Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dua lelaki bersenjatakan parang samun kedai makan

    Dua lelaki bersenjatakan parang samun kedai makan

    DUA lelaki sedang diburu polis kerana melakukan samun bersenjata di sebuah kedai makan di Jalan Stutong di Kuching, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada pukul 4.55 pagi.

    “Pengusaha kedai makan itu kerugian RM2,000 selepas disamun kedua-dua suspek yang bersenjatakan parang.

    “Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sudah digerakkan bagi mengesan suspek,” katanya pada kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, tular rakaman video kedua-dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun itu menaiki sebuah Perodua Kelisa putih.

  • Salah faham punca peniaga, pengunjung OKU bergaduh di pasar malam

    Salah faham punca peniaga, pengunjung OKU bergaduh di pasar malam

    GARA-gara salah faham, seorang peniaga dan pengunjung kurang upaya (OKU) bertengkar di Pasar Malam Dataran Mara, Kota Bharu, tengah malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian pada pukul 12.25 tengah malam semalam.

    Beliau berkata, polis telah mengesan klip video membabitkan kejadian dimuat naik oleh pengguna TikTok dikenali sebagai Shajarr.

    “Pertengkaran berpunca daripada salah faham melibatkan remaja Orang OKU yang dikatakan menggangu seorang badut lelaki sedang menghibur pengunjung di pasar malam itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, tiada sebarang pergaduhan yang berlaku dan ketika kejadian terdapat anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

    Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebaarang spekulasi berhubung kejadian, lapor Utusan TV.

  • Islamofobia: Kaji kesempurnaan Islam, bukan bakar al-Quran, hina Nabi Muhammad

    Islamofobia: Kaji kesempurnaan Islam, bukan bakar al-Quran, hina Nabi Muhammad

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencadangkan kajian secara berilmu dan beradab dibuat mengenai Islam supaya tidak timbul Islamofobia.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pihak terbabit juga perlu melakukan perbandingan antara Islam dengan agama dan teori yang lain, secara jujur melalui sumber yang asli, bagi mencari kebenaran tanpa bersikap fanatik.

    “Sebarang perubahan daripada undang-undang fitrah (naluri) manusia, pasti menyebabkan berlakunya kepincangan yang akan membawa kemusnahan disebabkan oleh tangan manusia sendiri.

    “Janganlah cuba menyalahkan Islam, sebaliknya salahkan diri sendiri kerana mengadakan peraturan yang bercanggah dengan fitrahnya, sedangkan perbuatan itu tidak diizinkan Allah SWT sebagai Penciptanya,” katanya menerusi Minda Presiden, hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, ‘penyakit’ Islamofobia dalam masyarakat bukan Islam di Barat menyebabkan al-Quran dibakar, Nabi Muhammad SAW dicela, masjid dibakar, dan penganut Islam dizalimi.

    Katanya, mereka bertindak menentang Islam atas nama hak kebebasan liberal dan demokrasi, bukan mengkaji dan membaca secara berakal dan beradab ilmuwan, sebaliknya menentang Islam mengikut nafsu dan tidak berakal.

    Selain itu katanya, disebabkan tidak beriman kepada semua Rasul dan kitab suci, maka ada manusia mencipta ajaran baharu yang salah dan tidak sempurna.

    “Ada kalangan mereka yang meminda agama dan kitab suci, kemudian mencipta ajaran sendiri dengan akal yang lemah.

    “Kita menyaksikan bagaimana teori yang dinamakan perjuangan hak asasi itu dipisahkan secara berasingan antara satu sama lain.

    “Terdapat sebahagiannya memperjuangkan hak asasi manusia saja, malah sebahagian yang lain pula memperjuangkan hak asasi binatang atau alam sekitar saja, secara berpisah atau berasingan.

    “Bahkan, dalam urusan kehidupan manusia sendiri, mereka memisahkan politik, ekonomi dan lain-lain aspek kehidupan daripada panduan ajaran Islam yang sempurna,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan itu menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dalam hubungan antara satu sama lain sehingga merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

    “Kerosakan itu terjadi, sama ada disebabkan pendekatan liberal mahupun pendekatan ekstrem atau pragmatik yang tidak sempurna mengikut fitrah penciptaannya.

