Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kelulusan Dewan Maeps lokasi berbuka puasa anak rantau bersama MB Kedah pula ditarik balik

    Kelulusan Dewan Maeps lokasi berbuka puasa anak rantau bersama MB Kedah pula ditarik balik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tampak terus cuba ditekan secara ‘halus’ berikutan kelantangannya dalam menegakkan kebenaran sebelum ini.

    Setelah mendakwa dihalang daripada menghadiri kerajaan Persekutuan termasuk di negeri sendiri, Muhammad Sanusi kali ini tampil mendedahkan bahawa kelulusan Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor yang sepatutnya dijadikan sebagai tapak lokasi Majlis Berbuka Puasa Anak-Anak Kedah Di Perantauan Bersama Menteri Besar pada 9 April depan, ditarik balik.

    Dakwaan itu dibuat menerusi satu status yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

    “Kelulusan Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor yang sepatutnya dijadikan sebagai tapak lokasi Majlis Berbuka Puasa Anak-Anak Kedah Di Perantauan Bersama Menteri Besar pada 9 April depan, ditarik balik.

    “Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun. Dewan itu pun kerajaan negeri Kedah akan bayar sewa, ‘awat’ sampai jadi lagu tu?

    “Kedah ini kan menghasilkan 43 peratus beras untuk negara?” katanya.

    Semalam Muhammad Sanusi mendakwa dihalang daripada menghadiri sebarang majlis kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei tahun ini.

    Menerusi status yang turut dimuat naik di laman Facebook rasminya, Muhammad Sanusi mendakwa perkara itu diputuskan Kabinet pimpinan Perdana Menteri.

    Di sebalik semua itu Muhammad Sanusi berkata, majlis berbuka puasa tersebut tetap akan diteruskan seperti dirancang.

    “Tak apa, tak ‘gaduh’ kalut-kalut, kelam ‘kelibut’. Program akan diteruskan seperti dirancang dengan lokasi terkini akan dimaklumkan segera.

    “Di Kuala Lumpur jugalah. ‘Hangpa’ mai bagi ramai,” katanya.

    Beliau dalam status sama turut tidak lupa meletakkan ayat sinis kepada pihak-pihak yang ‘panas’ dengan tindakannya sebelum ini.

    “‘If you ‘panaih’, please dont koyak’” katanya.

  • SRC: Boleh semak atau tidak, nasib Najib diketahui esok

    SRC: Boleh semak atau tidak, nasib Najib diketahui esok

    MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya esok akan memutuskan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd. atau sebaliknya.

    Perkara berkenaan akan diputuskan oleh panel lima hakim iaitu dari Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

    Sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menyemak, panel-panel hakim akan menetapkan tarikh lain untuk prosiding berkenaan.

    Ada juga kemungkinan panel lima hakim itu mendengar hujahan semakan daripada kedua-dua pihak, pada hari yang sama iaitu esok.

    Bagaimanapun, jika mahkamah menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu, pilihan terakhirnya ialah kekal di Penjara Kajang dan mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, lapor Sinar Harian.

    Dilaporkan, Najib sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September 2022.

    Pada 6 September tahun lalu, Najib memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan, yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya kerana penyelewengan dana SRC.

    Menerusi notis usul memfailkan notis usul itu melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co, Najib membuat beberapa permohonan iaitu pertama, memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan dia dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

    Kedua, Najib memohon untuk membuat semakan terhadap keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos lalu yang tidak memberikan penangguhan prosiding susulan penarikan diri peguam belanya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

    Seterusnya, beliau memohon rayuannya didengar korum Mahkamah Persekutuan lain, tidak kurang tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    Pemimpin UMNO ini turut memohon untuk mengemukakan bukti tambahan membabitkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dan pembatalan perbicaraan itu atau diisytiharkan tidak sah.

    Dalam afidavit, beliau percaya dan dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

    Dalam prosiding ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram berada di pihak pendakwaan manakala Najib selaku perayu diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

    Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di Putrajaya mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

    Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.

    Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

    Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

    Najib yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

  • Halang MB Kedah: ‘Saya akan dapatkan situasi sebenar’ – Ahmad Samsuri

    Halang MB Kedah: ‘Saya akan dapatkan situasi sebenar’ – Ahmad Samsuri

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar akan mendapatkan situasi sebenar daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mendakwa dihalang menyertai sebarang majlis anjuran Kerajaan Persekutuan.

    Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas itu menyifatkan perkara sedemikian tidak wajar berlaku sekiranya betul.

    “Saya tidak mengetahui berhubung perkara ini namun akan mendapatkan situasi sebenar daripada Muhammad Sanusi sama ada benar berlaku atau sebaliknya.

    “Jadi saya kena tanya dia sendiri bagaimanakah bentuk halangan itu, adakah secara lisan atau bertulis ataupun dimaklumkan pada wakil dan sebagainya.

    “Saya tidak tahu jadi saya kena siasat dahulu,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Ketika ditanya adakah Terengganu turut menerima halangan seperti itu, Ahmad Samsuri menjelaskan setakat ini beliau tidak menerima apa-apa halangan.

    Terdahulu Sanusi, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), mendakwa beliau dilarang daripada menghadiri sebarang majlis dan program anjuran Kerajaan Persekutuan.

  • CCTV rakam remaja lelaki dera, bakar anjing

    CCTV rakam remaja lelaki dera, bakar anjing

    SEORANG remaja lelaki berusia 19 tahun dirakam mendera anjing liar dalam tiga kejadian berasingan, termasuk membakar seekor haiwan itu dalam serangan terbaharu dua hari lalu.

    Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pemuda itu membaling pasu ke arah anjing yang mendiami ruang tangga, bersebelahan sebuah klinik veterinar di Johor Bahru pada 8 Mac lalu.

    Pada 14 Mac lalu, dia kembali ke tempat sama dan membaling batu serta bata ke arah dua ekor anjing liar itu.

    Pada 27 Mac lalu, dia dilihat memukul seekor anjing liar itu dengan batang besi sebelum meninggalkan tempat itu dengan kereta, tetapi kembali semula untuk membakar seekor daripadanya.

    Menurut myforeverdoggo, platform menawarkan bantuan mencari tempat perlindungan bagi anjing liar, haiwan itu kini dirawat di sebuah klinik veterinar di Johor.

    Anjing itu dikatakan patah tulang di kedua-dua kaki depan dan belakang, selain melecur tahap pertama hingga dua di badan.

    “Ia perlu sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan untuk pulih,” menurut catatan myforeverdoggo di Instagram, lapor FMT.

    Satu laporan polis kemudiannya difailkan.

    Menurut myforeverdoggo, datuk dan nenek pemuda itu memohon maaf susulan kemarahan orang ramai terhadap kejadian berkenaan.

    Ibu lelaki terbabit pula dikatakan meminta laporan polis itu ditarik balik.

    “Dia (ibu) mendakwa mencederakan anjing adalah perkara remeh dan anjing itu akan menggigit orang jika dibiarkan di luar,” menurut catatan itu.

    Doktor haiwan tidak dikenali itu bagaimanapun berkata, anjing terbabit mesra dengan pelanggannya dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda agresif atau mengejar manusia.

  • Dua remaja perempuan maut digilis selepas lori tangki buat pusingan U

    Dua remaja perempuan maut digilis selepas lori tangki buat pusingan U

    DUA remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka kemalangan di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Kelawar di Tanjung Malim malam tadi.

    Insiden pada pukul 11.18 malam itu telah mengorbankan mangsa, Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, dan pemboncengnya, Nur Nabila Rosdi, 19.

    Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z dalam perjalanan dari Ulu Bernam menuju ke Slim River.

    Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, disyaki terdapat sebuah lori tangki dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti telah membuat pusingan U.

    “Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar kenderaan berat terbabit.

    “Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat digilis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, pembonceng turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.

    Katanya, siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan pemandu lori terlibat.

    Kata Mohd. Hasni, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Sinar Harian.

