Author: Wartawan WartaRakyat

  • Nenek 64 tahun tokan dadah diberkas bersama cucu

    Nenek 64 tahun tokan dadah diberkas bersama cucu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG nenek berusia 64 tahun dan cucu lelakinya antara tiga suspek yang dicekup polis baru-baru ini selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bernilai RM86,000, di Taman Seri Bayu di Alor Gajah.

    Mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
    (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang membuat serbuan di sebuah rumah di taman perumahan itu kira-kira pukul 6 pagi.

    Ketua JSJN negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, serbuan pertama membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 31 tahun diberkas bersama 18 peket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 2.2 kilogram dan enam peket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 533 gram.

    “Susulan tangkapan itu, polis memberkas dua lagi suspek dipercayai rakan sindiket yang
    merupakan seorang wanita warga emas dan cucu lelakinya yang berusia 21 tahun di kawasan sama kira-kira 45 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Zulkiflee, kesemua dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di kawasan tempatan dan boleh menampung kegunaan kira-kira 6,200 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

    Kata beliau, hasil saringan ujian air kencing dilakukan terhadap suspek pertama didapati
    positif dadah jenis methamphetamin, selain turut mempunyai dua rekod lampau berkait kes
    jenayah serta dadah.

    Manakawal warga emas itu turut memiliki dua rekod berkaitan dadah, sementara cucunya mempunyai masing-masing satu rekod jenayah dan dadah.

    “Dalam serbuan itu, kita turut merampas barang kemas dan sebuah kereta serta motosikal
    berjumlah keseluruhan RM24,782.11 yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pengedaran
    dadah ini,” jelasnya.

    Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan
    mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati
    mandatori jika sabit kesalahan.

    habis

  • 15,764 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini

    15,764 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    STATISTIK penularan Covid-19 di negara ini menunjukkan penurunan kepada 15,764 kes hari ini berbanding 17,150 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 negara meningkat kepada 1,146,186 kes.

    Mengenai kes hari ini, Dr. Noor Hisham memberitahu, semua negeri mencatatkan pertambahan kes dan lima negeri melaporkan kes empat angka.

    Negeri terbabit ialah Selangor dengan 6,067 kes baharu, Kuala Lumpur (1,536), Johor (1,222), Sabah (1,166) dan Kedah (1,108).

    “Selain itu negeri lain turut mencatatkan pertambahan kes hari ini iaitu Negeri Sembilan sebanyak (862), Perak (748), Pulau Pinang (667). Kelantan (552), Pahang (475), Melaka (463) dan Terengganu (425).

    “Putrajaya melaporkan 46 kes baharu, Perlis (sembilan) dan Labuan (tujuh),” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook hari ini.

  • Ismail Haniyeh pertahan jawatan ketua parti Hamas

    Ismail Haniyeh pertahan jawatan ketua parti Hamas

    BEKAS Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh sekali lagi dipilih memegang jawatan ketua parti politik itu yang menguasai Genting Gaza buat penggal kedua berturut-turut.

    MiddleEastMonitor melaporkan, Haniyeh yang merupakan pemimpin Hamas sejak 2017, mengawal kegiatan politiknya dalam beberapa perang pergerakan itu dengan Israel termasuk konflik Mei lalu yang mengakibatkan 250 orang terbunuh di Gaza dan 13 lagi maut di Israel.

    “Ismail Haniyeh dipilih semula sebagai ketua biro politik Hamas,” kata seorang pegawai kepada agensi berita Reuters, hari ini.

    Haniyeh, 58, akan memegang jawatan itu bagi tempoh empat tahun lagi.

    Dalam satu kenyataan, Hamas menyatakan Haniyeh dipilih semula selepas berpuluh-puluh juta anggotanya mengambil bahagian dalam pilihan raya di peringkat dalaman pergerakan Islam berkenaan.

    Beliau merupakan orang kanan kepada pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin yang dibunuh pada 2004.

    Menceburi bidang politik pada 2006, Ismail membuat kejutan apabila menang pilihan raya Parlimen Palestin selepas mengetuai parti itu mengalahkan Parti Fatah diketuai Presiden Mahmoud Abbas.

    Beliau kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri selepas kemenangan itu namun Hamas yang dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat, Israel dan Kesatuan Eropah dipinggirkan masyarakat antarabangsa.

