PENGGUNAAN naratif kaum dan agama dalam media sosial tidak semestinya menjadi kesalahan selagi menepati Perlembagaan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu yang diperkatakan seperti hak orang Melayu menyentuh sesuatu yang dijamin Perlembagaan, selain bahasa dan budaya Melayu yang menjadi teras kebudayaan nasional, dan Islam.

Berkenaan naratif agama, Tuan Ibrahim menganggap ia sebagai “penjelasan agar tidak berlaku pelanggaran syariat dalam kehidupan”.

“Bagi kami (Pas), Islam telah menggariskan batas dalam kehidupan dan semua pihak mesti menjaga batas syariat itu agar ia menepati dasar dan peraturan bernegara,’’ katanya lapor FMT.

Beliau mengulas kajian Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) ke atas media sosial pada PRU15, yang mendapati bahan berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan ‘menguasai’ platform media sosial utama ketika PRU15.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu catatan ahli politik yang berbaur perkauman dan agama dipantau susulan dapatan kajian CIJ.

Tuan Ibrahim juga menegaskan, Catalan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam media sosial menggunakan fakta dalam kerangka kaum dan bangsa yang selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata dakwaan bahawa Pas berjaya mempengaruhi sejumlah besar pengundi itu sebenarnya rakyat menolak Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Selama ini sokongan kepada Pas tidak sehebat PRU lalu, walaupun tulisan Presiden bukanlah baru,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here