Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Anggaplah dia epal busuk’, kata Chong Wei ulas kenyataan rasis Guang Yik

    ‘Anggaplah dia epal busuk’, kata Chong Wei ulas kenyataan rasis Guang Yik

    LEGENDA perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei kesal dengan kenyataan rasis oleh bekas pemain pelapis badminton negara, Bong Guang Yik.

    Chong Wei menerusi hantaran di Facebook menekankan bahawa sukan mengangkat rasa hormat dan tidak menerima sebarang sikap perkauman.

    Beliau turut menasihatkan agar mana-mana pihak tidak menghancurkan keharmonian rakyat yang erat hanya untuk dikenali ramai.

    “Jangan sesekali demi mengejar nak terkenal, sanggup menghancurkan keharmonian rakyat yang erat. Bukan dibina sehari dua, tetapi berdekad-dekad.

    “Anggaplah dia (Guang Yik) sebiji epal busuk, kawan-kawan,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Dalam pada itu, Chong Wei turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana pantas mengendalikan isu ini.

    Hannah, menerusi respons awalnya berkenaan isu itu, mengecam keras kenyataan bersifat rasis yang dikeluarkan Guang Yik.

    “Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.

    “Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” katanya Hannah mengulangi pendirian bahawa sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

    Kenyataan rasis Guang Yik menjadi tular sejak kelmarin melalui perkongsian video berdurasi satu minit 34 saat pemilik akaun tik tok @Ahboybadminton.

    Menerusi klip video yang dimuat naik berdurasi 1 minit 17 saat itu, Guang Yik yang kini menetap di China mendakwa, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menunjukkan kemajuan kerana dikuasai oleh orang Melayu dan amalan berat sebelah.

    Katanya lagi, ibadah solat lima waktu yang dijalankan pegawai dan petugas menjadi antara punca kelemahan pengurusan tertinggi BAM, hingga tidak dapat memberi tumpuan penuh pada aspek latihan pemain seterusnya menghasilkan keputusan positif untuk negara.

    Guang Yik juga dalam komentar kontroversinya mendakwa, semua sumber BAM telah disalurkan kepada Datuk Lee Chong Wei sewaktu jaguh badminton negara itu di puncak karier, hingga melupakan usaha membangunkan generasi pemain pelapis.

  • Gempa bumi Turkiye: Pasukan penyelamat Malaysia temukan 2 lagi mangsa

    Gempa bumi Turkiye: Pasukan penyelamat Malaysia temukan 2 lagi mangsa

    PASUKAN MAS-01 SMART menemukan dua lagi mayat mangsa gempa bumi Turkiye di sebuah bangunan runtuh di Nurdagi, Gaziantep, hari ini.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara menerusi satu entri di Facebook.

    Katanya, mangsa dikeluarkan kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan.

    “Sekitar pukul 1 waktu tempatan (Turkiye), Pasukan MAS-01 dengan kerjasama penyelamat tempatan berjaya menemui dan mengeluarkan dua mangsa di bawah runtuhan bangunan.

    “Operasi itu menggunakan peralatan memecah dan memotong serta bantuan excavator (jengkaut),” kata kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu lagi, kesemua mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia.

    “Kesemua mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia. Salam Takziah,” katanya lagi.

    Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lalu, telah meragut ribuan nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

    Pasukan MAS-01 berlepas dari Malaysia pada minggu lalu, manakala pasukan kedua MAS-02 terdiri daripada JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan SMART.

  • Dua maut tersepit, terperosok bawah kereta

    Dua maut tersepit, terperosok bawah kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Kluang, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan pada pukul 4.12 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga lelaki dan motosikal jenis Honda Wave ditunggang seorang lelaki.

    “Hasil siasatan awal mendapati kereta itu dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang manakala motosikal dari arah bertentangan. Apabila sampai di tempat kejadian di jalan selekoh, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

    Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan tiga lelaki yang tersepit selepas terlibat kemalangan di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, hari ini.
    – Foto ihsan bomba Johor

    “Kereta berkenaan kemudian bertembung dengan motosikal tersebut sebelum terbabas melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penumpang hadapan kereta berkenaan, V. Prashaanthan, 20, yang beralamat di Taman Cahaya Pelangi, Kluang cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Katanya, Pemandu kereta tersebut, B. Nantha Kumar, 30, yang beralamat di Taman Bersatu, Kluang, cedera parah di kepala, leher dan patah tulang belakang, kini berada di Zon Merah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang.

