Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pengeluaran bersasar KWSP untuk golongan memerlukan perlu dipertimbang – Penganalisis

    Pengeluaran bersasar KWSP untuk golongan memerlukan perlu dipertimbang – Penganalisis

    PENGELUARAN khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar adalah langkah yang lebih baik dilaksanakan kerana ia akan memfokus kepada mereka yang amat memerlukan.

    Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, suntikan tunai daripada pengeluaran KWSP pasti akan dibelanjakan untuk menyemarakkan ekonomi domestik.

    Katanya, pengeluaran bersasar bukan sahaja kepada golongan B40 tetapi juga golongan M40, iaitu kepada sesiapa yang memerlukan dalam jangka masa pendek ini dan masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

    “Sekiranya ada keperluan mendesak maka pengeluaran KWSP boleh ditimbangkan mengikut keperluan pencarum.

    “Masalahnya, ramai pencarum mempunyai baki simpanan yang rendah apabila sudah dibenarkan pengeluaran khas yang lalu, sekali imbas pengeluaran kali ini barangkali hanya memenuhi sebahagian kecil kehendak pencarum sahaja yang berbaki positif.

    “Justeru, jika kerajaan ingin melaksanakan pengeluaran KWSP, lebih baik ia diberi secara bersasar,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, KWSP sebenarnya tabungan untuk hari tua, tetapi krisis yang tercetus daripada pandemik Covid-19 menyebabkan ramai yang tidak dapat mengelakkan pengeluaran ini.

    “Jadi ramai yang telah terjejas dan tidak mempunyai tabungan yang mencukupi untuk hari tua, mungkin perlunya kerajaan merumuskan cadangan baharu untuk memperbaiki kebajikan rakyat Malaysia untuk masa kini dan masa akan datang,” katanya.

    Sementara itu, Perancang Kewangan Berlesen, Rafiq Hidayat Mohd Ramli berkata, data KWSP menunjukkan ramai pencarum yang simpanan persaraan mereka tidak banyak iaitu bawah RM10,000.

    Katanya, wang KWSP adalah duit rakyat untuk bersara dan disebabkan kesan pandemik, rakyat sudah banyak menggunakan wang sendiri (kebenaran pengeluaran khas KWSP) untuk kelangsungan hidup.

    “Sebaiknya untuk membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40, dalam jangka pendek kerajaan perlu memberi subsidi bersasar terutama subdisi petrol kerana sekarang T20 turut mendapat manfaat terbabit.

    “Kerajaan perlu segera mengkaji semula subsidi dan wang lebihan itu boleh digunakan untuk membantu rakyat yang masih bergelut dengan kewangan mereka,” katanya.

  • Arthur Kurup bimbang pembangunan dipinggir, hanya dua menteri Sabah dilantik

    Arthur Kurup bimbang pembangunan dipinggir, hanya dua menteri Sabah dilantik

    SABAH dilihat sebagai wilayah yang ‘rugi’ apabila hanya diberikan dua portfolio menteri penuh berbanding Sarawak yang mendapat lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri II dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup turut menyuarakan kebimbangan berlaku pengabaian ke atas pembangunan dan projek kemajuan negeri itu seperti yang pernah berlaku pada 2018 di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

    “Pembatalan begitu banyak projek pembangunan infra rakyat terutamanya Projek Pan Borneo Sabah ketika dipimpin Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018 masih segar dalam ingatan rakyat Sabah. Begitu juga langkah-langkah penjimatan yang diambil dengan mengurang atau menghapuskan bantuan yang pada asasnya bertujuan untuk membantu rakyat.

    “Sehubungan itu, Sabah memerlukan lebih ramai representasi dalam kabinet Persekutuan bagi membangunkan wilayah itu selain berharap agar kesilapan lalu (Kerajaan Pakatan Harapan) tidak diulangi bagi memastikan jurang pembangunan di antara Sabah dan Semenanjung dapat dirapatkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu, lapor Astro Awani.

    Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berharap Kerajaan Perpaduan tidak mengabaikan Sabah memandangkan negeri itu memerlukan banyak bantuan daripada segi pembangunan dan rakyat.

    Untuk rekod, daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, 24 Ahli Parlimen menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

    Daripada jumlah itu Barisan Nasional Sabah (tujuh Ahli Parlimen) merupakan penyumbang terbesar dalam komposisi tersebut tetapi Sabah hanya diberikan dua jawatan Kabinet dan tiada daripada BN Sabah.

    Pada pengumuman kabinet Kerajaan Persekutuan yang baharu menyaksikan Sabah diberikan dua portfolio iaitu Datuk Ewon Benedick dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Datuk Armizan Mohd Ali (GRS) pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

    Sementara itu, Sarawak masing-masing diberikan lima portfolio kementerian melalui perlantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya); Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat); Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan) dan Datuk Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

  • DAP Pulau Pinang kecewa komposisi kabinet

    DAP Pulau Pinang kecewa komposisi kabinet

    DAP Pulau Pinang menyifatkan komposisi politik kabinet yang baru diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak seimbang walaupun bersetuju dengan pembentukan kabinet yang lebih kecil.

    Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, terdapat parti politik yang kerusinya kurang berbanding DAP tetapi sebaliknya mendapat lebih banyak jawatan menteri.

    Jelasnya, parti politik berkenaan meraih kerusi kurang berbanding DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) namun mendapat dua kali ganda bilangan menteri berbanding DAP.

    “Kami kecewa kerana tiada seorang pun daripada tujuh ahli parlimen DAP Pulau Pinang dilantik sebagai menteri, walaupun kami faham akhirnya, keputusan perdana menteri untuk memilih siapa yang patut berada dalam Kabinetnya,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai barisan kabinet kerajaan persekutuan.

    Pada PRU15, DAP menang 40 kerusi Parlimen, turun sedikit daripada 42 kerusi sebelum ini yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2018.

    Ketika ditanya lebih lanjut mengenai kemungkinan komposisi politik Timbalan Menteri, Chow mengelak mengulas soalan itu.

    “Saya masih perlu menunggu pengumuman itu,” kata Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, lapor Malaysiakini.

    Kabinet PH selepas kemenangannya pada PRU ke-14 sebelum ini membariskan enam ahli Parlimen DAP sebagai menteri.

    Sementara itu, empat ahli Parlimen DAP menjadi menteri dalam barisan kabinet terbaru yang diumumkan semalam.

    Semalam, Perdana Menteri telah mendedahkan Kabinetnya, termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadhillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

    Pengerusi PH itu berkata, Kabinet akan terdiri daripada 28 menteri, di 22 kementerian, dan empat portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

    Beliau juga berkata, kekuatan kerajaan perpaduan mencapai hampir dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

    Kerajaan PH pimpinan Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini pada 2018 membariskan 28 menteri dan 27 timbalan menteri.

  • PM ‘tangkap muat’ lantik Tengku Zafrul dalam Kabinet – Rafidah

    PM ‘tangkap muat’ lantik Tengku Zafrul dalam Kabinet – Rafidah

    BEKAS Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Jemaah Menteri.

    Beliau berkata, kredibiliti Jemaah Menteri yang baru dibentuk akan terjejas dengan pelantikan Tengku Zafrul sebagai senator semata-mata untuk menjadikannya menteri.

    Jelasnya, ini kerana masih ramai orang lain yang lebih sesuai untuk jawatan tersebut.

    “Kelihatan seperti (Anwar) hanya tangkap muat dengan melantik seseorang yang ditolak pengundi. Mana kredibilitinya apabila orang yang kalah dilantik (menjadi menteri)?” katanya dalam kenyataan.

