Author: Wartawan WartaRakyat

  • Perintah penahanan waris Sultan Sulu berjaya diketepikan kerajaan

    Perintah penahanan waris Sultan Sulu berjaya diketepikan kerajaan

    MALAYSIA memperoleh kemenangan penting terhadap individu yang mendakwa sebagai waris kepada Sultan Sulu apabila Mahkamah di Luxembourg, kelmarin, mengetepikan perintah penahanan yang dimohon pihak terbabit.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi kenyataan berkata, perintah penahanan yang diketepikan itu dimohon berasaskan dua penganugerahan timbang tara (purported arbitral awards) yang dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah iaitu Dr Gondoza Stampa.

    Katanya, ketika itu Dr Stampa menganugerahkan kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

    Beliau berkata, Malaysia membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang sudah dirancang oleh penuntut dan mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Dr Stampa serta ‘anugerah’ yang diberikan.

    “Hasil daripada tindakan Malaysia, Mahkamah Sepanyol yang melantik Dr Stampa membatalkan pelantikan itu secara retrospektif dan ‘preliminary award’ yang dikeluarkannya di Madrid.

    “Mahkamah Perancis juga menggantung penguatkuasaan ‘final award’ yang dikatakan dikeluarkan oleh Dr Stampa di Perancis, sementara menunggu keputusan Mahkamah bagi permohonan Malaysia untuk mengetepikan perkara itu.

    “Malaysia kemudian dengan serta-merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan ‘relif interim’ supaya perintah penahanan itu diketepikan. Pendengaran bagi permohonan itu pula sudah berlangsung pada 5 Disember 2022 di hadapan hakim Mahkamah Luxembourg yang kemudiannya memutuskan mengetepikan perintah penahanan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Azalina berkata, keputusan Mahkamah Luxembourg itu menjustifikasikan prinsip kerajaan untuk mempertahankan Malaysia di mana-mana forum bagi memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

    “Dalam hal ini, kerajaan akan terus berusaha untuk menamatkan segala tuntutan terhadap Malaysia,” katanya.

    Pada Mac tahun lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain dan mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion.

    Selepas itu, pada 12 Julai dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

    Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

    Final Award Mahkamah Arbitrasi Paris pada 28 Feb 2022, yang dibuat oleh penimbang tara Dr Stampa menganugerahkan pihak menuntut Sulu itu sejumlah AS$14.92 bilion.

    Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu kemudian bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia.

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-undang) ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, Sabah tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia.

  • UMNO milik semua ahli, bukan MKT sahaja, kata KJ

    UMNO milik semua ahli, bukan MKT sahaja, kata KJ

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan UMNO adalah milik semua ahlinya, bukan milik Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sahaja.

    Menurut Khairy, memiliki sudut pandang yang berbeza dengan pucuk pimpinan tidak bererti beliau tidak setia kepada parti.

    “Berbeza pandangan dengan pucuk pimpinan dan menuntut proses demokrasi dihormati tidak bermakna tidak setia kepada parti,” katanya menerusi hantaran di InstaStory hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO bermesyuarat semalam dipercayai bagi membincangkan status keahlian Khairy Jamaluddin.

    Bagaimanapun, sebarang keputusan hasil mesyuarat tertutup itu akan dibawa ke Mesyuarat MKT UMNO pada esok.

    Perkembangan itu dipercayai berlaku susulan tindakan Khairy menyebarkan dakwaan mengenai kewujudan ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, pada Disember lalu.

    Bekas Menteri Kesihatan itu merupakan antara ahli UMNO yang secara terbuka tidak bersetuju dengan keputusan PAU 2022 meluluskan usul tambahan jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini turut memberi bayangan bahawa nasib individu lain selain bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga akan ditentukan dalam mesyuarat sama.

    Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada langkah pembersihan besar-besarandalam parti itu seperti diputuskan dalam PAU 2022 yang lalu.

  • UMNO akan lakukan ‘pembersihan’ besar-besaran esok – Zahid Hamidi

    UMNO akan lakukan ‘pembersihan’ besar-besaran esok – Zahid Hamidi

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, Zahid berkata, perkara itu akan diputuskan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) esok.

    Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat MKT esok akan menentukan nasib bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

    “Tunggulah apabila MKT bermesyuarat, untuk dia (Khairy) secara individu tidak penting.

    “Saya kata dalam Perhimpunan Agung (UMNO) baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada Pilihan Raya Umum lalu dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri ketika pilihan raya diadakan.

    “Bila besar-besaran itu maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa Insya-Allah esok malam akan terasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Putrajaya, hari ini.

    Ditanya sama ada keputusan itu dibuat esok, Ahmad Zahid meminta media untuk datang beramai-ramai bagi mengetahui senarai mereka yang terbabit.