    “Hari ini, kita menyaksikan sendiri bagaimana berlakunya kemusnahan dalam kehidupan manusia, kehidupan makhluk yang lain dan alam sekitarnya, sehingga ia menjadi perbincangan umum di semua peringkat.

    “Walhal, kemusnahan itu adalah disebabkan kerakusan nafsu manusia pada jasadnya, akibat tidak peduli kepada keperluan akal,” katanya.

    Beliau menegaskan, kemusnahan itu juga kerana kehidupan manusia tanpa roh, tanpa ibadat yang berhubung dengan Tuhan pencipta alam, tanpa akhlak dan tanpa sempadan halal serta haram, dalam urusan diri sendiri yang hanya mengikut konsep liberal.

    “Adapun sebahagiannya pula bersikap ekstrem dengan hanya memberikan penekanan kepada satu aspek fitrah sahaja, seperti menumpukan soal agama dari sudut rohani saja atau jasad saja,” katanya, lapor Berita Harian.

    Selain itu, beliau berkata, ada yang menekankan wujud teori ekonomi ciptaan individu saja tanpa memikirkan keperluan masyarakat atau menghalang kebebasan individu.

    “Semuanya menyebabkan kehidupan yang tidak stabil, kerana manusia bukan seperti malaikat mahupun binatang, serta sama sekali bukanlah seperti batu dan kayu,” katanya.

  • Pas bincang PRN serentak di enam negeri

    Pas bincang PRN serentak di enam negeri

    PAS akan berbincang untuk menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

    Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan secara tidak rasmi dilakukan dengan kerajaan di negeri terbabit pada akhir tahun lalu.

    Menteri Besar Terengganu itu berkata, perbincangan melibatkan etua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

    “Tetapi keputusan tarikh PRN belum ditetapkan dan perbincangan lanjut akan diadakan minggu depan.

    “Setakat ini, kita belum memuktamadkan tarikh PRN sehingga perbincangan secara rasmi diadakan bersama Kon Yeow, Amiruddin dan Aminuddin,” katanya.

    Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan biasiswa kepada 10 pelajar pada Majlis Apreasasi Penerima Biasiswa YT – TI Young Talent Scholarship, di Kuala Terengganu, hari ini.

    Beliau berkata, tiga negeri dikuasai Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah sepakat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) serentak bagi membolehkan PRN diadakan.

    Bagaimanapun, katanya, tarikh PRN di tiga negeri dikuasai Pas itu masih dalam perbincangan.

    “Kita berpendapat tarikh PRN di enam negeri perlu diadakan serentak bagi menjimatkan kos pengurusan termasuk peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memudahkan rakyat.

    “Tetapi PRN diadakan serentak di enam negeri atau tidak bergantung kepada hasil perbincangan dengan tiga negeri lain iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas negeri, Ariffin Deraman yang memaklumkan PRN akan diadakan selewat-lewatnya Mac dan Mei ini, Ahmad Samsuri berkata, kenyataan itu adalah pandangan peribadi dan bukan mewakili parti.

  • Taktik sembunyi dadah dalam susu kultur, jus terbongkar

    Taktik sembunyi dadah dalam susu kultur, jus terbongkar

    POLIS membongkar taktik licik sepasang suami isteri menggunakan minuman susu kultur dan jus untuk mengedar pelbagai jenis dadah bernilai RM206,111 selepas diberkas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Banda Hilir, di Melaka, minggu lalu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil risikan selama seminggu berjaya menahan suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun dan isterinya, warga Thailand 28 tahun.

    “Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah memberkas suspek pertama pada pukul 8.30 malam di tempat parkir sebuah pangsapuri di Banda Hilir pada 21 Januari lalu.

    “Pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai sejumlah jus 3,910 mililiter dan serbuk 75.6 gram disyaki ketamin dalam sebuah beg kain yang digalasnya.

