Author: Wartawan WartaRakyat

  • Wanita ditemui trauma tepi jalan, polis tahan suspek rogol

    Wanita ditemui trauma tepi jalan, polis tahan suspek rogol

    SEORANG lelaki ditahan polis selepas dipercayai merogol seorang wanita yang ditemui dalam keadaan trauma di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park, Ipoh kelmarin.

    Ketua Polis Ipoh, Datuk Yahaya Hassan, berkata wanita tempatan berusia 38 tahun itu ditemukan orang awam sedang menangis, selain mengalami luka di kaki.

    Menurutnya, penemuan wanita itu kemudian dilaporkan ke Balai Polis Sungai Senam sebelum sepasukan polis daripada balai terbabit ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

    Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dirogol di rumahnya oleh seorang lelaki tidak dikenali yang juga warga tempatan sebelum mangsa berjaya melarikan diri.

    “Kecederaan di bahagian kaki mangsa akibat terjatuh dari tempat tinggi.

    “Tindakan pantas pasukan polis daripada balai terbabit berjaya memberkas suspek berumur 43 tahun di rumah mangsa,” katanya menurut Berita Harian.

    Katanya, polis merampas beberapa barangan bersama suspek termasuk senjata seperti gunting, pisau, dan kuku kambing, manakala semakan mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah narkotik lampau.

    “Ujian saringan air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

    “Polis mendapat perintah tahanan reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol dan mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

  • JHEAIK galakkan umat Islam di Kedah pakai pelitup muka ketika solat sunat Aidilfitri

    JHEAIK galakkan umat Islam di Kedah pakai pelitup muka ketika solat sunat Aidilfitri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ORANG ramai yang menunaikan solat sunat Aidilfitri di setiap masjid mahu pun surau dalam negeri ini pada 1 Syawal nanti digalakkan untuk memakai pelitup muka.

    Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Datuk Abd. Ghani Zainudin, pihaknya amat menggalakkan seluruh umat Islam berbuat demikian atas nasihat dan pandangan dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

    Katanya, nasihat itu selaras dengan saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal dan dicegah.

    “Covid-19 belum reda sepenuhnya bahkan masih berlaku peningkatan kes positif di seluruh negara. Dengan mengambil kira situasi terkini, maka sewajarnya keadaan ini dipandang serius semua pihak.

    “Selain itu, kontak sosial tentunya akan bertambah apabila umat Islam di seluruh pelusuk negara pulang ke kampung dari pelbagai lokasi dan tempat.

    “Sehubungan itu, JHEAIK dengan nasihat dan pandangan dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah amat menggalakkan orang ramai agar memakai pelitup muka ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri di mana-mana masjid dan surau seluruh Kedah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau dalam pada itu turut menasihatkan agar semua pihak menjadi prihatin dan mengambil langkah sewajarnya bagi membasmi wabak penyakit ketika menyambut hari raya serta penganjuran rumah terbuka.

    “Semoga usaha ini dapat membantu kerajaan dalam membanteras wabak serta menamatkan rantaian virus Covid-19 dari merebak.

    “Mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia dan Kedah dipelihara dari musibah dan dapat meraikan hari raya dengan penuh ketakwaan, sejahtera dan aman damai,” katanya.

  • PRN 6 negeri penentu akar umbi UMNO terima DAP atau tidak – Ismail Sabri

    PRN 6 negeri penentu akar umbi UMNO terima DAP atau tidak – Ismail Sabri

    BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan pilihan raya di enam negeri bakal menjadi penentu sama ada akar umbi parti itu boleh menerima kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang disertai DAP atau sebaliknya.

    Beliau yang juga bekas perdana menteri berkata, penilaian melalui PRN perlu memandangkan kerjasama dengan DAP dibuat secara mengejut iaitu seminggu selepas keputusan PRU15 berikutan dua parti itu mempunyai sejarah panjang permusuhan.

