Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dr.Mahathir sedia bekerjasama dengan Muhyiddin

    Dr.Mahathir sedia bekerjasama dengan Muhyiddin

    TUN Dr Mahathir Mohamad sedia bekerjasama dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin jika kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

    Kenyataan terbaru bekas Perdana Menteri itu membayangkan kedua-dua tokoh berkenaan boleh kembali duduk semeja selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Dr. Mahathir berkata, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.

    Katanya, orang Melayu yang berpecah mengikut perjuangan parti politik berbeza mengakibatkan kaum majoriti ini semakin lemah dan sukar untuk memperbetulkan keadaan.

    “Kita nak adakan kerjasama, tetapi matlamat mesti ditentukan. Kita berpecah jadi banyak-banyak parti, kita hilang kuasa. Bila hilang kuasa, kita tidak boleh betulkan keadaan yang merugikan orang Melayu. Sebab itu kita perlu bersatu,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama portal MalaysiaNow.

    Muhyiddin Yassin

    Pada 2016, Bersatu ditubuhkan selepas Muhyiddin dan beberapa pemimpin UMNO dipecat daripada parti itu selepas secara terbuka mengkritik isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Penubuhan Bersatu dilakukan bersama Dr. Mahathir yang dilantik sebagai pengerusi sebelum parti itu menyertai gabungan politik PH yang akhirnya berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

    Dua tahun kemudian, Dr.Mahathir dipecat daripada Bersatu selepas berlaku perubahan kerajaan menerusi Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH tumbang dan digantikan dengan kerajaan PN dipimpin oleh Muhyiddin.

    Dalam pada itu, Dr.Mahathir berkata, sukar untuk dirinya bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mempunyai perjuangan yang berbeza.

    Menurut Dr. Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi, Anwar dilihat sebagai individu yang tidak begitu serius dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.

    “Bahkan berkenaan dengan agama pun, nampak pandangan dia bukan pandangan yang diterima orang Melayu. Sebab itu saya tidak boleh kerjasama dengan dia.

    “Saya sedia bekerjasama dengan orang yang faham dengan orang yang faham dengan masalah besar dihadapi orang Melayu,” tegas beliau.

    Mengulas lanjut, Dr.Mahathir berkata, orang Melayu kini juga sudah tidak menyokong UMNO kerana tidak lagi yakin dengan perjuangan parti itu dalam membela nasib golongan kaum majoriti di negara ini.

    Katanya, kemerosotan undi kepada UMNO yang hanya mampu meraih 26 kerusi Parlimen pada PRU15 adalah bukti utama parti itu tidak lagi menjadi pilihan utama pengundi kaum tersebut.

    “Sebab itu kita perlu bersatu. Tetapi siapa yang pro-Bersatu? Bukanlah orang yang terlibat dengan rasuah, orang yang dikenakan hukuman penjara dan sebagainya.

    “Mereka (pengundi Melayu) sedang fikirkan tentang masalah yang dihadapi orang Melayu.

    “Mereka nak cari satu kumpulan yang boleh ambil berat terhadap masalah orang Melayu dan membuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini,” tambah beliau.

  • Usaha basmi kemiskinan perlu lebih sistematik, berkesan 

    Usaha basmi kemiskinan perlu lebih sistematik, berkesan 

    KERAJAAN  perlu mencari jalan penyelesaian segera dalam membantu sebahagian besar rakyat di negara ini keluar dari kelompok kemiskinan.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, kerajaan mempunyai keupayaan dengan menilai kembali garis kemiskinan, selari dengan standard antarabangsa.

    Dalam satu kenyataan beliau berkata,  walaupun kadar kemiskinan negara menurun dengan ketara berbanding lima dekad dahulu dengan kadar kemiskinan mutlak peringkat nasional turun daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019 ia bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan.

    “Selain itu, kadar kemiskinan di bandar menurun daripada 21.3 peratus kepada 3.8 peratus, manakala kadar kemiskinan di luar bandar menurun daripada 58.7 peratus kepada 12.4 peratus.

