SEORANG lelaki tanpa identiti ditemui tidak sedarkan diri di tempat letak kereta berhadapan premis perniagaan di Jalan Penjaja, di Batu Pahat, pada malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Ismail Dollah berkata, orang awam menemui lelaki berusia lingkungan 50 tahun itu dan bertindak memaklumkan kepada polis pada kira-kira pukul 8 malam.

“Lelaki berkenaan disahkan telah meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan daripada Hospital Sultanah Nora Ismail ( HSNI) yang datang sejurus dimaklumkan tentang kejadian itu.

“Susulan daripada itu, seorang warganegara asing berusia 43 tahun yang dilihat cuba melarikan diri dari tempat kejadian telah berjaya ditangkap oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di bangunan berhampiran sebelum diserahkan kepada polis.

“Pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor telah hadir membantu menjalankan siasatan di tempat kejadian dan hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala mangsa,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran dan rakaman video yang dibuat oleh saksi awam yang kebetulan berada di tempat kejadian, menunjukkan ada berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa ditemui mati.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa di bawa ke HSNI untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here