Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bekas Eksekutif Akan firma guaman didakwa pecah amanah hampir RM1 juta

    Bekas Eksekutif Akan firma guaman didakwa pecah amanah hampir RM1 juta

    SEORANG bekas Eksekutif Akaun firma guaman didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan, di Kuala Lumpur hari ini atas sembilan pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian hampir RM1 juta, tiga tahun lepas.

    Abu Zarin Haron, 46, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun, Kamarudin Kamsun dan Sabariah Othman.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, Abu Zarin didakwa sebagai eksekutif akaun yang diamanahkan penguasaan ke atas akaun pelanggan firma, melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan sembilan cek bernilai keseluruhan RM935,630.40 tanpa pengetahuan firma bagi kegunaan sendiri, lapor BERNAMA.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tetuan Zainal Abidin & Co di Plaza Permata, Sentul, , antara 4 Sept 2020 dan 14 Okt 2021 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan sehingga kes selesai dan menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kesemua kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif dan Akmalzatul Mohamed Nawi manakala tertuduh diwakili peguam Kassim Ludin dan Ahmad Fadhli Salleh.

  • Mahkamah benar 32 penggiat seni saman PRISM Berhad

    Mahkamah benar 32 penggiat seni saman PRISM Berhad

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan seramai 32 orang penggiat seni untuk memfailkan saman ke atas Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM) Berhad bagi menuntut pembayaran royalti.

    Keputusan itu dibuat oleh hakim Ahmad Murad Abdul Aziz mengikut mengikut Seksyen 471 Akta Syarikat 2016.

    Antara penggiat seni selaku pemohon bagi kes itu adalah Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk J Sham, S Atan, Aris Ariwatan, Ibnor Riza, Azharina Azhar, Ezlynn dan Julian Blues Gang.

    Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu selesai, peguam yang mewakili kesemua pemohon Datuk Kamaruzaman Arif keputusan itu merupakan perkembangan positif bukan sahaja buat ahli PRISM, malah kepada penggiat seni yang lain.

    “Hari ini adalah keputusan yang sangat positif oleh Mahkamah Tinggi, bukan sahaja kepada ahli PRISM Berhad tetapi juga membuka lembaran baharu kepada dunia pelaku dibawah Akta Hak Cipta 1987 yang juga akan mendapat manfaat secara tidak langsung,” kata peguam itu.

    Katanya lagi, pihaknya bakal memfailkan tindakan undang-undang secepat yang mungkin ke atas PRISM Berhad bagi mengenal pasti bagaimana pengiraan pembayaran royalti itu dibuat sekiranya ada.

    “Kita mahu persoalkan dan mendapatkan ketelusan maklumat. Jadi, penjelasan akan diberikan pastinya di mahkamah berkenaan berapa jumlah wang yang telah dikutip, bagaimana kira-kira dibuat dan kenapa artis tidak mendapat bayaran?

    “Kita tahu bahawa wang itu telah dikutip pada tahun 2017 dan 2018 namun pada tahun seterusnya, kita tidak tahu samada wang royalti itu dikutip ataupun tidak,” jelasnya lagi lapo UtusanTV

    Sebelum ini pada 13 September tahun lalu, UtusanTV melaporkan 32 orang penggiat seni itu telah memfaikan satu notis usul berserta afidavit bagi mendapatkan kebenaran Mahamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memfailkan saman bagi menuntut pembayaran royalti daripada Prism Berhad. 

    Notis usul dan affidavit yang difailkan pada 9 September 2022 itu merupakan tindakan mahkamah yang julung-julung kali dibuat penggiat seni tanah air. 

    Kamaruzaman ketika itu berkata, menurut perlembagaan PRISM Berhad, bayaran royalti pelaku hendaklah diagihkan sekali dalam setahun.

  • Ahli Parlimen DAP buat laporan polis, anggap kenyataan Sanusi melampau

    Ahli Parlimen DAP buat laporan polis, anggap kenyataan Sanusi melampau

    AHLI Parlimen Jelutong RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

    Malaysiakini melaporkan, Rayer berkata Sanusi membuat kenyataan melampau apabila mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang, yang ditubuhkan dan diiktiraf sebagai negeri berdaulat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Tambahnya, Sanusi bukan sahaja mempersoalkan kesahihan perlembagaan tetapi juga kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

    “Saya membuat laporan polis ini bukan sahaja kerana hendak mempertahankan hak dan kepentingan rakyat negeri Pulau Pinang, tetapi lebih daripada itu membela keabsahan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika membuat laporan di Balai Polis Timur Laut di Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.