    Anggota bomba bejaya mengeluarkan seorang mangsa yang maut selepas tersepit dalam terlibat kemalangan di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang. – Foto ihsan bomba Johor

    “Seorang lagi penumpang belakang yang merupakan adik kepada Nantha Kumar iaitu B. Sathis Kumar, 27, juga beralamat di Taman Bersatu patah tangan tangan kiri, cedera di muka dan berada di Zon Kuning HEBHK,” katanya.

    Sementara penunggang motosikal tersebut katanya, T. Ravindran, 51, beralamat di Taman Kluang Jaya cedera di kepala, patah tangan kiri dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau menambah, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kereta dinaiki tiga lelaki rosak teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang. – Foto ihsan IPD Kluang

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Jusoh Mohd. Salleh berkata, kemalangan tersebut berlaku berhampiran jirat Cina.

    Menurutnya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa dalam kereta tersebut tersepit. Selain itu kemalangan ini turut mengakibatkan penunggang motosikal berkenaan tersepit di bawah kereta,” ujarnya.

    Motosikal ditunggang mangsa yang terkorban rosak teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang. Foto ihsan IPD Kluang

    Pihak bomba katanya, bertindak mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dengan menggunakan peralatan khas.

    Jusoh memberitahu, pemandu kereta terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.

    “Pihak bomba dibantu sebuah kren mengangkat kereta tersebut bagi mengeluarkan penunggang motosikal yang terperosok bawah kereta dan apabila dikeluarkan sudah meninggal dunia,” katanya.

    Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia ujarnya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pukul 4.50 pagi.

  • PN akan jadi pembangkang berwibawa demi rakyat, kata Muhyiddin

    PN akan jadi pembangkang berwibawa demi rakyat, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa dalam membawa suara rakyat ke Parlimen, selain menjalankan tugas semak dan imbang terhadap kerajaan.

    Kata Pengerusi PN itu, ini bagi memastikan tadbir urus kerajaan sentiasa berintegriti, bebas daripada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan kemajuan ekonomi negara.

    “Tindakan ini juga selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil yang diperjuangkan Perikatan Nasional.

    “Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional juga akan sentiasa komited untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan hidup rakyat terjamin serta demokrasi terus subur di negara ini,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau bersyukur kerana dapat hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 bersama Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negara PN.

    “Kami akan mengambil bahagian dalam Sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung mulai 13 Feb hingga 30 Mac dan Sidang Dewan Negara pada 21 Mac hingga 6 April.

    “Seperti yang pernah saya nyatakan, semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara Perikatan Nasional akan memainkan peranan aktif dalam sesi kali ini terutama ketika perbahasan Belanjawan 2023 yang dijangka dibentangkan pada 24 Februari ini,” tambahnya.

  • Seorang wanita, tiga lelaki warga asing ditahan kes bunuh

    Seorang wanita, tiga lelaki warga asing ditahan kes bunuh

    EMPAT suspek termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Jalan Lapangan Terbang Miri, Miri, Sarawak, malam tadi.

    Semua suspek berusia antara 40 hingga 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam tadi di kawasan Senadin, di Miri.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, mengesahkan penahanan semua suspek itu susulan kematian seorang lelaki warga asing berkenaan.

    Terdahulu, katanya, pada pukul 7.25 malam pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai satu pergaduhan yang berlaku di kawasan Jalan Lapangan Terbang Miri.

    Sehubungan itu, beliau berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan menemukan seorang lelaki terbaring di atas tanah dengan kesan tusukan pada badan.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

    Kes diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Mengapa isu perkauman hanya dilambakkan kesalahannya kepada orang Melayu dan Islam saja?

    Mengapa isu perkauman hanya dilambakkan kesalahannya kepada orang Melayu dan Islam saja?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempersoalkan mengapa isu perkauman hanya dilambakkan kesalahannya kepada orang Melayu dan Islam saja.

    Mengulas tindakan individu yang mempergunakan isu perkauman dalam politik, Muhammad Sanusi berkata, isu tersebut tidak sepatutnya diletakkan ke atas orang Melayu dan Islam saja.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu dalam masa sama turut membidas segelintir Pakar Perlembagaan yang didakwanya buta sejarah.

    “Kalau sejarah telah berlalu dan dicatat dalam lembar kertas dan disampaikan secara lisan pun dia buta, bagaimana dia hendak membaca realiti semasa.

    “Mengapa isu perkauman dituduhnya itu hanya dilambakkan salahnya kepada orang Melayu dan Islam saja? Apakah kerana dia tidak faham orang sebelahnya itu bercakap tentang apa?” katanya.

    “Apakah dia belum sedar ada satu kaum yang hampir semuanya mengundi satu parti sahaja iaitu parti dia dan parti kawan-kawan dia?” soalnya.

