Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dipecat UMNO: Annuar tak akan rayu, tiada dendam dengan Zahid

    Dipecat UMNO: Annuar tak akan rayu, tiada dendam dengan Zahid

    TAN Sri Annuar Musa menegaskan tidak akan merayu terhadap keputusan UMNO yang memecat keahliannya baru-baru ini.

    Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, sehingga kini beliau masih tidak tahu sebab pemecatan kerana tiada pertuduhan terhadapnya.

    “Saya buat keputusan tidak merayu. Nak merayu kita kena tahu salah kita, jadi kita nilai betul kita salah atau tidak. Jadi kalau tak salah, kita merayulah atas dasar diri kita tak bersalah.

    “Sehingga hari ini, saya tidak tahu, saya tiada pertuduhan. Tak dipanggil, tak pernah ditanya, tak diminta penjelasan lisan atau bertulis, panggil secara sahabat pun tiada sedangkan dalam itu kawan-kawan saya tapi mereka tidak bertanya apa-apa.

    “Tahu-tahu surat sekeping, pecat. Jadi saya nak rayu macam mana,” katanya pada sidang media di pejabat Muafakat Nasional, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Annuar berkata, beliau tidak berdendam dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas dipecat daripada parti disertainya lebih 43 tahun.

  • Saya dah ‘cerita’ pada SPRM, kata Annuar berkait dakwaan dana diberi Muhyiddin

    Saya dah ‘cerita’ pada SPRM, kata Annuar berkait dakwaan dana diberi Muhyiddin

    TAN Sri Annuar Musa mengesahkan beliau sudah dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu berkait dakwaan jutaan ringgit diserahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) l, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada UMNO pada pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dua tahun lalu.

    “Saya sudah memberi penjelasan kepada SPRM ‘cerita sebenar’ berhubung dakwaan itu. Saya sudah memberi kenyataan kepada SPRM minggu lepas.

    “Bila SPRM panggil saya untuk beri keterangan saya sangat suka hati dan saya beritahu semua jalan cerita sebenarnya yang telah saya lalui, saya ucap terima kasih dan akan terus beri kerjasama kepada SPRM, itu tanggungjawab saya,” katanya pada sidang media di pejabat Muafakat Nasional, lapor Free Malaysia Today (FMT).

  • Noh Omar, Zuraida, Jamal Abdillah, Ridhuan Tee antara 30 Ahli Dewan Tertinggi MN

    Noh Omar, Zuraida, Jamal Abdillah, Ridhuan Tee antara 30 Ahli Dewan Tertinggi MN

    BEKAS Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin serta bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof dipilih sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN).

    Tidak ketinggalan artis tersohor tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan dua pelakon terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Ummi Nazeera turut disenaraikan menganggotai Dewan Tertinggi MN.

    Presiden NGO MN, Tan Sri Annuar Musa yang mengumumkan perkara itu berkata, pertubuhan berkenaan juga menyenaraikan dua ahli akademik iaitu pakar Perlembagaan, Prof Madya Shamrahayu A. Aziz dan pendakwah terkenal, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

    “Kesemua mereka merupakan antara 30 personaliti Dewan Tertinggi MN. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan aktivis, Cikgu Izzat Johari turut disenaraikan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Kerajaan Perpaduan diminta tidak berdendam, menganaktirikan Terenggganu

    Kerajaan Perpaduan diminta tidak berdendam, menganaktirikan Terenggganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEJAK beberapa dekad lalu, inilah pertama kali Terengganu tidak memiliki walau seorangpun wakil dalam kabinet Kerajaan Persekutuan sama ada bertaraf Menteri mahu pun Timbalan Menteri.

    Hal ini kerana dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu, kesemua calon mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi Parlimen negeri ini telah tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) diwakili parti Pas dan Bersatu.

    Dalam beberapa siri PRU sebelum ini hanya parti Pas dan BN sahaja yang bersaing sengit dan memiliki kerusi lubuk kuat di Terengganu manakala PH seringkali terkandas.

    Malah kekalahan mengejut 0-8 BN kepada PN tanpa diduga membabitkan semua kerusi Parlimen di negeri ini menimbulkan pelbagai persoalan dan ‘teka teki’ khususnya berhubung kerjasama dengan kerajaan Pusat.

