TUN Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Kerajaan Perpaduan takut dengan bayang-bayang sendiri berdasarkan tindakan yang diambil mereka ketika ini, termasuk menghalang perhimpunan Proklamasi Melayu yang sepatutnya disertainya.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, perkara tersebut jelas apabila suara ketidakpuasan hati rakyat dilihat mereka sebagai satu bentuk ancaman.

Beliau menegaskan, kerajaan sekarang takut dengan bayang-bayang mereka sendiri.

“Kalau difikirkan, kenapa nak takut dengan saya? Saya orang baik, dalam pilihan raya lalu, saya kalah teruk.

“Tetapi hari ini kita lihat banyak halangan, media dihalang, tiada perkara buruk tentang kerajaan boleh dicetak.

“Jika anda membaca akhbar, anda fikir kerajaan ini adalah yang terbaik di dunia, sedangkan sebenarnya ia tidak memenuhi keperluan rakyat, khususnya orang Melayu.

“Mereka tidak peduli apa yang berlaku kepada Melayu, apa yang mereka laungkan ialah ini negara berbilang kaum dan bangsa terbaik akan menang.

“Kita mahu orang ramai dimaklumkan tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam negara. Jika kerajaan fikir apa yang kami katakan itu tidak benar, sila buktikan,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini.

Perhimpunan Proklamasi Melayu anjuran Sekretariat Tanah Air yang dirancang hari ini terpaksa dibatalkan selepas tiga kali bertukar venue susulan tidak mendapat kebenaran.

Dr. Mahathir menambah, kerajaan menampakkan diri mereka sebagai hero melawan rasuah, namun hanya perang yang dilancarkan hanya ditujukan khusus untuk parti lawan.

“Kerajaan tumpu parti lawan, seolah-olah (dalam kalangan) mereka tidak ada terlibat rasuah sedangkan kita tahu mereka terlibat.

“Bukan main hero, nak lawan rasuah tetapi tidak lawan diri sendiri kerana mereka tahu dalam kalangan mereka pun terlibat.

“Inilah keadaannya, sebab itu kerajaan tak benar sesiapa pun tegur mereka, termasuk kumpulan kita. Kita rakyat Malaysia, berhak tegur tetapi kerajaan bukan sahaja tidak bagi tegur tapi nak tangkap dan sumbat dalam penjara,” ujarnya, lapor Astro Awani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here