Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kepimpinan baharu UMNO berdepan cabaran pulihkan imej parti

    Kepimpinan baharu UMNO berdepan cabaran pulihkan imej parti

    PENGARAH Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar meramalkan, enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan selepas Jun nanti merupakan cabaran pertama barisan kepimpinan baharu UMNO.

    “Tanggungjawab kepimpinan baharu ini adalah memulihkan keyakinan pengundi Melayu terhadap UMNO,” ujar beliau.

    Selain itu, Hisomuddin juga berpendapat, kepimpinan baharu UMNO ini juga mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan maruah parti pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

    Jelas Hisomuddin, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan UMNO yang baharu juga mempunyai tanggungjawab untuk menyusun strategi bagi mendapatkan kembali sokongan pengundi Melayu pada PRU16.

    “Tanggungjawab paling besar ialah bagaimana kepimpinan ini yang dikatakan majoritinya orang presiden yang tunduk kepada hala tuju parti untuk mereka memulihkan keyakinan semula UMNO.

    “Kemudian dalam tempoh lima tahun ini, mereka yang menang ini menggalas tanggungjawab untuk mengisi ruang kemenangan dalam kerajaan.

    “Kepimpinan baharu ini juga perlu menterjemahkan semula keyakinan secara keseluruhan kerana UMNO mempunyai tamparan hebat kerana pencapaiannya kini hanyalah 26 kerusi UMNO daripada 30 kerusi parlimen yang dimiliki BN.

    “Maka dengan beban yang ada ini sudah tentu mereka tidak boleh toleh ke belakang lagi.

    “Datuk Seri Zahid dan juga seluruh kepimpinan UMNO yang menang kali ini perlu untuk merencana strategi bagi memulihkan keyakinan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya kepada Astro Awani.

    Hisomuddin berpendapat, keputusan pemilihan UMNO ini merupakan cerminan suara akar umbi yang mahukan kepimpinan yang boleh seia dan sekata dengan hala tuju parti.

    “Harapan dan cerminan suara akar umbi adalah mengharapkan UMNO ini kurang kontroversi dan juga perkara yang boleh mengganggu keputusan tertinggi.

    “Akar umbi mahukan mereka yang menerajui parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membuat keputusan memacu dan juga menentukan hala tuju UMNO ke hadapan.

    “Kali ini Presiden dan Timbalan Presiden mempunyai pasukan impian untuk membawa UMNO dan memulihkan kembali reputasi UMNO dalam pilihan raya umum yang lalu,” katanya lagi.

    Sehingga kini, dua muka baharu iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah memenangi kerusi Naib Presiden UMNO.

    Seorang lagi calon yang menang kerusi Naib Presiden UMNO ialah Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengekalkan jawatan yang disandang sebelum ini.

    Bagi kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pula, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mendapat undi bahagian tertinggi dan selesa di tempat pertama.

    Ini diikuti dua senator iaitu Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz yang mendapat tempat kedua dan ketiga.

  • Dari mana UMNO dapat banyak duit untuk PRU15, soal Tun M

    Dari mana UMNO dapat banyak duit untuk PRU15, soal Tun M

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan dari mana sumber kewangan UMNO selepas parti itu dilihat berbelanja besar dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15.

    “UMNO belanja cukup banyak duit dalam PRU lepas. Kita lihat begitu banyak bendera dan sepanduk, ini perlukan perbelanjaan yang banyak.

    “Dari mana datangnya duit begitu banyak ini jika tidak secara rasuah,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

    Mahathir memuji kerajaan perpaduan kerana tegas memerangi rasuah tetapi pada masa yang sama beliau terkilan kerana mereka yang didakwa di mahkamah adalah dari parti pembangkang.

    “Kita terkilan sedikit, sambil nak lawan rasuah tetapi yang dituduh, yang disiasat hanya mereka daripada parti lawan,” katanya memetik laporan FMT.

    Baru-baru ini, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa dengan tiga tuduhan meminta rasuah berjumlah RM232.5 juta dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.

    Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta dibicarakan atas tuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkait inisiatif Jana Wibawa.

    Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad juga didakwa dengan lima tuduhan meminta dan menerima rasuah berkait dengan Jana Wibawa.