    Rayer ditemani Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan beberapa pemimpin DAP lain.

    Dalam laporan tersebut, Rayer mendakwa kenyataan Sanusi bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga melampau dan boleh ditafsirkan sebagai satu hasutan untuk menyebabkan huru-hara dan rusuhan di kalangan rakyat Pulau Pinang.

    “Sebagai seorang menteri besar, beliau harus bersikap bertanggungjawab dan mendapat pandangan dan nasihat daripada pakar perundangan dan bukanlah menghentam secara semberono dengan membuat ucapan secara liar dan sesuka hati sehingga boleh menyebabkan keresahan kepada rakyat Pulau Pinang, juga mengganggu gugat ketenteraman awam serta membangkitkan perasaan marah di kalangan rakyat Puau Pinang,” katanya.

    Ini adalah kali kedua Rayer membuat laporan terhadap Sanusi berhubung dakwaan bahawa “Pulau Pinang milik Kedah”. Laporan polis pertama dibuat Rayer ialah pada Februari lalu.

    Sanusi sebelum ini mengulangi dakwaan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menyokong dakwaan itu.

    Pemimpin Pas itu dilaporkan memberitahu FMT bahawa kajian sejarah dan akademik menyokong dakwaan itu dan menyeru generasi sekarang memperbetulkan “penyelewengan sejarah” dan meminda perlembagaan dengan sewajarnya.

    Bercakap kepada pemberita di luar balai polis, Lim berkata laporan itu dibuat bagi melindungi dan mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang.

    “Rayer telah membuat laporan polis, dan sebagai seorang peguam, dia tahu kenyataan Sanusi itu adalah satu hasutan yang sangat berbahaya, yang juga bercanggah dengan perlembagaan.

    “Kita semua tahu bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat, yang mempunyai ketua menteri dan ADUN sendiri, dengan sistem pentadbiran yang diperkasakan oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Lim.

    Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata Jata Negara dan jalur pada bendera menunjukkan Pulau Pinang adalah salah sebuah negeri di Malaysia.

    Dia juga bertanya mengapa persoalan mengenai kedaulatan Pulau Pinang dibangkitkan sekarang.

    “Ini adalah tahun ketiga Sanusi menjadi menteri besar Kedah. Dalam tempoh dua tahun pertama, semasa beliau menerajui negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional, tidak ada isu sebegitu.

    “Sekarang, apabila pilihan raya negeri semakin hampir, beliau sengaja membangkitkan isu sensitif ini yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat, khususnya rakyat Pulau Pinang,” kata Lim.

    Pengerusi DAP itu juga berkata Sanusi mengulangi dakwaan itu sebagai batu loncatan menjelang pilihan raya negeri.

    “Orang seperti ini berbahaya. Saya harap tindakan tegas boleh diambil terhadap beliau (Sanusi). Jika tidak ditangani, ia boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya sambil menggesa semua pihak menghormati perlembagaan dan raja-raja Melayu. .

  • Cameron Highlands bergelap

    Cameron Highlands bergelap

    SEBAHAGIAN  besar Cameron Highlands dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik sejak tengah hari tadi.

    Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan ringkas berkata, ia berpunca daripada masalah di pencawang masuk utama Bintang.

    “Pasukan teknikal kami sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik,” menurut TNB, rapor FMT.

    Pengguna Twitter Abu Atah yang baru tiba di pusat peranginan itu turut berkongsi keadaan sama.

    “Baru sampai Cameron Highlands, tiada elektrik satu Cameron, YB Datuk Timbalan Speaker?” tulisnya merujuk Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat.

    “Hampir semua Cameron Highlands tiada elektrik,” menurut August Li.

  • Lelaki didakwa bunuh kekasih hamil di Sungai Besar

    Lelaki didakwa bunuh kekasih hamil di Sungai Besar

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret  Sungai Besar hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita hamil minggu lepas.

    Tertuduh yang berusia 20 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di Jalan Benteng Laut, Jalan Sungai Limau, Sungai Besar  pada kira-kira 8.30 malam, 22 Mei, sehingga 8 pagi 23 Mei lepas. 

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.  

    Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor Ku Hayati Ku Haron manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Kashim dan Muhammad Nor Tamrin.

    Khairul Anuar memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin namun Majistret Siti Hajar berkata beberapa dokumen perlu diserahkan oleh pihak pendakwaan kepada mahkamah terlebih dahulu.

