Oleh Abu Ubaidillah Rahman

DIJANGKA tiada acara rasmi Ambang Merdeka pada lewat malam 30 Ogos ini di seluruh negara susulan situasi semasa penularan wabak Covid-19 yang meningkat dan membimbangkan.

Menerusi laman sesawang rasmi Bulan Kebangsaan 2021, www.merdeka360.my yang diselaraskan Jabatan Penerangan Malaysia, acara itu tidak disenaraikan dalam takwim program, sebaliknya, hanya 15 aktiviti selain lapan acara berbentuk pertandingan disusun urus setia sambutan induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sepanjang bulan ini dan bulan depan.

Antara sudah pun dimuktamadkan pihak sekretariat sambutan itu ialah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 pada Sabtu ini, namun lokasi program berkenaan untuk peringkat kebangsaan yang sepatutnya di Terengganu, belum diputuskan lagi.

Ini merupakan kali kedua dibatalkan selepas tahun lalu, Ambang Merdeka dibatalkan berikutan keadaan pandemik Covid-19 ketika itu.

Kemudian digantikan dengan program Konsert Kita Merdeka 1957-2020 di Angkasapuri Kuala Lumpur bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dalam keadaan sesak di lokasi tumpuan bagi menyaksikan pertunjukan bunga api dan acara hiburan.

Tema Hari Kebangsaan 2021 masih lagi kekal Malaysia Prihatin seperti tahun lalu dengan sambutan sederhana serta pematuhan protokol kesihatan ketat bagi mengekang kes Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here