  • Dituduh politikkan agama, Hadi pertahan cara Pas

    Dituduh politikkan agama, Hadi pertahan cara Pas

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan bahawa perjuangan parti itu adalah berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas.

    Jelas beliau, asas agama sudah menjadi pegangan dan perjuangan parti tersebut.

    “Adakah kerana perkara ini, maka Pas dituduh memperalatkan agama,” ujar Ahli Parlimen Marang itu dalam satu kenyataan, selepas dituduh mempolitikkan agama oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Khas PKR, semalam, Saifuddin Nasution menyentuh kenyataan Hadi yang menurutnya dibuat secara jelas menentang titah diraja supaya masjid jangan digunakan sebagai pentas politik.

    “Memang dalam Islam ada politik, tapi kita dituntut berpolitik secara agama, bukan mempolitikkan agama,” kata Saifuddin.

    Mengulas lanjut, Hadi menggesa PKR kembali kepada al-Quran dan mendapatkan petunjuk Allah susulan kenyataan Saifuddin Nasution bahawa ahli parti itu sepatutnya bersikap ‘menyerang’ terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama.

    Menurutnya, kenyataan Saifuddin jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf.

    Tambahnya lagi, apa yang berlaku ketika ini, negara masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik.

    “Malah, raja-raja hanyalah ditugaskan supaya menjaga agama sahaja,” katanya, lapor FMT.

    Terdahulu Hadi dilapor menegaskan, bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

    Sebaliknya, Hadi berkata adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

  • ‘Saya kalah pilihan raya, kenapa takut dengan saya?’ – Dr Mahathir

    ‘Saya kalah pilihan raya, kenapa takut dengan saya?’ – Dr Mahathir

    TUN Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Kerajaan Perpaduan takut dengan bayang-bayang sendiri berdasarkan tindakan yang diambil mereka ketika ini, termasuk menghalang perhimpunan Proklamasi Melayu yang sepatutnya disertainya.

    Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, perkara tersebut jelas apabila suara ketidakpuasan hati rakyat dilihat mereka sebagai satu bentuk ancaman.

    Beliau menegaskan, kerajaan sekarang takut dengan bayang-bayang mereka sendiri.

    “Kalau difikirkan, kenapa nak takut dengan saya? Saya orang baik, dalam pilihan raya lalu, saya kalah teruk.

    “Tetapi hari ini kita lihat banyak halangan, media dihalang, tiada perkara buruk tentang kerajaan boleh dicetak.

    “Jika anda membaca akhbar, anda fikir kerajaan ini adalah yang terbaik di dunia, sedangkan sebenarnya ia tidak memenuhi keperluan rakyat, khususnya orang Melayu.

    “Mereka tidak peduli apa yang berlaku kepada Melayu, apa yang mereka laungkan ialah ini negara berbilang kaum dan bangsa terbaik akan menang.

    “Kita mahu orang ramai dimaklumkan tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam negara. Jika kerajaan fikir apa yang kami katakan itu tidak benar, sila buktikan,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini.

    Perhimpunan Proklamasi Melayu anjuran Sekretariat Tanah Air yang dirancang hari ini terpaksa dibatalkan selepas tiga kali bertukar venue susulan tidak mendapat kebenaran.

    Dr. Mahathir menambah, kerajaan menampakkan diri mereka sebagai hero melawan rasuah, namun hanya perang yang dilancarkan hanya ditujukan khusus untuk parti lawan.

    “Kerajaan tumpu parti lawan, seolah-olah (dalam kalangan) mereka tidak ada terlibat rasuah sedangkan kita tahu mereka terlibat.

    “Bukan main hero, nak lawan rasuah tetapi tidak lawan diri sendiri kerana mereka tahu dalam kalangan mereka pun terlibat.

    “Inilah keadaannya, sebab itu kerajaan tak benar sesiapa pun tegur mereka, termasuk kumpulan kita. Kita rakyat Malaysia, berhak tegur tetapi kerajaan bukan sahaja tidak bagi tegur tapi nak tangkap dan sumbat dalam penjara,” ujarnya, lapor Astro Awani.