    Siti Hajar menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

    Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja-T kuning tiba di pekarangan mahkamah diiringi beberapa anggota polis dari Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID) pada 8.55 pagi.

    Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau, di sini, 22 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias dilaporkan berkata suspek yang merupakan bekas penuntut kolej membawa mangsa menaiki kereta dan bertengkar dengan wanita itu, sebelum mangsa dipukul di kepala lantas dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam.

  • Kekayaan terkumpul 50 taikun Malaysia RM376.1 bilion, Robert Krok individu terkaya

    Kekayaan terkumpul 50 taikun Malaysia RM376.1 bilion, Robert Krok individu terkaya

    KEKAYAAN terkumpul taikun dalam senarai Forbes 2023 untuk 50 individu terkaya di Malaysia meningkat kepada US$81.6 bilion daripada US$80.5 bilion pada tahun lepas walaupun mengalami penurunan dalam pasaran saham, menurut Forbes Asia. (US$1=RM4.61)

    “Selepas meningkat 8.7 peratus pada 2022 berikutan perbelanjaan pengguna domestik yang pulih, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun ini. Walaupun negara kembali pulih selepas pandemik, pasaran saham merosot 8.0 peratus sejak kekayaan diukur kali terakhir dan ringgit turut susut hampir 2.0 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

    Dalam senarai terkini, tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok, yang akan berusia 100 tahun pada Oktober ini kekal sebagai individu terkaya di Malaysia, kedudukan yang dipegangnya selama lebih suku abad.

    Kuok, yang mendapat keuntungan tertinggi dari segi dolar pada tahun ini, adalah satu daripada hanya dua individu dalam senarai dengan kekayaan dua angka sebanyak US$11.8 bilion.

    Seorang lagi ialah Tan Sri Quek Leng Chan, Pengerusi Eksekutif milik persendirian Hong Leong Group untuk cabang Malaysia, menduduki tempat kedua dengan kekayaan terkumpul sebanyak US$10.2 bilion.

    “Secara keseluruhannya, 19 kekayaan meningkat dan hampir separuh turun,” menurut Forbes Asia.

    Walaupun berada dalam kategori kedua, tokoh logam Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya kekal di tempat ketiga.

    Gabungan kekayaan mereka sebanyak US$5.8 bilion berkurangan hampir 7.0 peratus daripada $6.2 bilion pada tahun lepas, sejajar dengan kejatuhan saham syarikat mereka Press Metal Aluminium Holdings, pengeluar aluminium bersepadu yang terbesar di Asia Tenggara berikutan kos bahan mentah dan pengangkutan yang tinggi.

    Antara yang mendapat keuntungan yang tinggi dalam senarai pada tahun ini ialah duo bapa dan anak Yaw Teck Seng dan Chee Ming, yang mengawal syarikat gergasi kayu balak, Samling.

    Mereka melonjak kepada No. 16 daripada No. 32 pada tahun lepas apabila kekayaan mereka meningkat lebih dua kali ganda kepada US$1.25 bilion, berdasarkan maklumat baharu mengenai aset persendirian mereka.

    Bekas guru matematik Dr Chia Song Kun (No. 10, US$1.8 bilion), Pengerusi Eksekutif syarikat makanan laut keluarganya, QL Resources, kembali kepada kedudukan selepas jurang selama tujuh tahun apabila saham syarikat mencatatkan peningkatan hampir 20.0 peratus dan kemasukan kepentingan keluarganya yang lebih luas.

    “Dua taikun yang disokong ekuiti swasta mendapat sokongan daripada urus niaga penting,” menurut Forbes Asia.

    Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim (No. 24), yang Weststar Aviation Services mengendalikan kumpulan helikopter untuk perkhidmatan luar pesisir kedua terbesar di rantau Asia Pasifik, telah membeli semula 21 peratus kepentingan dalam firma pelaburan KKR dan kini bernilai US$825 juta, naik 27 peratus daripada tahun lepas.

    Kekayaan pengasas penyedia perkhidmatan pengebumian Nirvana Asia, Tan Sri David Kong (No. 23, US$860 juta), meningkat berikutan cadangan penjualan oleh firma ekuiti swasta CVC Capital Partners untuk kepentingannya pada anggaran penilaian sebanyak US$2 bilion.

    Lima muka baharu pada tahun ini termasuklah usahawan hartanah Chiau Beng Teik (No. 29, US$665 juta), pengasas Chin Hin Group dan Yu Kuan Chon (No. 39, US$430 juta), seorang doktor perubatan yang menguruskan YNH Property.