    “Tidak boleh beritahu awal, kalau strategi dikongsi dengan wartawan, tidak lagi jadi strategi, saya harus embargo maklumat itu sehingga waktunya,” katanya.

    Difahamkan mesyuarat MKT UMNO esok akan menentukan status keahlian Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini secara terbuka ‘mengkritik’ beberapa pemimpin UMNO, selain lantang bersuara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.

    Khairy yang tewas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Sungai Buloh, November lalu, secara terbuka turut mahu ‘membersihkan’ UMNO jika menang di kerusi itu sebelum ini.

    Malah Khairy juga menarik perhatian apabila mendakwa terdapat ‘perwakilan import’ ketika proses pengundian usul tambahan tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden pada Persidangan Agung UMNO 2022 baru-baru ini yang mana ia dinafikan oleh pimpinan parti berkenaan.

    Hari ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan UMNO akan memutuskan tarikh pemilihan parti, termasuk bagi jawatan tertingginya pada mesyuarat MKT UMNO, esok.

    Beliau berkata, ia membabitkan pemilihan parti di peringkat cawangan, selain bahagian yang dijangka diadakan serentak di 191 bahagian seluruh negara, termasuk untuk memilih pucuk pimpinan tertingginya.

  • Genap tiga tahun jangkitan COVID-19 landa negara

    Genap tiga tahun jangkitan COVID-19 landa negara

    DALAM sekelip mata, sudah masuk tahun ketiga negara kita berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19.

    Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merakamkan penghargaan kepada kesemua staf barisan hadapan yang bertungkus-lumus semenjak kes pertama mula direkodkan pada 25 Januari 2020.

    Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Hisham berkata, sepanjang tempoh itu, negara telah mencatatkan sebanyak 5,035,073 kes keseluruhan dengan 36,932 kes kematian dan seramai 4,988,143 orang telah sembuh.

    “Patuhilah kepada saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan 3S (crowded, confined, close) iaitu kawasan sesak dan sempit serta bersembang atau bertutur dalam jarak yang dekat.

    “Sebaliknya, amalkan 3W (wash, wear, warn), TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek – Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan Rawatan) dan dapatkan vaksin COVID-19 dos primer dan penggalak,” katanya.

    Beliau turut mendoakan agar segala urusan dalam usaha membendung penularan COVID-19 akan dipermudahkan.

    “Salam takziah juga kepada individu yang telah kehilangan ahli keluarga atau pun kenalan akibat COVID-19 ini.

    “Marilah kita terus berdoa agar pandemik ini segera berakhir dan tidak lagi memudaratkan masyarakat di seluruh dunia,” tambahnya.

  • Desaru Fruit Farm rugi lebih setengah juta ringgit akibat banjir

    Desaru Fruit Farm rugi lebih setengah juta ringgit akibat banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DESTINASI agro pelancongan, Desaru Fruit Farm di Kota Tinggi kerugian hampir setengah juta ringgit akibat banjir selepas 90 peratus kebun buah seluas 35 hektar ditenggelami banjir.

    Pengarah Desaru Fruit Farm, Alice Tong Ah Chin berkata, banjir sejak Selasa sehingga kini menjejaskan lebih 100 jenis tanaman buah-buahan apabila air naik setinggi kira-kira 2.3 meter.

    Dia mendakwa, paras air itu naik sehingga mencecah pucuk pokok jambu air yang sedang menunggu masa untuk dipetik dan dijual.

    “Di sini terdapat lebih 800 pokok jambu air. Selain itu kebun di sini juga dalam musim limau bali. Apa yang lebih menyedihkan ramai pelancong yang sudah membuat tempahan sempena cuti Tahun Baharu Cina ke sini terpaksa dibatalkan.

    “Ini berikutan laluan utama masuk ke Desaru Fruit Farm dinaiki air deras sehingga kenderaan termasuklah bas yang membawa pelancong terpaksa berpatah balik,” kepada selepas membawa media melawat kebun itu hari ini.

    Menurut Ah Chin, pihaknya tidak dapat menjalankan perniagaan ekoran laluan yang terhalang walaupun telah menerima tempahan yang banyak dan terpaksa memulangkan semula wang mereka.

    Pihaknya menganggarkan kerugian antara RM500,000 hingga RM600,000 selain hasil dan pokok yang terjejas serta kemudahan yang ada di kebun tersebut juga mengalami kerosakan.

    “Tambahan pula kebun ini tidak sama seperti kebun lain kerana merupakan tarikan pelancong, jadi kena dibersihkan dengan betul,” katanya.

    Dia mememberitahu, untuk rekod kehadiran pelancong yang diterima dari pelbagai negara termasuk China, Turkiye, India, Japan, Korea dan lain-lain negara berjumlah 500,000 pengunjung setahun.