    Tengku Zafrul sebelum ini berkhidmat sebagai menteri kewangan dalam kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Semalam, pembantu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Adam Mukhriz Muhayeedin, menyerlahkan ironi dalam keputusan Anwar melantik calon pilihan raya yang kalah, iaitu Tengku Zafrul, ke dalam Jemaah Menteri, dan bukan Dzulkefly Ahmad.

    Dzulkefly, yang pernah menjadi Menteri Kesihatan, mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Selangor untuk Pakatan Harapan (PH) selepas mengalahkan Zafrul yang bertanding atas tiket BN, dan dua calon lain.

    Rafidah turut mempersoalkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang Timbalan Perdana Menteri.

    “Mengapa perlu lantik seseorang yang sedang dibicarakan atas (tuduhan) rasuah? Jika dia didapati bersalah, kena cari pengganti pula,” katanya, lapor FMT.

    Zahid didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

    Rafidah sebelum ini meminta Anwar tidak melantik ahli politik yang berdepan perbicaraan dalam Jemaah Menteri. Pelantikan individu sebegini, katanya, akan mencemarkan imej negara.

    Pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri mencetuskan reaksi negatif daripada kumpulan masyarakat sivil seperti Bersih, ketua pembangkang, Muhyiddin dan orang awam.

    Rafidah menyifatkan kedua-dua pelantikan itu sebagai ‘mengejutkan dan tidak perlu’ dan mendoakan kejayaan Anwar dalam mentadbir negara.

  • Apa PH buat semua jadi suci, rela di’kencing’ berkali-kali

    Apa PH buat semua jadi suci, rela di’kencing’ berkali-kali

    MENGIKUT Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kencing bermaksud air najis yang keluar daripada kemaluan. Tapi dalam konteks politik ia mempunyai maksud penipuan, memperdayakan, dusta, kemunafikan dan macam-macam lagi maksud serupa yang menjurus kepada perkara negatif.

    Selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya mampu mentadbir negara selama 22 bulan, BN dengan segala jenteranya sering membawa naratif bahawa cukuplah dikencing selama tempoh diperintah PH.

    Pemimpin BN – dalam setiap program politik sering bernyanyi bahawa sudah serik hidup di zaman PH kerana segala tawaran dalam manifesto hanya janji bulan dan bintang yang tidak mampu ditunaikan.

    Begitu juga dengan slogan ‘No Anwar, No DAP’ yang kerap dimainkan bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa BN tidak sesekali menjalinkan kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan.

    Begitu juga di pihak PH yang berkata mereka tidak sesekali bekerjasama dengan parti penyamun atau kluster mahkamah yang pemimpin PH labelkan susulan pimpinan BN yang berhadapan dengan kes mahkamah.

    Rafizi umpamanya pernah berkata bahawa dia akan menjadi individu pertama menghalang jika berlaku kerjasama antara PH dan BN yang diketuai oleh Zahid Hamidi.

    Sekarang ini di mana Rafizi? Adakah dia lupa dengan apa yang dikatakan sebelum ini.

    Amanah – iaitu parti sekutu dalam PH yang diketuai Mat Sabu juga sering memainkan isu yang sama malah mengatakan bahawa beberapa pimpinan Pas keluar parti dan menubuhkan Amanah adalah kerana tidak setuju dengan tindakan Pas mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

    Dan baru-baru ini, apabila terbentuknya kabinet hasil kerjasama PH dan BN, maka dapatlah kita saksikan bagaimana berlaku ‘kencing’ melimpah-ruah sehingga basah lencun terhadap rakyat Malaysia.

    Pemimpin yang saling kutuk-mengutuk, keji mengeji, kerap berbalah rupanya menjadi begitu mesra antara satu sama lain bergabung tenaga atas alasan kononnya demi kepentingan ekonomi dan rakyat.

    Tidak terhenti di situ, gesaan daripada beberapa pemimpin politik dan Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (Bersih) supaya kabinet Kerajaan Perpaduan bebas daripada pemimpin yang berdepan kes mahkamah tidak dipedulikan Anwar apabila Zahid telah dilantik menjawat jawatan TPM.