    Pendatang baharu yang lain ialah Ong Soon Ho (No. 32, US$630 juta), pengasas kumpulan agrokimia Hextar dan Goh Nan Kioh (No. 40, US$425 juta), yang memiliki firma pelaburan Mega First dan mempunyai kepentingan dalam D&O Green Technologies, menghasilkan diod pemancar cahaya untuk sektor automotif.

    Menurut Forbes Asia, nilai bersih minimum untuk berada dalam senarai itu ialah US$315 juta, meningkat daripada US$255 juta pada 2022.

    Sementara itu, senarai tersebut menyaksikan Tan Sri Ananda Krishnan dari Maxis, yang nilai bersihnya meningkat US$400 juta kepada US$5.4 bilion, menduduki tempat keempat.

    Kekayaan pengasas Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow, yang meninggal dunia pada Disember, kini disenaraikan di bawah anak-anaknya, adik-beradik Teh (No. 5, US$5.2 bilion).

    Senarai lengkap boleh didapati di www.forbes.com/malaysia dan dalam edisi Jun Forbes Asia.

  • Remaja 13 tahun pandu kereta tanpa lesen ditahan

    Remaja 13 tahun pandu kereta tanpa lesen ditahan

    SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan selepas videonya memandu sebuah kereta sejauh kira-kira empat kilometer tanpa lesen di Jalan Rozhan, Machang Bubok, Pulau Pinang tular di media sosial semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, turut ditahan ialah ibu remaja terbabit yang berusia lewat 40-an serta rakannya bagi membantu siasatan.

    Terdahulu, ujar beliau, polis mengesan satu video berdurasi 32 saat yang memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta bewarna hitam bersama rakannya ditahan orang awam yang dimuat naik dan tular di media sosial.

    Susulan penularan video terbabit, katanya, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek bersama ibunya di hadapan flat Taman Machang Bubok malam tadi.

    “Rakannya berusia 13 tahun yang juga penumpang kenderaan ketika kejadian turut ditahan dan kita masih mengesan rakan-rakan suspek yang lain.

    “Kita turut menyita kenderaan milik ibu suspek yang digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, suspek dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 26(1) dan Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala ibunya disaman mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.

    “Kita berharap ibu bapa dan masyarakat akan lebih prihatin dalam memantau anak-anak.

    “Jangan benarkan mereka memandu atau menunggang tanpa lesen kerana ia membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

  • Mengapa dihalau Rainsy pemimpin Pembangkang Kemboja – tanya Hassan

    Mengapa dihalau Rainsy pemimpin Pembangkang Kemboja – tanya Hassan

    Oleh Hassan Abdul Karim

    SATU waktu dahulu pada tahun 1975, sahabat-sahabatku, pemimpin pelajar Universiti Malaya terpaksa lari keluar negeri untuk selamatkan diri dari ditangkap di bawah undang-Undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

    Mereka terpaksa mencari Perlindungan Politik atau suaka politik di Eropah, di negara “kafir” yang kenal erti kemanusiaan dan belas ikhsan yang menjadi antara asas makna Madani.

    Kemudian selama lebih 25 tahun seorang lagi kawanku, seorang pemimpin politik Pembangkang, keluar masuk Penjara kerana memperjuangkan Keadilan dan reformasi untuk Negara Malaysia tercinta ini.Kini kawanku itu sedang menjadi Perdana Menteri Kerajaan Madani.

    Kawanku itu semasa menjadi tokoh Pembangkang Negara ini, pernah diberi sokongan kuat oleh masyarakat antarabangsa yang menyokong gerakan demokrasi di Malaysia dalam usaha menentang Kerajaan ” diktator” Perdana Menteri keempat ketika itu.

    Hassan Abdul Karim

    Aku pernah ke Kemboja pada tahun 1980an yang baru keluar dari perang Saudara.Ketika itu Khmer Rouge baru sahaja ditewaskan.Raja Norodhum Sihanouk, Raja Kingdom Kemboja masih lagi hidup. Hun Sen baru sahaja berkuasa sebagai Perdana Menteri.

    Hun Sen ini memerintah secara “diktator” melalui pilihanraya yang diatur, tidak Bersih dan tidak adil.Gerakan demokrasi bangkit, lalu segera ditumpaskan oleh Hun Sen yang kini sudah lebih tiga dekad berkuasa.

