Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pemimpin jaga kewangan sebuah parti politik akan dipanggil SPRM – Laporan

    Pemimpin jaga kewangan sebuah parti politik akan dipanggil SPRM – Laporan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti dalam usaha menjejaki sejumlah wang tunai yang dikaitkan dengan seorang menteri.

    Sumber dipetik Utusan Malaysia berkata, beberapa saksi baharu yang terdiri daripada pegawai di kementerian, syarikat kontraktor dan agensi di bawah kementerian terbabit turut akan dipanggil bagi mengukuhkan siasatan.

    Katanya, siasatan SPRM memfokuskan pelbagai sudut untuk mengesan dakwaan pemberian wang tunai menerusi orang tengah sebagai jaminan untuk syarikat berkenaan terus mendapat kontrak.

    “Mungkin juga akan ada pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti yang dikaitkan dengan menteri itu juga akan dipanggil, namun ia bergantung kepada siasatan selepas ini.

    “Setakat ini, difahamkan, keterangan menteri itu juga telah diambil SPRM sekali lagi, selepas beliau hadir ke pejabat SPRM pada Ahad lalu,” katanya.

    Semalam, SPRM dilaporkan terus menjejaki wang tunai jutaan ringgit yang didakwa diserahkan orang tengah kepada menteri berkenaan.

    Ini susulan penggeledahan di pejabat dan kediaman menteri terbabit yang tidak menemui wang itu atau bukti wang tersebut diterima menteri berkenaan.

    Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memberi keterangan kepada SPRM pada Ahad lalu, susulan penahanan dua pegawai kanannya yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.

    Jumaat lalu, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan ke atas kelulusan kuota pekerja asing.

    Sehari sebelumnya, agensi antirasuah itu menahan seorang pegawai kanan Sivakumar bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing.

  • Rohana Jalil kritikal dalam ICU

    Rohana Jalil kritikal dalam ICU

    JUARA Bintang RTM 1980, Rohana Jalil kini dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tanpa diketahui penyakit, sejak semalam.

    Berita duka menimpa penyanyi popular era 1980-an itu disahkan rakan baiknya, Datin Salwa Abdul Rahman, pagi ini.

    Memetik laporan BH Online, Salwa berkata, doktor masih melakukan pemeriksaan dan pemantauan mengenai penyakit dihidapi Rohana, 68, penyanyi lagu Rayuanku itu tidak pernah alami penyakit serius sebelum ini.

    “Jaafar Onn ada menunjukkan gambarnya bersama Rohana ketika mengadakan persembahan di Plaza Shah Alam pada Ahad lalu.

    “Bagaimanapun, Jaafar beritahu ketika sedang menyanyi, Rohana tidak boleh berdiri secara tiba-tiba.

    “Rohana nak duduk dan terus berada dalam keadaan lemah. Saya memang terkejut kerana mengenalinya, Rohana seorang yang aktif dan jarang sakit.

    “Semalam, saya mendapat khabar keadaan Rohana kritikal dalam ICU dengan penyakit yang belum diketahui,” katanya kepada BH Online.

    Salwa berkata, dia diberitahu Rohana dikejarkan ke hospital, kelmarin, namun, anak-anaknya masih merahsiakan daripada pengetahuan sesiapa.

    “Bagaimanapun, bila keadaan Rohana semakin kritikal, anak-anaknya mula berkongsi perkembangan kesihatan Rohana dan minta mendoakan kesembuhan.

    “Pelawat tidak dibenarkan melawat Rohana, buat masa ini. Ini kerana Rohana masih dalam ICU dan bernafas menggunakan bantuan oksigen.

    “Saya dengar Rohana sudah ada tindak balas sedikit, namun keadaannya masih lemah dan dalam pemantauan, semalam,” katanya.

    Terdahulu, Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil memulakan karier sebagai penyanyi sejak usia 17 tahun pada 1979.

    Sebelum itu, penyanyi kelahiran Kota Tinggi, Johor itu memulakan kerjayanya sebagai gadis kilang sekitar 1970-an, sebelum menukar kerjaya nyanyian apabila ditawarkan menyertai band D’ Suria dengan mengadakan persembahan di ekspo dan fun fair.

    Berbekalkan pengalaman menyanyi ekspo dan fun fair, Rohana mencuba nasib dalam pertandingan Bintang RTM 1976, tetapi tuah tidak menyebelahinya apabila kecundang.

    Namun, Rohana tidak berputus asa dan mencuba sekali lagi nasib dalam Bintang RTM, empat tahun kemudian.

