AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati dikendalikan kru warga asing kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot nelayan kelac C sedang begerak di kedudukan 62 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika dalam perjalanan melaksanakan rondaan Op Tanjung.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati, bot yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan enam kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 21 hingga 32 tahun.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maritim Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati dikendalikan kru warga asing kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Sehubungan itu tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan manakala hasil laut kira-kira 500 kilogram (kg) dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here