  • Tragedi 4 beradik maut kebakaran:Api marak cepat, terperangkap dalam bilik air

    Tragedi 4 beradik maut kebakaran:Api marak cepat, terperangkap dalam bilik air

    HASRAT seorang ibu yang meninggalkan empat anaknya di rumah semasa keluar mencari kelengkapan berbuka puasa berakhir tragedi menyayat hati apabila semuanya ditemukan meninggal dunia dalam bilik air malam tadi.

    Kejadian pada pukul 7.49 malam di Kampung Sabak Awor, Muar itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.

    Mereka semuanya ditemukan tidak sedarkan diri dalam bilik air di bahagian dapur kediaman mereka.

    Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memberitahu, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 31 tahun keluar sebentar untuk ke kedai berhampiran, manakala bapanya yang berusia 30 tahun bekerja di sebuah restoran di bandar Muar.

    “Maklumat awal oleh ibu mangsa mengatakan keempat-empat anaknya ditinggalkan sementara di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci.

    “Bagaimanapun, kita percaya keadaan api marak menyebabkan empat beradik ini gagal mencari jalan keluar sebelum kesemua mayat ditemukan dalam tandas dipercayai bagi tujuan menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

    Beliau berkata, ibu mangsa yang baru keluar selama 10 minit mengetahui tentang kebakaran itu selepas dihubungi jiran.

    Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun ia masih dalam siasatan lanjut pihak bomba.

    “Mangsa sudah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

    Terdahulu, 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.

    Raiz Mukhliz, bomba mengambil masa lima minit bagi mengawal kebakaran yang sudah merebak sehingga 70 peratus.

    “Pemadaman berjaya dilakukan beberapa minit kemudian dengan kemusnahan sebanyak 80 peratus.

    “Setelah api padam sepenuhnya pihak bomba bertindak membuat pencarian mangsa sebelum menemukan mayat dua kanak-kanak perempuan dua kanak-kanak lelaki,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Askar dipecat kerana AWOL dapat semula jawatan

    Askar dipecat kerana AWOL dapat semula jawatan

    MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru membatalkan pemecatan seorang askar atas dakwaan tidak hadir bertugas tanpa cuti rasmi (AWOL) tiga tahun lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Ahmad Murad Abdul Aziz membenarkan permohonan semakan kehakiman itu dan mengembalikan pangkat koperal kepada Izwan Abu Bakar.

    Sebelum dipecat, askar itu diturunkan pangkat.

    Murad turut memerintahkan Izwan dibayar gaji dan semua manfaat lain yang layak diperolehinya.

    Ketika menyampaikan penghakimannya dalam talian, Murad berkata, hukuman yang dikenakan terhadap Izwan “tidak setara” dengan dakwaan AWOL.

    Hakim itu bagaimanapun menolak tuntutan ganti rugi untuk penahanan menyalahi undang-undang selama 60 hari, kesakitan dan penderitaan.

    Izwan, 32, yang diwakili peguam Mathan Anandaram, turut diberikan kos RM15,000.

    Izwan, yang menyertai angkatan tentera pada 2009, memilih untuk dibicarakan di hadapan pegawai pemerintahnya, Mejar Hafes Rosli di kem tentera Tebrau, Johor Bahru.

    Dia ditahan selama 60 hari selepas didapati bersalah pada 17 Jun dan diturunkan pangkat sebelum dipecat.

    Izwan, yag didakwa AWOL selama 11 hari dari 2 hingga 13 Jun, membawa kes itu ke mahkamah pada September 2020.

  • Tindakan laman FB Kelab Peminat Kartunis Zunar keterlaluan – Armada

    Tindakan laman FB Kelab Peminat Kartunis Zunar keterlaluan – Armada

    ARMADA Bersatu Malaysia (Armada) mengecam tindakan pemilik laman Facebook Zunar Cartoonist Fan Club yang dilaporkan mencemar kesyumulan Islam apabila mengaitkan gambar Kaabah dalam bentuk karikatur serta menyindir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, tindakan pemilik laman itu keterlaluan kerana mempersendakan agama.

