Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kaunter khas untuk PATI pulang dibuka

    Kaunter khas untuk PATI pulang dibuka

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KAUNTER Khas Program Rekalibrasi Pulang akan dibuka di Pejabat Imigresen Cawangan Stulang Laut di Johor Bahru bermula 1 Ogos ini bagi melancarkan urusan pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

    Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, lima kaunter khas akan disediakan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang yang akan beroperasi pada masa ketiadaan feri masuk di Jeti Stulang Laut.

    “Kaunter khas ini hanya beroperasi pada hari ketiadaan feri masuk bagi mengelak kesesakan antara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penumpang lain yang akan balik ke negara asal pada hari yang sama.

    “Pendaftaran PATI boleh dibuat seawal 31 Julai 2021. Pembukaan kaunter khas ini merupakan langkah penambahbaikan berterusan JIM bagi Program Rekalibrasi Pulang selepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 5 Julai lalu.

    “Semua syarat program yang ditetapkan sebelum ini masih terpakai antaranya memiliki dokumen perjalanan yang sah dan memiliki tiket pulang ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Selain itu katanya, PATI hadir tanpa perlu membuat janji temu (STO) di Kaunter Imigresen Khas sehari sebelum jadual feri berlepas.

    Menurutnya, bayaran Kompaun RM500 bagi dewasa dan gratis untuk kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah berserta bayaran Pas Khas RM100 bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 akan dikenakan.

    Kesalahan bawah seksyen tersebut katanya, kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.

    “Bayaran hendaklah dilakukan sama ada menerusi kad debit, kad kredit dan touch ‘n go eWallet sahaja. Begitu juga perlu memiliki slip Ujian Saringan RT-PCR Covid-19 iaitu sah laku dalam 72 jam dari tarikh jadual feri berlepas.

    “Ujian RT-PCR ini boleh dilakukan di mana-mana klinik sebelum hadir ke Pejabat Imigresen Cawangan Stulang Laut. Hanya PATI yang memperoleh keputusan negatif dibenarkan berurusan,” katanya.

  • Warga emas lemas ketika memancing

    Warga emas lemas ketika memancing

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG warga emas yang terjatuh dari bot ketika memancing ditemukan lemas di Sungai Perak berhadapan Pulau Bangau, Teluk Intan, Perak hari ini.

    Mayat Teoh Har Soon, 63, ditemukan anggota bomba pada pukul 1.40 petang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 150 meter dari lokasi terakhir dia dilihat selepas pasukan penyelamat menggunakan teknik pusaran air menggunakan bot.

    “Mayat lelaki terbabit timbul di permukaan sungai dengan kedalaman dua meter dalam tempoh sejam.

    “Anggota membawa mangsa naik ke tebing namun dia disahkan telah pun meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

    “Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  • Kartunis karikatur Nabi Muhammad meninggal dunia

    Kartunis karikatur Nabi Muhammad meninggal dunia

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    KARTUNIS Denmark, Kurt Westergaard yang mencetusan kontroversi dan menimbulkan kemarahan umat Islam selepas membuat karikatur Nabi Muhammad SAW, meninggal dunia pada usia 86 tahun.

    Menurut laporan BBC yang dipetik daripada akhbar Berlingske, Westergaard meninggal dunia setelah sekian lama derita sakit yang tidak dinyatakan.

    Westergaard merupakan kartunis akhbar Jyllands-Posten sejak awal 1980-an.

    Dia mencipta nama yang buruk dan teruk dihentam umat Islam kerana kontroversi karikatur mengenai Nabi Muhammad di akhbar.

    Karikatur itu mendorong tunjuk perasaan di Denmark, sementara kerajaan menerima kritikan dari negara-negara Islam.

    Kemarahan itu memuncak dalam tunjuk perasaan di seluruh dunia Islam pada Februari 2006.

    Penerbitan karikatur itu telah meninggalkan warisan yang berkekalan.

    Pada 2015, 12 orang terbunuh dalam serangan di pejabat majalah satira Perancis, Charlie Hebdo, yang telah menerbitkan karikatur tersebut.

    Setelah penerbitan itu, Westergaard menerima banyak ancaman.

  • Berpantang maut sebelum ajal

    Berpantang maut sebelum ajal

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BERPANTANG maut sebelum ajal!

    Itu yang berlaku terhadap seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan apabila kereta Proton Persona dipandu terbabas ke dalam sungai di Jalan Telujuk, Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi pagi ini.

    Semasa kejadian wanita berkenaan, Nurul Ain Shamira Shherif, 22, dalam perjalanan ke tempat kerja di Pasar Borong Song Seng di sini.

    Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 7.37 pagi dan seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi.

    “Mangsa hanya mengalami luka-luka kecil di bahagian tangan dan kaki. Mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

    “Pihak bomba mengangkat mangsa menggunakan stretcher dan tali untuk dibawa ke atas jalan raya. Mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan dari Air Tawar 2 di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, operasi yang melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu jentera Fire Rescue Vehicle (FRV) tamat pada pukul 8.18 pagi.

    habis.