    “Susulan penahanan suspek pertama, polis membuat serbuan kedua di sebuah premis di pangsapuri yang dijadikan stor menyimpan pelbagai bahan disyaki dadah.

    “Dalam serbuan itu seorang wanita yang merupakan isteri suspek pertama turut ditahan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di Bandar Hilir di Melaka hari ini.

    Jelas beliau, pasangan terbabit dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu dan mengambil bekalan dari Kuala Lumpur serta Johor untuk dipasarkan di kelab-kelab malam di negeri ini.

    Ujar beliau, pemeriksaan di premis tersebut turut menemui dan merampas botol minuman ringan dan kultur pelbagai jenis disyaki cecair ketamin membabitkan jumlah 56,700 mililiter, serbuk ketamin (2134.37 gram), pil ekstasi (229 gram), ketulan mampat daun kering ganja (33.53 gram) dan pil eramin 5 (144 gram).

    “Tidak menolak minuman kultur dan jus ini telah dicampurkan dengan ketamin bagi mengaburi kegiatan pengedaran bekalan berkenaan yang boleh digunakan seramai 3,669 penagih.

    “Sebuah kereta jenis Proton Saga, barang kemas dan wang tunai bernilai RM25,680 yang disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut turut disita,” katanya lagi.

    Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing terhadap pasangan itu mendapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka direman selama enam hari sehingga 26 Januari ini.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Lelaki ditemui mati di tempat letak kereta

    Lelaki ditemui mati di tempat letak kereta

    SEORANG lelaki tanpa identiti ditemui tidak sedarkan diri di tempat letak kereta berhadapan premis perniagaan di Jalan Penjaja, di Batu Pahat, pada malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Ismail Dollah berkata, orang awam menemui lelaki berusia lingkungan 50 tahun itu dan bertindak memaklumkan kepada polis pada kira-kira pukul 8 malam.

    “Lelaki berkenaan disahkan telah meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan daripada Hospital Sultanah Nora Ismail ( HSNI) yang datang sejurus dimaklumkan tentang kejadian itu.

    “Susulan daripada itu, seorang warganegara asing berusia 43 tahun yang dilihat cuba melarikan diri dari tempat kejadian telah berjaya ditangkap oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di bangunan berhampiran sebelum diserahkan kepada polis.

    “Pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor telah hadir membantu menjalankan siasatan di tempat kejadian dan hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala mangsa,” katanya melalui kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran dan rakaman video yang dibuat oleh saksi awam yang kebetulan berada di tempat kejadian, menunjukkan ada berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa ditemui mati.

    “Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Mayat mangsa di bawa ke HSNI untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Pas sedia disiasat dakwaan beri wang kepada pengundi

    Pas sedia disiasat dakwaan beri wang kepada pengundi

    PAS menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan parti itu memberi wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pimpinan politik yang mendakwa Pas memberi wang kepada pengundi disaran membuat laporan bagi memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan.

    “Pandangan saya mengenai pelbagai isu berkaitan dengan dakwaan Pas memberi wang kepada pengundi sama dengan kenyataan beberapa pemimpin termasuk Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berkenaan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apreasasi Penerima Biasiswa YT – TI Young Talent Scholarship, di Kuala Terengganu, hari ini.

    Sabtu lalu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika kempen PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

    Mengenai dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang turut mendakwa Pas memberi wang tunai antara RM300 hingga RM600 kepada pengundi, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengulangi parti itu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

    “Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan apa juga siasatan atas dakwaan berkenaan,” katanya lapor BH.

  • Isu sedekah: Ulama Pas dakwa Zahid kelirukan orang awam

    Isu sedekah: Ulama Pas dakwa Zahid kelirukan orang awam

    DEWAN Ulama Pas mendakwa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berniat mengelirukan orang awam dengan memberikan pandangan sinis terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu pemberian wang kepada pengundi.

    Ketua Dewan Ulama Pas, Ahmad Yahaya berkata terdapat perbezaan yang jelas di antara amalan rasuah, politik wang dan pemberian sedekah khususnya ketika kempen pilihan raya berjalan.