    “Dari segi kajian kita tak ada, kita (UMNO) dengan DAP hubungan tidak pernah bersama. Perjuangan kita berbeza dengan UMNO dan DAP…macam kalau laluan satu ke kanan satu kiri, seminggu selepas PRU kita bentuk kerajaan bersama.

    “Terkejut itu memang terkejut, soal penerimaan (akar umbi) sampai hari ini kita tak buat kajian, tapi mungkin PRN nanti akan memberi gambaran,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan, perjuangan dan sikap orang UMNO terhadap DAP amat jelas apabila mereka tidak boleh menerima parti itu.

    “DAP sejak dahulu lagi tidak boleh menerima UMNO tetapi tiba-tiba seminggu selepas pilihan raya, kita kerjasama, sebab itu saya katakan kawin kena bercinta dulu, sekurangnya kita kenal sudah lama,” katanya kepada media di program beli belah baju raya bersama 41 penghuni Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Keramat.

    Beliau berkata, demikian ketika ditanya sejauh mana akar umbi UMNO boleh menerima kerjasama dengan DAP selepas empat bulan membentuk kerajaan perpaduan.

    Katanya, berbanding kerjasama dengan Pas sebelum ini, ia dibuat lebih lama melalui Muafakat Nasional (MN) dan mempunyai struktur jawatankuasa dari peringkat atasan sehingga bawahan, berbanding PH.

    “Dengan Pas, kita ada jawatankuasa sehingga di peringkat bahagian kerjasama UMNO-Pas, kalau bulan puasa boleh buat majlis berbuka bersama…ibadah qurban bersama, ia tak sama (kerjasama dengan PH),” katanya.

    Mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari bahawa orang Malayu lebih menyokong Perikatan Nasional (PN) berbanding UMNO, Ismail Sabri berkata, itu pandangan pemimpin DAP sebab parti itu ada penilaian sendiri.

    “Tengok keputusan pilihan raya, kita tak tahu itu mungkin andaian dia seperti itu, dan UMNO bukan berdiam diri sahaja, teruskan bekerja pastikan kemenangan dan kita ada kepimpinan baharu, ada perancangan baharu, itu andaian Aziz.” katanya.

  • Dakwa kerajaan PH-BN gagal, Rakyat diajak sokong PN pada PRN

    Dakwa kerajaan PH-BN gagal, Rakyat diajak sokong PN pada PRN

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Dr Dominic Lau menggesa rakyat menggunakan kuasa undi mereka bagi memberi pengajaran kepada kerajaan campuran PH-BN yang gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam menyelesaikan masalah rakyat.

    Beliau yang juga Presiden Gerakan menegaskan, untuk itu pengundi perlu bangkit menyokong PN pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Menurutnya, banyak masalah dihadapi rakyat, namun sehingga kini kerajaan dilihat menuding jari kepada kerajaan terdahulu tanpa memberi jalan penyelesaian.

    “Tanggungjawab kerajaan untuk memberi jalan penyelesaian dan menyelesaikan masalah rakyat termasuk isu inflasi, harga barang naik, pengurangan harga tiket ke Sabah dan Sarawak, namun malangnya kerajaan tidak mempunyai kecekapan dan ilmu bagi mengatasi masalah berkenaan.

    “Jadi kita minta supaya PRN akan datang, ia sangat penting bukan hanya diadakan lima tahun sekali, tetapi ia seharusnya menunjukkan rasa tidak puas hati pada kerajaan campuran itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Mengulas lanjut Dominic berkata, beliau yakin kerajaan MADANI sedar masalah dihadapi rakyat, namun sengaja memilih untuk tidak memahami perkara itu dan membiarkan ia tanpa jalan penyelesaian.

    “Kita dapat banyak laporan, tahun ini rakyat mengadu susah, tidak cukup duit kerana perlu menyediakan kelengkapan persekolahan dan menyambut Aidilfitri terutama mereka dalam kalangan B40.

    “Walaupun isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah dibahaskan dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat, tetapi kerajaan campuran membuat keputusan supaya tidak menerima cadangan PN.