    Ah Chin menyifatkan banjir kali ini sebagai paling buruk sejak pusat agro pelancongan itu dibuka pada 2003 dan percaya musibah itu berpunca daripada limpahan air dari Sungai Cemaran.

    “Biasanya dalam setahun kami terpaksa berdepan keadaan ini sehingga lima kali. Tahun ini adalah kali kedua namun kali ini adalah paling teruk kerana air banjir lambat surut,” katanya.

    Pihaknya turut mengeluarkan modal sendiri sebelum ini untuk melebarkan sungai tersebut yang bersebelah kebun berkenaan namun masih tidak dapat mengatasi masalah berkenaan.

    “Di kawasan kita telah lebarkan sungai cuma kita harap bahagian belakang sungai, pihak berkenaan dapat melebarkan sedikit supaya air dapat lepas dengan cepat. Jika terpaksa berdepan keadaan ini setiap tahun kami yang akan susah,” katanya.

  • Agihan kerusi PN untuk PRN Terengganu belum selesai

    Agihan kerusi PN untuk PRN Terengganu belum selesai

    PERBINCANGAN tentang pembahagian 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) masih lagi berjalan.

    Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, agihan kerusi tersebut dijangka diadakan tidak lama lagi masih belum dimuktamadkan.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding namun enggan mengulas jumlah kerusi diperuntukkan kepada parti itu.

    “Perbincangan tidak rasmi sedang berjalan, berdasarkan pengalaman agihan kerusi dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu, perkara ini (agihan kerusi) tidak sukar untuk kami dalam PN selesaikan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Seminar on Technology And The Future Growth: Challenges of Change di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

    Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan dalam PRU14, Pas berjaya memenangi sebanyak 22 kerusi manakala 10 lagi dimenangi UMNO.

    Sementara itu mengulas tentang manifesto yang bakal ditawarkan PN kepada pengundi di Terengganu, beliau memaklumkan ia sudah berada pada peringkat akhir yang memerlukan penglibatan beberapa pihak lain.

    Tanpa mendedahkan jumlah manifesto dalam PRN kali ini, Ahmad Samsuri berkata, tawaran tersebut merangkumi pelbagai perkara menarik termasuk ekonomi rakyat dan perubahan struktur dalam pentadbiran.

  • Wanita maut motosikal dirempuh kereta pelancong di Langkawi

    Wanita maut motosikal dirempuh kereta pelancong di Langkawi

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG wanita maut, manakala anak lelakinya cedera parah setelah motosikal dinaiki mereka dipercayai dilanggar sebuah kereta dipandu pelancong di Jalan Bukit Malut, Langkawi pada pukul 7.45 pagi hari ini.

    Mangsa, Fodilah Abdul Kadir, 57, disahkan maut di tempat kejadian sementara anaknya, Mohamad Zaki Ahmad Nizat, 25, cedera parah di kaki kanan.

    Kemalangan berlaku ketika dua beranak itu yang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang Mohamad Zaki dalam perjalanan ke kedai makan yang diusahakan berhampiran lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua mangsa sedang bergerak dari arah Kuah menuju ke Bukit Malut sebelum kereta jenis Perodua Bezza dipercayai hilang kawalan.

    “Kereta terbabit dari arah Temonyong ke Kuah yang dipandu seorang lelaki warga India berusia 38 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal dinaiki dua beranak berkenaan.

    “Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tersebut tercampak ke kawasan semak di bahu jalan sebelah kiri,” katanya.

    Menurut Shariman, ujian nafas bagi mengesan alkohol yang dilakukan terhadap pemandu kereta terbabit didapati negatif, namun dia yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat di Singapura kini direman selama dua hari untuk membantu siasatan.

    Sementara itu, mayat wanita berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk proses bedah siasat dan anaknya turut dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan susulan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • ‘Disebabkan video Bella, saya diugut bunuh setiap hari’

    ‘Disebabkan video Bella, saya diugut bunuh setiap hari’

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa dia dikecam dan diugut bunuh, setiap hari disebabkan video kanak-kanak perempuan sindrom Down, Bella.

    Semasa membaca membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Siti Bainun, 31, berkata, dia hilang pekerjaan dan perniagaan makanan yang diusahakan selepas dipulaukan.

    Dia yang hadir tanpa diwakili peguam berkata, tindakan saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin, 40, menyebarkan video Bella yang disunting turut menyebabkannya hilang segala-galanya.

    Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir bagi prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpuri, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya takut untuk keluar dari rumah kerana ugutan yang saya terima.