    Dan lantikan Zahid semalam jelas mengecewakan semua orang yang berpandangan laungan reformasi dan usaha pemulihan negara hanya janji-janji kosong untuk memperdayakan penyokong masing-masing.

    Paling kecewa macai-macai BN dan PH yang sebelum ini bermati-matian mempertahankan perjuangan dan prinsip parti tetapi pemimpin atasan masing-masing dengan mudahnya memusnahkan kepercayaan tersebut.

    Oleh kerana kerajaan yang ditubuhkan bermula dengan tindakan ‘kencing’ rakyat, maka langkah-langkah selepas ini usahlah diharap akan berlaku tindak-tanduk yang mencerminkan sebuah kerajaan yang berprinsip.

    Rakyat akan berterusan dikencing dan pada kebiasaannya pembentukan kerjasama yang tidak bertunjangkan kepada kejujuran gagal bertahan untuk tempoh yang lebih lama.

    Begitu juga dengan tindakan Anwar melantik dirinya menjadi Menteri Kewangan yang jelas sekali menunjukkan sisi sebenar pimpinan PH yang cakap tidak serupa bikin.

    Lihatlah kembali bagaimana mereka menyerang Najib Razak ketika dia menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada waktu itu.

    Pimpinan PH menggunakan pelbagai dalil untuk menunjukkan perilaku Najib itu tidak berintegriti hingga Mat Sabu dalam pentas ceramah politiknya sering menjadikan Najib sebagai bahan jenaka.

    “Menteri Kewangan..Najib, Perdana Menteri..Najib, Najib minta wang kepada Najib. Najib kata nanti dulu aku bincang dulu dengan Perdana Menteri…Najib. Setelah Najib berbincang dengan Najib, luluslah wang rakyat.”

    Jadi bagaimana pula dengan situasi Anwar sebagai PM yang juga Menteri Kewangan? Adakah Mat Sabu ingin membuat jenaka yang sama atau tutup mata jilat ludah sendiri?

    Bagaimana pula dengan Rafizi yang pada tahun 2015 menfailkan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk gubal satu akta halang PM lantik dirinya jadi Menteri Kewangan? Adakah semuanya sudah jadi suci di zaman PH?

  • Remaja lelaki lembam dakwa lima kali diliwat jiran

    Remaja lelaki lembam dakwa lima kali diliwat jiran

    SEORANG lelaki meliwat jirannya iaitu seorang remaja lelaki lembam berusia 16 tahudi ladang kelapa sawit di Bandar Baharu bulan lalu.

    Perbuatan itu terbongkar apabila mangsa yang juga pelajar Tingkatan Tiga menceritakan kejadian menimpanya kepada guru kelas, Khamis lalu.

    Difahamkan, jirannya mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan membawanya ke lokasi jauh dalam ladang kelapa sawit sebelum melakukan perbuatan keji terbabit.

    Mangsa mendakwa diliwat sejak 20 hingga 25 November lalu oleh suspek yang turut mengancam membunuh seluruh keluarganya jika remaja itu membocor rahsia.

    Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati remaja lelaki berkenaan menceritakan kejadian kepada guru kelasnya yang kemudian memaklumkan perkara terbabit kepada bapa mangsa.

    “Bapa mangsa hadir ke sekolah dan lelaki berusia 56 tahun itu yang curiga serta tidak berpuas hati dengan kejadian menimpa anaknya itu membuat laporan polis.

    “Susulan itu, suspek, 20, yang juga pekerja swasta diberkas dalam serbuan di sebuah rumah dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, di Bandar Baharu, hari ini.

    Wan Hassan berkata, hasil keterangan awal mangsa mendakwa dia dipaksa suspek melakukan perbuatan sumbang itu sebanyak lima kali dalam ladang kelapa sawit terbabit.

    “Mangsa tidak berani menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa kerana suspek sebelum itu mengugut mahu membunuh semua ahli keluarganya jika dia membocorkan rahsia.