    Menurut Ahmad, Abdul Hadi memang tidak pernah berdolak-dalik dengan pandangannya.

    “Apa yang dijelaskan itu telah nyata. Ia tiada kaitan dengan usaha menghalalkan amalan rasuah sebagaimana yang cuba ditohmah oleh Ahmad Zahid.

    “Malangnya, Ahmad Zahid sengaja memutarbelitkan kenyataan tersebut supaya mereka dapat membakulkan rasuah dan sedekah dalam satu bahagian yang sama,” katanya.

    Dia yang juga Ahli parlimen Pokok Sena menambah, Ahmad Zahid sepatutnya lebih arif untuk membezakan di antara elemen rasuah dan politik wang yang merosakkan masyarakat, dengan pemberian sedekah.

    “Namun, malangnya dia kelihatan masih keliru dan mengelirukan orang lain,” katanya dalam kenyataan media semalam.

    Kenyataan Ahmad itu adalah respon balas terhadap kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai hipokrit dalam isu pengagihan wang tunai oleh partinya kepada pengundi semasa pilihan raya umum lalu dengan mendakwa ia adalah sedekah, justeru tidak melanggar peraturan pilihan raya.

    Abdul Hadi dilaporkan berkata peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

    Sementara itu Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed menyifatkan isu tersebut sengaja disensasikan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas Abdul Hadi diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman.

    “Bahasa yang dipetik (Abdul Hadi) jelas menggunakan laras bahasa biasa dan mudah difahami rakyat kebanyakan.

    “Sama ada sengaja membuat geger (bising) atau cuba mengalih isu melibatkan prestasi kerajaan semasa dengan kenyataan demi kenyataan yang bercanggah, apa lagi kecaman hebat terhadap idea madani yang diakronimkan secara tidak wajar dan langsung tiada wow factor.

    “Hanya dilihat biasa dan sejujurnya saya jangkakan sesuatu yang berbeza daripada Perdana Menteri ke-10 tetapi hampa,” ujarnya.

    Mohamad Kamal secara sinis turut berpesan agar BN dan PH menyelesaikan dahulu dakwaan-dakwaan mahkamah dihadapi Ahmad Zahid.

    “Setidaknya berilah juga ruang kepada Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) untuk mendudukkan pimpinan PN selepas sebulan dia membuat cabaran meninggi diri dengan kepandaiannya sebagai ‘pemerhati’ ekonomi sebelum ini dengan 1,001 formula mudah.

    “Atau boleh juga selesaikan sahaja isu ayam yang sudah bertelur atau masih enggan,” katanya seperti dilaporkan harakahdaily.

  • Wee: MCA tetap setia pada BN, kritik Umno buat keputusan sendiri

    Wee: MCA tetap setia pada BN, kritik Umno buat keputusan sendiri

    PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menceritakan semula ketegangan yang berlaku dalam BN sebaik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila UMNO didakwa membuat keputusan sendiri berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baharu.

    Wee mendakwa ramai yang merayu kepada MCA untuk membubarkan gabungan tersebut ekoran tindakan UMNO itu, namun dia berpendirian untuk tidak mengkhianati gabungan itu.

    “Kami juga mahu UMNO terus berpegang kepada semangat Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan rundingan dalam kalangan parti komponen. Itulah semangat asal BN.

    “Tiada satu parti yang berhak untuk bersuara hanya kerana ia mempunyai lebih banyak undi atau lebih banyak kerusi berbanding parti ahli lain. Kita (parti BN) semuanya sama rata,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

    BN hanya meraih 30 kerusi Parlimen pada PRU lalu, jauh ketinggalan berbanding dua lagi gabungan politik, iaitu PH (82 kerusi) dan Perikatan Nasional (74 kerusi).

    Dalam wawancara itu, Wee yang merupakan bekas Menteri Pengangkutan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan UMNO ketika itu melihatkan parti itu lupa dua prinsip utama BN iaitu membuat keputusan berdasarkan rundingan dan konsensus.