    “Secara keseluruhan dalam tempoh lima dekad, pertumbuhan purata ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus setahun antara 1971 hingga 2021, manakala bagi tempoh 1971 hingga 1990, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 6.7 peratus,” katanya.

    Beliau berkata, Malaysia yang megah dengan kepelbagaian bangsa dan keunikan alam semula jadi, masih lagi dilanda dilema kemiskinan yang menghantui kehidupan seharian rakyat, khususnya komuniti Melayu.

    “Isu kemiskinan tidak seharusnya dijadikan bahan politik bagi kepentingan pihak tertentu. Kita melihat bagaimana bantuan dihulurkan bukan berdasarkan kepada keperluan, tetapi berdasarkan atas aspirasi ‘parti politik’ tertentu. Penderitaan rakyat tidak sepatutnya dijadikan alat untuk meraih sokongan politik.

    “Memang suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa isu kemiskinan masih menjadi masalah utama dalam kalangan masyarakat Melayu. Pendapatan isi rumah yang jauh lebih rendah berbanding kaum lain menunjukkan adanya jurang luas yang perlu dirapatkan,” katanya.

    Mahathir berkata, usaha untuk mengatasi masalah ini perlu dilakukan dengan lebih sistematik dan berkesan agar ia benar-benar memberi impak positif dan bukan sekadar menjadi aliran yang tidak membawa kepada perubahan.

    “Walaupun kerajaan telah membentuk pelbagai agensi untuk mengatasi isu kemiskinan, persoalannya masih tetap sama, adakah pemimpin kita cukup ikhlas dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab mereka?

    “Mungkinkah kita perlu bertanya soalan yang lebih mendalam: adakah bantuan dan pertolongan yang dihulurkan oleh kerajaan benar-benar berdasarkan atas dasar kemanusiaan atau hanya sekadar gimik politik.

    “Pertama sekali, tahap gaji bagi kebanyakan individu tidak mencukupi dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak. Sejak pandemik Covid-19, kenaikan harga barang dan perkhidmatan telah menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup, sedangkan pertumbuhan gaji telah perlahan sejak beberapa dekad lalu,” katanya.

    Mahathir berkata, pendekatan kerajaan untuk mengekang kos sara hidup yang meningkat, dengan tidak menaikkan gaji, telah mendapat tentangan hebat dan kritikan daripada rakyat.

    “Inilah landskap kontemporari kita yang penuh dengan ironi pada satu pihak, kita melihat kemajuan teknologi dan ekonomi yang meroket, tetapi pada sisi lain, kita melihat sebilangan besar rakyat masih bergelut untuk memenuhi keperluan asas mereka setiap hari.

    “Di sinilah terletaknya keperluan untuk menyemak semula pendekatan kita terhadap kenaikan kos sara hidup dan pertumbuhan gaji. Adakah kita harus melihat dengan lebih jauh daripada model ekonomi semasa dan mencari penyelesaian alternatif yang lebih adil dan berkesan?,” katanya.

    Beliau berkata,  ini bukan lagi soal keuntungan semata-mata, tetapi soal hakikat bahawa setiap rakyat berhak hidup dengan martabat dan kesejahteraan. Ini adalah soal membina masa depan di mana setiap rakyat dapat hidup dalam masyarakat yang adil dan saksama, di mana upaya mereka diberi ganjaran yang setimpal.

  • Peranan Menteri Kewangan penting tangani penyusutan Ringgit – Mohd Syahir

    Peranan Menteri Kewangan penting tangani penyusutan Ringgit – Mohd Syahir

    PERANAN dan penumpuan Menteri Kewangan dalam menangani isu penyusutan ringgit pada ketika ini amat penting khususnya bagi mengimbangi langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mengawal dasar monetari.

    Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, setakat ini masih belum kelihatan strategi daripada kerajaan yang benar-benar ampuh untuk Malaysia bertahan.

    “Inilah sebahagian daripada kegusaran kami ketika pembentukan kabinet, apabila Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan.

    “Di pihak kerajaan, kita masih menunggu formula dan strategi yang akan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi. Malah Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan dilihat sukar memberikan fokus di Kementerian Kewangan (MOF) dengan bebanan tugas yg berat sebagai Perdana Menteri di luar,” katanya dalam kenyataan labor Sinar Harian.