    Ini kerana, selepas pasca PRU15 bukan PN yang berpeluang memegang tampuk pemerintahan negara, sebaliknya gabungan parti PH dan BN telah berganding bahu membentuk pemerintahan di peringkat Pusat dinamakan Kerajaan Perpaduan.

    Ketika PRU10 pada tahun 2018 lalu, kekalahan BN kepada PH, Terengganu masih memiliki wakil di dalam kabinet, iaitu Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad yang menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu atas tiket Pas sebelum menyertai Parti Amanah.

    Beliau dilantik oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Kemudian, pada era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri telah melantik tiga wakil dari Terengganu, Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan komoditi, Datuk Rosol Wahid Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Datuk Ahmad Amzad Hashim Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

    Pada era pemerintahan Datuk Seri Ismail Saberi Yaakob sebagai Perdana Menteri pula di bawah Kerajaan PN, Rosol dan Ahmad Amjad terus dikekalkan dalam Kabinet kerajaan Persekutuan.

    Kini, selepas berakhirnya pembentukan Kerajaan Perpaduan menyaksikan Terengganu tidak lagi mempunyai wakil walaupun bertaraf senator dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Rata-rata rakyat Terengganu mulai berasa bimbang sekiranya kerajaan Pusat akan bertindak menghukum rakyat negeri ini dengan tidak menyalurkan sebarang bentuk bantuan atau projek sepertimana negeri lain.

    Sehubungan itu, rakyat Terengganu berharap dengan menaruh harapan tinggi agar Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar tidak berdendam, tidak meminggirkan dan tidak menganaktirikan negeri ini daripada menerima segala bentuk bantuan dan projek.

    Selain itu, pelbagai pihak turut berharap agar Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar akan terus cakna mengenai masalah rakyat di negeri ini secara sama rata tanpa bersikap pilih kasih.

    Ini kerana, mereka berpendapat PRU merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang membolehkan rakyat bebas memilih mana-mana parti politik disukai sama ada di peringkat negeri atau pun Persekutuan.

    Justeru, sesuai dengan nama Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Anwar sewajarnya memikir serta memberi keutamaan menyelesaikan semua masalah dihadapi rakyat secara sama rata.

  • Pesakit maut jatuh dari tingkat tujuh bangunan hospital

    Pesakit maut jatuh dari tingkat tujuh bangunan hospital

    SEORANG lelaki ditemukan mati dipercayai terjun dari tingkat tujuh bangunan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) di Temerloh, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan memaklumkan kejadian itu pada pukul 12.10 tengah malam.

    Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh menjalankan siasatan di tempat kejadian.

    “Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 19 tahun itu merupakan salah seorang pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital terbabit.

    “Berdasarkan laporan doktor, mangsa menerima rawatan kerana demam panas dan jangkitan kuman di otaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd Azhar, kejadian itu juga tiada sebarang kaitan dengan unsur jenayah.

    Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HoSHAS untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis di mana-mana balai berdekatan,” katanya menurut Astro Awani.

  • PH masih kabur tentang ikrarnya untuk tangani isu kos sara hidup

    PH masih kabur tentang ikrarnya untuk tangani isu kos sara hidup

    KOS sara hidup, isu yang disifatkan ‘bread and butter’ tampak masih belum ditangani dengan baik walaupun sebelum ini ahli-ahli politik Pakatan Harapan (PH) lantang bersuara mengenainya.

    Sejurus selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk meneliti masalah kos sara hidup yang sejak sekian lama membelenggu golongan B40 dan M40.

    Namun setelah dua minggu, tiada cadangan konkrit yang diutarakan oleh pemimpin tinggi kerajaan.

    Anwar pada Selasa menyatakan negara harus menyalurkan subsidi pukal untuk membantu B40, M40 dan peniaga kecil, selain menyatakan kepada jabatan kerajaan untuk membangunkan kaedah-kaedah besesuaian melaksanakan subsidi bersasar.

    Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, kenyataan itu bermakna Anwar masih tiada jawapan untuk melaksanakan subsidi bersasar.

    “Beliau masih berharap pegawai-pegawai kerajaan beri yang idea bagaimana nak salurkan subsidi bersasar kepada rakyat.

