MENGIKUT Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kencing bermaksud air najis yang keluar daripada kemaluan. Tapi dalam konteks politik ia mempunyai maksud penipuan, memperdayakan, dusta, kemunafikan dan macam-macam lagi maksud serupa yang menjurus kepada perkara negatif.

Selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya mampu mentadbir negara selama 22 bulan, BN dengan segala jenteranya sering membawa naratif bahawa cukuplah dikencing selama tempoh diperintah PH.

Pemimpin BN – dalam setiap program politik sering bernyanyi bahawa sudah serik hidup di zaman PH kerana segala tawaran dalam manifesto hanya janji bulan dan bintang yang tidak mampu ditunaikan.

Begitu juga dengan slogan ‘No Anwar, No DAP’ yang kerap dimainkan bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa BN tidak sesekali menjalinkan kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan.

Begitu juga di pihak PH yang berkata mereka tidak sesekali bekerjasama dengan parti penyamun atau kluster mahkamah yang pemimpin PH labelkan susulan pimpinan BN yang berhadapan dengan kes mahkamah.

Rafizi umpamanya pernah berkata bahawa dia akan menjadi individu pertama menghalang jika berlaku kerjasama antara PH dan BN yang diketuai oleh Zahid Hamidi.

Sekarang ini di mana Rafizi? Adakah dia lupa dengan apa yang dikatakan sebelum ini.

Amanah – iaitu parti sekutu dalam PH yang diketuai Mat Sabu juga sering memainkan isu yang sama malah mengatakan bahawa beberapa pimpinan Pas keluar parti dan menubuhkan Amanah adalah kerana tidak setuju dengan tindakan Pas mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

Dan baru-baru ini, apabila terbentuknya kabinet hasil kerjasama PH dan BN, maka dapatlah kita saksikan bagaimana berlaku ‘kencing’ melimpah-ruah sehingga basah lencun terhadap rakyat Malaysia.

Pemimpin yang saling kutuk-mengutuk, keji mengeji, kerap berbalah rupanya menjadi begitu mesra antara satu sama lain bergabung tenaga atas alasan kononnya demi kepentingan ekonomi dan rakyat.

Tidak terhenti di situ, gesaan daripada beberapa pemimpin politik dan Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (Bersih) supaya kabinet Kerajaan Perpaduan bebas daripada pemimpin yang berdepan kes mahkamah tidak dipedulikan Anwar apabila Zahid telah dilantik menjawat jawatan TPM.

Dan lantikan Zahid semalam jelas mengecewakan semua orang yang berpandangan laungan reformasi dan usaha pemulihan negara hanya janji-janji kosong untuk memperdayakan penyokong masing-masing.

Paling kecewa macai-macai BN dan PH yang sebelum ini bermati-matian mempertahankan perjuangan dan prinsip parti tetapi pemimpin atasan masing-masing dengan mudahnya memusnahkan kepercayaan tersebut.

Oleh kerana kerajaan yang ditubuhkan bermula dengan tindakan ‘kencing’ rakyat, maka langkah-langkah selepas ini usahlah diharap akan berlaku tindak-tanduk yang mencerminkan sebuah kerajaan yang berprinsip.

Rakyat akan berterusan dikencing dan pada kebiasaannya pembentukan kerjasama yang tidak bertunjangkan kepada kejujuran gagal bertahan untuk tempoh yang lebih lama.

Begitu juga dengan tindakan Anwar melantik dirinya menjadi Menteri Kewangan yang jelas sekali menunjukkan sisi sebenar pimpinan PH yang cakap tidak serupa bikin.

Lihatlah kembali bagaimana mereka menyerang Najib Razak ketika dia menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada waktu itu.

Pimpinan PH menggunakan pelbagai dalil untuk menunjukkan perilaku Najib itu tidak berintegriti hingga Mat Sabu dalam pentas ceramah politiknya sering menjadikan Najib sebagai bahan jenaka.

“Menteri Kewangan..Najib, Perdana Menteri..Najib, Najib minta wang kepada Najib. Najib kata nanti dulu aku bincang dulu dengan Perdana Menteri…Najib. Setelah Najib berbincang dengan Najib, luluslah wang rakyat.”

Jadi bagaimana pula dengan situasi Anwar sebagai PM yang juga Menteri Kewangan? Adakah Mat Sabu ingin membuat jenaka yang sama atau tutup mata jilat ludah sendiri?

Bagaimana pula dengan Rafizi yang pada tahun 2015 menfailkan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk gubal satu akta halang PM lantik dirinya jadi Menteri Kewangan? Adakah semuanya sudah jadi suci di zaman PH?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here