi Parlimen.

    “Kejayaan tersebut menunjukkan Selangor bukannya kubu kuat Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditanya berkenaan persiapan menghadapi PRN Selangor dijangka tahun depan.

    Sebanyak 22 kerusi Parlimen dipertandingkan di Selangor pada PRU-15 lalu menyaksikan PH menang 16 kerusi sementara PN dengan enam kerusi.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor berkata, PN akan terus fokus persiapan PRN ke arah menawan Selangor.

    “Gelombang sokongan anak muda kepada PN semakin baik dan strategi utama adalah menawarkan solusi dan inisiatif yang sesuai kepada anak muda.

    “Pelan tersebut telah dirangka bersama pemegang taruh dan dibentangkan pada masa yang sesuai, ” katanya lapor Sinar Harian.

  • Tuntut jawatan MB, tujuh exco: Saifuddin bidas sikap tamak BN

    Tuntut jawatan MB, tujuh exco: Saifuddin bidas sikap tamak BN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah membidas Barisan Nasional (BN) sebagai ‘tamak’ sehingga menggagalkan pembentukan kerajaan negeri Pahang yang diterajui PN dan BN.

    Tegas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, parti yang mendapat mandat terbesar daripada rakyat Pahang ialah PN, justeru ia menggambarkan kehendak rakyat dan harus dihormati.

    Menurut beliau sejak awal, PN sedia berunding untuk membentuk kerajaan Pahang tetapi bukan dengan PH (Pakatan Harapan) yang membawa agenda yang bertentangan dengan kepentingan rakyat.

    “Tetapi BN pula menuntut jawatan menteri besar dan mahukan tujuh kerusi exco dan hanya setuju berikan PN satu kerusi exco sahaja walaupun mereka parti minoriti yang tiada mandat.

    “Sifat tamak dan mahu mengenepikan mandat rakyat ini adalah sifat sebenar UMNO-BN yang rakyat perlu sedar.

    “Saya tidak tahu apa gula-gula ‘pelincir’ yang PH setuju tawarkan kepada BN. Saya harap tidak ada perkara menyeleweng yang ditawarkan demi kuasa dan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Di Pahang, PN mempunyai 17 kerusi DUN, BN mempunyai 16 kerusi dan PH mempunyai 8 kerusi, dengan pilihan raya kecil (PRK) Tioman kini dijadualkan pada 7 Dis berikutan kematian calon PN/PAS.

    DUN Pahang tergantung selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

    Susulan itu terdapat siri perbincangan antara PN dan BN, selain BN dan PH untuk menubuhkan kerajaan negeri campuran.

    Pada 24 Nov lalu, PH menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dari BN sebagai menteri besar yang seterusnya membawa kepada persetujuan dua gabungan itu untuk membentuk kerajaan negeri bersama.

  • Projek ganti paip air lama di Kelantan siap 2024 – Azami

    Projek ganti paip air lama di Kelantan siap 2024 – Azami

    USAHA membaik pulih bekalan air bersih di Kelantan sejak 2019 akan diteruskan dengan penukaran paip lama yang dijangka siap pada 2024.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor, proses penukaran paip sepanjang 226 kilometer (km) membabitkan kos RM141.2 juta dibuat di Tanah Merah, Kuala Krai, Kota Bharu dan Machang.

    Beliau berkata, penggantian paip lama yang uzur dengan paip baharu di Kelantan pada 2018 yang membabitkan peruntukan sebanyak RM73.6 juta di Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat sepanjang 91km sudah siap dilaksanakan.

    “Selain itu, yang terbaharu di bawah pakej tiga yang membabitkan penukaran paip sepanjang 95km di Kota Bharu Utara, Kota Bharu Timur, Kota Bharu Selatan dan Tumpat.

    “Bagi penukaran paip ini, ia di dalam proses penyediaan dokumen tender,” katanya sebagai menjawab soalan daripada Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Azami yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok berkata, bagi pembinaan telaga di loji Tanjong Mas, di bawah pakej satu juga di dalam proses pembinaan yang mencapai kemajuan 77 peratus.

    “Sementara itu, di bawah pakej dua, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Tanjong Mas, perancangan kita adalah membabitkan kapasiti air sebanyak 30 juta liter sehari dan tender dijangka pada November ini,” katanya yang menjawab soalan tambahan Rohani.

    Dalam perkembangan sama, Azami berkata, kerajaan negeri juga melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah bekalan air bersih khususnya di Pulai Chondong, Machang.