    Beliau berkata,  di pihak BNM dasar monetari telah diambil bagi mengimbangi risiko dalaman dan luaran, termasuklah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini.

    Menurut Mohd Syahir, penjelasan awam perlu ditingkatkan, supaya rakyat faham situasi getir yang negara sedang hadapi kini.

    Katanya, apabila ringgit jatuh, maka kos import menjadi mahal, kos bahan dan harga barangan juga meningkat.

    “Dalam tempoh enam bulan ini, ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang lain sehingga mencecah paras RM4.60/dolar AS, dan dijangka boleh mencecah paras RM5/dolar AS jika tidak dikawal. Secara umumnya, penyusutan ringgit kali ini disebabkan faktor ekonomi dan kemelut hutang di Amerika Syarikat serta ketidaktentuan ekonomi global sehingga menjejaskan permintaan terhadap semua mata wang, termasuklah ringgit.

    “Cuma lemahnya ringgit kali ini, bukan sekadar jatuh berbanding dolar AS, tetapi juga lemah berbanding dolar Singapura, baht Thailand dan rupiah Indonesia,” katanya.

  • ’Penyelesaian terakhir di mahkamah, bukan cuba tutup mulut saya’’ – Sanusi

    ’Penyelesaian terakhir di mahkamah, bukan cuba tutup mulut saya’’ – Sanusi

    WALAUPUN  ‘diserang’ bertubi-tubi oleh pemimpin PKR, UMNO dan DAP berhubung kenyataan Pulau Pinang milik Kedah, namun Muhammad Sanusi Md Nor terus tegas dengan pendiriannya.

    Terbaru bercakap kepada portal FMT, Menteri Besar Kedah itu mahu Perlembagaan dipinda bagi menyokong dakwaan beliau.

    Tegasnya,  kajian sejarah dan akademik menyokong dakwaan beliau bahawa Kedah memiliki Pulau Pinang, dan generasi sekarang perlu membetulkan “sejarah yang dijulingkan” dan meminda Perlembagaan.

    “Jika saban tahun kandungan Perlembagaan dipinda di Parlimen mengikut proses dan prosedurnya, berdasarkan keperluan dan kehendak semasa, mengapa pula penemuan kukuh hendak diketepikan hanya kerana isu kandungan Perlembagaan?” katanya kepada FMT. 

    “Yang tak boleh pinda atas dunia ini hanya al-Quran dan hadis.”

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengkritik Sanusi kerana mengulangi dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

    Anwar meminta pemimpin Pas itu memahami Perlembagaan yang menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada negeri di Semenanjung.

    Ditanya bagaimana mana dalam Perlembagaan yang perlu dipinda Sanusi berkata apa-apa kandungan yang boleh dipinda berkenaan anggota Persekutuan.

    “Kalau ada yang tak boleh pinda akan dinyatakan dengan jelas. Ada juga bab yang boleh pinda dengan kebenaran Majlis Raja-raja.

    “Ramkarpal Singh atau sesiapa saja boleh cakap apa sahaja. Bebas beri pandangan, boleh sandar pada apa saja, selama tak salah di sisi undang-undang…begitu juga saya,” katanya.

    Semalam, Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Ramkarpal Singh berkata status negeri berdaulat termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan.

    Ramkarpal berkata Perkara 71(1) Perlembagaan, yang dibaca bersama Jadual ke-8 Perlembagaan, menyatakan setiap negeri mempunyai undang-undang tubuh yang memperuntukkan kerajaan tersendiri, termasuk bagi Pulau Pinang.

    Sanusi berkata beliau tidak boleh terima dakwaan yang mempersoalkan kefahamannya tentang Perlembagaan atau dakwaan dia mempertikai Perlembagaan, mengganggu kedaulatan Pulau Pinang, dan mengurus hati rakyat negeri itu.

    “Saya akur jika penyelesaian terakhir ialah di mahkamah, bukannya cubaan menutup mulut saya atau sesiapa sahaja yang selari dengan saya,” katanya.

