PENGERUSI DAP Lim Guan Eng menggesa penduduk Pulau Pinang untuk membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas dakwaannya bahawa negeri itu masih milik Kedah.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata Sanusi bersikap “tidak bertanggungjawab” dan “melulu” dengan membuat dakwaan itu yang boleh menimbulkan permusuhan antara penduduk kedua-dua negeri.

“Rakyat Pulau Pinang harus membuat laporan polis terhadap Sanusi kerana menimbulkan ketidaktenteraman awam dan cuba menimbulkan permusuhan antara penduduk Kedah dan Pulau Pinang dengan mendakwa Pulau Pinang masih milik Kedah.

“Bukan hanya 1.8 juta rakyat Pulau Pinang, malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh juga telah menafikan Sanusi kerana gagal memahami undang-undang sehingga ke tahap tidak menghormati malah memperlekeh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

Pada Isnin lalu, Sanusi dalam sidang media sekali lagi membangkitkan perkara itu apabila dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Beliau juga mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Guan Eng seterusnya menyifatkan kenyataan Sanusi boleh “mengancam keamanan dan keselamatan negara” kerana mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang dan haknya untuk wujud sebagai negeri.

“Laporan polis harus dibuat oleh 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk mendesak tindakan terhadap Sanusi bagi melindungi Pulau Pinang dan menghalang ‘penceroboh politik’ daripada menceroboh negeri kita, demi memastikan kita dapat meneruskan kehidupan ini dengan aman dan menikmati kemakmuran,” katanya lagi.

Beliau juga menggesa agar PAS Pulau Pinang menyatakan pendiriannya berkenaan perkara itu dan sama ada mereka setuju atau tidak dengan kenyataan Sanusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here