    Katanya, kerajaan akan menyiapkan baki kerja di Loji Pulai Chondong yang membabitkan peruntukan RM1.7 juta dan permohonan sudah dibuat kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

    “Selain itu, cadangan menaik taraf sistem loji di Merbau Chondong dan dalam proses permohonan peruntukan pinjaman. Jangkaan tender pada 2022 dan dijangka siap 2024.

    “Loji Merbau Chondong dapat mengeluarkan air bersih sebanyak 60 juta liter sehari dan sekali gus dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Pulai Chondong khususnya dan sebahagian besar Kelantan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • PRU-15: PN optimis dapat tawan DUN Tioman – Tuan Ibrahim

    PRU-15: PN optimis dapat tawan DUN Tioman – Tuan Ibrahim

    PERIKATAN Nasional (PN) optimis akan menambah satu lagi kemenangan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan berlangsung 7 Disember nanti.

    Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya kemenangan itu dizahirkan bermakna PN akan memperoleh 18 kerusi berbanding 17 pada PRU-15, 19 November lalu sekali gus dapat memberikan semangat dan kekuatan gabungan Pas, Bersatu dan Gerakan yang membentuk PN di Pahang.

    Calon yang bertanding nanti, Nor Idayu Hashim dari Pas yang sememangnya kerusi Rompin yang diperuntukkan oleh PN untuk calon Pas dan kita (Pas Pahang) mencalonkan beliau (Nor Idayu) yang merupakan seorang ahli Jawatan Kuasa Pas Rompin sememangnya amat layak.

    “Nor Idayu seorang suri rumahtangga, tetapi mempunyai ijazah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), muslimat yang sangat aktif dalam Pas Rompin dan banyak terbabit dengan program keagamaan dan kemasyarakatan,” katanya kepada media selepas hadir majlis Jamuan Kesyukuran Rakyat DUN Cheka di Kerambit dekat Lipis, semalam.

    Beliau berkata, kalangan akar umbi Pas sangat bersetuju bagi Nor Idayu menjadi calon sekali gus mewakili suara wanita di dalam DUN Tioman yang bertanding pada 7 Disember ini.

    Jelasnya, jentera Pas sudah lama bersiap siaga setelah kerusi DUN Tioman diberikan kepada calon Pas sebelum ini berasaskan persefahaman dalam kalangan pemimpin PN.

    “Kita bersungguh untuk memenangi calon ini kerana saya difahamkan menerusi tinjauan di lapangan, Pas mampu mengatasi calon BN yang merupakan cabaran utama dan saya yakin kita akan menang,” katanya.

    “Berasaskan kemenangan 17 kerusi DUN PN di Pahang pada 19 November lalu, saya amat yakin DUN Rompin akan dimenangi oleh calon PN berasaskan senario perubahan drastik yang diterjemahkan oleh pengundi pada PRU15, 19 November lalu,” katanya lapor Astro Awani.

    Ujarnya lagi, kemenangan calon DUN Tioman juga berasaskan bantuan serta sokongan pengundi terutamanya dalam kalangan orang muda termasuk mereka yang berusia 18 tahun.

    Pada 19 November lalu, Md Yunus Ramli, seorang ketua Pas salah sebuah cawangan di situ yang dipilih sebagai calon PN bagi DUN Tioman meninggal dunia dipercayai mengalami serangan jantung dan berikutan itu, pengundian bagi kerusi tersebut ditangguhkan pada 7 Disember ini.

  • Suami isteri ‘tokan’ dadah ditahan

    Suami isteri ‘tokan’ dadah ditahan

    CUBAAN sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah melarikan diri ketika serbuan polis gagal apabila berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Baiduri di Tumpat, semalam.

    Kedua-dua suspek berusia 41 dan 39 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 pagi dan hasil serbuan polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM14,330.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, bertindak atas maklumat dadah, sepasukan pegawai bersama anggota Narkotik Tumpat dan Balai Tumpat membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Baiduri di sini.

    Katanya, semasa serbuan seorang lelaki dan seorang wanita berada di ruang tamu dalam keadaan mencurigakan.

    “Mereka enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan

    “Hasil pemeriksaan menjumpai 13 biji pil kuda, 29 gram (g) heroin dan 14g ganja yang keseluruhan bernilai RM14,330,” katanya dalam
    satu kenyataan hari ini.

    Amran berkata, polis juga membuat sitaan wang tunai berjumlah RM9,837, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal
    jenis Honda Vario 150.

    “Turut dirampas ialah dua gelang tangan dan dua bentuk cincin keemasan dan perak serta sebentuk cincin warna keemasan.

    “Hasil ujian urin suspek lelaki dapati positif dadah jenis opiate dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes narkotik manakala wanita tersebut negatif dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Amran berkata, mereka ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 12(2), 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.