    “Ketika mendapatkan rawatan di hospital, ada juga jururawat yang cuba membahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dia yang menangis ketika membaca pernyataan saksi itu berkata, perasaan curiga mula timbul apabila Zurianty merakam dan menyebarkan video itu kerana pembantu pengurus kewangan sebuah syarikat swasta itu tidak pernah mengambil tahu tentang Bella.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

  • Lebih 30 jam terapung di laut, nelayan ditemui selamat

    Lebih 30 jam terapung di laut, nelayan ditemui selamat

    SEORANG nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Karambunai, di Kota Kinabalu, terpaksa berpaut pada tong bekas minyak selama lebih 30 jam di lautan sebelum berjaya diselamatkan, hari ini.

    Lelaki itu, Morris Dulin, 69, yang hilang sejak 6 pagi semalam ditemui kira-kira pukul 1.45 tengah hari tadi dalam keadaan terapung dan berpaut pada tong plastik di kawasan perairan Sepanggar.

    Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan penemuan mangsa oleh Kapal KD Sunda, milik tentera laut.

    “Mangsa ditemui selamat dalam keadaan masih berpaut pada tong bekas minyak di tengah laut di perairan Sepanggar oleh tentera laut.

    “Mangsa kemudian dibawa balik ke pangkalan tentera laut untuk tindakan pengesahan dan rawatan,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Dalam kejadian 6 pagi semalam, dua rakannya berusia 41 dan 42 tahun ditemui selamat manakala mangsa hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Karambunai.

    Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Mengkabong, Tuaran dilaporkan ke laut untuk memukat ikan dengan menggunakan sebuah bot.

    Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke jeti, cuaca bertukar buruk sehingga mengakibatkan bot dinaiki ketiga-tiga mangsa karam.

    Dua rakan mangsa yang dikatakan memakai jaket keselamatan berjaya berenang ke pantai untuk mendapatkan bantuan dan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

    Operasi mencari dan menyelamat dijalankan polis, polis marin, Pasukan Gerakan Udara (PGU), bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot nelayan awam.

  • Bekas calon Pejuang PRU15 mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu

    Bekas calon Pejuang PRU15 mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu

    SEORANG bekas calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi kerusi Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas 12 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0, melibatkan nilai RM378,000, dua tahun lalu.

    Datuk Mohd. Ridzuan Abdullah, 55, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Ridzuan didakwa sebagai pemilik Syarikat Pupa International Sdn. Bhd. telah memberikan suatu dokumen bertarikh 2 Mac dan 2 April 2021 iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu.

    Tujuannya untuk menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya kepada ejen Perkeso dengan niat hendak memperdayakannya, yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu, tentang gaji.

    Sedangkan, senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen itu tidak menerima gaji itu dan kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso Putrajaya, pada tahun 2021.

    Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, 54, menghadapi 12 pertuduhan melakukan tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Haniff Khatri.

    Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya untuk memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan, setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 3 Mac depan.

    Sementara itu di mahkamah sama, seorang pengarah syarikat, Lee Hong Rong, 24, mengaku tidak bersalah atas 31 pertuduhan sama, melibatkan tuntutan lebih RM1.87 juta.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pemilik Syarikat Era Media Sdn Bhd telah memberikan suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bertarikh 23 April dan 21 Jun 2021 atas nama syarikat itu, bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya.

    Ia diberi kepada ejen Perkeso dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya iaitu Perkeso yang prinsipalnya mempunyai kepentingan yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi apa pernyataan yang palsu, iaitu Bantuan Mobiliti dan Gaji.

    Sedangkan, senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut tidak menerima bayaran bantuan mobiliti dan gaji sepenuhnya.

    Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso Putrajaya, pada 2021.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama dengan peruntukan hukuman sama.

    Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Chi Chau.

    Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan passport serta melaporkan diri di pejabat SPRM yang berdekatan, setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 2 Mac depan untuk pengurusan kes.

    Sementara di hadapan Hakim Suzana Hussin, Raymond Sim, 35, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan kes itu, bagi tuntutan insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0, berjumlah RM153,200.

    Raymond Sim menghadapi tujuh pertuduhan melakukan tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mengikut pertuduhan, dia sebagai pemilik syarikat telah memberikan dokumen yang sama, bertarikh 29 Mei dan 1 Jun 2021 atas nama Perusahaan Fireshot Marketing Sdn Bhd dan nama Perusahaan Minbot Sdn Bhd.

    Ia diberi kepada ejen Perkeso dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya iaitu Perkeso yang prinsipalnya mempunyai kepentingan yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi apa-apa pernyataan yang palsu tentang suatu butir matan iaitu nama pekerja baharu.

    Sedangkan, senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja dua syarikat itu dan kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso di Kuala Lumpur, pada 2021.

    Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

    Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso Putrajaya, pada 2021.

    Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Mohd. Aliff Saharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Joshua Kevin.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan.

    Tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 28 Februari depan.