    Akhirnya, Rohana dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1980, sebelum dilamar syarikat rakaman, AB Records.

    Rohana muncul dengan album pertama, Rintik-Rintik Hujan, tetapi album itu tidak mendapat sambutan. Kemunculan album kedua, Masih Dalam Ingatan juga mengecewakan.

    Namun, kejayaan ibu kepada tiga cahaya mata mendapat tempat ketiga Persembahan Terbaik dalam Juara Lagu TV3, mengambil alih tempat Datuk Jamal Abdillah (menerusi lagu Cinta Yang Terbiar) berjaya membawa banyak pembaharuan.

    Kemunculan Rohana bersama album Rayuanku terbitan A Ali membawa tuah apabila mendapat sambutan hangat.

    Selain itu, lagu sentimental duet Rohana dan To’ki, Naluri Cinta juga melonjakkan populariti Rohana pada era 1990-an.

  • SPRM mahu rakaman CCTV kereta menteri di sebuah kondominium

    SPRM mahu rakaman CCTV kereta menteri di sebuah kondominium

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta pihak pengurusan sebuah kondominium di Cyberjaya menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan tiga buah kereta.

    Malaysiakini dalam laporannya memetik sumber SPRM berkata, dua daripada kenderaan itu didaftarkan atas nama menteri sumber manusia V Sivakumar.

    Difahamkan ia sebahagian daripada dakwaan rasuah yang dikatakan bernilai RM97 juta melibatkan dua pegawai kanan menteri itu.

    “Sebanyak tiga kenderaan menjadi sebahagian daripada siasatan.

    “SPRM telah meminta rakaman CCTV bagi tarikh 6 Mac 2023 – 7 Mac 2023 dan 7 April 2023 – 8 April 2023 bagi tiga kereta jenis Mercedes Benz, Proton Perdana dan Outlander (Mitsubishi),” katanya kepada Malaysiakini.

    Carian maklumat kenderaan di internet mendapati kereta Mercedes berwarna perak dan Outlander berwarna merah itu didaftar sebagai kenderaan milikan persendirian atas nama Sivakumar.

    Namun, carian tidak dapat memastikan pemilikan kenderaan ketiga jenis Proton Perdana.

    SPRM memohon rakaman CCTV itu semalam dan memberi tempoh kepada kondominium itu untuk menyerahkannya sehingga hari ini.

    Malaysiakini telah menghubungi pejabat menteri dan SPRM dan masih menunggu maklum balas mereka.

    SPRM masih teruskan siasatan – laporan

    Sementara itu, memetik sumber yang tidak dinamakan, Utusan Malaysia melaporkan bahawa SPRM masih meneruskan pencarian wang berjuta-juta ringgit yang didakwa melibatkan pegawai kanan menteri melalui orang tengah.

    Laporan itu turut mengesahkan bahawa SPRM tidak sebarang bukti ketika mengeledah rumah dan pejabat menteri.

    “Difahamkan tiada rampasan dibuat kerana SPRM tidak menemui sebarang bukti yang diperlukan,” sumber itu dipetik sebagai berkata.

    Sumber SPRM semalam memberitahu Malaysiakini bahawa tiada serbuan terhadap rumah dan pejabat Sivakumar tetapi hanya “lawatan”.

    Sumber itu juga memberitahu portal itu bahawa SPRM tidak menolak kemungkinan mengambil keterangan menteri sekali lagi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

    SPRM menyerbu pejabat Kementerian Sumber Manusia (KSM) di Putrajaya pada Khamis dan menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.

    Sehari kemudian, agensi antirasuah itu menahan setiausaha sulit Sivakumar pula dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

    Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan agensi pekerja asing.

    Beberapa laporan sebelum ini mengesahkan bahawa menteri telah memberi keterangan hampir sembilan jam di pejabat SPRM.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam berkata tiada keperluan untuk Sivakumar direhatkan berhubung siasatan yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Anwar berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat telahan sendiri memandangkan ia masih dalam siasatan dan tiada sebarang pertuduhan yang dibuat setakat ini.

  • Dikeluarkan daripada rancangan Aidilfitri RTM, Dayangku Intan minta Fahmi beri penjelasan

    Dikeluarkan daripada rancangan Aidilfitri RTM, Dayangku Intan minta Fahmi beri penjelasan

    PENYANYI popular era 1980-an, Dayangku Intan mendakwa persembahannya dalam Konsert Glam Raya yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena sambutan Aidilfitri ini, dikeluarkan.

