SAHABAT Alam Malaysia (SAM) melahirkan kebimbangan terhadap kelestarian alam sekitar di kawasan sensitif Bukit Bendera, Pulau Pinang berikutan rancangan pembinaan kereta kabel yang diluluskan kerajaan negeri di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, Presiden SAM, R. Meenakshi menggesa kerajaan negeri melaksanakan penilaian kesan alam sekitar dan sosial yang terperinci sebelum memulakan projek itu dimulakan kerana dikhuatiri menjejaskan alam sekitar kawasan berkenaan.

Tegas beliau, penilaian kesan alam sekitar itu juga perlu dilaksanakan mengikut undang-undang dan mesti melibatkan perundingan awam yang telus.

Ujarnya, SAM juga berasa amat bimbang memandangkan projek kereta kabel Bukit Bendera yang dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn. Bhd. itu akan ditempatkan di kawasan Taman Botani.

”Kebimbangan kami dalam menentang projek ini adalah berdasarkan kepada keperluan untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan biodiversiti, pengurusan dan pemuliharaan Bukit Bendera memandangkan pengiktirafannya sebagai Rizab Biosfera UNESCO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan permohonan cadangan projek (RFP) untuk projek Kereta Kabel Bukit Bendera telah dianugerahkan kepada Hartasuma dan projek bernilai RM245 juta itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Menurut Meenakshi, selain kesan alam sekitar dan sosial, pihaknya turut bimbang berhubung masalah kesesakan lalu lintas semasa pembinaan kereta kabel dan penyelenggaraannya yang melibatkan stesen bawah sehingga ke stesen atas Bukit Bendera.

Ujar beliau, Bukit Bendera dan Taman Botani merupakan ekosistem alam sekitar yang sangat sensitif dan projek kereta kabel berkenaan dikhuatiri akan menjejaskan kawasan sensitif tersebut.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan negeri sepatutnya mengambil langkah mengehadkan bilangan pelancong di Bukit Bendera memandangkan kapasiti Bukit Bendera dalam menampung jumlah pengunjung adalah terhad.

”Kajian prakebolehlaksanaan untuk projek kereta kabel yang menyatakan sejumlah 6,463 orang boleh berada di kawasan itu pada satu-satu masa hanya untuk mewajarkan projek kereta kabel ini.

”Kebimbangan kami ialah perkembangan ekonomi menerusi projek kereta kabel akan menyebabkan lebih ramai pelancong di atas Bukit Bendera sehingga melebihi kapasiti maksimum 4,800 orang pada satu-satu masa seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Khas Kawasan (SAP) 2016,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here