    “Malah peniaga juga mengeluh perniagaan mereka tidak seperti dulu, ini disebabkan rakyat tidak berbelanja. Bagaimana mahu berbelanja kalau duit tiada,” katanya.

    Sementara itu, Dominic berkata, kenyataan dikeluarkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan juga seperti tindakan ‘meludah ke langit’.

    “Dulu kata kalau jadi kerajaan boleh turunkan harga tiket ke Sabah dan Sarawak sehingga RM199, namun kini Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) seperti lupa dan tiada tindakan agresif diambil bagi mengawal harga tiket.

    “Mereka juga pernah mempersoalkan apa logik meminta rakyat membeli tiket awal untuk pulang ke kampung bagi mendapatkan harga murah, namun selepas menjadi kerajaan perkara sama suruh rakyat lakukan,” katanya.

  • Muhyiddin mohon ketepi empat pertuduhan salah guna kuasa

    Muhyiddin mohon ketepi empat pertuduhan salah guna kuasa

    BEKAS perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan untuk mengetepikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

    Peguam ahli Parlimen Pagoh itu, Chetan Jethwani mengesahkan permohonan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, Chetan berkata salinannya juga telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.

    Muhyiddin juga memohon menangguhkan kes jenayah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sementara menunggu keputusan permohonannya itu.

    Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terdapat empat pertuduhan salah guna kuasa dan pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM232 juta.

  • Pembantu ADUN Bersatu disiasat kerana pecah amanah

    Pembantu ADUN Bersatu disiasat kerana pecah amanah

    POLIS menahan seorang pembantu kepada ADUN Bersatu Selangor bagi membantu siasatan kes pecah amanah jenayah berjumlah RM533,440.

    Free Malaysia Today dalam laporannya memetik sumber berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan bersama dua yang lain termasuk isterinya pada 10 April lalu.

    Difahamkan ketiga-tiga mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

    “Polis sedang menyelesaikan siasatan dan akan menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya tidak lama lagi,” kata sumber itu kepada FMT, sambil menambah ADUN itu bukan suspek dalam kes berkenaan.

    Sumber itu berkata, pada Julai 2022, pembantu ADUN itu menjemput mangsa, seorang pengarah syarikat, untuk membida kontrak RM1.7 juta bagi menganjurkan program Kementerian Belia dan Sukan di Perak.

    Mangsa diminta membayar komisen 3% dan membida projek itu melalui NGO yang dikaitkan dengan pembantu berkenaan.

    Bagaimanapun, selepas menerima bayaran, mangsa menyedari dia mengalami kekurangan wang sebanyak RM533,440, kata sumber itu.

    Mangsa dikatakan mendapati jumlah itu dipindahkan oleh NGO itu kepada sebuah syarikat milik isteri suspek.

    Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah.

    FMT telah menghubungi ADUN berkenaan bagi mendapatkan komen.

  • Anggota polis putus jari digigit lelaki positif dadah

    Anggota polis putus jari digigit lelaki positif dadah

    SEORANG anggota polis putus jari manis digigit seorang lelaki yang menyerang dan menceroboh Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, ketika kejadian beberapa anggota polis sedang bertugas sebelum didatangi seorang lelaki tempatan di hadapan pos berkenaan pukul 10.15 malam.

    “Suspek berusia 34 tahun itu kemudian menjerit mahu menyimbah asid sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru masuk ke dalam perkarangan balai polis.

    “Malah, suspek juga membaling satu tin minuman tenaga ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Zam Halim berkata, berlaku pergelutan antara suspek bersama anggota polis berkenaan ketika mereka cuba membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan.

    “Suspek bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang anggota polis berkenaan sehingga putus pada bahagian hujung jari.

    “Suspek yang turut mengalami kecederaan ringan kemudian berjaya ditahan. Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes penipuan,” katanya.

    Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin.