  • Peruntukan tambahan RM50,000 kepada semua ADUN, JPKD

    Peruntukan tambahan RM50,000 kepada semua ADUN, JPKD

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KERAJAAN Johor mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu.

    Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, peruntukan tambahan berkenaan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM4.15 juta.

    “Peruntukan sama turut diberikan kepada 27 Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) di Johor bertujuan melancarkan lagi pemberian bantuan kepada rakyat yang memerlukan di kawasan masing-masing.

    “Kerajaan negeri amat memahami keluh-kesah rakyat yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Beliau berkata slain bantuan diberikan kerajaan Pusat, Johor turut melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif termasuk memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor untuk membantu meringankan beban rakyat.

    “Sebelum ini dalam PRE Ihsan Johor, kerajaan negeri turut memberi peruntukan sebanyak RM20,000 kepada kesemua 56 ADUN,” katanya.

  • Zahid mahu ahli Parlimen UMNO tarik sokongan kepada Muhyiddin

    Zahid mahu ahli Parlimen UMNO tarik sokongan kepada Muhyiddin

    KEPIMPINAN UMNO mula mengatur langkah untuk merealisasikan keputusan Majlis Tertinggi parti pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

    Ia berikutan kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang mahu kesemua ahli Parlimen UMNO menzahirkan dan melaksanakan keputusan MT tersebut.

    ‘’Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan memelihara melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa,’’ katanya.

    Kenyataan Ahmad Zahid dikeluarkan beberapa jam selepas Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong amat dukacita apabila kerajaan mengumumkan membatalkan Ordinan Darurat yang belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka.

    Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pendirian parti itu juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

    Ini merupakan kali kedua, Ahmad Zahid mempertegaskan, pendirian MT UMNO berhubung menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri

    Sebelum ini pada 7 Julai, MT UMNO telah membuat keputusan sedemikian tetapi parti itu kekal dalam kerajaan, pendirian yang dianggap ‘separuh masak’ itu dilakukan berikutan kesemua ahli Parlimen UMNO dalam Kabinet dan GLC membuat keputusan untuk terus berkhidmat dalam Kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

    Pada tarikh yang sama juga Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

    Mengulas lanjut kenyataan Istana Negara, Ahmad Zahid berkata, UMNO amat kesal tindakan kerajaan yang didakwa parti itu mengingkari titah Seri Paduka yang mahu semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    ‘’Lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan Darurat sebagaimana diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka,’’ tegasnya.

    Sehubungan itu beliau menyifatkan tindakan tersebut satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan.

    ‘’UMNO akan meminta Muhyiddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat,’’ katanya.

  • 17,170 kes jangkitan Covid-19

    17,170 kes jangkitan Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    STATISTIK jangkitan Covid-19 hari ini menurun sedikit kepada 17,170 kes, berbanding 17,405 kes yang dilaporkan semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi Twitternya pada hari ini
    memberitahu, Selangor masih mencatatkan kes tertinggi dengan 7,163 kes diikuti Kuala Lumpur (2,138 kes) dan Kedah (1,212 kes).

    Berdasarkan data, majoriti negeri dan wilayah merekodkan peningkatan kes.

    Selain itu, Johor mencatatkan 1,054 kes, Negeri Sembilan (884), Sabah (776), Pahang (638), Kelantan (615), Perak (596), Sarawak (582), Pulau Pinang (554) dan Terengganu (437).

    Sementara itu, beliau berkata Putrajaya mencatatkan 84 kes manakala Labuan dan Perlis masing-masing 11 dan 10 kes.

    “Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah 1,078,646,” katanya.

  • Dr.Anhar dilantik Mufti Selangor yang baharu

    Dr.Anhar dilantik Mufti Selangor yang baharu

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat mengurniakan watikah pelantikan Mufti Selangor dan Timbalan Mufti Selangor yang baharu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

    Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, Dato’ Dr.  Anhar  Ophir kini secara rasminya dilantik sebagai Mufti Selangor berkuatkuasa 21 Mei.

    Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Mufti Selangor sejak tahun 2016.

    Anak kelahiran Kapar, Klang itu memiliki kelulusan tertinggi Ijazah Doktor Falsafah (Feqh Wa Usuluh), Mumtaz dari The World Islamic Sciences And Education University (WISE), Jordan. Beliau juga memperoleh Ijazah Sarjana (Falsafah Islamiah), Mumtaz dari Universiti Kaherah, Mesir.

    Sejak tahun 2007, beliau juga bertindak selaku Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Antara kertas kerja yang pernah dihasilkan beliau bertajuk Kepentingan Bermazhab Di Sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    Jawatan Timbalan Mufti Selangor pula kini diambil alih oleh Prof. Madya Dr. Miszairi Sitiris. Beliau yang lahir di Banting berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah IRKH (Fiqh dan Usul Al-Fiqh) dari Universiti Islam Antarabangsa (IIUM).

    Beliau sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IIUM) dan Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Al-Fiqh, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IIUM).