    “Ingatkan setelah bertahun-tahun dia kata kerajaan gagal melaksanakan agihan subsidi secara tepat kepada rakyat, dia sudah ada penyelesaian kepada masalah itu.

    “Rupanya dia pun tidak ada cadangan tuntas,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Kos sara hidup menjadi isu nombor satu yang ditumpukan dalam manifesto PH, Tawaran Harapan.

    Dalam manifesto itu, PH berjanji untuk menghapuskan kartel, memastikan bekalan cukup, memberi insentif untuk meningkatkan pengeluaran, dan mengkaji semula konsesi lebuh raya.

    Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi, turut mempunyai rekod menawarkan pelbagai kaedah untuk menangani isu itu.

    Beliau yang dikenali sebagai ‘raja formula’ mempunyai jawapan bagaimana menurunkan harga minyak kepada RM.150 seliter, menurunkan harga kereta dan menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

    Rafizi selepas dilantik menteri berkata negara memerlukan masa untuk membuat keputusan berhubung kemungkinan menurunkan harga runcit bahan api.

    Sementara itu, pakar ekonomi Geoffrey Williams berkata, subsidi pukal yang dilaksanakan sekarang termasuk subsidi minyak masak berjumlah RM4 bilion yang diberikan kepada penghasil, pemproses, pengedar dan orang tengah.

    “Ia tidak pergi kepada rakyat. Jumlah itu sama dengan memberi RM115 pendapatan asas sebulan untuk membantu isi rumah B40,” katanya.

    Bagi Williams, tindakan Anwar meminta penjawat awam memikirkan solusi boleh dianggap sopan, namun katanya mereka akan gagal.

    Ini kerana tidak banyak kaedah yang berkesan untuk subsidi bersasar. 

    Menurut pensyarah Malaysia University of Science and Technology itu, subsidi bersasar untuk satu-satu produk spesifik tidak akan berjaya, kecuali untuk utiliti dan petrol yang harga boleh ditetapkan secara berperingkat.

    “Meneruskan subsidi hanya membolak-balikkan pasaran.

    “Kita mesti berubah kepada subsidi pendapatan dan bukan produk,” katanya yang memaklumkan, tindakan meneruskan subsidi hanya memberi manfaat kepada pihak yang tidak memerlukan, selain ketirisan dan korupsi menerusi orang tengah.

    Sementara itu, Azizi yang juga bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkata, kerajaan sewajarnya sudah ada rancangan melaksanakan subsidi bersasar sebelum melangkah masuk ke Putrajaya.

    “PH sudah pernah jadi kerajaan selama 22 bulan selepas PRU14.

    “Mereka sudah ada pengetahuan tentang pelaksanaan agihan subsidi yang didakwa ada banyak ketirisan dan tersasar,” tambahnya.

    Kos sara hidup, menurut sesetengah penganalisis sebelum ini, merupakan satu faktor kejatuhan BN pada 2018, apabila rakyat terhimpit antara kenaikan harga barangan asas dan kadar gaji yang kekal pada tangga yang sama.

    Williams menambah, walaupun manifesto PH berhubung kos sara hidup tidak mempunyai solusi spesifik, katanya, mereka kini sudah menjadi kerajaan dan boleh mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai isu itu.

    “Manifesto BN lebih spesifik berhubung membantu orang ramai dengan kos sara hidup menerusi skim bantuan pendapatan asas. Ini merupakan idea yang baik untuk membantu semua B40, bahkan B50.

    “Dengan kerajaan baru, menggabungkan idea daripada semua pihak akan semua akan menjayakan agenda dengan lebih kukuh dan inklusif,” katanya.

  • Kerajaan tamatkan perkhidmatan lantikan politik dalam badan berkanun, GLC

    Kerajaan tamatkan perkhidmatan lantikan politik dalam badan berkanun, GLC

    KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memutuskan supaya lantikan politik dalam badan berkanun, syarikat Kementerian Kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan perkhidmatan secara serta merta.

    Dalam sebuah pekeliling ringkas kepada ketua setiausaha kementerian yang dilihat MalaysiaNow, Ketua Setiausaha Negara Mohd. Zuki Ali berkata, arahan berkenaan perlu dilaksanakan segera.