    “Difahamkan suspek pernah mendapat rawatan psikiatrik pada 2020 tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

    “Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 21 April nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 325/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967,” katanya.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • UMNO menumpang kasih dalam kerajaan, kata Tok Mat

    UMNO menumpang kasih dalam kerajaan, kata Tok Mat

    KEBERADAAN UMNO di dalam kerajaan hanyalah seperti menumpang kasih dan sekiranya parti itu menarik sokongan ia tidak akan memberi sebarang kesan, kata timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Beliau yang juga menteri pertahanan mengingatkan ahli UMNO supaya sedar diri dan tidak berkelakuan seperti ketika parti itu memerintah negara ini dulu.

    Katanya, ini terutamanya selepas parti Melayu itu mencatatkan prestasi mengecewakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada November tahun lepas apabila hanya mampu memperoleh 26 kerusi Parlimen.

    Ia merupakan prestasi terburuk yang pernah dicatatkan parti itu sejak penubuhannya.

    “Kita ini dalam kerajaan menumpang kasih saja.

    “Kalau kita keluar esok pagi pun dengan 30 kerusi, kerajaan takkan tumbang,” katanya dalam satu wawancara bersama UMNO Online baru-baru ini.

    “Sebab kerajaan ada 148 (kerusi). Tak tumbang, jadi jangan acah-acah. Orang tidak takut. Jadi berperangai elok-elok.”

    Baru-baru ini, bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan keberadaan parti Melayu itu dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “kahwin paksa”.

    Katanya, keretakan dalam gabungan antara Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) itu sudah boleh dilihat apabila sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan UMNO Johor menegur beberapa pemimpin DAP dan PKR kerana melontarkan komen yang dianggap sebagai menghina parti Melayu itu.

    “Setakat ini, baru permulaan. Kita tengoklah. Saya tak mahu komen lebih.

    “Tapi dah ada dah, DAP komen tentang UMNO, UMNO komen tentang DAP,” kata bekas perdana menteri itu.

    Sementara itu, Mohamad yang juga ahli Parlimen Rembau turut mengingatkan ahli partinya supaya tidak berlagak seperti menang pilihan raya dan mula memperbaiki imej UMNO yang mula mencatatkan trend penurunan sokongan sejak PRU11 pada 2004.

    “Kadang-kadang kita lupa, kita berlagak macam kita menang. Kita tidak berubah mengambil sikap orang kalah.

    “Jangan cerita mengenai hala tuju. Bila orang dah lemas mana ada hala tuju. Hala tuju dia (UMNO) adalah untuk hidup,” katanya.

    Mengulas mengenai kedudukan UMNO dalam kerajaan, Mohamad menyifatkan ini sebagai takdir Allah apabila BN yang menang 30 kerusi berupaya jadi kerajaan manakala Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 74 kerusi tidak dapat berbuat demikian.

    Beliau turut menyarankan supaya UMNO menggunakan peluang ini untuk membina semula kekuatan parti secara diam-diam dengan mengambil hati rakyat semula.

    “Kalau sesiapa jadi menteri atau timbalan menteri, urus baik-baik supaya orang boleh melihat kualiti pemimpin menteri UMNO ini lebih baik dari menteri lain.

    “Lebih baik jadi penyemak imbang di dalam berbanding di luar.

    “Itu yang sedang kita lakukan, menyemak imbang kerajaan dari dalam,” tambah beliau.

  • 76 mat rempit ditahan dalam 206 operasi banteras lumba haram

    76 mat rempit ditahan dalam 206 operasi banteras lumba haram

    SERAMAI 76 mat rempit berusia 16 hingga 36 tahun ditahan polis Pulau Pinang dalam 206 operasi yang dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram di seluruh negeri itu sejak September tahun lalu hingga 31 Mac lalu.

    Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 5,009 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan aktiviti lumba haram.

    Menurut beliau, pihaknya turut mengenal pasti beberapa lokasi panas yang kerap dijadikan tempat mat rempit berlumba dan operasi berterusan dijalankan di kawasan terbabit dalam usaha membanteras lumba haram.