    “Pemeriksaan mendapati mangsa belajar di kelas khas kerana mempunyai masalah dalam pembelajaran dan dia turut dibawa ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • PRU15: Sokongan saat akhir bantu PN tawan DUN Tioman

    PRU15: Sokongan saat akhir bantu PN tawan DUN Tioman

    CALON Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim mengakui bantuan daripada pimpinan dan jentera parti banyak membantu dalam aktiviti kempen menjelang saat-saat akhir.

    Nor Idayu berkata, tempoh kempen yang berbaki beberapa hari lagi akan digunakan sepenuhnya untuk turun ke lokaliti bagi menemui seramai mungkin pengundi terutama kumpulan sasar.

    “Setakat ini beliau sudah menemui hampir 70 peratus pengundi di DUN Tioman. Kami akan gunakan peluang pada saat akhir ini dengan melipatgandakan aktiviti bagi menarik seramai mungkin pengundi kepada PN.

    “Dengan bantuan pemimpin PN yang datang silih berganti selain jentera yang terus bersemangat membantu, Insya-ALLAH PRU15 DUN Tioman ini akan memihak kepada PN,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di Rompin hari ini.

    Katanya, jadual aktiviti beliau cukup padat setiap hari, namun terus bersemangat apabila melihat maklum balas pengundi yang begitu positif.

    Berbeza dengan calon Bebas, Sulaiman Bakar yang mengakui semakin gementar menjelang hari pengundian pada 7 Disember ini.

    Menurutnya, sokongan pengundi amat diharapkan dan sokongan diberikan kepadanya demi perubahan daerah Rompin.

  • Belum pernah dalam sejarah seorang berdepan tuduhan rasuah dilantik TPM

    Belum pernah dalam sejarah seorang berdepan tuduhan rasuah dilantik TPM

    PAKATAN Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan pengkhianatan terbesar kepada pengundi dan rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai orang nombor kedua berkuasa di Putrajaya.

    Naib Pengerusi Sayap Bersekutu Bersatu, Dr. Robert Ling Kui Ee berkata Perdana Menteri kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) tersebut sanggup membuang prinsip perjuangannya selama ini hanya semata-mata mahu terus kekal berkuasa tanpa menghiraukan kepentingan rakyat dan negara.

    “Zahid menghadapi 47 pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi KL. Ini termasuk 12 pertuduhan jenayah pecah amanah, 27 pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah.

    “Belum pernah dalam sejarah Malaysia seorang yang menghadapi tuduhan rasuah dilantik ke jawatan kedua paling berkuasa dalam kerajaan.

    “Ia juga memalukan mutlak negara kita dan pengkhianatan terbesar kepada semua rakyat Malaysia, baik mereka yang mengundi Pakatan Harapan dan mereka yang tidak mengundi,” kata Robert, lapor Berita Bersatu.

    Robert juga membidas Anwar seorang yang hipokrit dan bukan reformis sebenar seperti yang dilaung-laungkannya sebelum ini.

    “Ini adalah bukti bahawa Anwar bukanlah seorang reformis sebenar, tetapi seorang yang hanya mahu kuasa dan hanya pentingkan politik peribadi daripada etika dan tadbir urus yang baik.

    “Keputusan melantik ahli politik yang menghadapi banyak pertuduhan sebagai sebagai TPM I adalah bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang baik.

    “Malah ia akan memberi kesan kepada pelabur dan kedudukan kewangan Malaysia yang akan memudaratkan. Isyarat yang dihantar di peringkat antarabangsa ialah Malaysia bertolak ansur dengan rasuah,” katanya lagi.

    Menurutnya lagi, rakyat sekarang sudah dapat memahami mengapa Zahid sangat mahu menyokong Anwar menjadi PH dan DAP untuk membentuk kerajaan Pusat sebelum ini walaupun kedua-duanya adalah musuh tradisi politik.