    “Jemaah menteri dan mesyuarat jemaah menteri pada 14 Disember 2022 telah memutuskan supaya pengerusi dan ahli lembaga pengarah bagi badan berkanun persekutuan/syarikat menteri kewangan (diperbadankan)/ syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan lantikan politik untuk ditamatkan dengan segera,” kata Zuki dalam pekeliling itu.

    Sebelum ini, kerajaan diketuai Pakatan Harapan (PH) itu turut menamatkan perkhidmatan pemimpin tertinggi kerajaan.

    Ini termasuk, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidin yang dicutikan dari Kementerian Kewangan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah yang ‘dibersarakan’.

    Susulan tindakan ke atasnya, Shafiq dalam sebuah kenyataan, menyelar kempen memburukkan reputasi beliau dan mengatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam ‘menganiaya’ beliau.

    Sejak mengambil alih pentadbiran, Anwar mengambil langkah drastik dalam pembentukan Kabinet dengan keanggotaan ‘lebih kecil’ dengan dua timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dari UMNO dan Datuk Seri Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GRS).

    Keputusan menamatkan perkhidmatan lantikan politik hari ini dilihat sebagai usahanya untuk mengukuhkan peralihan pentadbiran selepas PH berjaya membentuk kerajaan bersama musuh tradisinya Barisan Nasional (BN) selain parti-parti politik dari Sarawak dan Sabah.

  • Sanusi kecewa DBP tidak hadir program kerana politik

    Sanusi kecewa DBP tidak hadir program kerana politik

    Oleh BADLISHAH MAT

    TINDAKAN wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang didakwa tidak hadir ke Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) di Alor Setar, malam tadi disebabkan faktor politik mengecewakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Muhammad Sanusi mendakwa, beliau dimaklumkan ketiadaan wakil agensi tersebut ke anugerah berkenaan dikatakan berpunca kerana Kedah kini merupakan negeri pembangkang.

    Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan politik tidak seharusnya dijadikan ‘sihir pemisah’ kepada pembangunan sastera dan seni tanah air.

    “Sepatutnya majlis ini dianjurkan dengan kerjasama DBP. Jadi saya harap agensi-agensi kerajaan yang mengawal selia isu kesusasteraan, bahasa, seni dan memartabatkan budaya khususnya melalui penulisan tidak diheret ke dalam kancah politik.

    “Tak bolehlah mereka amalkan sihir pemisah kerana politik dan sastera penulisan ini berada dalam ‘bakul’ berbeza. Tak boleh buat begini,” katanya selepas merasmikan ASDA yang diadakan di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

    Mengikut latar belakang pentas anugerah tersebut, ianya secara jelas memaparkan bahawa majlis berkenaan dianjurkan secara bersama antara kerajaan negeri, DBP, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi) dan Mada.

    Muhammad Sanusi menerusi ucapan perasmiannya sebelum itu berkata, sastera dan seni adalah hak semua yang merentasi kepentingan politik kepartian.

    “Saya difahamkan ada orang tak mahu datang sebab program ini di Kedah, kerana partinya lain. Hangpa (kamu) ni gila kot?

    “Sastera serta seni bukan ada parti politik. Kalau jadi begini, kita seolah-olah berjalan berundur ke belakang kerana politik sepatutnya semakin hari semakin matang dan perbezaan kita hanya dalam aspek itu (politik) saja, manakala perkara lain kita kena bersatu,” katanya.

    Kekecewaan turut diluahkan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang juga ketua juri dalam anugerah tersebut.

    “Saya kecewa apabila ada pihak yang tiba-tiba menarik diri daripada turut sama memeriahkan majlis sangat penting dalam dunia persuratan ini.

    “Bagaimana politik boleh menjadi sebab kepada ketiadaan satu pihak yang sangat penting sedangkan mereka mempunyai punca kuasa membangunkan persuratan di negara ini,” katanya.

    Justeru, beliau berharap perkara itu tidak berlarutan dan sebaliknya semua pihak perlu bersama-sama menghidupkan sastera yang abadi sifatnya walhal kerjaya dalam politik cuma sementara.