    Beliau mengulas dakwaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy bahawa jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi oleh Melayu adalah punca perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu.

    Ramasamy yang juga Felo Penyelidik Kanan Pelawat di Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura mengenai politik Asia Tenggara seterusnya mendesak supaya “dominasi Melayu” dalam perkhidmatan awam dihentikan.

    Maka kata Ramasamy, penyelesaiannya ialah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti pecahkan dominasi tersebut.

  • Kanak-kanak jatuh longkang ditemui di timbunan sampah

    Kanak-kanak jatuh longkang ditemui di timbunan sampah

    MAYAT kanak-kanak lelaki yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, Ampang, Sabtu lalu ditemui di sebalik timbunan sampah.

    Lapor Harian Metro, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie, 10, ditemui pada 5.10 petang tadi dan usaha membawanya keluar sedang dijalankan.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis, mayat mangsa kedua yang hanyut itu ditemui kira-kira 400 meter, di bawah timbunan sampah.

    Harian Metro Sabtu lalu melaporkan dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana.

    Seorang lagi mangsa, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan, 8, ditemui 6.30 petang semalam pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

  • Ajal langgar palang besi kawasan pembinaan

    Ajal langgar palang besi kawasan pembinaan

    SEORANG penunggang motosikal EX5 maut selepas terlanggar palang besi berhampiran sebuah pangsapuri di Petaling Jaya malam tadi.

    Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada PPUM mengenai kejadian pada 10.13 malam.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa berusia 30 tahun dalam perjalanan berjumpa rakan.

    “Tiba di tempat kejadian, mangsa tidak menyedari terdapat penghadang palang dan terus melanggar palang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, palang itu diletakkan bagi menghalang kenderaan luar masuk ke kawasan pembinaan pangsapuri.

    Beliau difahamkan, pintu hadapan pada jalan besar hanya dibuka dari pukul 7 pagi sehingga 7 malam untuk lori dan kenderaan pekerja.

    “Mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya, lapor UtusanTV.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Kes Abdul Hadi, polis tunggu arahan TPR

    Kes Abdul Hadi, polis tunggu arahan TPR

    POLIS masih menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada TPR, tahun lalu.

    “Kertas siasatan sudah dikemukakan di pejabat TPR tahun lalu dan kita masih menunggu arahan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Pada 5 Disember lalu, Abdul Hadi dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul susulan beberapa laporan yang dibuat terhadapnya.

    Abdul Hadi sebelum ini mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang Pas daripada berkuasa, selain turut menyifatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu ‘tidak bermoral’.

  • Kenyataan berbaur perkauman, bekas pemain badminton mohon maaf

    Kenyataan berbaur perkauman, bekas pemain badminton mohon maaf

    BEKAS pemain badminton tempatan, Bong Guang Yik hari ini membuat permohonan maaf selepas kenyataannya yang berbaur perkauman menerima kecaman ramai pihak.

    Menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosialnya, Guan Yik berkata, dia mengeluarkan kenyataan itu hanya untuk menegur Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi lebih baik.

    Namun dia mengakui mengeluarkan kenyataan bersifat ekstrim kerana menyentuh sensitiviti orang Melayu.

    “Di sini saya ingin memohon maaf kepada rakan badminton Melayu di Malaysia. Minta maaf.

    “Kandungan video ini saya kata masalah BAM tetapi di bahagian belakang saya kaitkan dengan isu perkauman,” katanya, lapor UtusanTV.

    Mengulas lanjut, Guang Yik berkata, dia berharap agar tahap pengurusan pihak BAM bagus di setiap peringkat yang akan melahirkan atlet-atlet yang cemerlang.

    Dia turut mengakui ramai rakan-rakannya di Malaysia menghubunginya selepas mengeluarkan kenyataan rasis tersebut.

    Terdahulu, tular di media sosial video seorang lelaki dipercayai bekas pemain badminton tempatan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap BAM.

    Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Bong Guang Yik mendakwa pengurusan BAM yang majoritinya dimonopoli orang Melayu menyebabkan prestasi pemain-pemain yang bernaung di bawah persatuan tersebut terjejas teruk.

    Rentetan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Tsuan mengecam tindakan Guang Yik dalam satu kenyataan terbuka.

    Hannah memaklumkan, beliau telah melakukan semakan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan BAM berhubung identiti bekas pemain tersebut.

    Jelas beliau, hasil semakan itu mendapati yang Guang Yik bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014.

    Hannah berkata, Guang Yik juga kini tidak lagi menetap di Malaysia dan dipercayai berada di luar negara.