    “Sekarang kita tahu kenapa Zahid nekad dan terdesak menyokong PH dan Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.

    “Beliau telah menerima ganjarannya kerana membawa BN ke dalam pelukan PH dan membantu Anwar Ibrahim mencapai cita-cita terdesaknya untuk menjadi PM,” katanya lagi.

  • Bersih gesa Anwar penuhi janji Manifesto PH untuk lawan rasuah

    Bersih gesa Anwar penuhi janji Manifesto PH untuk lawan rasuah

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggandakan usaha bagi memenuhi Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk melawan rasuah dan mengukuhkan integriti institusi utama negara.

    Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini mahu Pengerusi PH itu dan kabinet baharunya perlu segera mengutamakan tindakan bagi menghapuskan sebarang keraguan campur tangan kes mahkamah dan konflik kepentingan.

    “Antara tiga tindakan yang dicadangkanan Bersih adalah menjadikan Peguam Cara Negara untuk mengambil peranan Pendakwa Raya dengan segera. Ia sehingga pindaan perlembagaan dibuat untuk memisahkan peranan tersebut daripada Peguam Negara.

    “Kedua, menggalakkan kestabilan politik dan pemantauan Parlimen dengan memberikan peranan bermakna kepada Pembangkang dan ‘backbencher’ Kerajaan dalam kabinet bayangan dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK).

    “Ia termasuk dengan gaji yang selayaknya, sokongan kajian polisi dan akses kepada maklumat kerajaan kepada menteri bayangan serta pengerusi dan timbalan pengerusi JPK,” menurut kenyataan itu, hari ini.

    Selain itu kata Bersih, mereformasi proses pelantikan dan pemecatan pegawai awam utama seperti Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

    Jelasnya, proses ini perlu dibebaskan daripada eksekutif dan dimasukkan peranan Parlimen, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang lain yang lebih bermakna.

    “Bersih akan terus menjadi suara non-partisan dan akan terus mendesak reformasi yang akan memperkukuhkan demokrasi negara,” lapor Astro Awani.

  • Tular pelajar sekolah bawa ‘geng’ serang, pukul rakan

    Tular pelajar sekolah bawa ‘geng’ serang, pukul rakan

    POLIS menahan empat pelajar sekolah menengah kerana terlibat kejadian pergaduhan berkumpulan di sebuah stesen minyak di Kajang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pelajarb berkenaan berusia lingkungan 15 ke 16 tahun.

    “Kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara suspek dan mangsa terbabit di kantin sekolah mereka di Kajang pada Rabu.

    “Mangsa telah berselisih faham dengan salah seorang rakan suspek kerana didakwa telah mencampakkan duit ketika hendak membeli minuman di kantin semasa waktu rehat.

    “Perselisihan faham itu berlarutan apabila kedua-dua pihak telah bertumbuk akibat tidak berpuas hati.

    “Suspek bertindak meminta bantuan dari rakan-rakan sekolah lain untuk membalas dendam terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, satu klip video berdurasi 12 saat tular memaparkan sekumpulan pelajar sekolah bergaduh sambil cuba dileraikan oleh dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang berada berhampiran.

    Mohd. Zaid berkata, semakan mendapati video tular berkenaan merupakan kejadian pergaduhan pada Khamis dan Jumaat di dua tempat berlainan di sekitar sekolah berkenaan.

    Katanya, mangsa yang berusia 16 tahun telah diserang dan dipukul oleh suspek dan beberapa rakannya yang dipercayai pelajar dari sekolah lain di Kajang sekitar pukul 12.30 tengah hari Jumaat.

    “Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menerima laporan dari seorang pelajar berusia 16 tahun lebih kurang pada pukul 5.04 petang.

    “Sepasukan polis dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah tangkap empat suspek pelajar sekolah di sekitar Kajang disyaki terlibat pergaduhan berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, pihak polis masih mengesan beberapa suspek yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan terbabit.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan permohonan reman sedang dimohon dari mahkamah.