    Dayangku Intan atau nama sebetulnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid bagaimanapun berkata, dia tidak pasti mengapa keputusan itu dibuat dan hanya dimaklumkan bahawa setiap individu yang akan menyertai program RTM akan diperiksa latar belakang.

    Menurutnya, perkara itu hanya dapat disahkan selepas mendapati poster terbaru program yang akan disiarkan pada 22 April depan itu tidak disertakan gambarnya.

    “Saya dah diberitahu sebelum itu, tetapi untuk dapatkan kepastian, apabila poster itu dikeluarkan, gambar saya tiada, bermakna sudah sah saya dikeluarkan daripada program tersebut,” katanya menurut laporan MalaysiaNow.

    MalaysiaNow masih menunggu komen daripada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berhubung perkara itu.

    Dayangku Intan yang terkenal dengan lagu “Senandung Hari Raya Untukmu”, berkata segala-galanya telah selesai daripada rakaman sehinggalah raptai.

    “Kita dah siap rakam, sudah buat raptai, kita dah buat semuanya untuk persembahan, ramai peminat saya dari Perak, Kuala Lumpur, Selangor turut hadir tapi dikeluarkan rakaman itu, maknanya ia disunting keluar kemudian.”

    Ditanya sama ada keputusan mengeluarkan persembahannya daripada program itu mempunyai kaitan dengan tindakannya menyertai PAS yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) Disember lalu, beliau bagaimanapun enggan membuat spekulasi.

    Bagaimanapun, Dayangku berharap Fahmi dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini memandangkan penyanyi itu mendakwa masih belum menerima alasan yang kukuh berhubung keputusan tersebut.

    “Saya pun ingin tahu kenapa saya dikeluarkan daripada rancangan ini, kenapa saya diblok di RTM.

    “Perkara ini tiada hitam putih, cuma diberitahu saya dikeluarkan dan penjelasan yang saya dapat ialah perlu periksa latar belakang,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau turut dimaklumkan bahawa kemungkinan nyanyiannya tidak akan disiarkan di radio memandangkan penampilannya di TV dihalang.

    “Tetapi maklum balas yang saya terima, ada yang memberitahu lagu-lagu saya masih disiarkan di radio, mungkin hanya radio swasta.

    “Saya hanya dimaklumkan sesiapa yang masuk program TV RTM, mereka akan disiasat latar belakang, tetapi maksud sebenarnya saya pun tidak tahu,” tambahnya.

  • Kasih nenek sempat selamatkan cucu sebelum maut dirempuh motosikal

    Kasih nenek sempat selamatkan cucu sebelum maut dirempuh motosikal

    KASIH seorang nenek terhadap cucunya berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu daripada ajal selepas mereka dirempuh motosikal ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan UMS berhampiran Kampung Rampayan, Manggatal, di Kota Kinabalu, pagi tadi.

    Namun, dalam kejadian 8.45 pagi itu, wanita berusia 56 tahun tersebut cedera di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Penunggang motosikal berusia 46 tahun yang cedera di kepala turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Sementara itu, cucu perempuan wanita terbabit berusia sembilan tahun dan pembonceng wanita berusia 47 tahun hanya cedera ringan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, siasatan awal mendapati penunggang motosikal bersama teman wanitanya bergerak dari arah Indah Permai menuju ke 1Borneo.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang wanita tiba-tiba melintas jalan bersama cucunya.

    “Penunggang motosikal gagal mengelak dan terus merempuh wanita terbabit sebelum terbabas ke bahu jalan.

    “Kanak-kanak perempuan hanya mengalami kecederaan ringan selepas sempat ditolak oleh neneknya bagi mengelakkan daripada dilanggar motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut Mohd Zaidi berkata, pembonceng motosikal mengalami kecederaan ringan di muka dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

    Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Wanita dan 2 lelaki disyaki dera, rogol budak perempuan 7 tahun dicekup

    Wanita dan 2 lelaki disyaki dera, rogol budak perempuan 7 tahun dicekup

    DUA lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit merogol dan mendera kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditahan polis, pagi semalam.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim, tangkapan itu dilakukan selepas seorang lelaki menemui mangsa di tepi jalan seorang diri dalam keadaan tidak terurus dan membawanya ke balai polis di daerah berkenaan pada pukul 11.50 pagi semalam.

    “Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Manjung bagi tujuan rawatan.