    Hari ini aku berasa sedih apabila membaca berita bahawa Perdana Menteri negaraku yang katanya menjunjung Hak asasi dan demokrasi menghalau Rainsy tokoh Pembangkang Kemboja yang singgah ke negara ini. Perdana Menteri negaraku ini rupa-rupanya telah berjanji dengan Hun Sen sang penguasa Kemboja sekarang.

    Aku bersetuju kalau penjenayah-penjenayah perang seperti George W.W.Bush atau Tony Blair yang memerangi dan menghancurkan Iraq Dihalau dari Malaysia.

    Tetapi aku tidak setuju kalau tokoh politik Pembangkang Kemboja seperti Rainsy yang berjuang untuk perubahan Kemboja secara demokrasi dihalau sebegitu rupa dari bumi Malaysia.

    Malaysia perlu ada suatu dasar luar negara yang progresif, dinamik dan aktif sesuai dengan amalan diplomasi antarabangsa yang berintegriti dan berwibawa.

    • * HASSAN Abdul Karim adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang
  • Nak beli gula pasir kena beli gula premium sekali

    Nak beli gula pasir kena beli gula premium sekali

    Oleh BADLISHAH MAT

    SYARAT diletakkan sebuah premis perniagaan terhadap pelanggan yang mahu membeli gula di kedainya di Hutan Kampung, Alor Setar memakan diri apabila diserbu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, semalam.

    Ini kerana nota yang tertulis di rak jualan bekalan berkenaan iaitu ‘Dengan setiap pembelian dua bungkus gula biasa, akan disertakan sekali dengan pembelian sebungkus gula premium’ didapati menyalahi peraturan.

    Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, hasil aduan orang awam, sepasukan pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan di premis itu kira-kira pukul 11 pagi dengan melakukan penyamaran.

    “Salah seorang pegawai penguat kuasa menyamar sebagai pembeli dengan berpakaian preman di premis berkenaan untuk membeli gula pasir kasar yang berharga RM2.85 sebungkus.

    “Hasil penyamaran mendapati premis itu mensyaratkan setiap pembelian dua kilogram (kg) gula pasir kasar berharga RM2.85 sebungkus oleh pelanggan perlu diikuti dengan pembelian 1kg gula putih premium yang berharga RM4.60 sebungkus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Affendi berkata, peniaga berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.

    “Pegawai penguat kuasa seterusnya bertindak menyita 10kg gula pasir kasar dan 14kg gula pasir super premium untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM64.40 dan kes disiasat di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.

    Tambahnya, KPDN Kedah memberi amaran kepada peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedang dikuatkuasakan.

    “Para peniaga diingatkan supaya tidak mengenakan apa-apa syarat bagi pembelian barang kawalan dan tidak menyorok barang kawalan bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

  • Tidak salah guna narafif kaum, agama selagi tepati Perlembagaan – Tuan Ibrahim

    Tidak salah guna narafif kaum, agama selagi tepati Perlembagaan – Tuan Ibrahim

    PENGGUNAAN naratif kaum dan agama dalam media sosial tidak semestinya menjadi kesalahan selagi menepati Perlembagaan.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu yang diperkatakan seperti hak orang Melayu menyentuh sesuatu yang dijamin Perlembagaan, selain bahasa dan budaya Melayu yang menjadi teras kebudayaan nasional, dan Islam.

    Berkenaan naratif agama, Tuan Ibrahim menganggap ia sebagai “penjelasan agar tidak berlaku pelanggaran syariat dalam kehidupan”.

    “Bagi kami (Pas), Islam telah menggariskan batas dalam kehidupan dan semua pihak mesti menjaga batas syariat itu agar ia menepati dasar dan peraturan bernegara,’’ katanya lapor FMT.

    Beliau mengulas kajian Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) ke atas media sosial pada PRU15, yang mendapati bahan berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan ‘menguasai’ platform media sosial utama ketika PRU15.

    Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu catatan ahli politik yang berbaur perkauman dan agama dipantau susulan dapatan kajian CIJ.

    Tuan Ibrahim juga menegaskan, Catalan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam media sosial menggunakan fakta dalam kerangka kaum dan bangsa yang selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran,” kata Tuan Ibrahim.

    Beliau berkata dakwaan bahawa Pas berjaya mempengaruhi sejumlah besar pengundi itu sebenarnya rakyat menolak Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

    “Selama ini sokongan kepada Pas tidak sehebat PRU lalu, walaupun tulisan Presiden bukanlah baru,” katanya.