    Menjawab kenyataan Anwar bahawa Raja-raja Melayu memperkenan perjanjian Perlembagaan dalam isu tersebut, Sanusi meminta Anwar mengkaji sebab bayaran bagi Pulau Pinang dinaikkan daripada RM10,000 setahun kepada RM10,010,000 setahun pada 2018.

    Sanusi pada Isnin mendakwa Pulau Pinang milik Kedah dan sempadan Kedah sehingga ke Balik Pulau.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin mengakui kenyataan Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah menimbulkan “perasaan tidak senang”.

    Bagaimanapun, Hamzah berkata, isu yang dibangkitkan Menteri Besar Kedah itu adalah berdasarkan “fakta sejarah” di mana Pulau Pinang sebelum ini berada di bawah Kedah.

    ‘’Sudah lama cerita ini. Ia bukanlah kenyataan yang dibangkitkan oleh Sanusi sahaja. Tetapi, kalau kita bangkitkan isu ini pada waktu ini dia akan menyebabkan ada perasaan tidak senang (pihak lain).

    “Jadi, fakta yang sebenarnya memang betul Pulau Pinang itu milik Kedah dahulunya, tapi buat masa ini yang pentingnya adalah kita bangunkan negara kita ini biarlah kita tahu bahawa kita bersama untuk menentukan masa depan kita yang lebih baik,” katanya di Kuala Lumpur.

  • Dua pengarah syarikat direman SPRM kes seleweng RM500,000

    Dua pengarah syarikat direman SPRM kes seleweng RM500,000

    DUA pengarah dan seorang pekerja syarikat swasta direman dua hari bermula hari ini kerana disyaki memalsukan dokumen dan melakukan pecah amanah sehingga mengakibatkan kerugian dana syarikat berjumlah RM500,000.

    Perintah reman sehingga esok itu dibenarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini.

    Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berusia 40-an hingga 60-an itu ditahan di Shah Alam pukul 5 petang hingga 9 malam semalam, lapor Harian Metro.

    Sumber berkata, mereka disyaki memanipulasi dokumen dan turut membuat dokumen invois palsu sehingga menyebabkan syarikat terbabit mengalami kerugian dalam penjualan produk sarung tangan kepada sebuah syarikat pembeli.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574).

  • Kedutaan China: Kapal disyaki curi bangkai kapal perang diupah syarikat Malaysia

    Kedutaan China: Kapal disyaki curi bangkai kapal perang diupah syarikat Malaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEDUTAAN China di Malaysia mahu pihak Malaysia dapat mengendalikan kes kapal China yang ditahan kerana disyaki terlibat operasi mencuri bangkai kapal perang lama dengan adil dan mengikut undang-undang.

    Menurut jurucakap kedutaan tersebut, pihaknya dimaklumkan bahawa bahawa kapal berkenaan diupah oleh syarikat Malaysia.

    “Berdasarkan maklumat yang ada, kapal yang beroperasi di perairan Malaysia itu adalah diupah syarikat tempatan Malaysia.

    APMM menahan sebuah kapal pengangkut dari China yang membawa besi buruk dan peluru meriam lama dipercayai zaman Perang Dunia Kedua di Tanjung Siang, Kota Tinggi.

    “Kami berharap pihak Malaysia dapat mengendalikan kes ini dengan adil mengikut undang-undang, bersungguh-sungguh melindungi keselamatan dan hak serta kepentingan warga China dan melaporkan perkembangan siasatan tepat pada masanya,” menurut jurucakap kedutaan itu.

    Pada Ahad, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal pengangkut dari China yang membawa besi buruk dan peluru meriam lama dipercayai zaman Perang Dunia Kedua di Tanjung Siang, Kota Tinggi.

    Menurut kenyataan APMM yang dikeluarkan kelmarin, kapal itu pada awalnya ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia.

    Jelas APMM, peluru meriam itu dipercayai dari Perang Dunia Kedua telah ditemui pada kapal pengangkut pukal yang didaftarkan di China.