    Difahamkan beliau tinggal di luar Gaza dan menetap antara Turki dengan Qatar.

    Selepas tercetusnya perang saudara, Hamas merampas Gaza dari Fatah yang menguasai Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan mentadbir secara sendiri di Tebing Barat pada 2007.

    Israel terus mengepung Gaza sejak dari itu dengan menyatakan alasan ancaman dari Hamas.

    Kejayaan Haniyeh itu melekapkan proses pilihan raya Hamas yang bermula sejak Mac lalu dengan pemilihan semula ketua pergerakan tersebut di Gaza, Yahya Shinwar.

  • 8,856 PATI dihantar pulang menerusi Program Rekalibrasi Pulang

    8,856 PATI dihantar pulang menerusi Program Rekalibrasi Pulang

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 8,856 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang menerusi kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang sejak 8 Julai lalu.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Khairil Dzaimee Daud berkata, mereka dihantar pulang menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Beliau berkata, sebanyak 20 lagi kaunter khas dibuka di KLIA untuk mengelak kesesakan berikutan sambutan yang diterima di luar jangkaan.

    “Imigresen dengan kerjasama Malaysia Airport Berhad (MAB) telah mengambil langkah segera membina 20 kaunter baharu yang terletak di Parkir Jangka Pendek, Aras 2 Blok B, KLIA.

    “Ruang menunggu yang lebih luas dengan kapasiti 800 hingga1000 orang juga disediakan dengan pelbagai kemudahan,” katanya kepada ketika sidang akhbar di Sepang, hari ini

    .

    Kaunter khas tersebut katanya, turut menyediakan kemudahan seperti kios makanan, surau, kipas bersaiz industri dan ruang yang lebih luas untuk menjamin penjarakan sosial dapat dipraktikkan.

    Pada masa sama, menurut Khairil, seramai 88,034 PATI sudah dihantar pulang di bawah program Rikalibrasi Pulang sejak dilancarkan pada 21 Disember lalu dengan kutipan kompaun melebihi RM52 juta sehingga 1 Ogos.

    Dalam pada itu, menurutnya, untuk mempercepatkan lagi urusan, kaunter khas tersebut akan beroperasi 24 jam dengan kekuatan 140 kakitangan yang akan bertugas dalam tiga waktu tugasan.

    Kaunter khas tersebut turut dibuka di Stulang Laut, Johor pada Ahad dan lapan lagi akan dibuka di KLIA2 pada Khamis ini.

    “Perancangan seterusnya ialah membuka kaunter di Pasir Gudang Johor, dan Pelabuhan Klang, Selangor yang dijangka beroperasi mulai 15 Ogos ini,” katanya.

  • PRN Sarawak 60 hari selepas Proklamasi Darurat Sarawak dibatalkan

    PRN Sarawak 60 hari selepas Proklamasi Darurat Sarawak dibatalkan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PILIHAN Raya Dewan Undangan Negeri (PRN) Sarawak digantung dan perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat Sarawak dibatalkan atau diungkaikan.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Proklamasi Darurat (Sarawak) diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung PRN Sarawak dan proklamasi itu hendaklah meliputi seluruh negeri berkenaan mulai hari ini hingga 2 Februari 2022.

    Sehubungan itu juga kata beliau, satu ordinan dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikenali sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324.

    “Di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324, memperuntukkan bagi tempoh darurat berkuat kuasa peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak bahawa Dewan Undangan Negeri terbubar selepas lima tahun daripada mesyuarat pertamanya tidak mempunyai kesan.

    “Oleh yang demikian, memandangkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U.(A) 323 yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai lalu dan peruntukan Seksyen 3(4) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan berkata, PRN Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.

    Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya 21 Julai lalu bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar memperkenan Proklamasi Darurat bagi seluruh Sarawak setelah darurat yang berkuat kuasa pada masa ini berakhir semalam.

  • Tiada acara Ambang Merdeka 2021

    Tiada acara Ambang Merdeka 2021

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DIJANGKA tiada acara rasmi Ambang Merdeka pada lewat malam 30 Ogos ini di seluruh negara susulan situasi semasa penularan wabak Covid-19 yang meningkat dan membimbangkan.