    “Sebegitu ‘koyak’ pentaksub Pakatan Harapan (PH) kerana tidak dapat memukul canang ketua mereka memasuki Kaabah sehingga tindakan penyokong PH ini sanggup merempuh garis pemisah yang tidak sepatutnya dilanggar dan dilakukan apabila melukis gambar Kaabah dengan mengaitkan isu pendakwaan politik yang dipalitkan ke atas Muhyiddin.

    “Lebih hina, bukan sahaja mempersendakan Kaabah untuk menaja fitnah, malah gambaran dari karikatur laman FB Zunar Cartoonist Fan Club kononnya Muhyiddin melakukan rasuah ‘peribadi’ adalah suatu ‘falasi’ dan fitnah besar untuk dikaitkan dengan Kaabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Ashraf turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertindak tegas dalam menangani isu berkenaan.

    Katanya, Armada juga akan membuat laporan polis bagi menuntut permohonan maaf daripada pemilik laman Facebook Zunar Cartoonist Fan Club kepada umat Islam di seluruh Malaysia.

  • Empat kanak-kanak maut dalam kebakaran

    Empat kanak-kanak maut dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    EMPAT kanak-kanak dipercayai terperangkap dan maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, Muar, hari ini.

    Mereka terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan empat tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan lapan tahun.

    Bagaimanapun identiti mangsa gsa dan hubungan antara mereka masih belum diketahui kerana siasatan masih dijalankan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 7.49 malam.

    Susulan itu katanya, seramai 20 anggota dari BBP Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kebakaran melibatkan rumah jenis separuh kekal yang berkeluasan 50 kaki x 35 kaki. Kesan kebakaran telah memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan rumah
    tersebut.

    “Setelah api padam sepenuhnya pihak bomba bertindak membuat pencarian mangsa. Empat mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki ditemui meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada malam ini.

    Beliau berkata, semua mangsa dijumpai dalam bilik air rumah tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Katanya, pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mengesahkan semua mangsa telah disahkan meninggal dunia.

    Tambah beliau, seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tamat pada pukul 9.52 malam,” ujarnya.

  • Fahmi dakwa tak pasti isu Sanusi dilarang ke majlis rasmi

    Fahmi dakwa tak pasti isu Sanusi dilarang ke majlis rasmi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mendakwa beliau kurang jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah itu dihalang daripada menghadiri program anjuran Kerajaan Persekutuan.

    Malah ketika ditanya sama ada terdapat keputusan rasmi untuk menghalang Muhammad Sanusi daripada menghadiri majlis kerajaan, Fahmi enggan mengulas perkara berkenaan.

    “Bagi saya tidak ada isu, contohnya saya menjemput semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), anggota pentadbiran dalam atur cara saya melibatkan lawatan kerja rasmi Kementerian Komunikasi dan Digital ke negeri Kedah.

    “Malah ada wakil daripada pejabat Ahli Parlimen Padang Terap. Ini semangat yang sedikit berbeza untuk kita tampilkan, saya tak pasti apa yang beliau (Muhammad Sanusi) maksudkan namun bagi saya yang penting kerajaan Perpaduan ingin membuktikan bahawa kita sedia bekerjasama demi rakyat.

    “Sekarang ini cukup-cukuplah berpolitik dan kita berkhidmat untuk rakyat,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Hab Gentian Optik Point of Presence (PoP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa dihalang daripada menghadiri sebarang program anjuran Kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei tahun ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu mendakwa perkara tersebut diputuskan Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sementara itu, Fahmi tidak lama kemudian melalui laman Facebook rasminya memuat naik status beserta gambar yang sekali lagi mengulas perkara berkenaan.

    “Pelancaran PoP Kementerian Komunikasi dan Digital di SMK Padang Terap hari ini. Semua saya jemput termasuk ADUN Suka Menanti dan wakil Ahli Parlimen Padang Terap.

    “Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO Kedah juga dijemput tetapi mohon maaf tak dapat hadir. Tak ada siapa ‘panaih’ koyak ‘aih’,” katanya.