  • 30 peratus ketua bahagian adalah muka baharu

    30 peratus ketua bahagian adalah muka baharu

    Pemilihan UMNO 2023 menyaksikan kira-kira 30 peratus atau 54 peneraju kepimpinan UMNO di peringkat bahagian di seluruh negara adalah muka baharu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, perkembangan itu sekali gus menunjukkan UMNO sebuah parti dinamik khususnya dalam menyubur serta mengharungi landskap politik semasa.

    “Seramai 54 Ketua UMNO Bahagian ini adalah 29 peratus lebih atau kira-kira 30 peratus muka baharu. Dia bukan berlaku hanya satu negeri, tetapi berlaku secara keseluruhan.

    “Contohnya di Wilayah Persekutuan, enam muka baharu; Melaka (tiga); Kelantan (lima); Johor sampai 10 muka baharu; Perak (empat); Selangor (enam) dan Perlis, tiga,” katanya pada sidang media di Auditorium UMNO di Kuala LUmpur, hari ini.

    Selain itu, Shahrir berkata, UMNO perlu menekankan soal tata etika kepada seluruh perwakilannya yang terbabit dalam pemilihan pada masa akan datang.

    “Kepada 190,000 ahli UMNO yang terbabit dalam proses pemilihan, kita juga tekankan soal kualiti, supaya mereka patuh soal tata etika. Supaya perwakilan akar umbi UMNO ini, mereka juga harus mempunyai kefahaman dan tanggungjawab sebagai perwakilan.

    “Kalau kuantiti saja, dia bukan menandakan amalan demokrasi sebenar. Amalan demokrasi itu mesti berasaskan kefahaman dan kepatuhan kepada peraturan. Jadi itu anggapan kami sebagai JPU 2023,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, rumusan berkaitan perjalanan Pemilihan UMNO 2023 termasuk cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksana UMNO selepas ini akan dikemukakan oleh JPU kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam tempoh terdekat ini.

    Pemilihan UMNO 2023 berakhir semalam selepas 189 bahagian UMNO dari 191 bahagian bersidang, namun hanya dua bahagian iaitu UMNO Bahagian Johor Bahru dan Beluran di Sabah yang ditangguhkan.

    Keputusan dari dua bahagian ini termasuk dua lagi Bahagian UMNO yang digantung iaitu Tanah Merah dan Kota Kinabalu, yang dijadual akan mengadakan semula pemilihannya kelak, tidak akan dikira bagi penjumlahan keseluruhan keputusan Pemilihan UMNO 2023 khususnya bagi peringkat Pusat.

  • Puad Zarkashi kalah Ketua Bahagian Batu Pahat dengan majoriti 99 undi

    Puad Zarkashi kalah Ketua Bahagian Batu Pahat dengan majoriti 99 undi

    DATUK Dr. Mohd. Puad Zarkashi gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat dalam pemilihan UMNO bahagian tersebut.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu tewas kepada pencabar yang juga timbalannya, Zaidi Japar, dalam saingan tiga penjuru jawatan itu.

    Dalam saingan itu, Mohd Puad meraih 302 undi, berbanding Zaidi yang mendapat 401 undi, lapor Berita Harian.

    Seorang lagi pencabar, Johari Abd. Razak, pula hanya memperoleh enam undi.

    Keputusan pemilihan UMNO Bahagian Batu Pahat itu adalah yang terakhir diumumkan petang ini, daripada 26 bahagian parti itu di Johor.

  • Nelayan dikhuatiri lemas ketika uji bot

    Nelayan dikhuatiri lemas ketika uji bot

    SEORANG nelayan dikhuatiri lemas ketika menguji bot gentian kaca berhampiran jeti pengkalan bot Kampung Baru Penarik, di Setiu, malam tadi.

    Mahamad Harun, 63, yang menetap di kampung itu tidak pulang ke rumah selepas turun ke sungai untuk menguji bot gentian kaca pada pukul 7 malam.

    Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa yang memaklumkan suaminya tidak pulang ke rumah dan dikhuatiri lemas.

    “Pihak polis menerima maklumat daripada seorang saksi yang juga penduduk kampung menyatakan melihat mangsa menghala ke Kampung Mangkuk sambil membuang air dari dalam bot.

    “Hasil pencarian yang dilakukan penduduk kampung menemui bot di kawasan paya bakau kira-kira 650 meter dari jeti dan mendapati mangsa tiada dalam bot,” katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung bermula malam tadi.