    “Hasil pemeriksaan pihak perubatan mendapati, mangsa dipercayai dirogol dan didera kerana terdapat kesan kecederaan lama serta baharu pada badan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Boo Khim berkata, sepasukan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menahan dua lelaki dan seorang wanita di perkarangan balai polis pada pukul 9.30 malam semalam kerana disyaki terbabit dalam kes itu.

    “Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 26 hingga 40 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Mereka direman hingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2021 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Kompetensi Sanusi membimbangkan PH-BN

    Kompetensi Sanusi membimbangkan PH-BN

    TIMBALAN Ketua Dewan Ulamak Pas, Zulkifli Ismail berkata, kompetensi dan prestasi cemerlang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor membimbangkan pemimpin PH-BN sehingga diserang dari pelbagai sudut.

    Beliau berkata, Sanusi merupakan seorang yang mempunyai visi yang sangat jauh di dalam kepimpinan beliau terhadap Kedah.

    “Sehingga di bawah kepimpinan beliau kita melihat pelaburan begitu besar di negeri Kedah. Kemajuan Negeri Kedah sangat jelas di bawah pentadbiran beliau, kepimpinan yang mempunyai visi dan mempunyai kemampuan, kompentensi untuk melaksanakan visi. Ini ada pada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Sanusi.

    “Justeru itu beliau sebagai pemimpin yang diamanahkan oleh Pas untuk menerajui Kerajaan Negeri Kedah, sebagaimana pemimpin-pemimpin yang diamanahkan oleh Pas daripada Menteri Besar Menteri Besar Pas untuk menerajui kerajaan di negeri masing-masing, adalah merupakan daripada kalangan pemimpin-pemimpin yang memiliki ciri-ciri kepimpinan yang baik,” katanya, menurut laporan Harakahdaily.

    Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, dalam suasana yang ada pada hari ini kepimpinan seperti Sanusi sangat digeruni oleh musuh-musuh politik PN kerana mereka yang berada dalam PH tidak mempunyai ciri-ciri tersebut.

    “Mereka hanya bercakap dan kemudiannya melakukan pembohongan kepada rakyat dan di dalam melaksanakan tugas tidak ada kemampuan, tak ada kompetensi langsung.

    “Sehingga mereka dilihat oleh rakyat dalam tempoh 100 hari apa ini gagal untuk mereka memimpin negara kita ini keluar daripada krisis.

    “Sehingga pandangan-pandangan rakyat yang dilontarkan kepada mereka tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Itu menunjukkan pemimpin yang sangat lemah,” katanya.

    Tambah beliau, mereka juga bimbang dengan kepimpinan yang baik yang ditunjukkan oleh Sanusi.

    “Dan mereka melihat Datuk Seri Sanusi ni kalau terus beliau memimpin Kedah sebagai Menteri Besar menjadi poster boy di dalam pilihan raya yang akan datang ini, mereka tahu mereka tidak mempunyai sebarang harapan untuk mendapat sokongan rakyat di negeri Kedah dan begitulah juga di negeri-negeri yang lain,” ujarnya kepada Harakahdaily.

    Beliau juga melihat situasi serangan bertubi-tubi terhadap Sanusi adalah merupakan suatu tindakan yang terancang untuk ‘membunuh’ karaker Menteri Besar Kedah itu.

    “Sebab itu saya mengharapkan supaya beliau secara khusus yang mempunyai kesabaran dan juga sikap keteguhan yang tinggi untuk tidak tunduk kepada serangan serangan ini.

    “Dan begitu juga kita memang di dalam Perikatan Nasional di dalam Pas, serangan-serangan yang dibuat dan juga persepsi generatif yang dicipta itu memang kita anggap benda tu mengarut semua yang kita tidak melayannya,” tambahnya.

  • Gadis joli RM8,200 guna kad debit curi tak mengaku salah

    Gadis joli RM8,200 guna kad debit curi tak mengaku salah

    SEORANG gadis tular dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana mencuri kad debit serta mengeluarkan wang tanpa pengetahuan pemiliknya pada Mac lalu.

    Memetik laporan UtusanTV, tertuduh, Nur Humaira Shanuk Haziki mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nadia Othman, tengah hari tadi.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga menganggur didakwa dengan niat telah melakukan capaian tanpa kuasa, dan telah melakukan kesalahan mencuri kad debit milik seorang mangsa berusia 26 tahun.