  • Pemilik bengkel kenderaan dituduh edar ganjar 35.5 kg

    Pemilik bengkel kenderaan dituduh edar ganjar 35.5 kg

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemilik bengkel berdepan hukuman mati apabila dituduh mengedar dadah jenis ganja seberat 35.5 kilogram di Mahkamah Majistret Jitra, Kubang Pasu di Kedah, hari ini.

    Tertuduh, Lee Chee Thiam, 50, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan hadapan Majistret, Nurul Huda Idris dengan tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh.

    Mengikut kertas pertuduhan, Chee Tiam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bengkel kereta di Changlun pada 4 Disember lalu, kira-kira pukul 3.30 petang.

    Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Karthy Gasedev manakala tertuduh diwakili peguam dari Ravi Shankar Gandhi & Associates.

    Majistret menetapkan 29 Mac 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menanti laporan kimia.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Mac depan sementara menanti laporan kimia.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dengan dia dibawa ke Penjara Alor Setar untuk ditahan.

    Media sebelum ini melaporkan mengenai serbuan dijalankan kastam terhadap sebuah bengkel membaiki kenderaan di Pekan Changlun pada 4 Disember lalu.

    Difahamkan dadah tersebut ditemukan disimpan dalam empat kotak putih yang disimpan dalam sebuah kenderaan jenis ‘pick up’ bernombor pendaftaran negara jiran.

  • SAM bimbang projek kereta kabel rosakkan alam sekitar Bukit Bendera

    SAM bimbang projek kereta kabel rosakkan alam sekitar Bukit Bendera

    SAHABAT Alam Malaysia (SAM) melahirkan kebimbangan terhadap kelestarian alam sekitar di kawasan sensitif Bukit Bendera, Pulau Pinang berikutan rancangan pembinaan kereta kabel yang diluluskan kerajaan negeri di kawasan tersebut.

    Sehubungan itu, Presiden SAM, R. Meenakshi menggesa kerajaan negeri melaksanakan penilaian kesan alam sekitar dan sosial yang terperinci sebelum memulakan projek itu dimulakan kerana dikhuatiri menjejaskan alam sekitar kawasan berkenaan.

    Tegas beliau, penilaian kesan alam sekitar itu juga perlu dilaksanakan mengikut undang-undang dan mesti melibatkan perundingan awam yang telus.

    Ujarnya, SAM juga berasa amat bimbang memandangkan projek kereta kabel Bukit Bendera yang dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn. Bhd. itu akan ditempatkan di kawasan Taman Botani.

    ”Kebimbangan kami dalam menentang projek ini adalah berdasarkan kepada keperluan untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan biodiversiti, pengurusan dan pemuliharaan Bukit Bendera memandangkan pengiktirafannya sebagai Rizab Biosfera UNESCO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan permohonan cadangan projek (RFP) untuk projek Kereta Kabel Bukit Bendera telah dianugerahkan kepada Hartasuma dan projek bernilai RM245 juta itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

    Menurut Meenakshi, selain kesan alam sekitar dan sosial, pihaknya turut bimbang berhubung masalah kesesakan lalu lintas semasa pembinaan kereta kabel dan penyelenggaraannya yang melibatkan stesen bawah sehingga ke stesen atas Bukit Bendera.

    Ujar beliau, Bukit Bendera dan Taman Botani merupakan ekosistem alam sekitar yang sangat sensitif dan projek kereta kabel berkenaan dikhuatiri akan menjejaskan kawasan sensitif tersebut.

    Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan negeri sepatutnya mengambil langkah mengehadkan bilangan pelancong di Bukit Bendera memandangkan kapasiti Bukit Bendera dalam menampung jumlah pengunjung adalah terhad.

    ”Kajian prakebolehlaksanaan untuk projek kereta kabel yang menyatakan sejumlah 6,463 orang boleh berada di kawasan itu pada satu-satu masa hanya untuk mewajarkan projek kereta kabel ini.

    ”Kebimbangan kami ialah perkembangan ekonomi menerusi projek kereta kabel akan menyebabkan lebih ramai pelancong di atas Bukit Bendera sehingga melebihi kapasiti maksimum 4,800 orang pada satu-satu masa seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Khas Kawasan (SAP) 2016,” katanya.