    Antara artikel beliau yang pernah diterbitkan bertajuk Tuntutan Harta Sepencarian Dalam Kes Kematian di bawah Jurnal Undang-undang Malaysia.

    Dalam pada itu Sultan Selangor bertitah menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor supaya mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 kepada para Imam, Bilal dan Siak di masjid-masjid dan surau-surau serta Jurunikah di seluruh Negeri Selangor.

    Ia sebagai persediaan awal bagi membolehkan masjid dan surau dibuka untuk lebih ramai jemaah khususnya bagi menunaikan solat Jumaat, bergantung kepada perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Baginda berpandangan adalah penting untuk imam, bilal dan siak serta jurunikah ini diberi keutamaan memperoleh vaksin Covid-19 secepat mungkin sebagai perlindungan kerana tugas mereka terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi.

  • Pakej bantuan, rangsangan ekonomi bantu rakyat,ekonomi bertahan ketika COVID-19

    Pakej bantuan, rangsangan ekonomi bantu rakyat,ekonomi bertahan ketika COVID-19

    LAPAN pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion dilaksanakan sejak pandemik COVID-19 melanda negara membuktikan kerajaan mendengar dan bertindak supaya rakyat dan ekonomi terus bertahan dalam tempoh mencabar ini.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kesemua pakej itu dilaksana bagi melindungi nyawa melalui tiga fokus utama iaitu pengukuhan sistem kesihatan awam dan vaksinasi kebangsaan, melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan perniagaan.

    “Paling utama sekarang, kita perlu giatkan usaha memvaksinasi sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di seluruh negara. Saya pasti rakyat tidak mahu lagi menoleh ke belakang setelah terkurung untuk tempoh sekian lama.

    “InsyaAllah, tahun ini, once and for all (buat kali terakhir), kita tamatkan segala duka durjana,” katanya ketika memberikan penerangan berkenaan pakej-pakej bantuan ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata program vaksinasi kebangsaan merupakan kunci utama kejayaan negara melawan COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    Menjelas lanjut, Tengku Zafrul berkata bagi mengoptimum keupayaan sistem kesihatan awam,  Kementerian Kesihatan (KKM) dibekalkan peruntukan khas lebih RM3.7 bilion khusus sebagai perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19.

    Beliau berkata antaranya peruntukan menerusi pakej PRIHATIN berjumlah RM1.6 bilion, RM1.4 bilion melalui Belanjawan 2021 dan peruntukan tambahan lebih RM500 juta di bawah pakej PEMERKASA Tambahan.

    Katanya kerajaan juga mengumumkan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah RM18 bilion yang telah memanfaatkan 11 juta penerima.

    “Bantuan BPN telah banyak memberi kelegaan kepada rakyat malah ada juga yang menggunakannya sebagai modal untuk berniaga kecil-kecilan,” katanya sambil menambah inisiatif itu diteruskan di bawah pakej PEMULIH melalui tiga lagi program bantuan tunai iaitu Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.

    Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah lebih RM200 juta untuk program bantuan Bakul Makanan yang menerima banyak permintaan supaya program seumpama itu dapat diteruskan.

    Beliau berkata kerajaan turut membantu golongan sasar seperti belia, pelajar, wanita dan ibu tunggal serta pencari kerja dan pelatih.

    Menurutnya, di bawah inisiatif PenjanaKerjaya 2.0, lebih 141,000 orang berjaya diambil bekerja manakala lebih 39,300 orang mendapat pekerjaan melalui Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) yang menawarkan gaji antara RM1,400 dan RM2,000 sebulan, setakat 30 Jun lepas.

  • Kemungkinan jangkitan VOC di kilang elektronik Tanjung Agas

    Kemungkinan jangkitan VOC di kilang elektronik Tanjung Agas

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesyaki berkemungkinan berlaku jangkitan Covid-19 membabitkan ‘variant of concern’ (VOC) yang dilaporkan di sebuah kilang elektronik di Tanjung Agas, Muar.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan berkata, ini berdasarkan bilangan kes kematian yang dilaporkan adalah tinggi yang melibatkan 13 pekerja setakat ini.

    Walaubagaimanapun katanya, masih belum ada pengesahan melalui ujian makmal yang dibuat setakat ini menengenai varian baharu itu.

    Jelasnya, JKNJ mengesahkan insiden yang berlaku di kilang elektronik itu seperti yang tular membabitkan Kluster Persiaran Agas.

    “Kluster Persiaran Agas diisytiharkan pada 9 Julai lalu membabitkan pekerja daripada sebuah kilang elektronik pembuatan semikonduktor di Tanjung Agas.

    “Sehingga semalam, jumlah kes yang dilaporkan dalam kluster ini adalah sebanyak 462 kes dengan sejumlah 13 kematian dilaporkan membabitkan kluster berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 207 individu atau 44.8 peratus membabitkan pekerja kilang itu yang terdiri daripada 155 warga tempatan, manakala 52 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

    Tambahnya, sebanyak 255 kes lain adalah kes yang dilaporkan dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan pekerja-pekerja kilang itu.