PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencadangkan kajian secara berilmu dan beradab dibuat mengenai Islam supaya tidak timbul Islamofobia.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pihak terbabit juga perlu melakukan perbandingan antara Islam dengan agama dan teori yang lain, secara jujur melalui sumber yang asli, bagi mencari kebenaran tanpa bersikap fanatik.

“Sebarang perubahan daripada undang-undang fitrah (naluri) manusia, pasti menyebabkan berlakunya kepincangan yang akan membawa kemusnahan disebabkan oleh tangan manusia sendiri.

“Janganlah cuba menyalahkan Islam, sebaliknya salahkan diri sendiri kerana mengadakan peraturan yang bercanggah dengan fitrahnya, sedangkan perbuatan itu tidak diizinkan Allah SWT sebagai Penciptanya,” katanya menerusi Minda Presiden, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, ‘penyakit’ Islamofobia dalam masyarakat bukan Islam di Barat menyebabkan al-Quran dibakar, Nabi Muhammad SAW dicela, masjid dibakar, dan penganut Islam dizalimi.

Katanya, mereka bertindak menentang Islam atas nama hak kebebasan liberal dan demokrasi, bukan mengkaji dan membaca secara berakal dan beradab ilmuwan, sebaliknya menentang Islam mengikut nafsu dan tidak berakal.

Selain itu katanya, disebabkan tidak beriman kepada semua Rasul dan kitab suci, maka ada manusia mencipta ajaran baharu yang salah dan tidak sempurna.

“Ada kalangan mereka yang meminda agama dan kitab suci, kemudian mencipta ajaran sendiri dengan akal yang lemah.

“Kita menyaksikan bagaimana teori yang dinamakan perjuangan hak asasi itu dipisahkan secara berasingan antara satu sama lain.

“Terdapat sebahagiannya memperjuangkan hak asasi manusia saja, malah sebahagian yang lain pula memperjuangkan hak asasi binatang atau alam sekitar saja, secara berpisah atau berasingan.

“Bahkan, dalam urusan kehidupan manusia sendiri, mereka memisahkan politik, ekonomi dan lain-lain aspek kehidupan daripada panduan ajaran Islam yang sempurna,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan itu menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dalam hubungan antara satu sama lain sehingga merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Kerosakan itu terjadi, sama ada disebabkan pendekatan liberal mahupun pendekatan ekstrem atau pragmatik yang tidak sempurna mengikut fitrah penciptaannya.

“Hari ini, kita menyaksikan sendiri bagaimana berlakunya kemusnahan dalam kehidupan manusia, kehidupan makhluk yang lain dan alam sekitarnya, sehingga ia menjadi perbincangan umum di semua peringkat.

“Walhal, kemusnahan itu adalah disebabkan kerakusan nafsu manusia pada jasadnya, akibat tidak peduli kepada keperluan akal,” katanya.

Beliau menegaskan, kemusnahan itu juga kerana kehidupan manusia tanpa roh, tanpa ibadat yang berhubung dengan Tuhan pencipta alam, tanpa akhlak dan tanpa sempadan halal serta haram, dalam urusan diri sendiri yang hanya mengikut konsep liberal.

“Adapun sebahagiannya pula bersikap ekstrem dengan hanya memberikan penekanan kepada satu aspek fitrah sahaja, seperti menumpukan soal agama dari sudut rohani saja atau jasad saja,” katanya, lapor Berita Harian.

Selain itu, beliau berkata, ada yang menekankan wujud teori ekonomi ciptaan individu saja tanpa memikirkan keperluan masyarakat atau menghalang kebebasan individu.

“Semuanya menyebabkan kehidupan yang tidak stabil, kerana manusia bukan seperti malaikat mahupun binatang, serta sama sekali bukanlah seperti batu dan kayu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here