    APMM dalam satu kenyataan terbaharu di Johor Bahru malam tadi memberitahu, siasatan lanjut ke atas kapal tersebut menemukan 100 butir peluru dipercayai masih aktif dalam kapal China yang ditahan itu.

    “Maritim Malaysia tidak menolak kemungkinan kapal yang berdaftar dari Fuzhou, China ini terlibat dalam aktiviti pencurian bangkai kapal peranglama British di perairan Pahang,” menurut kenyataan itu.

  • Apakah Rafizi tiada persiapan jadi menteri? – tanya Puad Zarkashi

    Apakah Rafizi tiada persiapan jadi menteri? – tanya Puad Zarkashi

    AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Puad Zarkashi menyifatkan  Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilihat tidak melakukan sebarang langkah signifikan untuk meningkatkan ekonomi negara.

    Atas sebab itu, kata beliau, kini timbul spekulasi mengenai rombakan kabinet yang akan berlaku.

    “Rakyat belum nampak langkah signifikan yang Rafizi buat untuk ekonomi negara. Sekurang kurangnya polisi baru ekonomi rakyat.  Apakah Rafizi tiada persiapan untuk jadi menteri. Itu masalahnya bila banyak sangat formula sebelum jadi menteri. Bila jadi menteri tidak boleh biasa-biasa. Mesti luar biasa.

    “Agaknya itu punca timbul cerita akan berlaku rombakan kabinet,” kata Puad dalam satu hantaran di Facebook hari ini lapor Malaysiakini.

    Mengulas lanjut, katanya, seseorang menteri mesti “luar biasa” untuk mempertahankan kerajaan perpaduan, hari ini.

    “Bila jadi menteri tidak boleh biasa biasa. Mesti luar biasa. Jangan nanti rakyat kata Rafizi turun, ringgit naik,” katanya.

    Selain ekonomi yang lesu dan kenaikan harga barangan, ringgit pula terus jatuh dan mencecah paras RM4.6 berbanding dolar Amerika Syarikat iaitu paras terendah dalam tempoh enam bulan tahun ini.

    Walaupun dibidas oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan dan BN, serta daripada pembangkang, Rafizi sekadar berkata dia akan menunggu Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan.

    Menurutnya, bank pusat itu mempunyai pandangan jangka panjang mengenai mata wang tempatan, berbanding ahli politik yang mempunyai pandangan jangka pendek.

    Sebelum ini, Anwar juga dilaporkan berkemungkinan akan memecat menteri dan penjawat awam kanan yang “kurang cekap” dalam satu rombakan besar-besaran.

    Bagaimanapun, ketika diminta menghuraikan kenyataannya itu, Anwar menjawap secara sindiran.

    “Kalau ada cadangan sila tulis kepada saya dan saya akan beri pertimbangan yang sebaiknya,” katanya.

  • Guan Eng gesa penduduk Pulau Pinang buat laporan polis terhadap Sanusi

    Guan Eng gesa penduduk Pulau Pinang buat laporan polis terhadap Sanusi

    PENGERUSI DAP Lim Guan Eng menggesa penduduk Pulau Pinang untuk membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas dakwaannya bahawa negeri itu masih milik Kedah.

    Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata Sanusi bersikap “tidak bertanggungjawab” dan “melulu” dengan membuat dakwaan itu yang boleh menimbulkan permusuhan antara penduduk kedua-dua negeri.

    “Rakyat Pulau Pinang harus membuat laporan polis terhadap Sanusi kerana menimbulkan ketidaktenteraman awam dan cuba menimbulkan permusuhan antara penduduk Kedah dan Pulau Pinang dengan mendakwa Pulau Pinang masih milik Kedah.

    “Bukan hanya 1.8 juta rakyat Pulau Pinang, malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh juga telah menafikan Sanusi kerana gagal memahami undang-undang sehingga ke tahap tidak menghormati malah memperlekeh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Pada Isnin lalu, Sanusi dalam sidang media sekali lagi membangkitkan perkara itu apabila dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

    Beliau juga mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

    Guan Eng seterusnya menyifatkan kenyataan Sanusi boleh “mengancam keamanan dan keselamatan negara” kerana mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang dan haknya untuk wujud sebagai negeri.