    Bagaimanapun tambah beliau, pihaknta mendapati terdapat trend penurunan dalam aktiviti mat rempit sejak kebalakangan ini hasil penguatkuasaan dan pencegahan berterusan polis bersama agensi penguatkuasaan lain sejak Julai tahun lalu.

    ”Namun, masih ada individu yang didapati merempit untuk tujuan berseronok dan tindakan telah diambil kepada individu-individu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Terdahulu, Mohd. Shuhaily mempengerusikan mesyuarat perancangan strategi memerangi lumba haram dan mat rempit peringkat Kontijen Pulau Pinang bersama beberapa jabatan dan agensi di IPD Timur Laut.

    Antara agensi yang terlibat dalam mesyuarat itu antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Alam Sekitar (JAS); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ; Universiti Sains Malaysia (USM); Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

    Dalam pada itu, menurut Mohd. Shuhaily, mesyuarat memerangi aktiviti lumba haram hari ini merumuskan peranan jawatankuasa pencegahan dan penguatkuasaan perlu diteruskan serta dipertingkatkan dengan menambah baik beberapa perkara.

    Antaranya, kata beliau, berkaitan prosedur dan hukuman di bawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya tindakan lebih ketat dikenakan kepada mat rempit dan penggubalan undang-undang khusus ke atas ibu bapa, penjaga (pesalah samseng jalanan) dan penonton.

    Jelas beliau, mesyuarat itu mencadangkan supaya kadar hukuman saman ke atas pengubahsuaian motosikal dinaikkan dan undang-undang supaya tindakan boleh diambil ke atas bengkel pengubahsuaian komponen, struktur dan asas kepada kenderaan digubal.

  • Sivakumar disoal siasat SPRM kali kedua

    Sivakumar disoal siasat SPRM kali kedua

    MENTERI Sumber Manusia, V Sivakumar disoal siasat pihak berkuasa sekali lagi Isnin lalu sebagai sebahagian siasatannya ke atas pengambilan pekerja asing.

    Free Malaysia Today dalam laporannya yang memetik sumber berkata, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat Sivakumar buat kali kedua dua hari lalu, selepas dia disoal siasat selama beberapa jam di ibu pejabat SPRM Ahad lalu.

    Sumber itu bagaimanapun tidak mendedahkan tempat pertemuan kedua berkenaan.

    “Penyiasat akan terus mengumpul maklumat berhubung jejak wang itu,” kata sumber.

    Dalam pada itu, seorang pegawai Sivakumar menafikan menteri itu dipanggil semula SPRM. Isnin lalu, Sivakumar menafikan SPRM menggeledah rumahnya, sebaliknya menyifatkan ia sebagai “lawatan”.

    Difahamkan, fokus utama penyiasat kini adalah membuktikan jejak wang itu, selepas seorang ahli perniagaan yang ditahan SPRM didakwa mengaku mengutip wang daripada kontraktor untuk pegawai kementerian.

    Walaupun jumlah sebenar tidak diketahui, sumber mendakwa jutaan ringgit mungkin dibayar bagi memastikan kontraktor mengekalkan kontrak yang diperoleh di bawah kerajaan terdahulu.

    “Penyiasat akan memanggil sesiapa saja yang mereka syak terlibat dalam jejak wang itu, dan mereka akan menyiasat sesiapa saja yang dikatakan telah didekati ahli perniagaan itu berhubung kontrak terbabit,” kata sumber itu.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menggesa semua pihak mengelak membuat spekulasi berhubung kes itu dan memberi masa kepada agensi itu menyelesaikan siasatannya.

    Selain ahli perniagaan itu, SPRM turut menahan dua pegawai kanan Sivakumar. Ketiga-tiganya dibebaskan daripada reman pada Isnin lalu.

    Sivakumar menggantung tugas kedua-duanya dan seorang lagi pegawai kementerian itu.