TINDAKAN seorang remaja lelaki mencuri duit tabung sebuah masjid di Pontian, Johor membawa padah apabila dia diberkas polis pada hari sama kejadian itu dilaporkan pengurusan masjid Khamis lalu.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan perbuatan suspek berusia 16 tahun itu yang kemudiannya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 2 minit 19 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter NanManjoi8715 memaparkan rakaman seorang lelaki mencuri duit tabung masjid.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada Ahad 20 November kira-kira pukul 10.58 pagi di sebuah masjid di Ayer Baloi dan laporan polis dibuat oleh pengurusan masjid tiga hari kemudian.

“Bertindak atas maklumat, pada 23 November kira-kira pukul 3 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pontian telah membuat tangkapan ke atas suspek berumur 16 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Shofee dalam pada itu berkata, berhubung dengan kejadian itu, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan suspek boleh dipenjara maksimum sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here