    “Laporan polis harus dibuat oleh 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk mendesak tindakan terhadap Sanusi bagi melindungi Pulau Pinang dan menghalang ‘penceroboh politik’ daripada menceroboh negeri kita, demi memastikan kita dapat meneruskan kehidupan ini dengan aman dan menikmati kemakmuran,” katanya lagi.

    Beliau juga menggesa agar PAS Pulau Pinang menyatakan pendiriannya berkenaan perkara itu dan sama ada mereka setuju atau tidak dengan kenyataan Sanusi.

  • Budak redah api menjulang selamatkan bayi dalam kebakaran

    Budak redah api menjulang selamatkan bayi dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG budak berusia 12 tahun boleh boleh dianggap wira kerana meredah api menyelamatkan seorang bayi daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Parit Suratman, Parit Yaani, Batu Pahat semalam.

    Nor Azmi Khairul Azri, sanggup bergadai nyawa menyelamatkan bayi berkenaan yang juga adiknya, Haziq, dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari.

    Dia nekad bertindak demikian selepas ibunya, Nor Izura Maat, 36, menyedari adiknya itu masih berada dalam rumah selepas semua ahli keluarga sudah keluar menyelamatkan diri.

    Api marak dengan cepat di rumah kanak-kanak terssebu di Kampung Parit Suratman, Parit Yaani, Batu Pahat semalam

    Menceritakan detik cemas itu, abangnya, Hazman, 14, yang melecur di kedua-dua tapak kaki berkata, dia terlebih dahulu keluar dan ibunya menyelamatkan barangan lain dalam rumah itu.

    “Ketika itu, barulah ibu teringat adik masih dalam rumah dan Nor Azmi segera masuk meredah api sedang menjulang lalu mendukung adik keluar. Saya tidak boleh berlari lagi ketika itu kerana tapak kaki sudah melecur.

    “Pada masa kejadian, ibu menjerit supaya kami keluar menyelamatkan diri manakala Haziq berada di ruang tamu. Masing-masing ketika itu dalam keadaan kelam-kabut hingga terlupa adik masih lagi berada dalam rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

    Hamzan dan ibunya melecur kedua-dua tapak kaki kerana terpijak tikar getah panas manakala Nor Azmi hanya cedera di ibu jari kakinya.

    Anggota bomba memadam kebakaran rumah berkenaan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.35 petang semalam

    Pelajar Tahfiz Darul Qura itu berkata, sebelum kejadian dia bersama adik yang lain berada di rumah dan terhidu bau asap.

    “Saya ternampak warna kemerahan dari bilik saya dan belum sempat membuka pintu, api sudah menjulang. Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api marak begitu cepat.

    “Mujurlah semua ahli keluarga kami selamat walaupun rumah pusaka ini musnah sama sekali. Kami reda dengan kejadian itu dan menganggap ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

    Sepupu Nor Azmi iaitu Khairul Hamim melihat keadaan rumah ibu saudaranya yang musnah dalam kebakaran

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, 18 anggota dari BBP Yong Peng dan BBP Penggeram dikejarkan ke tempat kejadian.

    Anggota berkenaan katanya, dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Kedua-dua mangsa yang melecur dihantar oleh ambulans ke hospital. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi tamat pada pukul 3.35 petang,” katanya dalam kenyataan.

  • Buruh didakwa rogol remaja

    Buruh didakwa rogol remaja

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan kira-kira tiga tahun lalu.

    Muhammad Asyraf Majid, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang remaja perempuan pada ketika kejadian berusia 18 tahun tanpa kerelaan mangsa di sebuah rumah pangsa di Kampung Padang, Pokok Mangga, Melaka pukul 10.30 malam, pada 5 September 2020.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon jaminan tidak dibenarkan namun sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara pihaknya mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh bagaimanapun merayu jaminan rendah dibenarkan kerana tertuduh bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menyara seorang isteri dan anak yang masih kecil selain dia mengidap darah tinggi.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Julai depan.