    Gadis berusia 21 tahun itu juga didakwa mengeluarkan wang tanpa pengetahuan mangsa sebanyak RM8,200.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah seksyen 4(3) akta sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum pemjara selama 10 tahun atau denda tidak melebihi RM150,000 atau kedua-duanya.

    Dalam pada itu, mengikut pertuduhan pilihan tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang sejumlah RM8,200 yang dikeluarkan daripada akaun bank milik mangsa yang sama tanpa pengetahuannya.

    Nur Humaira Shanuk Haziki,21, dituduh atas kesalahan mencuri kad debit serta mengeluarkan wang berjumlah RM8,200 tanpa pengetahuan pemiliknya pada mac lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid
    Kedua-dua kesalahan itu didakwa didakwa dilakukan di Regalia Residence di Chow Kit, Kuala Lumpur, pada 23 Mac 2023 sehingga 24 Mac 2023.

    Tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun selain sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Superintenden Nom Phot Prakdit tidak menawarkan sebarang jumlah jaminan dan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

    Manakala tertuduh dalam rayuannya sekadar memohon mahkamah agar dibenarkan jaminan yang minimum.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua orang penjamin daripada ahli keluarga.

    Majistret Nadia turut mengarahkan tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

    Mahkamah menetapkan 18 Mei ini bagi sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh melantik seorang peguam bagi mewakili dirinya pada tarikh itu.

    Sebelum ini pada 14 April lalu, UtusanTV melaporkan seorang gadis ditahan selepas disyaki mencuri duit ahli keluarganya dengan mengeluarkan wang daripada kad debit yang dicuri.

    Susulan penahanan itu, polis turut merampas sekeping kad mesin teler automatik (ATM) milik mangsa dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro yang dipercayai dibeli dengan menggunakan wang mangsa.

  • Hanya bayar RM50 bagi saman trafik sehingga 21 Mei – PM

    Hanya bayar RM50 bagi saman trafik sehingga 21 Mei – PM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan kadar khas bayaran saman selama sebulan mulai Jumaat, 21 April ini sehingga 21 Mei depan bagi semua saman trafik.

    Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga hanya RM50.

    Bagaimanapun beliau menjelaskan, kadar khas itu adalah bagi kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya.

    Selain itu katanya, kadar khas tersebut tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan tahun ini.

    “Walaupun begitu, PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutama pada musim perayaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, PDRM akan melaksanakan Op Lancar selama dua hari sehingga esok bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

    Beliau berkata, Op Lancar akan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.

    “Selanjutnya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

    “Bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memastikan laluan-laluan hotspots seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas,” jelas beliau.

  • Kes Sivakumar dan Zahid buktikan ‘sikap terpilih’ Anwar, kata Razali

    Kes Sivakumar dan Zahid buktikan ‘sikap terpilih’ Anwar, kata Razali


    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mengamalkan sikap terpilih berhubung usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

    Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, penentangan Anwar terhadap rasuah dan salah guna kuasa hanya membabitkan musuh politik sahaja, tetapi tidak rakan “sekufu”.

    “Sikap Anwar terhadap banteras rasuah dan salah guna kuasa memang terpilih. V Sivakumar tidak boleh diambil tindakan kerana hanya disiasat bukan dituduh.

    “Tetapi Ahmad Zahid Hamidi dituduh 47 kes pun tak buat apa juga, sementelah lagi nak ambik tindakan dan sebagai timbalan perdana menteri,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Razali berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar yang berpendapat menteri sumber manusia itu tidak perlu direhatkan selepas pegawainya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Semalam media melaporkan bahawa perdana menteri berkata, tiada keperluan untuk Sivakumar direhatkan berhubung siasatan yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Anwar berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat telahan sendiri memandangkan ia masih dalam siasatan dan tiada sebarang pertuduhan yang dibuat setakat ini.

    “Dalam kes khususnya menteri sumber manusia V Sivakumar, itu tak wajar kita berikan apa-apa telahan selain daripada kenyataan yang beliau dipanggil untuk berikan jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan oleh SPRM,” katanya kepada pemberita.

    Mengulas lanjut Razali berkata, usaha untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Anwar sekadar retorik bagi mengaburi mata rakyat.

    “Justeru itu penentang terhadap rasuah dan salah guna kuasa hanyalah khusus kepada pesaing politik sahaja tapi kalau terkena rakan sekutu dianggap fitnah.

    “Kesimpulannya memerangi rasuah dan salah guna kuasa hanyalah retorik bagi kaburkan rakyat untuk raih undi pilihan raya sahaja,” katanya lagi.