    Afandi berkata, seorang saksi yang melihat mangsa dari jarak 100 meter menyatakan botnya berpusing dan menuju ke seberang sungai.

    “Saksi tidak mengesyaki bot mangsa bermasalah dan saksi terus balik ke rumah memandangkan cuaca hampir gelap,” katanya.

    Afandi berkata, pihaknya juga mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba bagi mengesan mangsa.

    “Usaha dan menyelamat giat dilakukan dengan fokus pencarian terarah ke arah muara.

    “Saya menasihatkan nelayan supaya mengutamakan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan apabila mahu menjalankan aktiviti sama ada di sungai atau laut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • 3 maut nahas kereta langgar kren di Bukit Seputeh

    3 maut nahas kereta langgar kren di Bukit Seputeh

    TIGA maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta melanggar kren berhampiran Sekolah Tinggi Kuen Cheng di Jalan Syed Putra, Bukit Seputeh, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima laporan kejadian pada pukul 3.46 pagi sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah digerakkan ke lokasi.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II K Segar berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga melanggar belakang sebuah kren yang diletakkan di bahu jalan.

    “Seorang pemandu lelaki didapati tersepit dalam kereta, manakala dua pekerja keselamatan yang menjaga kren turut cedera akibat dilanggar kereta terbabit.

    “Pasukan bomba bertindak mengeluarkan pemandu yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat, namun mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, dua pekerja keselamatan yang menjaga kren dan didapati cedera kemudian turut disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans.

    Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • ‘Ini perang saraf kerana UMNO tak menang’ – Abdul Hadi

    ‘Ini perang saraf kerana UMNO tak menang’ – Abdul Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai memberi keterangan berhubung petisyen yang difailkan UMNO untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dimenanginya bagi Parlimen Marang.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi.

    Abdul Hadi yang juga saksi ketiga pihak responden memberi keterangan lebih satu jam di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.

    Beliau ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu memaklumkan perbicaraan hari ini berjalan dengan lancar dan sudah menjawab semua soalan diberikan.

    “Tak ada apa, biasa (dan) saya jawab semua soalan peguam kita (responden), peguam dia (pempestiyen).

    “InsyaAllah kerana tak membabitkan kesalahan undang-undang pilihan raya, (ia) lebih berlaku dari segi perang saraf kerana UMNO tak menang melalui pilihan raya, nak menang melalui mahkamah,” katanya.

    Sementara itu, peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Abdul Hadi berkata, pihak responden sudah selesai memanggil ketiga-tiga saksi dengan Ahli Parlimen Marang itu adalah saksi yang terakhir.

    Katanya, ketika ini, pihak pempestiyen belum lagi selesai memanggil saksi bagi pihak mereka.

    “Mereka kemukakan saksi (dan apabila selesai), kemudian kita akan berhujah,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU-15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN.

    Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

    Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

    Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU-15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

  • UMNO Perak hantar senarai ahli sabotaj kepada Lembaga Disiplin

    UMNO Perak hantar senarai ahli sabotaj kepada Lembaga Disiplin

    UMNO Perak sudah menghantar lebih 50 individu untuk dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti kerana sabotaj pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

    Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesemua individu tersebut merupakan ahli UMNO dari seluruh Perak.

    “Terdapat juga beberapa ahli UMNO yang sudah dipecat keahlian kerana tindakan tersebut.

    “Saya ingat dari (UMNO bahagian) Larut ada 17 orang yang dipecat dan beberapa tempat lain memang ada yang dipecat.

    “Yang lain kita tunggu sehingga jawatankuasa pengurusan parti mengumumkan siapa yang dipecat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di Ipoh hari ini.

    Katanya, semua mereka yang disenaraikan itu secara terang-terangan membantu kempen parti lawan.

    “Jika terdapat ahli-ahli UMNO yang menjadi calon, penyokong atau pencadang parti lawan secara automatik keluar parti kerana itu sudah termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Saarani dalam ucapan ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong mendedahkan tindakan sabotaj sesama sendiri dikenal pasti antara faktor utama kekalahan teruk UMNO di Perak dalam memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU15 lalu.