    “Mereka sibuk berhubung dan menjalin pakatan politik baru. Kami (MCA) melihat perkembangan politik ini tetapi memutuskan untuk tidak campur tangan dan menghentikannya.

    “UMNO menemui rakan kongsi baru (dalam PH yang menjadi musuh lama), dan kesetiaan parti ahli BN tiba-tiba dipersoalkan,” katanya.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO mendedahkan usaha 10 ahli parlimen BN untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri tanpa persetujuannya.

    Menamakannya sebagai ‘Langkah St. Regis’, dia juga mendakwa ia juga untuk menyingkirkannya sebagai pengerusi BN.

    MCA turut terlibat dalam mesyuarat tersebut. Apatah lagi parti itu pernah menggesa Zahid meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN ekoran prestasi buruk mereka dalam PRU15.

    Namun, Wee berkata parti itu tetap setia dengan BN termasuk dalam pilihan raya akan datang.

    “Kami, sebagai parti BN, akan tetap menggunakan logo BN. Kami tidak pernah mengkhianati gabungan ini,” katanya lagi seperti dipetik.

  • Bakar Quran: Pas ajak berarak ke kedutaan Sweden

    Bakar Quran: Pas ajak berarak ke kedutaan Sweden

    DEWAN ulama Pas menyeru umat Islam di negara ini bersolidariti bagi membantah penghinaan terhadap agama Islam susulan insiden membakar al-Quran di Stockholm, Sweden, baru-baru ini.

    Menurut Ketua Dewan Ulama Pas, Ahmad Yahaya, bantahan akan berlangsung dengan perarakan dari Menara Berkembar Petronas (KLCC) ke Kedutaan Sweden pada Jumaat ini.

    “Sewajarnya kerajaan menyuarakan amaran yang tegas ini melalui jalan diplomatik yang ada. Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang insiden provokatif apatah lagi menghina kesucian agama Islam.

    “Saya juga menyeru umat Islam supaya turun bersolidariti bersama-sama membantah penghinaan terhadap agama Islam ini pada Jumaat ini, 27 Januari di KLCC berarak ke kedutaan Sweden.

    “Sudah sampai masanya umat Islam menyuarakan bantahan keras terhadap kerajaan Sweden ini.

    “Saya juga ingin menggesa kerajaan supaya mengusulkan suatu mesyuarat tergempar OIC (pertubuhan kerjasama Islam) bagi membincangkan tindakan susulan yang lebih meluas melibatkan negara-negara Islam yang lain.

    “Setiap ruang diplomatik perlu dioptimum bagi membantah tindakan tersebut dengan tegas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau tidak menyatakan acara itu akan bermula pada pukul berapa.

    Bagaimanapun kebiasaannya demonstrasi Pas berlangsung selepas solat Jumaat.

    Pada 21 Januari lalu ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bertindak provokasi dengan membakar naskhah al-Quran.

    Malaysia melalui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk tindakan Islamofobia ahli politik itu dan menyifatkan provokasi besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

    Sementara itu, Ahmad turut mengulangi gesaan agar kerajaan memanggil kedutaan Sweden.

    Ahmad menyifatkan insiden itu seolah-olah mendapat restu kerajaan Sweden atas nama kebebasan, sedangkan ia merupakan provokatif dan menghina Islam.

    “Tindakan membakar Al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bukanlah kali pertama berlaku.

    “Tahun lalu tindakan provokasi yang sama telah dilakukan sehingga mendorong kebangkitan daripada umat Islam,” jelasnya.

    Terdahulu Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tindakan politikus ekstrem itu melampau dan terdesak untuk mendapatkan perhatian semata-mata.

    “Justeru sewajarnya tindakan itu dikutuk dan dikecam bukan sahaja oleh negara umat Islam malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta inginkan keamanan dan keharmonian.

    “Pas berharap kerajaan negara tersebut mengambil tindakan tegas terhadap pelaku berkenaan sebagai langkah kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan gejala seumpamanya berleluasa malah dibimbangi akan menjemput reaksi dan tindak balas yang memburukkan lagi keadaan,” katanya, laor Malaysiakini.