    Menerusi laman sesawang rasmi Bulan Kebangsaan 2021, www.merdeka360.my yang diselaraskan Jabatan Penerangan Malaysia, acara itu tidak disenaraikan dalam takwim program, sebaliknya, hanya 15 aktiviti selain lapan acara berbentuk pertandingan disusun urus setia sambutan induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sepanjang bulan ini dan bulan depan.

    Antara sudah pun dimuktamadkan pihak sekretariat sambutan itu ialah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 pada Sabtu ini, namun lokasi program berkenaan untuk peringkat kebangsaan yang sepatutnya di Terengganu, belum diputuskan lagi.

    Ini merupakan kali kedua dibatalkan selepas tahun lalu, Ambang Merdeka dibatalkan berikutan keadaan pandemik Covid-19 ketika itu.

    Kemudian digantikan dengan program Konsert Kita Merdeka 1957-2020 di Angkasapuri Kuala Lumpur bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dalam keadaan sesak di lokasi tumpuan bagi menyaksikan pertunjukan bunga api dan acara hiburan.

    Tema Hari Kebangsaan 2021 masih lagi kekal Malaysia Prihatin seperti tahun lalu dengan sambutan sederhana serta pematuhan protokol kesihatan ketat bagi mengekang kes Covid-19.

  • Vaksinasi warga emas secara datang terus diperluas ke seluruh negara

    Vaksinasi warga emas secara datang terus diperluas ke seluruh negara

    VAKSINASI secara datang terus bagi warga emas yang belum mendapat tarikh temujanji akan diperluaskan ke seluruh negara bermula minggu depan.

    Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin berkata, ini selepas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memutuskan untuk memperluaskan pelaksanaan kaedah datang terus bagi warga emas yang dilaksanakan di Lembah Klang ke semua negeri.

    Namun beliau menjelaskan, pengumuman dan butiran lanjut mengenai perkara itu akan dibuat oleh badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat negeri.

    “Inisiatif itu membabitkan warga emas di luar Lembah Klang yang belum menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan PICK secara maya, hari ini.

    Mengulas lanjut Khairy berkata, ada negeri sudah memulakan inisiatif itu dan ada juga negeri yang sudah bersedia.

    “Pengumuman akan dibuat oleh CITF peringkat negeri. Di peringkat Persekutuan, negeri (luar Lembah Klang) sudah boleh mulakan pemberian vaksin untuk warga emas belum terima dos pertama.

    “Kita sudah serahkan dan turunkan kuasa kepada CITF negeri untuk buat pengumuman,”katanya.

    Sementara itu, Khairy berkata, setakat ini program vaksinasi yang dijalankan di peringkat nasional secara keseluruhannya telah mencapai tahap 95 peratus bagi warga emas yang telah berdaftar di mana kesemua mereka telah mendapatkan suntikan vaksin.

  • Isteri PM Singapura puji kadar vaksin Malaysia

    Isteri PM Singapura puji kadar vaksin Malaysia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    ISTERI Perdana Menteri Singapura, Ho Ching memuji peningkatan kadar vaksinasi Covid-19 di Malaysia.

    Ho Ching dalam kemas kini akaun Facebook miliknya berkata, kadar vaksinasi Malaysia meningkat hingga setengah juta suntikan setiap hari.

    “Ini juga adalah kadar semasa di USA (Amerika Syarikat), tapi USA mempunyai jumlah penduduk yang 10 kali ganda daripada M’sia (Malaysia). Go, go, go!,” tulisnya hari ini.

    Jumlah vaksinasi harian Covid-19 di Malaysia telah melebihi 500,000 dos dalam tempoh enam hari berturut-turut dengan 519,111 dos diberikan pada 31 Julai.

    Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu Infografik di Twitter pada 1 Ogos daripada jumlah suntikan yang diberikan pada 31 Julai, sebanyak 316,492 adalah dos pertama manakala 202,619 dos kedua.

    Secara kumulatif, 20,533,660 dos telah diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia (PICK) bermula pada 24 Februari.

    Jumlah itu merangkumi 13,816,971 suntikan dos pertama manakala 6,716,689 lagi penerima yang telah lengkap dua dos.

  • SPR terima 44,321 permohonan pendaftaran pemilih baharu

    SPR terima 44,321 permohonan pendaftaran pemilih baharu

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menerima 44,321 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak bagi tempoh antara 1 April hingga 30 Jun lalu.

    Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sebanyak 21,567 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar memohon berbuat demikian dalam tempoh sama.

    Untuk itu beliau berkata, SPR akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST2/2021 yang mengandungi permohonan pendaftaran pemilih baharu dan pertukaran bahagian pilihan raya pemilih berdaftar itu selama 14 hari mulai 3 hingga 16 Ogos ini di 822 tempat pameran di seluruh negara.

    “Semakan RDPT ST2/2021 boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan seperti berikut, pertama hadir ke 822 tempat pameran di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan atau melayari portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri.

    “Selain itu semakan boleh dibuat dengan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan dan menyemak buku RDPT ST2/2021 yang disediakan (sila hubungi PPN untuk janji temu atau maklumat waktu operasi pejabat) atau melayari portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Ikmalrudin, semua pemohon dinasihatkan menyemak nama mereka dalam RDPT ST2/2021 dan sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

    Jelas beliau, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST2/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

    Beliau menambah, Borang B dan Borang C boleh dimuat turun menerusi portal Pejabat Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

    “Semasa tempoh Pameran RDPT ST2/2021, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

    “Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST2/2021 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya.

  • Penduduk Lembah Klang tanpa janji temu boleh ‘walk in’ dapatkan vaksin di PPV terpilih hari ini

    Penduduk Lembah Klang tanpa janji temu boleh ‘walk in’ dapatkan vaksin di PPV terpilih hari ini

    BERMULA hari ini, warga Lembah Klang yang masih belum mendapat tarikh janji temu dan mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh datang terus atau ‘walk in’ di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih yang ditetapkan.

    Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, sebanyak sembilan PPV terlibat dalam memberi suntikan vaksin secara datang terus atau tanpa janji temu di Lembah Klang.

    PPV terlibat adalah KL Convention Centre (HCO F, HCO G dan HCO H); Bangi Avenue Convention Centre; Hotel Wyndham, Klang; Dewan Tun Razak, Sabak Bernam; Dewan Komuniti Serendah; Movenpick Hotel Convention Centre KLIA dan Ideal Convention Centre, Shah Alam.

    Mereka boleh mengunjungi mana-mana PPV yang dinyatakan bermula pukul 2 petang setiap hari, tertakluk kepada hari operasi PPV masing-masing.

    Bagi yang berumur 40 tahun ke atas atau golongan ‘komorbid’ (kumpulan berisiko tinggi untuk mengalami kesan yang teruk daripada Covid-19 sekiranya dijangkiti), vaksinasi datang terus akan bermula hari ini hingga 4 Ogos.

    Selain itu, warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang boleh mendapatkan vaksin secara datang terus bermula 5 Ogos hingga 22 Ogos.

    Bagi bukan warganegara pula, tarikh dibenarkan untuk jumpa terus bermula 9 Ogos dan hanya akan dijalankan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil.

    CITF berkata, antara dokumen yang diperlukan ialah bukti menunjukkan lokasi bermastautin di Lembah Klang seperti alamat di kad pengenalan, lesen memandu, sebarang bil utiliti atau kad kredit, kad pekerja, kad pelajar, surat perjanjian atau lain-lain.

    Golongan komorbid diminta membawa sebarang bukti yang menunjukkan mereka termasuk dalam kategori itu seperti kad rawatan atau kad janji temu.

    Bagi bukan warganegara pula, mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan yang sah, akan melalui proses yang telah ditetapkan dalam satu Garis Panduan Pengurusan Pemberian Vaksin Kepada Individu Bukan Warganegara yang telah dikeluarkan oleh CITF.

    Vaksinasi jumpa terus ini adalah mengikut kaedah ‘siapa dahulu, dia dapat’ bergantung kepada kapasiti bekalan vaksin di PPV.

    Individu yang datang secara datang terus akan diletakkan di bawah ‘senarai menunggu’ untuk hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan pada hari berkenaan habis digunakan.

    Sementara itu, individu yang telah mendapat janji temu tidak dibenarkan untuk jumpa terus dan tidak dibenarkan untuk membatalkan janji temu yang diberikan bagi tujuan jumpa terus sekiranya janji temu sedia ada adalah pada tarikh yang akan datang.